Rata-rata bakal pengantin memilih untuk berjimat-cermat dalam merancang perbelanjaan majlis perkahwinan mereka. Walau bagaimanapun, kos majlis perkahwinan semakin meningkat berikutan kenaikan kos hidup. Ramai mendapati bajet yang telah ditetapkan tidak mencukupi kerana mereka terpaksa menanggung beberapa kos ‘tersembunyi’ yang sering terlepas pandang.
Beberapa kos ‘tersembunyi’ dalam merancang majlis perkahwinan harus diberi keutamaan agar bajet anda masih terkawal. Walaupun kos ini dianggap remeh namun jika tidak dikawal, ia boleh menyebabkan kos perbelanjaan untuk majlis perkahwinan menjadi tinggi.
Jom kita lihat kos-kos tersembunyi yang wajib anda ketahui dalam merealisasikan sesebuah majlis perkahwinan!
1. KURSUS KAHWIN
Walaupun kos untuk kursus kahwin dianggap rendah, namun ia tetap menjadi bebanan kepada bakal pengantin yang kurang berkemampuan. Kos tambahan seperti kos pengangkutan, kos penginapan dan kos makan untuk ke lokasi tersebut perlu diambil kira sekiranya bakal pengantin berkursus di luar kawasan.
2. BARANG HANTARAN
Kedua-dua pihak wajib mengambil kira kos yang diperlukan untuk membeli barang hantaran sebagai pemberian kepada pasangan masing-masing. Kos pembelian hantaran ini tidak termasuk dalam wang hantaran. Pastikan kos barangan hantaran dimasukkan dalam bajet perkahwinan dan barang yang dibeli berpatutan dengan kos yang anda mampu.
3. MAJLIS AKAD NIKAH
Walaupun mungkin majlis akad nikah dibuat secara ringkas dan sederhana, ia sebenarnya memerlukan kos yang agak tinggi. Oleh itu, bakal pengantin perlulah mengambil kira kos majlis pernikahan, selain perbelanjaan untuk majlis resepsi sekiranya kedua-dua majlis diadakan pada hari dan tempat yang berbeza.
4. MAKANAN & MINUMAN
Di sini bakal pengantin mampunyai dua pilihan sama ada menggunakan khidmat katering atau menyediakan sendiri makanan secara bergotong-royong. Kedua-dua pilihan mempunyai perbelanjaan tersembunyi masing-masing. Pihak pengantin perlu berhati-hati memilih pakej katering agar anda tidak terperangkap dengan cas tambahan seperti sewaan kanopi, pelayan dan sebagainya.
5. BUNGA TELUR & CENDERAHATI
Kos pembelian ini sering dipandang remeh dan tidak dimasukkan ke dalam bajet perkahwinan. Untuk mengelakkan perbelanjaan di luar jangka, bakal pengantin boleh membuat inventori dan senarai yang tepat bagi setiap bahan yang hendak dimasukkan ke dalam uncang hadiah. Sebaik-baiknya, bahan untuk uncang hadiah itu dibeli secara pukal untuk mendapatkan harga borong. Elakkan juga penambahan item pada saat-saat akhir.
Download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
Jatuh Cinta Kembali Dengan 5 Cara Ini Dalam Hubungan
Semua perkahwinan semestinya mahukan pengakhiran yang bahagia. Tiada siapa yang inginkan hubungan mereka berakhir dengan begitu sahaja. Jika anda lihat, cinta dan kebahagiaan banyak terletak kepada status seseorang bukan dari niat yang suci.
Itulah sebabnya mengapa orang ramai mendapat banyak perceraian. Mereka berfikir perkahwinan itu perkara yang mudah.
Apabila anda berkahwin, anda memberi komitmen terhadap seseorang untuk mengharungi segala detik bersama. Anda perlu faham bahawa perkahwinan itu bukan tentang cinta. Tetapi ia adalah tanggungjawab yang besar. Setelah sekian lama mengharungi masa bersama ada kalanya pasangan anda mungkin berasa bosan, jadi untuk mengelakkan itu dari terjadi ikut langkah ini agar dia kembali jatuh cinta kepada anda.
1.Beri perhatian
Oleh kerana sudah lama bersama, anda mungkin memikirkan kerja lebih berbanding pasangan anda. Kadangkala pasangan anda akan berasa sunyi jika anda tidak mengendahkannya. Mereka mungkin berfikir anda tidak mengambil berat terhadapnya. Oleh itu, luangkan sedikit masa anda untuk mereka. Ia mampu menceriakan lagi hari anda dan dia. Beri perhatian seperti mana anda kenal dahulu.
2. Sentuhan kasih sayang
Sentuhan fizikal tidak menimbulkan keajaiban. Tetapi kita semua tahu ini sentuhan yang lembut boleh digunakan untuk memujuk, menghibur dan saling mencintai satu sama lain. Untuk lebih romantis pegang tangan pasangan anda apabila anda berdua keluar berjalan. Ia akan mengimbau kembali seperti zaman percintaan anda dahulu.
3. Dengan siapa saya jatuh cinta?
Fikir kembali percintaan anda dengan dia. Fikirkan balik di mana saat anda bersusah payah ingin mendapatkannya untuk menjadi yang halal. Ingat kembali semua detik-detik yang membuat anda jatuh cinta. Bagaimanakah pasangan anda yang dulu dan sekarang. Lakukan semula segala-gala balik bersama pasangan anda.
4. ‘i love you’
Bilakah kali terakhir anda cakap ‘i love you’ pada pasangan anda? Jika baru, anda seorang yang menghargai pasangan anda. Perkataan i love you atau saya sayang awak boleh membawa maksud yang mendalam dan bahagia kepada seseorang. Sebutkan sahaja i love you sebeleum pergi kerja, sebelum tido seperti awal perkenalan anda dahulu.
5. Pujian
Pujian juga adalah salah satu tips yang boleh membuat anda dan pasangan merasa disayangi. Pujian merupakan tanda pengiktirafan anda kepada pasangan. Seperti, ‘cantik pakaian awak hari ini’ atau ‘awak nampak hensem’. Ia lebih memberi impak yang positif kepada pasangan.
Sumber : weareheretoinspire
Download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
Sihir Musnahkan Cinta Kami, Jadikan Kisah Ini Sebagai Pengajaran Buat Semua Pasangan
Benarlah kata orang, perkahwinan tanpa restu orang tua, bahana yang bakal menjelma. Kisah silam aku berlaku kira-kira enam tahun yang lalu masih tersemat kemas dalam memori. Memang pahit yang aku rasanya. Bukan ingin membuka pekung di dada tapi aku mahu ia dijadikan pengajaran buat semua pasangan di luar sana.
Aku berkenalan dengan seorang lelaki berdarah Syed. Percintaan kami berputik sejak sama-sama menuntut di universiti. Bagaikan belangkas, ke mana sahaja kami pasti berdua. Malah bunga-bunga cinta yang kami lalui sememangnya cukup indah. Selepas tamat pengajian, rezeki untuk mendapat pekerjaan dipermudahkan. Kami sama-sama bekerja dalam bidang kejuruteraan walaupun berlainan syarikat.
Selepas tiga tahun bekerja dan mengumpul duit, kami berhasrat untuk menamatkan zaman bujang. Alangkah gembiranya apabila aku dilamar Syed. Cuma yang menjadi kebimbangan kerana hubungan kami masih belum diketahui oleh ibu Syed, namun keluarga aku tiada masalah kerana sudah mengenali Syed terlebih dahulu.
Ingin Menantu Sharifah
Menurut Syed, ibunya sangat cerewet dalam memilih menantu dan hanya inginkan menantu berdarah Syed ataupun Sharifah sahaja. Inilah yang menjadi kebimbangan kami berdua. Apatah lagi menurut Syed, ibunya sudah merisik anak kenalannya yang berdarah Sharifah tanpa pengetahuan Syed.
Dasar orang bercinta, lautan api sanggup ku renangi. Aku memberanikan diri berjumpa dengan orang tua Syed. Manalah tahu ibunya boleh menerima aku, apatah lagi aku mempunyai pekerjaan yang baik dengan gaji yang tinggi, mungkin ia boleh memikat hati ibu Syed untuk merestui hubungan kami.
Pertemuan pertama dapat aku rasakan ibunya tidak menyukai aku dengan cara layanannya. Namun aku abaikan sahaja mungkin kerana dia masih belum mengenali aku sedalamnya. Sepanjang pertemuan itu habis segala perkara termasuk keturunan aku ditanya.
Selepas pertemuan itu, Syed berselisih faham sedikit dengan ibunya kerana ibunya berkeras menolak cinta Syed. Puas Syed memujuk ibunya dengan pelbagai alasan, namun ibunya tetap berkeras.
Selamat Diijabkabulkan
Hampir berbulan Syed cuba untuk memujuk ibunya. Alhamdulillah, akhirnya hubungan kami direstui dengan syarat kami harus tinggal di rumah ibunya selepas berkahwin. Mulanya Syed berkeras dan menolak, namun memikirkan inilah jalan untuk ibunya merestui hubungan kami, Syed turutkan sahaja dan kami diijabkabulkan dalam majlis yang sederhana.
Selepas berkahwin, aku seperti biasa melayani ibu Syed dengan baik seperti ibuku sendiri. Walaupun rumah ibu mertua mempunyai orang gaji, aku tidak senang untuk duduk tanpa melakukan sebarang kerja. Mana kerja yang boleh aku bantu, aku cuba lakukannya.
Sebulan tinggal di rumah mertua, keadaan masih terkawal. Walaupun layanan ibu mertua tidak mesra sangat, aku tidak ambil hati. Maklum sahaja restunya untuk kami berkahwin sudah cukup bagi aku dan Syed. Jadi seboleh-bolehnya aku cuba untuk memberikan layanan terbaik kepada ibu mertuaku walaupun hakikatnya aku menderita.
Mula Menderita
Bahagia yang aku harapkan, rupanya derita yang mendatang. Selepas tiga bulan berkahwin, hubungan aku dan Syed nampak renggang. Kami sering bergaduh walaupun hal-hal yang kecil. Ada sahaja yang tidak kena di mata Syed. Sampaikan beberapa kali Syed tidur di bilik tetamu apabila kami bergaduh. Hubungan kami sentiasa panas sehinggakan Syed mula mengungkit tentang hubungan kami.
Pernah suatu petang kami bergaduh gara-gara ibu mertuaku mengadu kepada Syed yang aku berkata kasar dan menyindirnya. Fitnah apakah ini? Kenapa Syed mendengar hanya sebelah pihak? Aku tidak nafikan memang aku berselisih faham dengan ibu mertua, tapi semua itu gara-gara ibu mertuaku memperlekehkan keturunan aku. Siapa yang tidak berang jika soal keturunan dibuat main.
Aku juga ada tahap kesabaran. Selama ini aku tidak pernah mengadu sedikit pun kepada Syed yang ibu mertuaku tidak melayan aku dengan baik. Aku tidak mahu mengeruhkan keadaan kerana aku positif bahawa ibu mertuaku akan menerimaku satu hari nanti.
Dari sehari ke sehari hubungan kami makin keruh sampaikan ingin menyentuh aku pun Syed cuba mengelak. Melihatkan keadaan yang semakin parah, aku meminta izin kepada Syed untuk tinggal di rumah keluargaku seketika untuk menenangkan fikiran. Di rumah orang tua, aku berubat kerana menurut ayah dan ibu hubungan kami seperti ada yang tidak kena, sedangkan kami masih baru dalam rumah tangga.
Pergi Berubat
Saat berubat dengan ustaz yang ayah aku kenali, rupa-rupanya aku disihir orang yang rapat dengan aku. Kononnya tujuan orang itu ingin memisahkan aku dan suami aku. Patut la selama ini Syed sangat dingin malah mengelak untuk menyentuh aku. Katanya dia rasa tidak selesa, malah sering rasa panas apabila berada dekat dengan aku.
Namun selama ini aku ingatkan Syed sengaja mereka cerita. Mungkin itu alasannya untuk mengelak daripada aku kerana kami bergaduh. Paling menyedihkan aku diberitahu orang yang melakukan perbuatan terkutuk ini ialah ibu mertuaku sendiri.
Bagai nak pitam aku mendengarnya. Tergamak ibu mertua ku melakukan perbuatan yang menyalahi agama semata-mata kerana membenci keturunan aku yang bukan berdarah Sharifah. Beginilah akibatnya jika syaitan bermaharajalela. Langsung agama diketepikan. Sepanjang di rumah keluargaku, Syed langsung tidak bertanya khabar. Naik geram aku dibuatnya namun aku sabar kerana tindakannya itu di luar kawalan gara-gara sihir yang dibuat oleh ibunya.
Aku Difitnah Mertua
Saat pulang ke rumah mertuaku dan ingin masuk ke bilik, aku terdengar perbualan ibu mertuaku dengan Syed. Ibu mertuaku mencadangkan Syed melepaskan aku kerana melihatkan tiada sefahaman antara Syed dan aku. Malah ibu mertuaku memburuk-burukkan aku kononnya aku isteri yang pemalas, sering menengkingnya, derhaka kepadanya dan banyak lagi. Paling aku marah apabila aku difitnah oleh ibu mertuaku kononnya aku menyihir Syed kerana ingin berkuasa terhadap Syed dan rumah ini, selain ibu mertua mencadangkan Syed melepaskan aku.
Aku berlari ke bilik dan terus menangis. Kenapa benci sangat ibu mertuaku terhadap aku. Selama ini begitu baik aku melayannya seperti ibu aku sendiri namun kenapa aku diperlakukan seperti ini. teruk sangatkah jika anaknya berkahwin dengan aku. Darah yang mengalir dalam diri Syed sama warna dengan darah aku, malah ketika mati nanti juga bukan keturunan yang menjadi keutamaan. Sungguh aku sedih.
Tiba-tiba Syed masuk ke bilik. Kami bergaduh lagi. Syed berang apabila aku beritahunya yang aku telah pergi berubat dan aku dikatakan telah disihir ibunya. Kononnya untuk memisahkan aku dan Syed. Lagi teruk kami bergaduh sehingga Syed tergamak mengatakan yang aku perempuan jahat kerana sanggup memfitnah ibunya serta memecahbelahkan hubungan dia dan ibunya.
Paling meremukkan hati aku apabila Syed rasa menyesal tidak mendengar nasihat ibunya agar berkahwin dengan keturunannya dan menyesal mengahwini aku. Bagi Syed, keturunan yang bukan berdarah Syed atau Sharifah tidak baik. Sampai hati Syed berkata begitu. Dapat aku rasakan rumah tangga kami bagaikan retak menanti belah.
Malam selepas kami gaduh besar itu, aku mendekati Syed untuk memujuknya. Aku tidak boleh mengalah. Aku minta Syed dan aku pergi berubat mungkin ada yang tidak kena dengan hubungan dingin kami. Namun pelbagai alasan yang Syed berikan, kononnya aku mengarut, malah Syed tidak percaya hubungan retak kami ini disebabkan perkara lain sebaliknya meletakkan kesalahan itu kepada aku seorang.
Diceraikan Talak Satu
Lagi sekali kami bergaduh sehingga Syed melafazkan cerai talak satu terhadap aku. Tanpa belas kasihan tangis aku tidak memberi erti kepadanya. Alasannya kerana tidak tahan memperisterikan aku dan banyak perkara yang membuatkan dia ingin memutuskan hubungan kami.
Selepas urusan perceraian selesai, aku tinggal di rumah keluarga. Walaupun sengsara aku harus reda dan kehidupan harus diteruskan seperti biasa. Ibu dan ayah tidak henti-henti memberi aku semangat untuk terus bersabar dan berdoa semoga satu hari nanti ibu mertuaku berubah dan Syed sedar.
Empat bulan selepas kami bercerai, aku dihubungi Syed semula. Kononnya dia mula rindu kepadaku dan ingin merujukku semula. Kami berjumpa di satu petang. Kata Syed, dia sedar akan kesilapannya menceraikan aku.
Malah ceritanya lagi, dia pergi berubat dengan seorang ustaz kerana dia sendiri merasa pelik dengan keadaan yang berlaku. Walaupun dia tahu ibunya menyihirkan aku sehingga sanggup membuatkan hubungan kami terpisah, namun Syed tidak mahu menjadi anak derhaka. Apa yang mampu Syed lakukan ialah mendoakan ibunya berubah.
Pujukan Syed aku ketepikan kerana hati aku seperti tertutup untuk menerimanya semula. Sejujurnya aku masih menyayanginya namun aku tidak mahu pisang berbuah dua kali. Harapan aku semoga aku dipertemukan dengan seorang lelaki yang bukan sahaja sanggup menjadi peneman aku sehingga akhir hayat, malah keluarganya juga boleh menerima aku dan keturunanku seadanya.
Download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
Badan & Luka Cepat Sembuh, Susu Ibu Berkualiti. Ini Amalan Diet Saranan Dr Hamid Arshat
Kalau nak badan pulih dengan cepat,luka cepat sembuh dan susu ibu yang berkualiti, amalan pantang yang menyekat makanan berkhasiat perlu dielakkan. Dr Hamid Arshat juga kongsikan kepentingan vitamin kepada kesihatan ibu dan anak.
Menurut Datuk Dr Hamid Arshat dari videonya, amalan ‘pantang’ perlu dibasmikan sebaliknya ibu-ibu perlu makan dari sumber-sumber yang berzat dan berkhasiat khususnya sayur-sayuran dan buah-buahan selepas pembedahan/ bersalin agar luka cepat sembuh dan juga susu ibu lebih banyak dan berkhasiat.
JANGAN AMAL PANTANG YANG TIADA ASAS ILMUNYA
Jangan amalkan amalan pantang yang tidak mempunyai asas ilmunya. Beliau menggalakkan wanita selepas bersalin untuk makan makanan yang berzat, di mana 70% terdiri daripada buah-buahan segar yang mentah.
.
PASTIKAN ADA SAJIAN BUAH-BUAHAN SEGAR
Banyak buah-buahan tempatan yang dimomokkan tidak boleh dimakan semasa pantang seperti;
Buah nanas
Buah betik
Air kelapa muda
Buah nangka
Semua buah-buahan ini mengandungi banyak vitamin. Vitamin A, B, C yang sangat penting untuk kesihatan. Ia amat penting khususnya kepada ibu yang dalam pemulihan selepas bersalin sama ada bersalin secara normal mahu pun pembedahan kerana ianya sangat membantu luka cepat sembuh.
KENAPA VITAMIN C SANGAT PENTING?
Bagi ibu bersalin yang menyusukan anak perlu mengamalkan pemakanan yang baik. Vitamin sangat penting untuk kesihatan secara keseluruhan. Vitamin C sangat penting untuk meningkatkan ketahanan badan, sebagai antioksidan, pemulihan luka dan pendinding atau penahan daripada serangan kuman.
Beliau amat menggalakkan wanita-wanita selepas bersalin atau pembedahan untuk makan banyak buah-buahan.
KISAR BUAH-BUAHAN SUPAYA MUDAH DIAMBIL & DIHADAM
Buatkan minuman dengan mengisar buah-buahan tersebut sama ada nanas, papaya atau tembika. Bila dikisar kita tidak kehilangan seratnya. Ia sangat penting untuk penghadaman dan kesihatan usus kita.
Memang sukar untuk makan dalam jumlah yang besar tetapi bila mengisarnya ia jadi pekat dan mudah dihadam.
AIR LIMAU NIPIS/ LIMAU KASTURI
Air limau nipis misalnya mengandungi banyak vitamin C dan antioksidan dan ia patut diamalkan sebagai minuman pertama diminum di waktu sarapan pagi. Kerana limau yang terlalu banyak di pasaran ialah limau nipis atau limau kasturi. Memang sudah dikaji yang limau kasturi mengandungi vitamin dan antioksidan yang tinggi untuk mencegah penyakit.
Selain dibuat minuman, buah-buahan ini perlu diambil pada setiap kali waktu makan seperti sarapan, makan tengah hari dan makan petang. Ini akan mempercepatkan proses pemulihan pada luka pembedahan dan luka kelahiran. Siapa yang tak mahu luka cepat sembuh boleh abaikan tip ni!
PEMAKANAN BAIK MEMPERCEPATKAN LUKA CEPAT SEMBUH DAN MEMULIHKAN BADAN.
Orang-orang dulu mungkin mengamalkan berpantang badan kerana zaman dahulu tiada antibiotik. Zaman sekarang sudah ada antibiotik sekiranya berlaku jangkitan kuman.
Sekiranya kita mengamalkan pemakanan yang baik, pemulihan akan berlaku dengan cepat dan penyusuan tidak tersekat. Ini adalah punca kebanyakan mengalami masalah susu tidak lancar atau berkurangan. Amalan pantang yang menyekat makanan yang berkhasiat disekat sedangkan pada waktu menyusukan ibu-ibu memerlukan banyak makanan berzat akan menjadikan susu yang dihasilkan baik.
IKAN AMAT DISARANKAN
Susu ibu di samping mengandungi zat, vitamin dan logam, ia juga mengandungi omega 3 dan DHA yang sangat penting untuk pembentukan otak bayi. Makanan yang mengandungi banyak protein seperti ikan yang berminyak seperti ikan kembung, tenggiri dan lain-lain sangat baik untuk dimakan sewaktu menyusukan anak. Ini sangat penting kerana melalui penyusuan ibu memindahkan antibodinya kepada bayi. Jadi bayi akan lebih kuat antibodi dan tahan daripada penyakit, di samping menguatkan hubungan(bonding) antara ibu dan anak.
Datuk Dr Hamid amat menyarankan kaum wanita yang mahu luka cepat sembuh untuk membasmi amalan berpantang makan sebaliknya mengamalkan ambil makanan segar, yang mentah berkhasiat dan berzat sewaktu pemulihan selepas bersalin.
Sumber: FB Dr Hamid Arshat
Download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI