Bagi pasangan yang baharu berkahwin, perkara yang dibimbangkan wanita pastinya rasa malu sekiranya pasangan melihat wajah dan penampilan anda ketika bangun tidur. Dengan rambut kusut masai, mata dan muka sembap serta macam-macam lagi, jika tak terurus pastinya boleh buat suami terkejut. Seboleh mungkin pastinya anda ingin pasangan melihat anda kekal terurus dan cantik setelah bangun tidur.
Jangan bimbang, itu hanyalah satu permulaan bagi pasangan yang baharu bergelar suami isteri. Orang kata masih tak biasa! Namun percayalah, lama-kelamaan perkara itu akan menjadi biasa, malah anda sendiri mahupun pasangan dah tak kisah bagaimana sekalipun penampilan anda berdua ketika bangun tidur.
Namun tidak salah jika sebagai isteri anda ingin tampil cantik, kekal terurus dan kelihatan rapi di depan suami ketika bangun tidur. Barulah sedap suami memandang keadaan anda cantik, malah nak berikan aksi manja pun pasangan lebih berselera.
Berikut ada beberapa tip yang boleh anda ikuti agar ketika membuka mata di pagi hari, anda masih kekal cantik.
1. Rapikan rambut
Salah satu yang dikeluhkan wanita ketika bangun tidur ialah rambut mereka yang kusut-masai dan menyerupai singa. Tenang saja, ada cara untuk mengatasi perkara yang satu ini. Sikatlah rambut anda sebelum memutuskan untuk tidur. Ada baiknya anda juga boleh gunakan perapi tanpa bilas sehingga rambut tetap lembut sampai keesokan paginya. Jadi tidaklah nanti bangun sahaja pagi, rambut jadi serabai.
2. Elak mata panda
Kurang atau kebanyakan tidur akan menjadikan wajah anda bengkak dan sembap, lebih-lebih lagi di mata bahagian bawah. Nah! Untuk mengatasinya, gunakan sedikit minyak badam di bahagian bawah mata tersebut. Rawatan ini akan memberi nutrisi dan membuatkan mata anda kelihatan segar dan bersinar di pagi harinya.
3. Pakai pelembap bibir
Bibir kering ketika bangun tidur? Hmmm, suami tercinta pastinya enggan untuk mengucup anda sebagai ucapan selamat pagi. Jangan lupa untuk mengoleskan pelembap atau lipbalm sebelum anda memejamkan mata. Ia sebagai persiapan menyambut pagi hari dengan wajah yang segar dan bibir anda tetap merona. Good morning, kesayangan! Pastinya ucapan sebegitu menjadi dambaan semua isteri.
4. Pakai pelembap
Tidak hanya bibir, wajah juga memerlukan rawatan agar tetap lembap dan segar di pagi hari. Caranya, setelah mencuci muka dengan sabun yang bersesuaian, tambahkan pelembap atau penyegar juga. Jangan lupa menggunakan krim malam agar kulit mendapat nutrisi di malam hari. Dengan cara begitu anda akan kelihatan segar pada ketika membuka mata.
5. Cuci muka sebelum tidur agar segar ketika bangun
Pastikan untuk membersihkan muka sebelum tidur. Setelah seharian berada di luar rumah, pastinya wajah anda akan dipenuhi dengan debu apatah lagi dengan tepekkan alat solek. Cubalah menuju ke tempat tidur dengan alat solek yang masih melekat di wajah, pastinya ketika anda bangun tidur wajah akan kelihatan kusam. Oleh itu penting untuk anda membersihkan wajah sebelum masuk tidur. Mencuci muka sebelum memejamkan mata akan membuatkan wajah anda tampil bersih dan segar pada keesokan paginya.
6. Minum air putih
Sering mendengar bahawa air putih diperlukan tubuh badan sebanyak lapan gelas setiap hari. Kalau anda terlalu sibuk dan terlupa akan satu hal ini, berusahalah untuk selalu ingat untuk minum segelas besar air putih sebelum memejamkan mata. Ini akan membuatkan tubuh anda terhindar daripada dehidrasi dan menjadikan tidur anda lebih berkualiti. Malah bangun tidur nanti juga badan anda akan rasa lebih segar.
Sudah tahu kan bagaimana caranya untuk anda tetap cantik ketika bangun tidur? Bersiap sedia untuk mendapatkan kucupan selamat pagi daripada suami tercinta setiap hari…
Download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI