Kita ni bukanlah rajin 24 jam, nak masak lauk pauk yang banyak. Bila tiba masa malas tu, mee segera adalah menu paling mudah dan tersedap wujud di rumah. Buat bakal pengantin, jika boleh kurangkanlah pengambilan mee segera ini, seeloknya tidak ambil langsung agar kesihatan anda kekal terjamin. Ini perkongsian dari Dr Zubaidi Hj Ahmad
Saya mencadangkan agar kita tidak terlalu memakan mee segera kerana ianya adalah penyebab penyakit kronik terutamanya oleh serbuk perasanya. Jadikan mee segera hanya sebagai makanan terakhir jika tiada pilihan atau makanan yang diambil jika tiada makanan lain yang boleh didapati.
Jika tidak boleh berbuat demikian, kurangkan separuh dari pengunaan serbuk perasa tersebut dan jangan hirup kuah mee segera itu.
CARA YANG BETUL UNTUK MEMASAK MEE SEGERA
Biasanya, cara kita memasak mee segera ialah dengan meletakkan mee ke dalam periuk dengan air, kemudian mengisi serbuk perasa dan biarkan bahan bahan tersebut dididih bersama selama 3 minit. Kemudian ia sudah sedia untuk dimakan.
Ini adalah kaedah memasak mee segera yang SALAH.
Dengan melakukan cara begitu, kita sebenarnya merebus bahan-bahan yang ada dalam serbuk perasa, terutamanya MSG, yang mana ia akan mengubah struktur molekul MSG dan menyebabkan MSG tersebut berubah menjadi toksik.
Ads
Perkara lain yang anda mungkin sedar atau mungkin tidak sedar adalah, mee itu disalut dengan pengawet makanan. Pengawet makanan amat berbahaya pada tubuh jika diambil berterusan.
KAEDAH YANG BETUL UNTUK MEMASAK MEE :
1. Rebus mee di dalam periuk air.
2. Setelah mee dimasak, toskan mee, dan buang air tersebut yang telah mengandungi bahan pengawet.
3. Rebus air dalam periuk yang lain hingga mendidih, kemudian masukkan mee tadi ke dalam air mendidih panas itu dan matikan api.
Ads
4. Hanya pada tahap ini ketika api telah dimatikan, dan ketika air masih sangat panas, masukkan serbuk perasa ke dalam air tersebut, untuk membuat sup mee.
5. Sekiranya, jika anda inginkan mee kering, keluarkan mee dan masukkan serbuk perisa dan toskannya untuk mendapatkan mee kering.
Mee segera adalah makanan berproses dan bukanlah makanan yang sihat. Jika pengambilan mee segera lebih daripada 3 kali seminggu, maka ia sangat berbahaya.
APA ITU MSG?
Ads
MSG ialah ‘Mono Sodium Glutamate’ sejenis bahan perasa yang mampu merangsang sistem saraf rasa dan otak yang menyebabkan ketagihan terhadap makanan yang diletakkan MSG.
Walaubagaimana pun MSG tidak membunuh kita secara mendadak, tetapi membunuh kita perlahan lahan. Selain MSG, perhatikan bahan-bahan kimia sintetik yang menjadi racun dalam makanan kita.
Jodoh merupakan perkara yang tidak diduga kerana ia merupakan perancangan Allah SWT yang tidak ketahui oleh hamba-Nya. Ia tidak akan datang bergolek jika kita sendiri tidak berusaha untuk mencarinya.
Kupasan menarik ini boleh anda ikuti menerusi perkongsian daripada penulis buku dan penceramah bernama Shukery Azizan di laman sosial beliau. Semoga impian anda untuk bertemu jodoh yang baik akan dipermudahkan Allah SWT.
Sebelum pergi lebih jauh, saya nak beritahu dua perkara. Yang pertama, ini adalah kupasan lanjut dari bab Apa Itu Takdir, dalam buku saya, Aku Bukan Malaikat, pada bab yang pertama. Takut nanti ada yang ‘blur’ pula.
Yang kedua, kita tengok dulu apa itu DEFINISI JODOH. Sebenarnya perkataan jodoh ni datang daripada bahasa Indonesia, yang dipinjamkan kepada bahasa Malaysia. Kalau ikut kamus Indonesia, jodoh ni maksudnya “pasangan yang cocok” atau pasangan yang serasi.
Tetapi kalau dalam bahasa Arab, kalau kau nak tahu, perkataan jodoh ni sebenarnya tiada. Ya, tiada. Ulama’ semasa bahas hukum pernikahan hanya guna istilah ( زَوْجٌ ) atau ( بَعْلٌ ) untuk suami, dan ( زَوْجَةٌ ) atau ( امْرَأَةٌ ) untuk isteri.
Allah kata dalam Al-Quran, “Dan di antara tanda-tanda kekuasaan-Nya ialah Dia menciptakan untukmu isteri-isteri dari jenismu sendiri, supaya kamu cenderung dan merasa tenteram bersamanya, dan dijadikan-Nya di antara kamu rasa kasih sayang. Sesungguhnya pada yang demikian terdapat tanda-tanda (kekuasaan-Nya) bagi kaum yang berfikir”. (Surah Ar-Ruum 30:21)
Jadi, perbincangan kita dalam bab ini bukanlah hukum-hakam pernikahan, ini bukan buku fiqh. Tetapi perbincangan kita lebih kepada “orang atau individu tertentu yang akan menjadi pasangan hidup kita.”
Saya dah huraikan dalam bab takdir yang mana jodoh ini dah ditetapkan dan apa PILIHAN yang kita ada adalah WAJIB buat PERSEDIAAN untuk dapatkan JODOH. Kita pilih sama ada nak dapat jodoh yang baik, atau yang buruk. Menjadikan diri sendiri sebagai calon pasangan yang berusaha ke arah sempurna, atau berusaha ke arah celaka. Atau mencari pasangan yang membimbing ke arah Syurga, atau mengheret ke arah Neraka.
Jodoh ini dah ditetapkan, sama ada kita dapat di dunia, ataupun di akhirat sana. Ada orang yang sempat bertemu jodoh di dunia, tetapi jangan lupa, sangat ramai juga yang hanya dapat menjadi mayat sebelum menjadi pengantin.
Contoh macam kisah seorang sahabat bernama Julaibib r.anhu, saya dah cerita masa bab takdir sebelum ni kalau kau perasan. Saya tak nak ulang panjang cerita dia, tetapi apa saya nak sebut adalah, Julaibib tak sempat pun berkahwin, sedangkan dia baru saja nak berkahwin dengan seorang sahabiah. Tetapi akhirnya dia syahid dulu sebelum sempat menjadi pengantin baru.
Pengajarannya, jangan pening-pening kalau kau baru umur 18 tahun tetapi tiada siapa nak kahwin dengan kau. Atau jangan pening kalau dah umur 30 tahun tetapi masih tak kahwin lagi. Kalau masih tak kahwin lagi, teruskan buat PERSEDIAAN untuk bertemu jodoh, dan jangan buat-buat lupa buat PERSEDIAAN juga untuk bertemu maut! Persoalannya, apakah itu PERSEDIAAN?
Sebelum saya cerita apa itu persediaan, mari abang “payung” analogi sikit. Aduh, rosak bahasa Melayu.
Waktu bulan Ramadhan, masa nak berbuka puasa kita selalu akan sebut apa? Biasanya kita akan sebut,
“Dah siap-siap nak berbuka belum?”
“Ish, lagi berapa minit nak buka ni. Dah buat persediaan berbuka belum?”
Ataupun waktu nak sambut hari raya, kita biasa akan sebut,
“Dah buat persediaan nak raya Cik Siti Pepsikola?”
“Dengar cerita persediaan raya tahun ni meriah kau Jah?”
Jadi apakah maksud “PERSEDIAAN” itu? Adakah kita akan duduk di dapur sambil tadah tangan dan menunggu makanan turun dari langit untuk kita berbuka? Atau adakah kita akan duduk di dalam bilik sambil menunggu pakaian raya turun dari langit untuk kita? Mestilah tidak.
Persediaan yang saya maksudkan adalah IKHTIAR dan USAHA. Ikhtiar sebelum dapat jodoh yang saya maksudkan adalah kau fikir dan PILIH jodoh macam mana yang kau nak. Tetapi janganlah fikir tu sampai hari-hari update status tentang,
“Saya menanti tulang rusuk kiri untuk memasakkan sup tulang untuk saya.”
“Kepada bakal imamku, aku sedia menunggumu hingga ke pintu kubur.”
Menyampah tahu. Jodoh ini dah ditakdirkan, jadi apa PILIHAN yang kita ada adalah dengan PILIH bagaimana jodoh yang kita mahu. Kita nak jodoh yang membawa ke Syurga, atau jodoh yang mengheret ke Neraka.
Sebab itu Nabi ajar dalam satu hadis, “Seorang wanita itu dinikahi kerana empat; kerana harta, kerana keturunannya, kecantikannya dan agamanya. Maka hendaklah diutamakan yang beragama, nescaya kamu berbahagia.” (Riwayat Bukhari dan Muslim)
Ramai orang anggap bahkan saya pernah terdengar orang kata, “Kalau nak berkahwin, jangan tengok harta, keturunan dan kecantikan. Tengok agama saja, walaupun dia miskin, tak cantik atau tak hensem, dan keturunan yang teruk.”
Bila saya studi dan mengikuti beberapa perbahasan tentang hadis ini, baru saya faham bahawa Rasulullah ajar bukan tak perlu pedulikan kecantikan, keturunan dan harta. Tetapi apa Rasulullah anjurkan pada kita adalah, kalau kita nak pilih pasangan, pilihlah yang hartanya, keturunannya dan kecantikannya bersandarkan pada agama iaitu Islam. Bukan bersandarkan kepada perkara yang langgar syarak.
Pertama kita tengok harta dia dapat dari mana dan digunakan untuk apa? Adakah dia dapat harta daripada sumber yang patuh syarak? Atau dia dapat hasil dari merompak, judi, jual perkara haram dan sebagainya? Kemudian tengok ke mana pula harta dia selalu laburkan. Adakah dia bayar zakat? Adakah dia selalu sedekah? Ataupun kedekut tahi hidung masin? Atau selalu guna harta membazir shopping sampai tak ingat dunia?
Kemudian tengok pada keturunannya. Dia ini keturunan yang baik-baik, ataupun keturunan yang selalu langgar syarak? Studi tentang latar belakang keluarganya, saudara mara yang terdekat, makcik pakcik dan sebagainya.
Adakah daripada keluarga yang ikut syarak, atau langgar syarak? Siapa mak ayah dia? Siapa adik beradik dia? Siapa pakcik makciknya? Siapa saudara mara terdekatnya? Dan adakah mereka semua ini ikut perintah Islam? Dan juga tengok pada “kesuburan” keluarga, maksudnya adik beradik dia ada berapa, mak ayah dia punya adik beradik ada berapa. Dan tengok juga ada saka atau tidak dan sebagainya. Semua ini penting, bukan main-main.
Kemudian tengok pada kecantikannya. Dia ini gunakan kecantikannya untuk apa? Guna kecantikan untuk jadi playboy lalu jadilah “suamiku playboy”? Atau gunakan kecantikannya untuk jadi “pisau cukur” kepada lelaki lalu jadilah “isteriku curang”? Atau kecantikannya dijaga sesuai dengan perintah Islam?
Maksudnya, adakah kecantikannya disimpan dengan cara tutup aurat sempurna, tunduk pandangan, tahu malu, dan sebagainya. Atau adakah kecantikannya ditunjukkan kepada umum dengan cara buka aurat, kaki selfie, tak tahu malu, mata asyik jeling pada lelaki yang kacak, dan sebagainya.
Dengan kata mudah, “pilihlah yang BERAGAMA” itu adalah kita pilih seorang lelaki atau perempuan yang bukan hanya Islam pada nama dan IC, tetapi Islam juga pada harta, keturunan dan kecantikannya atau perbuatannya. Hadis ini juga terpakai untuk melihat belah lelaki, bukan sekadar perempuan.
Ok, selepas kau fikir dan pilih jodoh yang kau nak, kemudian kau USAHA untuk dapatkan apa yang kau fikir dan PILIH. Usaha adalah kau usaha sebaik mungkin MENGIKUT SYARAK untuk dapatkan jodoh yang kau fikir dan pilih. Maksudnya, kau boleh pilih dan usaha untuk dapatkan jodoh yang baik atau buruk.
• Ucap kalimah syahadah dan peluk Islam.
• Taat perintah Allah dan jauhi larangan Allah untuk peroleh taqwa.
• Ikut sunnah Rasulullah sebanyak mana yang boleh.
• Ikut dan buat dakwah tarbiah.
• Selalu bertaubat dan jaga amal.
• Cari ilmu antaranya belajar hukum hakam munakat atau perkahwinan termasuk juga buku psikologi antara lelaki dan perempuan.
• Selalu minta nasihat dengan orang yang dah lama kahwin seperti mak ayah, ustaz ustazah, pakcik makcik dan sebagainya.
• Ada keyakinan tinggi untuk kahwin, bukan sekadar sembang kencang.
• Belajar berdikari sama ada cari duit sendiri, tolong di rumah dan sebagainya.
• Kalau nak kahwin, guna orang tengah seperti mak ayah, ustaz ustazah yang dah kahwin, pakcik makcik, kawan baik yang dah kahwin, atau sebagainya yang dirasakan yakin untuk jadi orang tengah. Jangan sampai dia “pangkah” kau, dia yang kahwin dengan pasangan tu. Tu bukan orang tengah lagi.
• Bertunang. Masa fasa tunang ini, belajar mengenal pasangan SEADANYA. Tunang bukan halalkan apa-apa termasuk ikhtilat, sekadar fasa untuk kita buat pilihan sama ada kita setuju atau tolak. Sebaiknya kurang dari tempoh 1 tahun (ini bukan nas, tetapi bersandarkan pengalaman).
• Bernikah.
• Menolak untuk terima Islam dan jadi kafir.
• Langgar perintah Allah, selalu buat larangan Allah.
• Tinggalkan semua sunnah Rasulullah.
• Hina orang buat dakwah, perli orang yang nak berubah dan lain-lain.
• Malas dan tangguh taubat. Amal soleh lintang pukang.
• Malas baca buku ilmiah. Rajin baca novel cinta, tengok movie cinta, berangan pasal cinta dan sebagainya.
• Malas dengar nasihat terutama mak ayah. Rasa panas je telinga bila dengar nasihat. Bahkan sampai tahap derhaka pada mak ayah.
Bila mak kata, “Tangguh la niat nak kahwin tu dulu. Kahwin lagi 2 tahun boleh?”
Kau pun jawab, “Arghh, mak tak faham saya mak. Mak kena faham agama. Mak tak baik halang anak muda nak bernikah. Patutnya mak nikahkan saya je. Tak payah tunggu habis belajar, ada kereta kerja bagai. Saya boleh jaga isteri saya.”
Padahal mak kau belum puas lagi lepas rindu dan bermanja dengan kau. Dah la balik kampung 5 bulan sekali je. Telefon mak ayah pun seminggu sekali, Itu pun sebab mak ayah telefon dulu.
• Jangan ada keyakinan diri. Sembang mesti kencang, baru boleh terbang.
Bila cakap bab kahwin, terus kata,“Emm, aku nanti dulu la kot.. Tahun depan muda lagi…”
• Cari crush dan couple. Kemudian ajak dating, keluar pergi sana sini, tengok wayang, pegang tangan dan sebagainya.
• Bertunang. Bertunang pun macam dah kahwin, siap pandai peluk-peluk lagi. Malah buat majlis pun sampai kos RM106,000.60 sen (termasuk GST). Padahal gaji sebulan RM906.00 je.
• Bernikah. Kemudian selepas nikah pun malas dan tak nak bertaubat, dan masih tak nak jaga amal.
Dan banyak lagi cara nak dapatkan jodoh yang buruk dan jahat. Pendek kata, jodoh ini dah ditetapkan, tetapi wajib adakah persediaan untuk dapatkan jodoh. Jodoh pula ada dua jenis, jodoh yang macam malaikat walaupun bukan malaikat, dan jodoh yang macam syaitonirrojim, walaupun lebih dahsyat dari syaitonirrojim.
Ikhtiar dan usaha atau persediaan dapatkan jodoh = wajib
Keyakinan yang Allah dah tetapkan jodoh = wajib.
Di ruang yang kita boleh buat pilihan, kita boleh pilih jodoh yang ikut syarak, dan langgar syarak. Boleh pilih yang jalan pahala, atau jalan dosa. Boleh pilih yang jalan nikah, atau jalan zina.
Ramai orang salah faham, yang mana bila dah bercerai, mereka merasakan jodohnya telah ‘tersalah’. Ditambah pula jodohnya itu ‘jahat’, lagilah kuat sangkaannya merasakan tersalah jodoh.
Saya nak beritahu, jodoh yang Allah telah tetapkan TAK PERNAH SALAH. Punca cerai saya dah huraikan ke bawah. Setiap orang yang kita telah bernikah dengannya, itulah jodoh. Tetapi, saat sudah bercerai, maka ‘tamatlah’ jodoh itu. Jodoh boleh ‘tamat’?Ketahuilah, tiada yang kekal di dunia ini, semuanya ada ‘expired date’, termasuklah mati, kecuali Allah Rabbul Jalil. Allah sahaja Maha Hidup dan tidak akan mati mahupun ‘expired date’ selama-lamanya.
• Amal dan persediaan jodoh kau yang buruk, atau,
• Allah nak meningkatkan martabat iman kau dengan cara suruh kau bersabar, atau,
• Allah nak ampunkan semua dosa-dosa kau, atau, dan seumpamanya.
Kalaulah jodoh yang buruk itu dikatakan jodoh yang salah, maknanya Nabi Nuh dan Nabi Luth mendapat jodoh yang salah la ya? Sebab isteri mereka khianat dan ingkar perintah Allah dan suaminya. Begitu juga Asiah, kerana mendapat suami Firaun yang maha ‘Buruk’.
I don’t think so.
Cerai pula adalah TAKDIR dan PILIHAN. Kenapa saya kata macam itu? Cerai adalah takdir kerana cerai ini di bawah pengetahuan Allah, Dia tahu penceraian akan berlaku. Sebab itu Allah ceritakan dalam Al-Quran, dan Rasulullah pun cerita dalam banyak hadis apa syarat bercerai, bagaimana boleh bercerai, apa berlaku kalau sebut talaq, bagaimana nak rujuk, berapa tempoh iddah, dan sebagainya. Allah dah tahu penceraian akan berlaku, sebab ia di bawah takdir Allah.
Cerai juga adalah pilihan sebab seperti yang saya beritahu dalam bab persediaan maut, “Pengetahuan Allah TIDAK akan MEMAKSA untuk hamba-Nya lakukan apa yang diketahui-Nya.” Bercerai adalah pilihan manusia, dan manusia juga ada pilihan untuk tak bercerai. Sebab itu Rasulullah beritahu bahawa penceraian ini adalah perkara halal yang DIBENCI Allah.
“Sesuatu yang halal tapi dibenci Allah adalah perceraian” (Riwayat Abu Daud, Ibnu Majah dan al Hakim)
Dalam Islam, penceraian adalah JALAN TERAKHIR pilihan suami isteri tersebut. Sebab itu dalam Al-Quran banyak ceritakan apa yang kena buat kalau suami isteri bergaduh, atau kalau isterinya nusyuz (derhaka) macam mana nak denda, dan sebagainya. Saya tak nak terangkan di sini, sebab ini bukan buku fiqh munakahat. Tetapi saya nak beritahu bahawa, penceraian juga adalah PILIHAN.
Allah Maha Adil dan Maha Bijaksana. Allah tahu bahawa akan berlaku penceraian di kalangan hamba-Nya. Kalaulah Allah haramkan bercerai secara mutlak, mesti berlaku banyak kerosakan dalam dunia ini sebab tangan-tangan manusia. Dan salah satu sebab itulah Allah membenarkan cerai, tetapi sebagai langkah terakhir, dan juga perkara yang Allah benci.
Kau ada pilihan untuk mempertahankan rumah tangga, dan kau juga ada pilihan untuk bercerai. Kalau kau pertahankan rumah tangga kau, itu di bawah takdir Allah. Kalau kau bercerai pun, itu juga di bawah takdir kau.
Sebab itu antara perbualan Saidina Umar r.anhu yang sangat masyhur, satu hari Umar dengan sahabat nak pergi ke Syam. Sebelum sampai ke Syam, mereka dapat berita bahawa di sana ada merebaknya penyakit taun. Mereka akhirnya bermesyuarat, dan Umar mencadangkan supaya balik ke Madinah.
Itu yang kemudiannya seorang sahabat, Abu Ubaidah Amir al Jarrah r.anhu tanya kepada dia, “Wahai Amirul mukminin, kenapa tuan ingin kembali ke Madinah dan lari dari qadar Allah?”
Kemudian Umar pun cakap, “Kami lari dari qadar Allah kepada qadar Allah.”
Ingat, jodoh tidak pernah salah orang!
Wallahu’alam.
Sumber: Dipetik dari Bab 2 buku Aku Bukan Malaikat 1 karya Shukery Azizan.
Lubuk konten untuk inspirasi bakal – bakal pengantin. Pengantin kini di seeNI.
Download
sekarang!
Jangan sesekali berharap menantu sempurna sebab anak kita sendiri pun belum tentu cukup pakej. Itu kena beringat.
Seperti yang dikongsi oleh Firdaus Shakirin, masih ramai golongan mentua nak menantu sempurna, jaga elok anaknya.
Malahan ada mentua, dia expect menantu perempuan dia pandai masak, pandai ambil hati dia, pandai bagi dia hadiah, tapi anak dia sendiri tak solat pun dia tak tegur.
Anak dia jenis baran, cepat naik tangan pun dia tak kata apa. Ada yang advance sikit, anak ambil benda terlarang pun, masih backup.
Pedas memang pedas, tapi itulah hakikat. Anak kita sendiri pun, kita tak tegur, tak nasihat. Salah pun dimenangkan sebab itu besar jadi macam itu. Menatang sangat si anak sehingga salah pun betul, dosa pun pejam mata.
Selepas itu nak harap si menantu ubah itu ini…? Memang susah lah. Tanggung jawab itu jatuh kat mak bapak dulu. Benda kalau dah lama dibiarkan, bukan senang diubah dalam sehari dua. Makan tahun juga.
Tapi kalau mak bapak tak sokong menantu untuk ubah anak dia, maka tak ke mana diri si anak tu.
Percayalah!
Lubuk konten untuk inspirasi bakal – bakal pengantin. Pengantin kini di seeNI.
Download
sekarang!
Saya ini andartu (anak dara tua) sudah berumur mencecah 40 tahun lebih.Namun belum juga mendapat jodoh sehingga sekarang. Ibu saya menjadi risau kerana sudah berumur 40 tahun lebih tetapi tiada suami. Ibu saya ambil keputusan untuk bertemu dengan bomoh dengan tujuan membuang sial yang ada pada saya. Apa betul tindakan ibu saya itu?
Jawapan :
Satu perkara yang perlu kita ketahui, bahawa apabila kita merancang sesungguhnya Allah sebaik-baik Perancang.Segala apa yang melibatkan jodoh,rezeki, kematian dan lain-lain telah ditentukan oleh Allah swt. Ini berdasarkan kepada sabda Nabi saw daripada Abdullah Bin Mas’ud :
Maksudnya :” Sesungguhnya setiap dari kalian akan dihimpunkan kejadiannya di dalam perut ibunya selama 40 hari kemudian menjadi segumpal darah dalam tempoh yang sama. Kemudian menjadi segumpal daging dalam tempoh yang sama. Kemudian Allah mengutuskan malaikat dan diperintahkan (malaikat tersebut) dengan empat kalimat. Dikatakan kepada malaikat : tuliskan amalannya, rezekinya, ajalnya, adakah dia bahagia atau derita..”
Riwayat al-Bukhari ( 3208)
Perbuatan ibu saudari yang pergi menemui bomoh semata-mata untuk membuang sial bagi memudahkan mendapat jodoh adalah salah sama sekali. Perkara ini telah dijelaskan oleh Nabi saw yang diriwayatkan oleh Safiah daripada beberapa isteri Nabi saw. Sabda Baginda :
Maksudnya :” Sesiapa yang datang berjumpa dengan dukun atau tukang tilik lalu dia membenarkan apa yang dikatakan olehnya. Sesungguhnya dia telah mengingkari dengan apa yang telah diturunkan kepada Muhammad SAW.”
Riwayat Ahmad (9667)
Jelas di dalam hadis tersebut ancaman yang diberikan oleh Nabi saw bagi sesiapa yang berjumpa dengan bomoh, dukun atau yang semisal dengannya. Al-Hafiz Ibnu Hajar al-Asqalani ketika memberikan komentarnya berkenaan hadis ini beliau mengatakan :
“Lafaz-lafaz ini jelas menunjukkan ancaman (bagi yang datang berjumpa dengan dukun dan sebagainya).”
Rujuk Fath al-Bari (3/364)
Menerusi hadis-hadis ini, maka kami nasihatkan agar jangan pergi berjumpa dengan dukun atau bomoh atau apa sahaja yang semisal dengannya. Mereka tidak terlepas dari menggunakan sihir. Ketahuilah bahawa dosanya sungguh besar. Ini telah dinyatakan oleh Nabi saw dalam satu riwayat sabda Nabi saw :
Maksudnya :”Jauhilah tujuh jenis dosa besar yang membinasakan. Sahabat bertanya: “Wahai Rasulullah, apakah dosa-dosa itu? Sabda Baginda: Menyekutukan Allah, sihir, membunuh jiwa yang diharamkan melainkan dengan alasan yang benar, makan riba, makan harta anak yatim, lari daripada perang dan menuduh wanita muhsan beriman yang tidak bersalah dengan tuduhan zina.”
Riwayat al-Bukhari (2766)
Selain daripada itu, tiada konsep sial di dalam Islam. Sabda Nabi SAW :
لا عَدْوَى وَلاَ طِيرَةَ ولا صَفَرَ وَلاَ هَامَّةَ
Maksudnya :” Tidak ada penyaki yang berjangkit,tidak ada kepercayaan bahawa haiwan memberi manfaat dan mudarat, tidak ada kesialan dalam bulan safar dan tidak ada juga kepercayaan datangnya malapetaka disebabkan burung hantu.”
Riwayat al-Bukhari (5770), Muslim(2220), Abu Daud (3913) di dalam al-Sunan & Ahmad(3031) di dalam Musnad.
Bergantunglah hanya kepada Allah SWT. Sentiasalah berdoa, mengharap, memohon dan bermunajat hanya kepada Allah SWT. Mintalah hanya kepada Allah. Jangan pergi kepada selain Allah SWT apatahlagi jika yang ditemui adalah tukang tilik,dukun, bomoh atau apa sahaja namanya.
Persoalan berkenaan bomoh dan sebagainya telah kami jelaskan di dalam beberapa ruangan antaranya :
Sebagai seorang mukmin, kita digalakkan untuk berdoa kepada Allah.Firman Allah SWT :
وَقَالَ رَبُّكُمُ ٱدْعُونِىٓ أَسْتَجِبْ لَكُمْ
Maksudnya :” Dan Tuhan kamu berfirman: “Berdoalah kamu kepadaKu nescaya Aku perkenankan doa permohonan kamu….”
(Surah Ghafir :60)
Sheikh Dr Wahbah al-Zuhaili berkata :
“Doa adalah ibadah. Doa ialah mohon agar diberi manfaat dan dijauhkan daripada perkara yang buruk. Doa kepada selain dari Allah tidak langsung mendatangkan faedah. Yang mampu jawab hanyalah Allah dan Allah memerintahkan untuk berdoa serta berjanji untuk tunaikannya. Janji Allah adalah benar.”
Rujuk al-Tafsir al-Munir (24/150)
Jangan pernah meremehkan kuasa doa. Lihat sahaja doa Nabi Musa ketika Baginda berdoa yang mana ianya dirakamkan oleh Allah SWT di dalam al-Quran :
Maksudnya :” ..lalu berdoa dengan berkata: “Wahai Tuhanku, sesungguhnya aku sangat berhajat kepada sebarang rezeki pemberian yang Engkau berikan”.
(Surah al-Qasas : 24)
Bukan sahaja diberi ganjaran atas pertolongan yang dihulurkannya bahkan ditawarkan oleh seorang lelaki untuk berkahwin dengan salah satu anak gadisnya. Teruskan berdoa dan bermunajat. Di samping berusaha mencari.
Selain itu, kami nasihatkan agar jangan terlalu memilih. Jika sudah bertemu dengan lelaki yang soleh, bertanggungjawab dan mampu memikul bebanan maka lakukan istikharah agar diberi petunjuk yang terbaik. Sabda Nabi saw :
Maksudnya :” Jika ada yang meminang dan kalian redha dengan agama dan akhlaknya maka kahwinkanlah. Jika kalian tidak berbuat demikian akan terjadi fitnah di bumi dan keburukan akan meluas.”
Riwayat al-Tirmizi (1004)
Lubuk konten untuk inspirasi bakal – bakal pengantin. Pengantin kini di seeNI.
Download
sekarang!
Siapa sahaja yang mampu melupakan momen pernikahan pelakon terkenal, Izara Aishah bersama suaminya, Muhammad Adib Khalid, yang berlangsung pada 17 November 2017.Majlis penuh eksklusif...