Persiapan Rohani Sebelum Berangkat Umrah. Dengan rendah hati, saya ingin kongsikan persediaan-persediaan rohani untuk bakal-bakal tetamu Allah yang mungkin seperti saya juga, yang masih merasakan diri dan jiwa masih jauh dari Allah dan Rasulullah SAW, beberapa bulan sebelum berangkat ke Tanah Suci.
Apa yang saya ingin kongsikan ini adalah daripada tips-tips yang diberikan oleh sahabat-sahabat yang telah menjadi tetamu di Baitullah.
InsyaAllah… semoga bermanfaat.
1. Perbaiki kualiti solat & Mencintai Masjid
Mulai dengan jaga solat 5 waktu dan kerap hadir ke masjid. Latih diri solat awal waktu, berjemaah dengan hadir ke masjid atau surau.
Boleh berlatih dengan mulakan dengan berjemaah Maghrib dan Isyak dahulu (balik kerja) kemudian upgrade kepada Zohor dan Asar berjemaah (jika ada peluang) serta Subuh berjemaah (ini yang paling mencabar).
2. Biasakan solat-solat sunat & Berdoa
Mulakan berlatih perbanyakkan solat-solat sunat Qobliyah dan Baa’diyah.
Juga biasakan solat Taubat, Dhuha, solat hajat dan solat Tahajjud jika mampu. Juga biasakan diri banyak berdoa dengan yakin di antara azan dan iqamah serta selepas solat.
Apabila kita berada di Madinah dan Mekah nanti, perkara utama dan yang paling banyak untuk kita lakukan ialah berulang-alik ke masjid untuk solat 5 waktu. Di sanalah nanti peluang untuk kita merebut ganjaran pahala 1,000 kali ganda solat di Masjidil Nabawi dan 100,000 kali ganda di Masjidil Haram.
Apabila sudah biasa dengan amalan solat awal waktu dan solat-solat sunat, insyaAllah, ia menjadi perkara yang paling dekat dan paling dicintai di hati kita untuk bangun awal sebelum Subuh, dan diikuti datang awal ke Masjidil Nabawi dan Masjidil Haram setiap kali masuk waktu solat dan melakukan solat-solat sunat serta berdoa mohon kebaikan daripada Allah.
Ads
3. Belajar Bersabar dan Redha
Mulakan berlatih bersabar dan redha dengan setiap apa yang berlaku dalam aktiviti harian kita. Didik hati bahawa setiap perkara yang berlaku adalah dengan izin Allah, merupakan ujian dari Allah dan Rasulullah SAW pun menyuruh kita menjadi orang yang sabar dan menahan kemarahan.
Apabila hati dah mula biasa bersabar, insyaAllah, bila sampai di Tanah Suci nanti, segala macam dugaan seperti kelewatan imigresen, masalah hotel, masalah makanan, masalah bas atau sikap-sikap jemaah lain serta kerenah pasangan pun dapat kita hadapi dengan baik.
4. Belajar Jaga Tutur Kata
Mulakan latih diri bercakap perkara yang baik-baik sahaja sama ada dalam perbualan atau media sosial. Elakkan bercakap hal-hal buruk, hal orang lain atau bergurau menyebut seolah-olah akan jadi perkara tidak elok seperti “Jauh berjalan macam ni, boleh patah kaki…!”
Setiap tutur kita adalah doa. Dan di Tanah Haram, insyaAllah… akan dimakbulkan segera apa yang kita tuturkan atau detikkan dalam hati sama ada yang baik atau yang buruk.
Apabila sudah biasa mendidik lidah kita, insyaAllah, hanya perkataaan-perkataan baik sahaja yang akan keluar dalam bicara kita di sana.
Ads
Kenapa kat Tanah Haram tak boleh cakap mulut lepas?
Contohnya :
“Tak sedap, baik takyah makan!”, boleh hilang terus selera makan hingga balik.
“Hilang pulak selipar ni nanti…”, betul hilang seliparnya.
“Nanti korang pulak sesat, baru korang tau..!”, sampai dua tiga orang lepas tu sesat pulak.
Allah nak tunjuk dan nak fahamkan kita bahawa setiap perkataan yang kita lafazkan itu ialah DOA. Jika sebut perkataan baik-baik, maka kebaikan la kita dapat.Jika sebut yang buruk-buruk, yang buruk la kita dapat.Maka, peliharalah tutur kata dan gurau senda kita. Semoga Allah sentiasa ampunkan kekhilafan kita.
5. Belajar Berbaik Sangka
Didik hati untuk berbaik sangka dengan orang lain terutamanya dengan orang minta derma, minta sedekah atau mohon bantuan.Di Tanah Haram nanti kita akan bertemu dengan macam-macam peminta sedekah. Bila hati sudah dididik berbaik sangka, jika kita menolak untuk tidak memberi sedekah pun, kita akan tolak dengan baik dan dengan senyuman.
6. Banyakkan Membaca Sirah Nabi dan Bersalawat
Timbulkan rasa cinta kepada Rasulullah SAW dengan banyak membaca sirah-sirah nabi, kisah-kisah pengorbanan nabi berdakwah menyebarkan agama Islam.
Ads
Di Masjidil Nabawi nanti, itulah peluang terbaik kita untuk berziarah makam Rasulullah SAW setiap hari selepas solat dan memberi salam kepada baginda Rasulullah SAW.Apabila hati sudah ditanam dengan kecintaan yang tinggi kepada baginda, insyaAllah…akan menitis air mata bila berziarah ke makam baginda.
7. Rendahkan hati, rasa diri banyak dosa
Kedatangan kita ke Baitullah adalah atas jemputan Allah. Kita ini hamba yang banyak berdosa. Namun, atas kasih sayang Allah, kita masih dijemputnya untuk ke sana.
Inilah peluang terbaik kita bertawaf depan Kaabah, solat taubat, solat sunat dan mohon keampunan kepada Allah, banyakkan berdoa, membersihkan diri untuk menjadi hamba-Nya dan umat nabi Muhammad yang lebih baik.
Semoga persiapan rohani kita dari awal sebelum berangkat ke Tanah Suci akan menjadikan kita benar-benar hamba-Nya yang berserah sepenuhnya kepada Allah sepanjang berada di Tanah Suci.
Tiada lain yang kita harapkan, hanyalah umrah yang mabrur serta dapat kita istiqamah dalam perkara ibadah-ibadah dan akhlak baik kita apabila kembali ke tanah air, insyaAllah…
Dan kepada sahabat-sahabat yang masih belum berpeluang ke sana, lakukanlah juga persiapan rohani seperti di atas.Dengan rahmat dan kasih sayang Allah, amalan dan istiqamah kita boleh menjadi asbab untuk kita dijemput ke Baitullah.Sesungguhnya Allah itu maha kaya , dia boleh jemput kita dengan pelbagai cara dan jalan yang tidak disangka-sangka.
“Allah tidak memanggil orang-orang yang mampu, tapi Allah memampukan orang-orang yang terpanggil”.
Sumber : Hairulnizam Mat Erol
Lubuk konten untuk inspirasi bakal – bakal pengantin. Pengantin kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Sebenarnya isteri perlukan sokongan dan kasih sayang suami. Sama-sama kita kahwin. Anak kita sama-sama jaga. Didik dan kasihi anak sama-sama..Baca perkongsian oleh Ustaz Ebit Lew moga terkesan di hati suami.
Tadi balik dari penang ke kl jalan jem. Ada seorang wanita jumpa di RNR Tapah 3.30 pagi bertanya dalam nada sedih. Saya selalu mengamuk di rumah. Marah tak tentu pasal pada anak-anak. Saya tengok muka suami rasa nak marah jer…dia menangis…24jam asyik marah jer..menjerit. marah dan pukul anak-anak..
Lepas tu saya rasa bersalah.
Bila saya dengar begini saya faham dia salah tapi dia jadi begitu kerana tekanan dan dia perlukan sokongan suaminya..saya sedih bila lihat wanita macam tu. Ya Allah…kasihan anak-anak..
Mana suami puan. Di belakang tu. Suaminya datang salam saya..suaminya cium tangan saya. Dia orang baik. Saya tak biasa orang cium tangan saya…
Hari ini isteri abang diuji oleh Allah. Abang juga sedang diuji. Segala yang berlaku kerana Allah sayang. Dia simpan kebaikan disebalik ujian dalam rumahtangga.
Saya bawanya ke belakang dan bercakap berdua..Allah sayang abang. Dia ketemukan kita. Saya dapat rasa betapa sayang isteri abang pada abang..bantulah isteri abang. Dia benar-benar perlukan abang waktu ini..
Sunnah bawa bahagia. Rasul saw yang amat kita cintai teramat menghargai wanita. Dan melayan mereka dengan baik..
Abang peluk isteri setiap hari dan cium sebelum pergi kerja. Peluk lama sikit kepala bersandar dan kata ya Allah saya sayang isteri saya. Sayangilah dia. Berilah syurga yang tinggi buatnya..
Mandi bersama isteri. Berdua-duaan dalam hidup. Rajin bantu isteri. Sebenarnya isteri perlukan sokongan dan kasih sayang suami. Sama-sama kita kahwin. Anak kita sama-sama jaga. Didik dan kasihi anak sama-sama..
Bantu cuci najis anak. Bantu jaga anak supaya isteri dapat rehat. Beri isteri rehat. Jika dapat tengok wajah isteri tidur nyenyak atau berdengkur kita gembira. Sebab itulah isteri kita yang banyak korban untuk kita..masa tu kita bantu buat kerja rumah. Sekali sekala mereka bangun setelah penat urus rumahtangga sepanjang hari, lihat rumah dah kemas. Sampah dah dibuang. Mainan anak-anak dah dikemas. Letak bunga sebelah kepala isteri. Tulis kad terima kaseh sudi terima abang yang tak tiada apa-apa. Terima kaseh jadi isteri abang yang setia.
Buat Ta’lim dalam rumah bersama isteri anak-anak. Tarik rahmat Allah dalam rumahtangga. AL-Quran dan Hadis memberi nur dalam keluarga..
Baca denga cinta dan sayang..
Paling utama jadi pendengar isteri dengan baik. Mereka benar-benar memerlukan seseorang untuk mendengarnya bila berbual dan meluahkan. Mereka tiada sesiapa melainkan kita..dengar dengan cinta dan perasaan. Dengan jiwa..pandang wajah isteri. Tenung mukanya. Pegang tangannya. Sediakan bahu jika mereka menangis. Biarkan mereka menangis sambil usap kepalanya. Gosok belakangnya.
Jangan biarkan isteri merajuk tanpa dipujuk. Peluk dia lama-lama. Buat kejutan dalam rumahtangga setiap hari…isteri yang dibiarkan tanpa dipujuk biasanya mereka akan menjauh hati dan diri. Tidur mungkin masih sekatil tapi mimpi lain-lain.
Kasihan ramai isteri jadi over stress , sakit jiwa. Sakit. Kurus…dan ditimpa penyakit kerana tekanan dalam uruskan anak-anak..
Belajarlah sayangi dan hargai mereka. Siapa tahu kerana kita buat baik pada isteri, Allah maafkan kita dan masukkkan kita dalam syurga..dia redha dengan kita. Biarlah apa orang nak kata queen control ke. Takut isteri ke. Kita buat kerana Allah dan kerana mencintai Nabi saw. Sebab tu kita diciptakan menjadi lelaki untuk memahami, menyayangi dan melindungi isteri..
Abang tu kata terima kaseh ustaz..syukur Allah temukan kita dalam jem ni. Tak larat nak gerak dah jalan jem sangat. Rupanya ada rahmat Allah. Saya akan perbaiki diri dan bantu isteri. Saya tak tahu puncanya. Baru saya faham. Terima kaseh.
Kerana kebaikan abang dan isteri Allah temukan kita. Kerana Allah tahu abang suami isteri orang baik. Tak patut orang baik dibiarkan hidup tanpa bahagia.Allah jaga orang jaga agama…
Kredit : Ustaz Ebit Lew
Lubuk konten untuk inspirasi bakal – bakal pengantin. Pengantin kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Suami kena terima saya seadanya. Mungkin itu yang anda rasakan pabila sudah bertahun-tahun hidup bersama, tidur sekatil dan sesekali berkongsi satu bantal berdua. Nah, biarpun sudah beranak-pinak dan usia pun kian meningkat, pastikan sang suami tetap bangga memiliki anda di sisinya. Membongkar 21 petua cantik agar cinta cik abang terus mekar berkembang! Pemulaan, Tempuhi hari baru dengan amalan bangun tidur ini. Tarik nafas dalam dan lakukan sedikit regangan untuk melancarkan darah. Kemudian minum segelas air, berselawat dan raupkan wajah untuk awet muda.
1. Bagi wanita berkerjaya atau surirumah yang sibuk, dapatkan potongan rambut pendek yang comel mengikut bentuk wajah anda. Ia lebih ringkas, mudah diurus dan membuatkan penampilan kelihatan lebih muda.
2. Ramai suami yang menyukai bau rambut isteri yang bersih selepas dicuci. Jadi pastikan anda bersyampu dan memakai perapi rambut setiap petang. Rutin ini juga memudahkan rambut didandan pada keesokan hari.
3. Kulit yang mulus tidak akan menjelma sekelip mata. Amalkan rutin mengusap krim malam yang baik sebelum tidur agar wajah kembali segar bermaya, sebaik anda terjaga dari lena.
4. Samada bertudung atau tidak, sembunyikan uban dari pandangan suami anda! Litupi uban dengan inai atau pewarna rambut rona gelap. Lakukan highlight jika berani, suami anda pasti teruja.
5. Rona kulit yang tidak sekata, kusam atau berbelak-belak boleh disembunyikan dengan aplikasi BB Cream. Ia bertindak sebagai bedak asas, pelembap, pencerah dan pelindung SPF yang lengkap untuk kegunaan harian.
6. Punya date membeli-belah dengan yang tersayang? Usah biarkan wajah polos tanpa solekan. Ingat lima asas solekan ringkas – berbedak, maskara, eyeliner, blusher dan lip gloss!
7. Tip agar pembayang mata bertahan lama, oleskan warna pilihan dengan putik kapas lembap berbanding berus aplikator yang disediakan. Putik kapas lembap juga baik untuk merapikan warna yang comot.
8. Semburkan mist selepas bersolek untuk membuatnya tahan berjam-jam. Amalan ini sesuai jika anda pulang dijemput suami atau berjanji makan malam dengannya selepas waktu pejabat.
9. Titiskan pelembap mata pada siang hari untuk mengembalikan kilauan, menyegar dan menghilangkan kepenatan. Lebih-lebih lagi jika memakai kanta lekap atau berkaca mata, tidaklah nanti mata asyik terkebil-kebil sahaja.
10. Bulu mata yang lentik terlihat lebih galak dan memukau. Jika bulu mata anda pendek dan tidak menarik, amalkan pemakaian alat pelentik bulu mata untuk mencipta kesan dramatik. Nah, bukankah cinta itu datang dari mata?
11. Oleskan jeli petroleum pada kening dan bulu mata sebelum tidur. Ia membantu agar ia tumbuh lebih lebat, kemas dan berkilat.
12. Mata yang sembab atau dilingkari bebayang hitam pasti tidak menarik. Lindungi masalah ini dengan gel mata yang disimpan dalam peti sejuk. Sensasi dingin akan merawat keletihan mata dengan berkesan.
13. Selain itu, gunakan timun atau uncang teh dingin untuk memulihkan lingkaran gelap. Untuk menghapuskan kantung mata, uruti daerah luar dan sekeliling mata dengan krim pelembap sambil merangsang lymphatic drainage.
14. Bayangkan bibir yang lembut mengucup kulitnya… Atasi masalah bibir kering dengan eksfoliasi setiap hari. Hanya gosok lembut dengan berus gigi dan sapukan Vaseline. Kemudian sapukan balm bibir dengan SPF 30.
15. Eksfoliasi bahagian wajah, leher dan tengkuk anda untuk menyisihkan kulit mati setiap dua minggu sekali. Bahagian-bahagian ini perlu diberi perhatian rapi kerana ia menjadi pusat perhatian suami.
16. Pupuk masker setiap minggu untuk membantu menyerlahkan wajah yang bebas cela. Namun elakkan masker ini dipakai semasa tidur, bimbang suami terkejut pula nanti!
17. Ketika bermanja dengan suami, pastikan seluruh kulit tubuh anda lembut dan licin, termasuklah tapak kaki. Amalkan sapuan losen dan sesekali lakukan rawatan spa pedicure untuk merawati tumit merekah.
18. Berurut sangat baik untuk merehatkan badan, selain membantu melancarkan darah, menyahtoksin dan membentuk badan yang pejal. Lebih intim jika anda menempah couple treatment di spa untuk urutan bersama suami.
19. Kenakan losen pelembap sebelum tidur. Tumpukan pada bahagian-bahagian kering seperti siku dan lutut. Aroma losen yang lembut juga boleh memberikan efek sensual ketika berbaring dengan suami.
20. Atasi masalah bau nafas tidak menyenangkan dengan berkumur-kumur menggunakan mouthwash khas untuk masalah ini. Lebih-lebih lagi ketika bangun dari tidur, sebaiknya gosoklah gigi terlebih dahulu sebelum mengejutkan suami.
21. Cuba belek album perkahwinan anda, lalu bandingkan perbezaan dulu dan sekarang. Apakah anda kini lebih gemuk dan tidak terurus? Kembalikan wanita jelita di dalam gambar-gambar itu. Anda masih belum terlewat untuk berdiet dan menjaga pemakanan. Mungkin tidak sekurus dulu tetapi sekurang-kurangnya berat badan terjaga.
Lubuk konten untuk inspirasi bakal – bakal pengantin. Pengantin kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Kisah rumah tangga pelakon wanita, Norreen Iman agak menarik bila dia mula berkongsi fasa perkahwinan yang pernah dilaluinya.
Ya, kehidupan berumah tangga ada pasang surutnya dan tidak terlepas dengan ujian bagi menguatkan hubungan sebuah pasangan itu.
6 Tahun Baru Norreen Iman Dapat Beli Kereta
Begitu juga pelakon Norreen Iman yang berkongsi kisah pada awal perkahwinannya.
Menerusi perkongsian yang dimuat naik di Instagram (IG), Norreen mendedahkan pertemuan pertama bersama suaminya, Razzi Razak adalah menerusi aplikasi X.
Ujarnya, dia bersyukur keluarga banyak membantu dalam urusan kewangan untuk mendirikan rumah tangga.
“10 tahun lepas, kita berjumpa di aplikasi X.
“Nak kahwin, duit tak banyak, muda sangat tapi atas restu ibu, kita usahakan juga.
“Dulu kita sama-sama layak mohon baitulmal, dapat lah sorang RM1,500. Saya bersyukur, keluarga tolong,” cerintanya.
Tambah Norreen, semua barang-barang rumah pada awal perkahwinan adalah secara ansuran.
Kita pindah dari flat ke condominium. Satu rumah barang ansuran, sebulan RM50 ke RM100, boleh lah asal bayar sampai habis.
Bersyukur Ada Suami Macam Razzi
Norreen turut berkongsi, di fasa ini juga lah dia mula terjebak dalam membuat ‘content’ di media sosial.
Menurutnya, segala kesusahan yang dihadapinya dulu tidak membuatkan dia rasa hidup susah.
“Tapi dalam masa fasa ini lah aku mula buat content. Ada orang suka, ada yang tak.
“Tapi aku teruskan buat video dan buat orang ketawa walaupun pernah dalam fasa tidak mampu beli lampin anak.
“6 tahun kahwin baru dapat beli kereta pertama. Tapi tak rasa hidup itu susah. Ini semua fasa kehidupan.
“Saya bersyukur ada suami macam Razzi,” luah Noreen.
Dalam pada itu, pelakon drama bersiri ‘Lara Kasih’ itu turut berterima kasih kepada pengikut yang menyokongnya dari hari pertama dia mula bergiat dalam dunia hiburan.