Bila sebut tentang cuti sekolah, pasti terbayang lambakan jemputan walimah, nasi minyak, bunga telur dan sebagainya.
Lebih-lebih lagi jika terlibat dengan kerja kenduri di kampung, meriahnya tak terbayangkan!
Sampaikan tak menang tangan untuk memenuhi kesemuanya, tak kira di bandar atau di desa.
Dalam suasana keterujaan maksima memenuhi jemputan walimah, jangan lupa – kita sebagai tetamu undangan walimah juga ada tanggungjawab yang harus dipraktik.
Yakni, dalam apa jua perkara yang kita lakukan sekalipun, jangan lupa untuk mengutamakan adab.
Begitu juga ketika menghadiri undangan walimah, ada adab-adab yang kita harus perhalusi agar kemurnian syariat bersulam budaya timur di kalangan generasi kita terjaga sebaiknya.
Adab #1
Apa saja yang kita buat, kita harus tetapkan niat dan matlamat. Dalam soal memenuhi undangan walimah, jangan lupa untuk pastikan niat kita lurus dan tulus.
Jika sebelum ini niat kita lebih kepada mengisi perut, sibuk berswafoto dengan pengantin atau melaram dengan fesyen terkini, apa kata jika selepas ini kita tajdid niat.
Ia juga sebagai tanda memuliakan tuan rumah untuk turut berkongsi kegembiraan yang sedang diraikan mereka.
Adab #2
Bila kenduri, kita akan lihat 1001 warna-warni tetamu yang hadir dari hujung rambut atau hujung benang tudung hinggalah ke hujung kasut.
Tak salah melaram, namun ada had-had yang perlu kita patuhi sebagai Muslim.
Buat lelaki mahupun perempuan, berfesyen retro atau millennium sekalipun, dengan segala hormatnya sila pastikan busana yang dikenakan itu sopan, longgar dan menutup aurat.
Dalam erti kata lain, pilihlah busana yang patuh syariah kerana itu anjuran yang sebaiknya dalam Islam.
Adab #3
Sebaik sahaja sepasang kaki kita menjejak tempat kenduri, INGAT – jangan gopoh lagi gelojoh mengaut nasi minyak lauk ayam masak merah bagai esok tiada lagi untukmu.
Sebaiknya, cuba jejaki di mana tuan rumah untuk bersalaman, lalu bermesra seadanya.
Jika tetamu ramai berbaris untuk bersalaman dengan tuan rumah, kita pula tak perlu berlama-lama. Cukup sekadar berbasa-basi seketika.
Ads
Adab #4
Makan. Ini merupakan acara yang paling ditunggu-tunggu oleh para hadirin. Tak sah datang tanpa menjamah juadah.
Ini bukan baru berlaku malah tabiat buruk ini seakan diwarisi zaman-berzaman di ceruk rantau mana sekalipun.
Maka, tanggungjawab kita sebagai tetamu yang budiman untuk mengambil lauk-pauk sekadar perlu dan mampu dikunyah.
Jangan bila tengok 10 jenis lauk terhidang, 10 jenis juga kita rembat.
Fikirkanlah ramai lagi tetamu beratur mengambil juadah, alih-alih lauk lesap sekelip mata akibat nafsu tamak sebahagian daripada kita.
Cubalah untuk bersederhana. Jangan biarkan syaitan bersorak sambil berzumba melihat pembaziran demi pembaziran.
Kita datang sebagai tetamu untuk menjamu selera bukan melahap dan akhirnya tersandar bagai ular sawa kekenyangan.
Membazir itu amalan syaitan. Kita bukan kawan syaitan kan?
“Sesungguhnya orang-orang yang membazir itu adalah saudara-saudara syaitan, sedang syaitan itu pula adalah makhluk yang sangat kufur kepada Tuhannya.” (Surah Al-Israa : 27)
Adab #5
Terkadang mata kita terdorong untuk mencari cacat cela majlis. Lisan pula terlepas cerita kekurangan dan keburukan majlis.
Terkadang lauk-pauk terkurang rasa, tak kena selera. Terkadang kita condemn warna pelamin tak sepadan busana pengantin, terkadang tuan rumah tak sediakan goodies – kita label kedekut haji bakhil.
Ads
Ada saja yang tak kena di mata. Siap pakat bergosip dengan ‘geng bawang’, kemudian tularkan pula di media sosial.
Kalau diikutkan, tuan rumah mana yang tidak impikan perjalanan majlisnya lancar lagi sempurna sesuai dengan perancangan.
Jadi, tak perlulah mengata majlis orang. Tak perlu susah-susah lakar carta banding beza majlis A dan majlis B. Tak perlu tularkan di media sosial segala cela itu ini.
Beruntung dan bersyukurlah tuan rumah masih ingat kita dan jemput ke majlisnya.
What goes around will comes around. Hari ini kita mengutuk majlis orang, majlis kita esok lusa belum tentu lagi.
Adab #6
Selalunya kita menerima undangan, namun kita tak tahu suasana dan atur cara majlis tersebut. Bila sudah tiba di majlis, baru kita sedari banyak perkara mungkar berlaku di dalamnya.
Tak perlulah kita curi-curi ambil gambar kemungkaran itu, tularkan di media sosial sambil berlagak holier-than-thou. Tak perlu itu semua.
Cara terbaik, minta izinlah untuk berundur diri daripada tuan rumah dan berikan alasan berhemah tanpa mengecilkan hati mereka.
Adab #7
Bila sudah habis makan sehingga menjilat jari, dan kau lihat para tetamu terkial-kial mencari seat kosong sambil memimpin anak, sebelah tangan pula memegang pinggan nasi – apakah maksudnya?
Tak lain tak bukan, kau harus segerakan urusan, tak perlu berlama-lamaan sampai dua tiga kali sendawa.
Ads
Jangan buat-buat tak faham, para tetamu datang berpusu-pusu, maka kita seharusnya peka dengan situasi itu.
Lebih molek lagi jika kita tolong buang sisa makanan di tempat pembuangan, kemudian susun ke tepi.
Petugas kenduri memang ada, tapi tak salah kalau kita ringankan tulang mempercepatkan dan mempermudahkan urusan semua pihak.
Sabda Rasulullah s.a.w, “Barang siapa yang menjadikan mudah urusan orang lain, pasti Allah akan memudahkannya di dunia dan di akhirat.” (Hadis Riwayat Muslim, lihat juga hadis ke-36, Hadis Arba’in An-Nawawi)
Adab #8
Memberi hadiah perkahwinan buat pasangan mempelai sudah lama menjadi tradisi di kalangan masyarakat kita.
Malah jika tiada hadiah, tradisi ‘salam-kaut’ juga menjadi amalan biasa di kalangan kita. Kedua-dua tradisi ini tiada kaitan langsung dalam tuntutan agama Islam namun ia sudah menjadi budaya zaman berzaman.
Meski tuan rumah tidak pernah meminta hadiah, apa lagi menetapkan jumlah, anggaplah ianya sebagai sagu hati seikhlas kita tanda meraikan kegembiraan dan penghargaan di hari bahagia mereka.
Jika tiada, cukuplah doa buat pasangan pengantin dan ucapan terima kasih buat tuan rumah.
Bukankah menggembirakan orang lain juga termasuk satu sunnah?
Sabda Rasulullah s.a.w., “Pekerjaan yang paling dicintai Allah adalah menggembirakan seorang Muslim.” (Hadis Riwayat Thabrani, Mu’jam al-Kabir (no. 13646))
Penutup
Ini hanya merupakan sebahagian kecil adab-adab menghadiri undangan yang terkadang terlepas pandang.
Banyak aspek lagi yang harus dititikberatkan, bukan untuk menyusahkan bahkan ia mencerminkan keperibadian sejati seorang Muslim beridentitikan budaya timur.
Apa yang biasa, betulkan. Apa yang betul, biasakan.
Artikel ini merupakan nukilan Nuna Amin. Nama sebenar, Nur Amalina bt Muhd Amin, berasal dari Batu Pahat, Johor. Merupakan graduan Universiti Yarmouk, Jordan dalam bidang Fiqh & Usul Fiqh.
Sumber : Iluvislam
Lubuk konten untuk inspirasi bakal – bakal pengantin. Pengantin kini di seeNI.
Download
sekarang!
Merancang majlis perkahwinan yang sempurna tidak semestinya memerlukan perbelanjaan dan bajet yang tinggi untuk direalisasikan. Oleh yang demikian, pentingnya penyediaan anggaran perbelanjaan agar majlis perkahwinan anda tidak menyebabkan terlalu banyak pembaziran wang pada perkara yang tidak perlu.
Bagi anda yang mempunyai bajet terhad, berikut merupakan perkara yang boleh dielakkan agar anda boleh menjimatkan kos perkahwinan. Ini lima perkara yang perlu dielakkan bagi agar anda boleh save bajet.
1. PENGAPIT YANG TERLALU RAMAI
Kehadiran pengapit yang ramai mampu menyerikan majlis perkahwinan. Ia cukup mengujakan apabila mempelai diapit oleh teman-teman yang memakai busana berona sedondon. Namun, ia akan melibatkan kos yang tinggi kerana anda perlu menyediakan pakaian mereka, bunga tangan dan pelbagai aksesori untuk kelihatan sempurna sekali gus untuk menambah seri pada majlis anda.
Ia akan melibatkan sejumlah wang besar untuk direalisasikan. Sebaiknya, cukup hanya menggunakan dua orang pengapit iaitu seorang untuk pengapit pengantin perempuan dan seorang lagi untuk pengantin lelaki. Dengan cara ini bajet perkahwinan boleh dijimatkan.
2. KEK PERKAHWINAN BERTINGKAT
Rata-rata pengantin menempah kek bertingkat untuk upacara memotong kek kerana mementingkan kecantikan momen itu di dalam foto dan video. Tambahan pula, kek bertingkat ini kosnya agak tinggi. Sekiranya anda masih ingin kek bertingkat, anda boleh berjimat dengan cara menempah kek yang disertakan dengan replika atau dummy cake di bahagian atas manakala kek sebenar di bahagian bawah.
3. PROP NOVELTI, KAIN RENTANG DAN BUNTING
Ramai pengantin masa kini menempah bunting sebagai petunjuk jalan atau digantung di depan rumah. Tanpa disedari, ia memakan sejumlah kos yang agak tinggi. Untuk menjimatkan kos, anda boleh membuatnya sendiri atau menempah dengan kadar yang tidak terlalu banyak. Begitu juga dengan photo booth yang turut memakan kos belanja yang agak besar untuk merealisasikannya.
4. CENDERAHATI YANG MAHAL
Kerap berlaku di mana kita terdorong membeli sesuatu bekas yang mahal atau menempah beg kertas mengikut cita rasa dan tema majlis walhal akhirnya ia akan dibuang juga. Untuk menjimatkan kos, seeloknya anda beli beg kertas yang sedia ada yang menepati keperluan. Anda juga boleh mengunakan kreativiti anda untuk menyediakan sendiri cenderahati perkahwinan untuk menjimatkan kos perkahwinan.
5. TERLALU BANYAK MOMENTO
Kini terlalu banyak pakej fotografi dan videografi yang ditawarkan mampu menelan belanja beribu ringgit. Tidak salah jika anda ingin mengabadikan momen-momen indah anda yang hanya dialami sekali seumur hidup. Ada cara yang lebih jimat iaitu anda mungkin boleh meminta bantuan ahli keluarga terdekat anda atau rakan anda untuk merakamkan momen bahagia anda. Anda juga boleh mendapatkan pakej fotografi tanpa album dan cara ini dapat menjimatkan kos perbelanjaan.
Lubuk konten untuk inspirasi bakal – bakal pengantin. Pengantin kini di seeNI.
Download
sekarang!
Percintaan jarak jauh atau Pjj adalah satu cabaran bagi pasangan diluar sana. Kerana ia memerlukan kesetiaan dan masa. Jika anda dan pasangan sedang bercinta secara jarak jauh, anda tidak perlu risau kerana zaman sekarang teknologi dah canggih. Nak berhubung pun senang, rasa macam dia ada je dengan kita.
Namun, ada juga yang sebaliknya dimana Pjj ni perlukan kesetiaan yang tinggi pada pasangan. Mana taknya kita bukan 24 jam ada bersamanya, lagi pula jauh. Bila-bila masa sahaja dia boleh tipu kita. Tetapi itu terpulang kepada pasangan masing-masing. Kalau betul mereka setia, mereka pasti tidak akan curang.
PJJ ni istilah pendek untuk Percintaan Jarak Jauh. Haa! Nama pun sweet. Tapi berjarak fizikal. Seorang dekat Perlis sana, seorang dekat KL. Mulanya baik-baik sahaja. Tapi lama-lama mesti ada hal yang buatkan mereka kerap bergaduh.
Iyalah bila dah berjarak ni, ada sahaja hal yang jadikan mereka salah faham. Kita faham. Hidup rumahtangga yang macam ni tak mudah. Ini kami kongsikan dengan anda beberapa tips untuk rumahtangga PJJ :
1. Kena selalu berhubung
Sekarang dah banyak medium nak berhubung. Berhubung yang ini kita fokus pada mesej. WhatsApp ada, Telegram ada atau FB messenger pun ok. Tak kesah lah kalau terpaksa mesej pagi, petang, siang, malam. Supaya pasangan kita tahu, kita selalu ambil berat tentang dia.
2. Hantar pesanan bergambar
Maksudnya hantar lah gambar selalu. Macam orang bercinta, kan selalu hantar gambar selfie. Dah anda tinggal seorang, memang ‘selfie’ lah kerjanya. Tengah masak pun hantar gambar, tengah jem hantar gambar, dekat pasar hantar gambar. Kadang tengah kena marah dengan bos pun sempat hantar gambar.
3. Telefon hari-hari
Ini antara tips yang paling utama dia kata. Dengar suara pasangan kita. Kalau duduk serumah, boleh bersembang bila masing-masing dah balik rumah. Kalau duduk berjauhan ni, kena juga dengar suara pasangan hari-hari. Ini terapi dalam rumahtangga. Suara dan kata-kata pasangan kita tu, kadang jadi ubat ketenangan.
4. Tulis kad atau surat cinta ke pasangan
Ini rare. Tapi yang biasa buat akan rasa istimewa. Kalian yang PJJ kan duduk rumah asing-asing. Haa! Kirimlah surat. Tak payah tulis panjang-panjang, tulis sikit sikit pun tak apa. Sembur pewangi sikit, lepas tu pos. Pasangan PJJ je mengerti perasaan bila surat ni sampai. Kan?
5. Bagi hadiah
Ini biasanya buat kejutan (baca surprise). Sekarang pun dah banyak servis hantar bunga, belon, teddy bear, kek dan macam-macam lagi. Kalian order, nanti sampai lah ke rumah atau tempat kerja pasangan. Ada lagi best, tempah Grab Food hantar terus ke rumah pasangan kalian. Ini pun sedap. Hari tu isteri saya buat ke saya masa dia dalam wad.
6. Kalau berlaku salah faham, telefon dan bincang terus
Hal kalau dah sampai level kena bercakap serius dan key tinggi, kalian telefon lah terus. Hubungi dan bercakap guna suara terus. Elakkan berbincang hal penting guna mesej. Mesej dekat WhatsApp ni tak ada suara. Kadang intonasi kita bagi lain, pasangan kita faham lain. Sudahlah tengah bercakap hal salah faham, bertambah keruh lagi lepas tu bila dia salah tafsir maksud mesej kita.
Lubuk konten untuk inspirasi bakal – bakal pengantin. Pengantin kini di seeNI.
Download
sekarang!
Selepas mendirikan rumah tangga, pasti setiap pasangan akan berdepan dengan kehidupan yang berbeza dari sebelumnya. Status sebagai suami dan isteri perlu dibawa dengan sebaiknya bagi memastikan rumah tangga yang dibina kekal bahagia dan sejahtera.
Namun dalam mengharungi alam perkahwinan, cabaran yang paling besar ialah kewangan keluarga. Sesetengah pasangan berkahwin perlu berjuang habis-habisan dalam menangani perbelanjaan keluarga. Ramai yang tidak sedar bahawa masalah ini boleh menyebabkan kepada punca kemerosotan kewangan keluarga.
Oleh itu, anda harus sedar apakah punca atau penyebab kepada masalah ini. Perkara ini juga boleh dielak dari mula lagi iaitu sebelum anda berkahwin. Ini penting untuk anda lebih berwaspada tentang kewangan keluarga selepas berkahwin. Jom kita lihat 6 punca kepada permasalahan ini!
1. KOMUNIKASI
Sikap tolak ansur perlu diberikan perhatian kala berbincang perihal kewangan. Anda perlu bijak menangani masalah dengan berbekalkan rasa toleransi dan saling menghormati. Walaupun anda berdua tidak dibebani hutang, pergaduhan berkaitan wang akan sentiasa terjadi kerana isu wang adalah isu paling sensitif.
2. BEBANAN HUTANG
Daripada pinjaman pendidikan hingga ke kereta, ditambah pula dengan bayaran balik kad kredit. Kebanyakan pasangan melangkah ke alam perkahwinan dengan hutang yang bertimbun namun tetap berkeras mahu mengikat tanggungjawab berpasangan. Lebih teruk lagi jika hanya seorang sahaja yang menanggung hutang yang banyak. Tiap kali isu kewangan timbul, marah akan menguasai akal.
3. KUASA PERINTAH
Si dia bekerja, anda pula tidak atau mungkin anda bergaji tinggi berbanding pasangan anda. Kuasa memerintah selalunya akan berpihak kepada yang banyak menyumbang kepada keluarga. Hal ini akan membawa kepada ‘kecenderungan’ sebelah pihak dalam menentukan perbelanjaan sendiri tanpa berbincang dengan pasangan terlebih dahulu. Ini bakal merenggangkan hubungan.
4. CAHAYA MATA
Buat perancangan keluarga kerana kestabilan dan kegembiraan anak-anak terletak pada anda berdua. Jika masih mencari-cari sumber kewangan yang kukuh cuba lewatkan sedikit rancangan menimang anak. Perbelanjaan anak-anak perlu diambil kira sejak bayi hinggalah ke universiti. Keruntuhan rumah tangga kerana tidak mampu membiayai anak adalah suatu yang amat menyedihkan.
5. PERBELANJAAN KELUARGA BESAR
Kebiasaannya isu ini sukar dibendung kerana tidak melibatkan pasangan itu sendiri. Bila kebanyakan wang disalurkan kepada ibu bapa yang mahu menukar kereta, sewa rumah adik-beradik atau saudara mara yang inginkan pertolongan kewangan, wang keluarga akan berkurangan. Bila sebelah pihak terpaksa menanggungnya, timbullah isu tidak puas hati dan hubungan mulai retak.
6. PENGAGIHAN KEWANGAN
Ironinya, pasangan akan memutuskan tanggungan bil atau isi rumah bersama-sama. Si suami selalunya menguruskan bil-bil manakala si isteri menguruskan hal anak-anak. Peruntukan ini dibuat secara adil dan saksama namun dalam keadaan tertentu, salah seorang akan merasakan bahawa tanggungan yang dipikul berat dan tidak adil walaupun pada mulanya telah bersetuju dengan pelan ini. Dalam tidak sedar proses ini menimbulkan kebencian dan bakal menghapuskan banyak nilai kewangan perkahwinan.
Lubuk konten untuk inspirasi bakal – bakal pengantin. Pengantin kini di seeNI.
Download
sekarang!
Setiap pasangan pasti mengimpikan hari bahagia yang diingati sepanjang hayat. Momen dua hati disatukan dalam suasana indah, bersama keluarga dan rakan tersayang sudah tentu...