Soalan: Adakah sahih hadith isteri sujud pada suami?
Jawapan:
Di dalam hidup berumah tangga, seorang isteri itu wajib untuk mentaati suaminya pada perkara yang ma’ruf. Ini kerana, dengan ketaatan tersebut akan memudahkannya jalan untuk ke syurga berdasarkan sebuah hadith yang disahihkan oleh Imam Ibn Hibban:
Daripada Abu Hurairah RA, bahawa Nabi SAW bersabda:
Maksudnya: “Jika seorang wanita menunaikan solat 5 waktu, berpuasa pada bulannya (Ramadhan), mengawal kemaluannya (maruahnya) dan ta’at kepada suaminya. Masuklah dia ke dalam Syurga dari mana-mana pintu yang dia kehendaki”. [Riwayat Ibn Hibban, no. Hadith (4163), 471/9]
Ads
Bagi menjawab pertanyaan pertama di atas, hadith sujud pada suami telah diriwayatkan oleh beberapa orang sahabat Nabi SAW. Antaranya Abu Hurairah, Mu’az bin Jabal, Suraqah bin Malik, Aisyah, Ibn Abbas, Abdullah bin Abi Awfa, Ummu Salamah, Anas bin Malik dan beberapa orang lagi sahabat Nabi SAW yang lain. Adapun berkaitan matan hadith adalah seperti berikut:
Maksudnya: “Jika aku boleh memerintahkan seseorang itu untuk sujud kepada seseorang, maka aku memerintahkan isteri untuk sujud pada suaminya.” [Riwayat al-Tirmizi (1159)][Imam al-Tirmizi mengatakan hadith ini melalui jalur Abu Hurairah RA adalah hasan gharib]Hadith ini juga disahihkan oleh Imam al-Hakim di dalam al-Mustadrak melalui jalur Mu’az bin Jabal [Lihat: al-Mustadrak, 190/4]
Ads
Tambahan pula, hadith ini mempunyai sebab wurudnya (sebab Nabi SAW ucapkan hadith ini) iaitu apabila salah seorang daripada sahabat Nabi SAW pulang daripada Syam dan melihat orang-orang Nasrani dan Yahudi sujud kepada pembesar dan ulama’ mereka sebagai tanda penghormatan nabi-nabi mereka. Maka, sahabat ini berkata bahawa Rasulullah SAW lebih berhak untuk dilakukan sedemikian tetapi Nabi SAW melarang para sahabat melakukan hal tersebut dengan mengatakan bahawa orang-orang Yahudi dan Nasrani ini mereka mendustakan serta menyelewengkan kitab-kitab nabi-nabi mereka. [Lihat: al-Mustadrak, 190/4]
Makna Hadith
Antara yang boleh difahami daripada hadith ini adalah kewajipan seorang isteri itu mentaati suaminya kerana sujud ini tidak dihalalkan melainkan kepada Allah SWT sahaja. Ini kerana, terdapat banyak hak-hak suami yang perlu dilaksanakan oleh isteri dan sebahagiannya tidak terlaksana oleh si isteri.
Ads
Imam al-Syaukani berkata, makna hadith ini adalah jika dibolehkan sujud kepada manusia nescaya Nabi SAW akan memerintahkan para isteri untuk sujud kepada suaminya. [Lihat: Tuhfah al-Ahwazi, 272/4] Di dalam Musnad Ahmad, daripada Anas bin Malik RA bahawa Nabi SAW bersabda:
Maksudnya: “Tidak dibenarkan seorang manusia itu untuk sujud kepada manusia. Jika dibenarkan untuk manusia itu sujud kepada manusia nescaya aku akan meminta isteri untuk sujud kepada suaminya kerana besarnya hak suami ke atas isteri itu.” [Riwayat Ahmad (12614)] [Syeikh Syu’aib al-Arna’outh menilai hadith ini sahih li ghairihi]
Penutup
Kesimpulannya, hadith di atas adalah sahih dan ia tidaklah menunjukkan kebolehan seorang isteri itu untuk sujud kepada suaminya. Ini kerana, sujud hanya dibenarkan kepada Allah SWT sahaja dan tidak dibenarkan sujud kepada selain daripada Allah SWT sebagaimana larangan jelas daripada Nabi SAW berdasarkan riwayat di dalam Musnad Ahmad di atas. Akan tetapi, hadith ini menggambarkan bahawa kedudukan suami itu tinggi di sisi isteri dan si isteri wajib untuk mentaati suaminya selagimana apa yang diperintahkan itu tidak bercanggah dengan agama. Akhirnya, semoga Allah SWT mengurniakan kita suami yang soleh dan isteri yang solehah agar rumahtangga yang dibina itu mendapat keberkatan dan keredhaan daripada Allah SWT. Amin.
Lubuk konten untuk inspirasi bakal – bakal pengantin. Pengantin kini di seeNI.
Download
sekarang!
Ramai golongan bapa dan suami beranggapan tugas mengemas rumah adalah tanggungjawab si ibu atau isteri, wanita semata-mata. Salah itu, ya!
Untuk renungan, jemput baca satu luahan suami atau bapa En Ahmad Affzan Abdullah terhadap satu pukulan yang diterima sejurus membaca artikel yang di kongsikan oleh isterinya.
Lantaran, si ketua keluarga ini mengambil langkah drastic melakukan perubahan demi keluarga tercinta:
Satu ketika, aku tengah makan. Nampak isteri aku tunjuk artikel di telefon pintar pada anak-anak.
“baca ni,” katanya.
Aku tengok saja. Lepas makan aku tanya dia, “artikel apa tu?”
Dia pun tunjuk pada aku. Artikel itu dalam bahasa inggeris, ditulis oleh seorang perempuan mat saleh. Dia bercerita ketika dia sedang sibuk cuci pinggan di dapur, suaminya dan anak-anak selamba tengok tv. Puas dia panggil semua buat bodoh saja.
Akhirnya selepas lama dia bising, suami dia pun cakap pada anak-anak,
“Dah, dah. Pergi tolong mak kamu tu.”
Kemudian dia terfikir, kenapa bila cuci pinggan, kemas rumah itu, dianggap sebagai ‘tolong’ ibu dan isteri. Seolah-olah itu memang tugas ibu semata-mata, orang lain kalau buat itu sekadar nak tolong saja.
Kebiasaanya, tugas-tugas di dalam rumah hanya dipandang ringan oleh ahli kelurga yang lain. Tapi, kalau rumah bersepah, tak bersih, si suami yang membebel Panjang.
Apa kata, kita lakukan bersama-sama. Perubahan yang dilakukan olehnya adalah dengan menyediakan satu jadual tugasan yang merangkumi kerja-kerja yang perlu di lakukan secara mingguan dan bulanan.
Melalui jadual yang disediakan, setiap orang mempunyai tanggungjawab masing-masing dan wajib dilunaskan. Setiap satu tugasan dilakukan secara bergilir-gilir serta melibatkan anak-anak yang telah memahami tujuan kehudupan
“Rumahku syurgaku. Selalu orang sebut, namun tak ramai yang berusaha untuk menjadikan rumah itu syurga bersama-sama. Hanya mengharap ia jadi syurga secara tiba-tiba?
Melalui penyediaan dan pembahagian kerja yang teratur, sedikit sebanyak ia dapat mendidik si anak sewal usia untuk berdikari dan bertanggung jawab serta menghargai apa yang telah dilakukan. Suami sebagai ketua kelrga juga dapat menunjukkan perinsip dan contoh teladan yang baik buat keluarga
Lubuk konten untuk inspirasi bakal – bakal pengantin. Pengantin kini di seeNI.
Download
sekarang!
“Best friends for life is ‘Husband’ and ‘Wife’… ?❤… Hubungan suami isteri tak selalunya cerah, kadang kala ada dinginnya. Jangan cepat melatah, sebaiknya tanganilah dengan bijak dan matang….
Suami dan isteri ibarat dua sayap seekor burung. Jika kedua sayapnya kuat, terbanglah burung itu sampai ke puncak udara yang setinggi-tingginya… Jika patah salah satu sayapnya, maka rebah dan tersungkurlah burung itu menyembah ke bumi kerana ‘ia mahu terbang.
EGO PENCETUS KONFLIK RUMAHTANGGA. BILA ADA EGO DI HATI CINTA AKAN MENJAUH PERGI…
Bila berlaku konflik dalam rumah tangga jarang hanya satu pihak yang bersalah sepenuhnya. Jadi nilaikan juga kesalahan diri sendiri…
Suami anda yang nampak serius dan tegas itu juga sebenarnya perlukan belaian manja. Walau hatinya keras tapi dia tetap inginkan isteri menyentuh, memeluk atau sekadar memegang tangannya. Ini adalah perkara kecil yang akan menguatkan lagi ikatan kasih sayang suami isteri…
Jangan ambil ringan bantuan suami menghantar anak ke sekolah, menjaga anak ketika anda memasak, membantu menyidai kain dan sebagainya… Ramai isteri yang menganggap ini semua perkara kecil kerana itu juga sebahagian daripada tanggungjawab suami. Tak susah pun nak mengucapkan terima kasih buat suami tercinta sebagai menghargai usahanya selepas bekerja keras mencari rezeki menyara keluarga dan sudi pula membantu meringankan kerja isteri…
Kajian mendapati wanita lebih cenderung menuduh suami mereka bersalah apabila berlaku masalah dalam hubungan perkahwinan. Adalah lebih baik apabila anda mengambil masa dan meneliti kekurangan diri terlebih dahulu sebelum menuding jari kepada pasangan…
“Selagi kita bertekad meneruskan perkahwinan hingga ke akhir hayat, pupuklah benih² kepercayaan. Semaikanlah baja² kasih sayang. Kepercayaan itu akan melahirkan tanggungjawab dan tanggungjawab adalah oksigen cinta. Oksigen inilah yang akan memberi stamina kepada cinta untuk terus berkasih sayang dan membawanya kembara dari dunia ke syurga…”
Biasanya pergeseran akan berlaku berpunca daripada kurang percaya sesama pasangan, saling tuduh menuduh, saling rasa diri lebih hebat, bila berlaku ini masing² terasa hati dan menyimpan kata² (perasan) bahawa dirinyalah yang betul dan pasangannya salah, lalu selepas itu timbullah pula masalah² lain seperti tak nak dengar cakap, kerap marah², kurang keinginan bersama pasangan dan macam² lagi… Jika pertelingkahan ini dibiarkan berterusan, hubungan mesra antara pasangan akan terus pudar dan membawa kepada perpisahan…
Usahlah anggap isteri atau suami itu ego… Masing² sama sahaja, sebab hakikatnya suami isteri adalah manusia yang lemah. Bila ada ego di hati, cinta akan menjauh pergi. Suami dan isteri sebenarnya saling memerlukan antara satu sama lain untuk menjadi pelengkap hidup. Buang jauh² rasa ego tu….
➬ Jika dua bilah kayu disatukan dengan paku. Dua batu bata disatukan dengan simen. Lalu dua hati di satukan dengan apa? Jawabnya, tak lain dengan iman…
➬ Selagi ada ego, ke mana pergi pun tidak akan menjadi. Jika masih ada ego, yang wangi jadi busuk, yang manis jadi tawar, yang indah jadi hambar…
Mudah²an pasangan suami isteri dapat menyelesaikan masalah rumahtangga yang mereka hadapi dengan bijak dan matang. Jangan terlalu cepat melatah saat diuji dengan masalah. Kecil atau besar ujian itu yang paling penting mesti hadapi bersama. Semoga jalinan ikatan suami isteri akan terus berkekalan dan hidup dalam keredhaan Allah swt….
Barangkali ada silapnya ketika kita mendoakan pasangan pengantin ketika masuk ke alam perkahwinan dengan doanya ‘Moga bahagia hingga ke anak cucu.’ Pasti kebahagiaan itu terhenti bila sudah ada anak atau cucu sebab doa kita sebegitu diawalnya.
Kena ubah isi doanya…
Perjalanan bahtera rumahtangga bertitik-tolak pada persefahaman dan kebijaksanaan ‘komunikasi’ antara keduanya. Melalui komunikasilah, ‘ego’, ‘memahami’, ‘merendah diri’ akan terbentuk….
Asasnya, pembentukan personaliti dua jiwa (suami-isteri) tersebut bermula dalam 2 buah keluarga yang berbeza…
Malah, ketidakbergantungan antara satu sama lain pastinya menyebabkan tiada fokus dalam rumahtangga tersebut…. Percayalahhh…
Manusia itu dijadikan berpasangan… Perkahwinan ialah manifestasi ikatan suci… Hidup antara suami isteri perlu saling lengkap melengkapi dengan hasrat mencapai kebahagiaan duniawi dan ukhrawi…
Pada pandangan saya zaman ini kebanyakan kaum wanita setelah mereka diberikan pendidikan, pekerjaan dan taraf kedudukan yang tinggi di dalam masyarakat, mereka telah gagal memahami fungsi mereka sebagai ibu dan isteri di dalam institusi keluarga. Malahan, mereka beria-ria ingin setanding dengan lelaki yang mana akhirnya membawa kemusnahan kehidupan keluarga itu sendiri…
Dua hati yang beriman akan mudah disatukan. Jika dua hati mengingat yang SATU (Allah SWT), pasti mudah keduanya bersatu. Begitulah dua hati suami dan isteri, akan mudah bersatu bila iman di dalam diri masing² sentiasa disuburkan…
Jika ditanyakan kepada dua hati yang bercinta, siapakah yang lebih cinta pasangannya? Maka jawabnya, siapa yang lebih cintakan Allah, dialah yang lebih mencintai pasangannya. Sebelum berfikir bagaimana mengekalkan cinta berdua, berusahalah terlebih dahulu agar mencintai kepada-Nya. Jika kita bersama mencintai yang Maha Kekal, pasti cinta kita akan berkekalan juga…
Jika paku boleh berkarat, simen boleh retak, maka begitulah iman, ia juga akan naik dan menurun. Iman itu ada “virusnya”. Virus iman ialah ego (takbur). Jangan ada takbur, kerana cinta pasti akan hancur. Orang takbur merasa dirinya lebih mulia dan pasangannya lebih hina. Jika demikian, manakah ada cinta? Cinta itu ibarat dua tangan yang saling bersentuhan. Tidak ada tangan yang lebih bersih. Dengan bersentuhan, keduanya saling membersihkan…
“Kau isteri, aku suami”, “Aku ketua, kau pengikutnya”, “Aku putuskan, kau hanya ikut saja”, “Jangan cuba² menentang!”, begitulah ego dan rasa takbur itu. Akibat takbur, isteri tak berkutik tanpa boleh bersuara. Sedikit bicara saja ia sudah dibentak. Senyap², isteri menyimpan rasa dendam. Suami ‘disabotaj’ dalam diam. Tegur suami, dijawabnya acuh tak acuh. Senyum yang mewangi bak mawar akhirnya menjadi tawar dan hambar. Perlahan-lahan, jarak hati semakin jauh dan cinta semakin rapuh…
Ada pula isteri yang tak kalah ego. Tidak jarang yang selalu meninggikan suara. Kesalahan suami yang sedikit saja bisa menjadi urusan panjang. Anak² ditelantarkan dan dapur dibiarkan berserakan…
“Rasakan penangannya akibatnya jika berani menentang aku,” begitu dalam hatinya….
Mengaku salah tidak sekali. Minta maaf, pantang sekali,” begitu istilah Malaysia bagi orang yang enggan mengaku salah dan tidak mahu meminta maaf…
Para isteri juga punyai ego. Mungkin kerana merasa tidak sekuasa suami, atau tak memiliki keberanian, si isteri menunjukkan egonya dengan bermacam-macam-macam ragam. Mungkin kerana tak ada keberanian bercekak pinggang di depan suami, ia akan memalingkan badan dan mukanya ketika di tempat tidur…
Disebabkan perasaan ego menguasai diri, cuaca rumah tangga yang asalnya harmonis menjadi semakin muram. Tiada lagi gurau senda dan gelak ketawa pasangan. Tiada lagi usik mengusik antara suami isteri. Alangkah sedihnya, rumah hanya menjadi ‘house’ tidak lagi menjadi ‘home’ buat mereka…
Cuba bayangkan, apabila hidup bersama suami isteri tiada lagi keceriaan, tiada lagi kehidupan yang manis dan tiada lagi kelembutan, semuanya menjadi bungkam…
Tidak ada lagi rindu yang menanti suami ketika pulang dari bekerja. Tidak ada kasih yang hendak dicurahkan oleh suami kepada isteri yang menanti di rumah. Anak² tak lagi memiliki keseronokkan hidup… Suami dan isteri yang bergaduh, kasihan anak² yang menjadi mangsa. Mereka semua masih kecil dan perlukan perhatian dan kasih sayang seorang ibu dan ayah. Apa guna hidup di dalam rumah yang besar dan tersergam indah, andai penghuninya selalu bermasam muka dan tidak bertegur sapa dek kerana ego…
Ya, rumah (house) itu hanyalah sebuah bangungan yang didirikan dari bahan batu, kayu dan simen. Sementara rumah tangga (home) itu dibina dengan kasih sayang, cinta dan sikap saling menghormati antara suami isteri… Maka, renung²kanlah…
Ingat ego, ingat Allah…
Bila ada ego di hati, cinta akan menjauh pergi. Retak akan menjadi belah. Kekadang hati keduanya merintih, mengapa jadi begini? Bukankah antara aku dan dia ada cinta? Mengapa terasa semakin jarak?
Apakah yang perlu aku dan dia lakukan untuk menyemarakkan semula rasa cinta ini. Lalu akal berfikir, berputar-putar mencari idea.
“Oh, mari ulangi musim bulan madu yang lalu. Kita susuri pulau, tasik, laut atau lokasi pertemuan kita suatu ketika nan dulu.”
Ah, tapi malang, ia cuma sebentar cuma. Gurau, senda cuma seketika. Tidak mampu lagi memutar jarum kenangan lama dengan hati yang telah berbeza. Tidak ada lagi tarikan yang ketara. Cumbu berbaur gairah seakan telah terlupa. Bulan madu yang akan diperbaharui seakan tidak menjadi… Sebab kedua hati ini telah bercakar lagi. Konflik lagi suami isteri. Apa sudah jadi?
Sebenarnya mereka ini terlupa, almaklumlah manusia kan mudah lupa. Nak tahu di mana silapnya… Mereka mencuba memperbaharui lokasi, tanpa memperbaharui hati…
Hakikat sebenarnya, selagi ada ego, ke mana pergi sekali pun tidak akan menjadi. Baik pergi ke Paris, baik pergi ke Gold Coast… Jika masih ada ego yang kuat menguasi diri, yang wangi jadi busuk, yang manis jadi tawar, yang indah jadi hambar…
Ada juga pasangan suami isteri yang hendak ‘membeli’ cinta. Ingin dibangkitkan kembali rasa cinta yang telah pudar dengan harta benda. “Nah, terimalah rantai emas dan wang beribu² lemon ini sebagai tanda cinta ku masih utuh pada mu,” kata suami. “Dan ini pula cincin berlian untuk memperbaharui kemesraan kita,” balas si isteri. Masing² pun bertukar hadiah. Kononnya, semoga dengan pemberian barang² berharga itu akan mengembalikan cinta mereka yang telah suram dan kelam…
Namun sayang sekali, sinar emas, cahaya berlian, tidak juga menggamit datangnya cinta. Cinta diundang oleh ‘Nur’ yang ada di hati. ‘Nur’ itu tidak akan ada selagi ego masih ada di jiwa bermaharajalela…
Susurilah cinta yang hilang di jalan iman. Buanglah kerikil ego yang menghalangi. Sebab ego hanya membina tembok pemisah di antara dua hati walaupun sebenarnya masih hidup sebumbung. Mungkin di khalayak ramai, mereka masih tersenyum dan mampu ‘menyamar’ sebagai pasangan yang ideal tetapi hati masing² TST (tahu sama tahu), di mana kemesraan sebagai suami isteri sudah tiada lagi…
Pasangan yang begitu, boleh menipu orang lain. Namun, mampukah mereka menipu diri sendiri? Yang retak akhirnya terbelah. Perceraian berlaku. Mereka berpisah… Masyarakat yang melihat dari jauh melihat pelik, mengapa begitu mesra tiba² berpisah? Tidak ada kilat, tidak ada guntur, tiba² ribut taufan melanda. Oh, mereka tertipu pada pandangan ilusi mata. Perpaduan yang mereka lihat selama ini, rupa²nya hanyalah sinetron semata…
Allah membongkar rahsia ini dalam firman-Nya:
“Kamu lihat saja mereka bersatu tetapi hati mereka berpecah.”
Carilah di mana Allah di dalam rumahtangga mu. Apakah Allah masih dibesarkan dalam solat yang kau dirikan bersama ahli keluarga mu? Apakah sudah lama rumahmu telah menjadi pusara akibat kegersangan dzikir dan suara bacaan al-Quran? Apakah sudah luput majlis ilmu yang menjadi tonggak dalam rumah tanggamu? Di mana pesan² iman dan wasiat taqwa yang menjadi penawar ujian kebosanan, kejemuan dan keletihan ini?
Penyakit ego akan sentiasa menimpa jika hati sudah tidak terasa lagi kebesaran Allah. Orang yang ego hanya melihat kebesaran dirinya lalu memandang hina pasangannya. Hati yang ego itu haruslah segera dibasuh kembali dengan rasa bertauhid menelusuri ibadah² – khususnya melalui solat, membaca al-Quran, berzikir, bersedekah – dan yang paling penting adalah majlis ilmu…
Allah berfirman:
“Dan berilah peringatan. Sesungguhnya peringatan itu memberi manfaat kepada orang mukmin.” (Adz-Dzariyat ayat 55)
Sedangkan orang mukmin saja perlu diperingatkan, apatah lagi kita yang belum mukmin? Iman itu, seperti yang dimaksudkan hadits, boleh bertambah dan berkurang. Untuk memastikan ia sentiasa bertahan atau bertambah, hati perlu bermujahadah. Lawan hawa nafsu yang mengajak kepada ketakaburan dengan mengingat bahawa Allah sangat membenci kepada orang yang takabur, walaupun sasaran takabur itu adalah suami atau isteri sendiri…
Bila terasa bersalah, jangan malu mengaku salah. Segeranya mengakuinya dan hulurkan kata meminta maaf. Ular yang menyusur akar tidak akan hilang bisanya. Begitulah suami yang meminta maaf kepada isterinya. Dia tidak akan hilang kewibawaannya bahkan akan bertambah tinggi. Bukankah orang yang merendahkan diri akan ditinggikan Allah darjat dan martabatnya? Lunturkanlah ego diri dengan membiasakan diri meminta maaf…
Ini juga sering berlaku pada para lelaki. Lelaki yang “tewas” ialah lelaki yang sukar mengaku salah dan sentiasa tidak ingin mengalah. Saat itulah dia telah memiliki salah satu dari tiga ciri takabur, yakni menolak adanya kebenaran…
Akuilah kebenaran jika kebenaran itu berada di pihak isteri. Tunduk kepada kebenaran ertinya tunduk kepada Allah. Jangan bimbang hanya kerana takut dikatakan “suami takut isteri”. Kita hanya takut pada Allah. Sebab Allah sangat membenci orang yang takabur…
Begitu juga isteri. Jika sudah terbukti bersalah, akui sajalah. Dalam pertelagahan antara suami dan isteri, apakah penting siapa yang menang, atau siapa yang kalah???
Kita berada di dalam gelanggang rumah tangga bukannya berada di ruang mahkamah. Kesalahan suami adalah kesalahan kita juga dan begitulah sebaliknya.
Rumahtangga itu wadah segalanya. Perkahwinan adalah suatu hubungan, bukan satu persaingan. Sedangkan lidah lagi tergigit, inikan pula suami isteri. Dalam pergaduhan suami isteri, saling bertolak ansur itu perlu. Tak perlu nak gaduh bagai nak rak. Andai kita “menang” sekalipun, lantas apa gunanya? Padahal, kita akan tetap terus hidup bersama, tidur sebantal, satu selimut yang sama dan berteduh di bawah naungan yang sama…
Maka, bermujahadahlah….
Selalulah berdoa :
Ya Allah…
Sebagaimana Engkau jodohkan kami di dunia ini… Maka, Engkau jodohkanlah kami semula di akhirat nanti tanpa terhakis sedikit pun kasih sayang di antara kami berdua…
Ya Allah…
Kuatkanlah ikatan cinta di antara kami,
Siramilah rasa rindu ini dengan kasih sayang-Mu,
Engkaulah yang memberikan cinta di antara kami,
Maka tambahkanlah cinta ini agar lebih mencintainya kerana-Mu, dan agar bertambah pula ‘Taatku’ kepada-Mu…
Ya Allah…
Jika memang kami tidak kekal selama di dunia ini,
Maka, izinkanlah kami bersama kembali ketika di akhirat,
Kerana kami berasal dari-Mu, dan kelak akan kembali juga kepada-Mu…
Aamiin³x….
آمِّيْنَ آمِّيْنَ آمِّيْنَ يَا رَبَّ الْعَالَمِين
GAMBAR SEKADAR HIASAN
Lubuk konten untuk inspirasi bakal – bakal pengantin. Pengantin kini di seeNI.
Download
sekarang!
Masih ramai yang gagal simpan duit kahwin dengan cara yang paling cepat dan hasilnya luar biasa!
Perlu ada kesedaran dan anak muda kena ambil peduli dari peringkat awal, barulah tak rasa berat untuk adakan majlis kenduri kahwin.
Selain kos majlis perkahwinan yang tinggi, mereka juga belum mampu membeli atau menyewa sebuah rumah bagi membina keluarga.
Menerusi laman TikTok, seorang wanita berkongsi teknik mudah untuk pasangan menyimpan RM30,000 menggunakan dinar emas sebelum mereka mendirikan rumah tangga.
Menurut Farrah Aiza, nilai itu boleh dikumpul dengan menyimpan dinar selama empat tahun, namun memerlukan kerjasama kedua-dua pihak.
“Adik-adik yang ada rancangan nak berkahwin dalam tempoh empat tahun dan nak jadikan RM30,000 sebagai dana perkahwinan… ini caranya.
“Ini tabung kahwin untuk tahun 2028, target RM30,000. Kita ada tempoh empat tahun (bersamaan) 48 bulan.
“Dinar bukan sahaja sesuai untuk hantaran tetapi juga mas kahwin. Ramai anak muda hari ini mnenjadikan satu dinar ini sebagai mas kahwin,” ujarnya menerusi video itu.
Langkah-langkahnya:
1. Program ini kita bahagi kepada 48 bulan. Jadi adik-adik kena simpan sebanyak 1.6 gram (g) setiap bulan.
2. 1.6g (emas) ini memanglah kita rasa tinggi, tapi kita boleh buat dengan pasangan.
3. 1.6g bahagi kepada dua, jadi setiap orang simpan 0.8g. Paling senang perempuan boleh simpan 1g, lelaki simpan juga 1g.
4. Emas hari ini RM375 untuk 1g, untuk 0.8g adik-adik kena simpan lebih kurang RM330.
5. Selepas empat tahun, adik-adik dah ada lebih 80g emas. 80g ini kita bahagi kepada dua.
6. Yang pertama kita buat hantaran. Jadikan enam (keping) dinar sebagai hantaran. Enam dinar nilainya lebih kurang RM10,000, beratnya 29.75g.
7. Selebihnya adik-adik boleh menggunakannya untuk belanja kahwin sebanyak RM20,000. Contohnya untuk baju, kenduri dan sebagainya.
Jadi, itulah tip untuk kumpul duit kahwin cara kilat! Semoga anak-anak muda ada kesedaran untuk menyimpan duit dari awal daripada membazir beli bukan-bukan.
Selamat menabung!
Lubuk konten untuk inspirasi bakal – bakal pengantin. Pengantin kini di seeNI.
Download
sekarang!
Setiap pasangan pasti mengimpikan hari bahagia yang diingati sepanjang hayat. Momen dua hati disatukan dalam suasana indah, bersama keluarga dan rakan tersayang sudah tentu...