Setiap manusia pasti menginginkan pasangan yang tepat dan sempurna untuk hidup bersama. Disebabkan itulah proses perkenalan amat penting bagi kita untuk mengenali hati budi dan peribadi pasangan. Malah anda juga disyarakkan untuk mengadakan fitrah pertunangan supaya terdapat jangka masa yang cukup untuk mengenali pasangan.
Mengenali pasangan itu bukanlah lesen bagi pasangan untuk keluar berdua-duaan dan menjalinkan hubungan tanpa batasan. Ia mempunyai batasan yang perlu dijaga agar ia tidak menjurus kepada perkara-perkara yang dilarang oleh agama.
Rasulullah SAW memperkenalkan 5 K iaitu Kenal, Kelas, Kufu, Kasih dan Kahwin. Jom kita kupas 5 K ini!
1. KENAL
Kita disuruh kenal/takruf pasangan terlebih dahulu bukanlah dalam istilah luaran atau fizikal semata-mata. Erti kenal termasuk hati budi dan pegangan hidupnya. Untuk mengenali dan mendalami hati budinya, carilah orang yang boleh dipercayai agamanya dengan cara merisik corak hidupnya dan juga keperibadiannya.
Merisik latar belakang pasangan perlu dibuat untuk mengetahui sejauh mana pergaulan dan sifat warak yang dimilikinya. Pada dasarnya, anda boleh mengenalinya melalui corak kelakuan sahabat-sahabatnya yang akrab. Adalah berdosa besar jika antara kedua-dua belah pihak berbohong. Apabila sudah saling mengenali, tolak -ansur dapat dibuat dalam apa juga perkara.
Ads
2. KELAS
Anda mengenalinya tetapi anda harus bersifat pemilih supaya terjamin akhlak dan agamanya. Kelas yang dimaksudkan bukan hanya merujuk kepada golongan yang berkelulusan agama, berjanggut dan berserban sahaja.
Kelas yang baik adalah golongan yang mengamalkan ajaran agama kerana golongan ini akan menghormati pertalian perkahwinan. Mereka yang ada kefahaman dan penghayatan Islam akan memegang perkara asas dalam Islam, sentiasa alert, sanggup menerima dan memberi teguran serta saling bersifat ‘membina’ untuk menjaga akhlak dalam Islam.
3. KUFU
Kufu amat diberatkan dari segi pendirian dan pemahaman agama, selain keturunan juga perlu diseimbangkan. Jika terdapat keturunan golongan atasan, wajar anda mencari keturunan yang sama supaya tidak wujud jurang yang dalam.
Ads
Begitu juga dari segi harta, ulama yang bernama Mawardi menjelaskan ia perlu dititikberatkan kerana seseorang yang datang daripada keluarga miskin sukar untuk seiring dengan keturunan kaya. Bahkan ulama yang kebelakang ini juga mementingkan tahap umur.
Memang betul, soal jarak umur di antara Rasulullah SAW dan Siti Khadijah tidak wujud kerana Baginda, Siti Khadijah dan Aisyah mempunyai akhlak yang sempurna, tidak seperti kita yang serba cetek. Malah rupa dan fizikal wanita yang cepat rosak boleh diselaraskan kesesuaian dengan suaminya apabila sudah lama berumah tangga.
4. KASIH
Kasih bukan bermakna berkasih atau bercinta tetapi yang ditekankan sebenarnya ialah di antara kedua-dua belah pihak lelaki dan wanita itu perlu wujud unsur-unsur kasih sebelum berkahwin.
Ads
Katakan lelaki itu suka kepada seorang wanita, perlulah lihat wanita itu mengikut syariat Islam. Paling penting jika tidak berkenan, jangan dipaksa hati sebab ia bukanlah satu permainan yang boleh dipersendakan.
Kasih yang dipupuk biarlah kerana Allah kerana ia bakal menjamin kebahagiaan rumah tangga. Keberkatan memang dititikberatkan dan apabila niat anda dipasakkan dengan betul, In sha Allah perkahwinan akan diberkati dan dilindungi. Setiap gerak-geri dan tindak-tanduk mendapat pengawasan serta hidayah Allah dan tidak timbul perselisihan faham.
5. KAHWIN
Reda terhadap pasangan masing-masing adalah penting. Istilah kufu sangat ditekankan kerana jika isteri dianggap kelas kedua, segala teguran daripada pasangan tidak boleh diterima. Jika isteri mempunyai jawatan dan pangkat besar serta tidak ada kufu, dia tidak dapat menerima kepimpinan daripada suami. Tetapi kalau ada persamaan pendirian, sikap tolak-ansur dapat diwujudkan. Sebaliknya perbezaan pendapat boleh menyebabkan hubungan semakin renggang.
Misalnya seorang suami yang rapuh pegangan agamanya tidak mahu memantapkannya selepas berkahwin. Sikap kurang mahu ini akan menjadi titik-tolak sekiranya isteri sememangnya seorang yang suka menghayati Islam dan cuba memantapkannya dari semasa ke semasa.
Begitu juga sebaliknya, masalah pasti akan berlaku. Keimanan dan kekuatan sikap merealisasikan Islam perlu ada pada lelaki. Perempuan yang beriman mestilah mencari lelaki yang lebih kuat iman daripadanya kerana lelakilah yang menjadi ketua keluarga.
Lubuk konten untuk inspirasi bakal – bakal pengantin. Pengantin kini di seeNI.
Download
sekarang!
Alam percintaan memang cukup indah untuk dilalui. Segalanya tampak sempurna kerana ada insan yang sudi berkongsi segala masalah yang dihadapi.
Sebelum mendirikan rumah tangga, pastinya anda perlu mengenali si dia dengan lebih mendalam agar hubungan yang dibina tidak berlandaskan kepura-puraan semata-mata.
Tip ini mungking berguna untuk wanita yang akan mengenali, sudah mengenali dan masih mengenali hati insan yang bernama lelaki atau suami.
Agama
Sebenarnya, perihal agama inilah sepatutnya perlu dilihat terlebih dahulu sebelum berumah tangga. Suami dipertanggungjawabkan untuk memelihara dirinya dan rumah tangganya. Jika terdapat salah dan silap yang dilakukan oleh isteri, suami wajar menegur bagi mengelakkan perkara-perkara yang boleh melanggar syariat agama.
Harta
Berbicara soal harta, tidak bermakna anda perlu memandang harta sebagai perkara utama dalam sesebuah perhubungan. Sebenarnya, suami perlu bertanggungjawab ke atas kewangan isterinya yang disebut sebagai nafkah. Apa guna suami kaya tetapi kedekut dengan isteri dan tidak memberi nafkah.
Akhlaknya
Antara akhlak mulia yang perlu diperhatikan adalah penampilan, kekemasan pakaian, cara percakapan, jujur akhlaknya, merendah diri dan tegas dalam melakukan sesuatu perkara. Lihat juga akhlaknya pada orang lain termasuklah ahli keluarga dan rakan-rakannya.
Kusangka Bujang, Rupanya Suami Orang!
Hal ini pasti menggerunkan sesetengah wanita di luar sana. Lagaknya, tutur katanya, semuanya tidak menggambarkan apa-apa petunjuk yang memungkinkan si dia ini suami orang. Jadi, bagaimana untuk mengenal pasti bahawa si dia ini sudah berkahwin? Jika anda pernah menaiki kereta kepunyaan teman lelaki, pasti terasa pelik jika terdapat kasut perempuan atau alat permainan yang sememangnya bukan milik kita, bukan? Tanya dan selidiklah perkara ini jika anda pernah melaluinya walaupun si dia sudah menyatakan hal sebenar.
Bukan untuk mengongkong segala tindak tanduknya, namun pasti hati terasa puas tatkala kita sudah mengetahui perkara yang sebenarnya. Lagi buruk padahnya jika kita mengetahui sesuatu perkara daripada mulut orang lain.
Bebas Penyakit
Penyakit yang dimaksudkan di sini ialah penyakit yang boleh disebarkan sama ada melalui sentuhan mahupun hubungan seks. Ini sangat penting kerana apabila anda sudah berkahwin nanti, pastinya anda dan suami akan melakukan hubungan kelamin. Antara penyakit yang boleh disebarkan melalui hubungan seks ialah AIDS, HIV, Thalassemia, ataupun penyakit kelamin. Kesemua ini perlu diambil kira agar tidak berjangkit setelah anda melakukan hubungan intim. Oleh sebab itulah pemeriksaan sebelum berkahwin sangat penting untuk anda jalani. Berilah sokongan kepada bakal suami atau suami jika terdapat apa-apa penyakit yang dihidapi.
Malas vs Rajin
Hal ini perlu dipandang berat. Memang benar, semasa bercinta tidak semua perkara sama ada yang baik mahupun yang buruk ditonjolkan oleh pasangan. Lantas, selepas berumah tanggalah kesemua sikap dapat dilihat termasuklah sikap malas ataupun rajin. Pastinya, kita sebagai isteri tidak akan ‘menang tangan’ jika si suami tidak pandai menolong dalam menguruskan hal rumah tangga. Oleh yang demikian, amat penting untuk saling membantu antara satu sama lain semasa menguruskan kerja rumah, lebih-lebih lagi jika sudah mempunyai cahaya mata.
Hobi
Apakah hobi bakal suami anda? Jika anda masih lagi belum mengetahuinya, ketahuilah serba sedikit tentangnya. Mungkin hobi anda dan juga suami adalah sama. Jadi, bolehlah anda berdua melakukan hobi itu bersama-sama pada masa terluang. Contohnya, jika anda dan suami sangat gemar memancing, apa kata setiap hujung minggu anda dan juga suami pergi memancing sama ada di sungai ataupun air terjun. Pastinya hujung minggu yang terluang itu diisi dengan aktiviti yang boleh mengeratkan hubungan anda berdua.
Pekerjaan
Pekerjaan merupakan salah satu aspek yang sangat penting. Tidak kira apa jua jenis pekerjaan, namun datang daripada sumber yang halal, pastinya memberikan kebahagiaan bukan sahaja pada anda, malah pada keluarga yang bakal dibina. Pastikan pekerjaan yang dimiliki suami adalah daripada sumber yang halal dan tetap kerana setelah berkahwin, suamilah yang akan menampung segala perbelanjaan keluarga.
Lubuk konten untuk inspirasi bakal – bakal pengantin. Pengantin kini di seeNI.
Download
sekarang!
Apa itu musibah? Musibah adalah sesuatu perkara yang berlaku tidak seperti yang kita harapkan. Sesuatu yang biasanya tidak disukai. Sebagai contoh, jika kita bekerja di pejabat, kita dimarahi oleh pegawai atasan, itu adalah salah satu bentuk musibah. Jatuh motor? Juga salah satu jenis musibah. Musibah tidak semestinya berlaku kepada diri kita sahaja, tetapi musibah juga berlaku kepada orang yang kita sayangi dan orang di sekililing kita.
Tapi apa yang pasti, semua orang akan mengalami musibah, tetapi dalam bentuk yang berbeza dan sesuai dengan kekuatan diri masing-masing. Allah menyebut di dalam surah Al Baqarah: ayat 286 yang antaranya bermaksud ” Allah tidak membebani seseorang melainkan sesuai dengan kesanggupannya..”
Jadi, perkara pertama yang perlu kita letakkan dalam kotak minda kita apabila ditimpa musibah adalah ianya datang daripada Allah dan pasti kita akan dapat menghadapinya.
Sebelum Musibah
Musibah sememangnya tidak dapat diduga oleh manusia. Ianya boleh datang pada bila-bila masa. Oleh itu, kita perlu sentiasa mempersiapkan diri untuk sebarang kemungkinan sekiranya musibah datang melanda diri kita. Antara perkara yang perlu sentiasa kila lakukan untuk memberikan kita kekuatan sebelum menerima musibah adalah:
Memperbanyakkan doa agar diberikan kekuatan untuk menghadapi sebarang jenis musibah dan ujian. Berdoa juga agar sekiranya berlaku musibah, musibah yang datang adalah sesuatu yang boleh kita hadapi.
Memperbanyakkan doa agar diri sentiasa teguh walaupun diuji dengan musibah. Bina keyakinan dan redha dengan qada’ dan qadar yang telah ditetapkan.
Selepas Musibah
Apabila musibah melanda, itu adalah menjadi tanda kepada 2 perkara. Sama ada musibah yang melanda adalah merupakan satu ujian atau merupakan satu penghapusan dosa. Oleh itu apabila berlaku musibah, ini adalah perkara yang boleh kita lakukan.
Berdoa dengan doa terkena musibah iaitu “Innalillahi-wa-inna-ilaihi-rojiun”. Doa ini bukan hanya dibaca apabila berlaku kematian, tetapi turut dituntut dibaca apabila berlaku sebarang jenis musibah.
Muhasabah diri dan fikir dari sudut yang positif kenapa musibah tersebut melanda. Mungkin ianya sebagai ujian untuk meningkatkan darjat atau sebagai penghapus dosa?
Perbanyakkan Istigfar dan renungi dosa-dosa yang pernah kita lakukan.
Sentiasa bersabar dan redha dengan ketetapan Allah.
Cari sahabat yang dipercayai dan minta nasihat.
Minta maaf dengan kawan dan sahabat sekiranya kita ada menyakitkan hati mereka.
Berusaha menghadapi musibah dan sentiada bertawakal kepada Allah.
Lubuk konten untuk inspirasi bakal – bakal pengantin. Pengantin kini di seeNI.
Download
sekarang!
Perubahan zaman menyebabkan kita mudah untuk berjumpa dan mengenali seseorang dengan cepat dan mudah. Laman sosial media terutamanya menjadi antara platform utama untuk mencari jodoh pada zaman ini.
Kini, anda sudah boleh mencari jodoh dengan hanya mengadap ‘smart phone’ sahaja. Tetapi perlu juga diingatkan yang medium internet sudah tentu mempunyai kelebihan dan juga kelemahan yang tertentu.
Namun, perlu diingatkan bahawa jangan sesekali beri maklumat peribadi anda kepada dia terlebih dahulu. Sebaiknya kenal hati budi dahulu sebelum berjumpa.
1. Tidak Mengganggu Masa Anda
Laman web adalah sesuatu yang bersifat boleh akses di mana-mana sahaja, tidak kira tempat dan waktu. Ia sangat sesuai bagi mereka yang selalu mengejar masa dan sibuk. Kesibukan merupakan antara faktor bagi golongan lelaki dan wanita lambat bertemu jodoh. Medium alternatif ini, ia akan lebih memudahkan golongan ini untuk bertemu dengan jodoh mereka.
2. Membantu Golongan Yang Kurang Keyakinan Diri
Mencari jodoh melalui internet juga adalah salah satu tempat alternatif yang baik bagi golongan yang kurang berkeyakinan tinggi. Ini kerana mereka dapat menyembunyikan kegugupan mereka berbanding jika bertemu secara berdepan dengan calon pasangan. Jika secara alam maya ia akan memberi sedikit kebebasan untuk bertanya.
3. Tidak perlu Keluar Rumah
Kelebihan mencari jodoh melalui internet juga adalah kita tidak perlu keluar daripada rumah. Bagi sesetengah orang, mereka malas untuk keluar ‘hangout’ terutama pada waktu hujung minggu kerana ia adalah waktu berehat. Jadi dengan hanya perlu melayari web cari jodoh, anda boleh bertemu jodoh dengan pasangan yang serasi.
4. Tidak Perlu Takut Ditolak
Anda yang mencari jodoh melalui internet tidak perlu takut jika mahu menolak atau ditolak oleh bakal pasangan taaruf. Ini kerana penolakan yang berlaku adalah biasa bagi cari jodoh secara ‘online’ ini. Semua calon yang mencari jodoh tidak bertemu secara berdepan. Jadi tidak perlu terasa hati atau tersinggung jika anda juga ditolak oleh calon lain.
5. Banyak Pilihan
Semestinya anda akan mempunyai banyak pilihan. Pilihlah yang terbaik dan serasi. Pastikan anda kenal bakal pasangan anda betul-betul sebelum melangkah ke tahap yang lebih serius.
6. Potensi Mendapat Jodoh Lebih Besar
Mereka yang mendaftar di laman web cari jodoh biasanya adalah mereka yang sudah bersedia untuk berkahwin. Tujuan dan misi mereka adalah jelas iaitu berkahwin. Oleh sebab itu, potensi untuk bertemu jodoh juga adalah lebih besar kerana semua orang yang mendaftar pada laman web tersebut mempunyai misi yang sama iaitu berkahwin.
Sumber : baitulmuslim
Lubuk konten untuk inspirasi bakal – bakal pengantin. Pengantin kini di seeNI.
Download
sekarang!