Jika dahulu hujung minggu sepanjang cuti persekolahan cukup sinonim dengan musim ‘kenduri kahwin’, namun kini trend itu bagaikan tidak relevan lagi.
Pelbagai faktor yang diambil kira oleh pasangan yang bakal mendirikan rumah tangga dalam memilih tarikh untuk hari paling bersejarah dalam hidup mereka. Malahan, ada pasangan yang memilih padanan tarikh yang ‘cantik’ atau simbolik, bersesuaian dengan tarikh penting dalam hidup mereka. Tidak ketinggalan, ada juga yang menunggu masa yang sesuai untuk semua sanak-saudara dapat berkumpul. Buat pasangan yang bernikah hampir bulan puasa pula, Pak Utih kongsi tip khas buat pasangan yang baru bernikah.
KHAS BUAT PASANGAN YANG BAHARU BERNIKAH (BULAN REJAB DAN SYAABAN)
“Dihalalkan bagi kamu pada malam puasa bercampur kepada isteri kamu, mereka pakaian bagi kamu dan kamu adalah pakaian bagi mereka. Allah mengetahui bahawasanya kamu telah berkhianat kepada diri-diri kamu. Maka diampunkanNya kamu dan dimaafkanNya kamu. Maka sekarang campurilah mereka dan carilah apa yang telah ditentukan Allah buat kamu. Dan makan dan minumlah, sehingga berbeza bagi kamu tali putih dari tali hitam dari waktu fajar. Kemudian itu sempurnakanlah puasa sampai malam, dan jangan kamu mencampuri mereka padahal kamu sedang I’tikaf di dalam masjid-masjid. Itulah batas-batas Allah, maka janganlah kamu dekati akan dia. Demikianlah Allah telah menjelaskan perintah-perintahNya kepada manusia, supaya mereka bertakwa” (Al Baqarah: 187)
Salah satu sebab turunnya ayat ini berkaitkan dengan kisah Saidina Umar Al Khattab as yang telah menyetubuhi isterinya setelah isterinya terjaga daripada tidur. Oleh kerana merasa ragu-ragu sama ada puasanya telah terbatal ataupun tidak, beliau telah merujuk kepada Rasulullah saw dan turunlah ayat 187 mengubah syarat berpuasa yang terdahulu.
Mengikut tafsir Ibnu Kathir, syarat berpuasa yang terdahulu hanya membenarkan seseorang itu makan, minum, dan bercampur dengan isterinya diantara waktu Maghrib dan Isyak sahaja. Betapa beratnya syarat berpuasa pada zaman dahulu berbanding dengan setelah turunnya ayat 187 ini.
Ads
Cabaran yang sedang dihadapi oleh pasangan muda suami isteri kebelakangan ini ialah memilih tarikh majlis perkahwinan mereka hampir sangat dengan bulan Ramadhan. Kalau zaman saya dulu, orang-orang tua kita akan berusaha mencari tarikh yang diistilahkan sebagai “pengapit raya”. Iaitu mana-mana tarikh di antara hari raya puasa dengan hari raya haji.
Seingat saya, memang tidak pernah dengar pasangan dahulu berkahwin pada tarikh yang hampir dengan bulan Ramadhan. Ini bertujuan untuk mengelakkan pasangan yang baru dapat “lesen memandu” itu terbabas memandu di siang hari.
Mudah-mudahan kekuatan iman dapat mengawal “steering kereta itu” semasa siang Ramadhan.
Ads
Di sini ada tip agar tidak terbabas:
1. Selepas sahur terutama sekali hari cuti atau hari minggu, jangan naik semula ke katil baring-baring. Keadaan ini amat merbahaya kerana perut sudah kenyang dan hormon testosteron lelaki sedang paras tertinggi. Mudah di hasut syaitan (walaupun syaitan sedang diikat).
2. Suami terus ke masjid atau surau. Dan jangan pulang awal. Jika ada kuliah subuh sila tunggu sampai selesai matahari naik paras dhuha.
Ads
3. Isteri pula, bila dengar suami dah pulang ke rumah dari surau, terus bangun tinggalkan katil. Buatlah kerja kemas mengemas atau basuh baju. Jangan masih terbaring atas katil walaupun diselubungi selimut.
4. Jika ingin bersembang pada siang hari, elakkan di atas katil. 5. Jangan ada niat nak membatalkan puasa dengan berbuka sebelum sengaja “terbabaskan kereta ke longkang” itu. Nilai satu hari puasa Ramadhan tidak sama dengan nikmat 30 minit itu dan diganti dengan hari-hari lain.
6. Bila suami dah mula nak “terbabas”, isterilah yang wajib mengingatkannya. Biasanya, minda lelaki pada waktu itu telah “tidak siuman”.
Nasihat Pak Utih… boleh share. #pakutih #mahligaikasih #suamihensemisteriohsem
Lubuk konten untuk inspirasi bakal – bakal pengantin. Pengantin kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Dengar saja perkataan ‘kahwin’ semua pasangan akan tersenyum sampai ke telinga. Namun, bila memikirkan persiapan yang perlu dibuat, seram sejuk dibuatnya. Dari proses merisik sehinggalah berakhirnya majlis kedua-dua belah pihak, wang mengalir laju saja. Mana taknya, zaman sekarang semuanya serba mahal. Itulah yang menyebabkan ramai mahukan cara kumpul duit kahwin, supaya boleh digunakan untuk macam-macam urusan.
.
Kenapa hantaran dan majlis kenduri sahaja?
Bukanlah mahu kata yang lain tak penting. Cuma dua perkara ini, memerlukan kos yang tinggi. Banyak duit akan dibelanjakan hanya untuk dua perkara ini. Dari sekecil-kecil perkara semuanya melibatkan wang ringgit yang bukannya murah. Namun, yang lebih parah dah tentulah pihak lelaki kerana perlu sediakan wang hantaran selain persiapan majlis sendiri.
Sebenarnya, ikatan yang bakal dibina bukannya diukur dengan mewahnya pelamin yang dihiasi bungaan segar. Bukan juga dilihat pada menu makanan yang menyajikan kambing golek dan sate kambing. Malah, sepersalinan yang mewah dan gah juga tidak bermakna jika hanya pada hari bersejarah itu sahaja mereka kelihatan benar-benar bahagia.
Perlukah majlis kahwin yang ‘grand’?
Kehidupan berumah tangga mula teruji selepas majlis kedua-dua belah selesai dengan gemilangnya. Ya benar, kita perlu meraikan tetamu. Malah, itu juga yang dianjurkan oleh agama. Namun, bukan ke bersederhana itu jauh lebih baik?
Adakah anda sebagai suami atau bakal isteri; mampu menyediakan kelengkapan untuk keselesaan keluarga dan anak-anak kelak? Adakah anda sanggup terus dibebani hutang kahwin sedangkan sudah ada 2 orang anak? Segala persoalan ini memerlukan perancangan rapi sebelum berumah tangga tak kisah bagi pihak lelaki atau perempuan.
Cara kumpul duit kahwin
Justeru, artikel ini akan cuba membantu anda yang sedang dalam kekusutan simpan duit untuk kahwin. Jangan risau, tiada yang mustahil. Yang penting, terus berusaha dan bertawakal. Nah, ini tips untuk bakal pengantin, pasangan yang baru merancang nak kahwin dan bagi yang masih mencari jodoh. Selamat membaca.
Tetapkan matlamat dan niat
Mindset itu penting. Jika sudah bertemu pasangan yang dirasakan sesuai untuk jadi peneman hidup, tetapkan niat untuk berkahwin. Jangan sibuk dating saja. Hidup perlu ada impian dan matlamat. Mungkin anda boleh memasang niat untuk berkahwin dalam 2 tahun lagi. Oleh itu, anda ada masa yang mencukupi untuk simpan duit.
.
Kerjasama antara keluarga dan pasangan
Pasangan yang akan berkahwin perlu bersikap lebih toleransi antara satu sama lain. Misalnya, keluarga belah perempuan janganlah minta jumlah hantaran di luar kemampuan lelaki.
Janganlah sampai RM15,000 tapi kalau mampu tiada salahnya.
Hantaran tidak diwajibkan dalam Islam. Ia hanyalah budaya turun-temurun untuk bantu persiapan pihak perempuan sahaja. Bakal isteri juga janganlah terikut-ikut dengan orang lain sehingga bakal suami ikat perut setiap bulan.
Buat majlis yang sederhana
Berbincanglah baik-baik untuk melangsungkan majlis yang sederhana dan ikut cara Islam saja. Buat yang perlu dan wajib sahaja, misalnya majlis nikah yang ringkas dan menjemput tetamu untuk meraikan.
Tetamu yang dijemput cukuplah sekadar ahli keluarga, saudara mara, jiran tetangga dan kenalan yang penting dan rapat. Tak perlu sehingga 2000 jemputan, sehingga tuan rumah pun tak kenal mereka.
Jika ikut cara kumpul duit kahwin ini, pasti akan bangga jika dapat laksanakan majlis yang sederhana.
Beli rumah dulu
Jika ahli keluarga kedua-dua belah pihak telah setuju tentang majlis, maka bakal pengantin perlu buat persiapan. Sebaik-baiknya dari awal lagi mereka perlu berfikiran jauh untuk simpan duit. Tak perlu tunggu selepas majlis risik.
Lelaki perlu fikir tentang rumah yang bakal diduduki, kenderaan dan sebagainya. Aset-aset ini tak perlu terus dibeli lepas kahwin. Tak perlu terburu-buru. Pada awal perkahwinan, boleh saja duduk bersama-sama keluarga lelaki. Malah, boleh juga gunakan kereta yang lama. Namun, jangan pula terus menyusahkan ibu bapa. Belajar hidup berdikari.
Kalau bekerja kerajaan, boleh cuba tengok kelayakan dan gunakan kalkulator LPPSA untuk mengira berapa perlu bayar.
Simpan duit dalam ASB
Antara yang boleh dibuat ialah membuat pinjaman Amanah Saham Bumiputera (ASB loan). Cara ini ialah paksaan ke atas diri untuk menyimpan secara disiplin dan sistematik. Tidak susah, login MyASNB sahaja. Segalanya di hujung jari.
Misalnya, anda membuat ASB loan sebanyak RM50,000.00 dan diikat selama 30 tahun. Jadi, bayaran bulanan yang anda perlu bayar ialah sebanyak RM300.00 dengan kadar faedah bank sebanyak 5.2%.
Jika dividen tahunan yang akan diperoleh ialah sebanyak 7.25%, maka anda akan dividen daripada simpanan ASB sebanyak RM3625,000.00 pada tahun itu. Jika anda bercadang untuk berkahwin lagi 2 tahun, maka anda akan dapat hampir RM7250,000.
Duit sebanyak ini sudah dapat membantu hampir separuh persiapan kahwin anda bukan? Itulah antara kebaikan membuat pelaburan ASB.
Simpan duit kahwin dalam Tabung Haji
Selain itu, anda juga boleh membuat simpanan di Tabung Haji (TH). Setiap tahun, TH akan mengagihkan keuntungan yang diperoleh dalam bentuk hibah dan bonus. Malah, anda juga boleh membuat simpanan di bank lain seperti Maybank, AmBank, Affin, Hong Leong, Public Bank dan sebagainya.
Bila dah mula menyimpan, jangan gatal-gatal tangan untuk keluarkan wang pula. Cuba konsisten dalam menyimpan wang. Misalnya, setiap pasangan boleh kongsi duit untuk menyimpan. Jadi, tidaklah berat untuk satu pihak kan? Kalau takut tak tahan godaan, boleh saja berikan kad ATM pada ibu untuk memegangnya.
Buat kerja sampingan, ini cara simpan duit kahwin paling bijak
Ah, ini satu cara kumpul duit kahwin yang paling pantas. Orang kata, biar susah-susah dahulu, barulah boleh bersenang-senang kemudian. Bukannya mudah untuk kumpul duit kan?
Sekurang-kurangnya segala kepayahan ini akan menjadi pengalaman manis untuk dikenang. Pasti anda dan pasangan akan tersenyum sendiri bila terkenangkan susah-payah kumpul duit sama-sama.
Bagi pihak perempuan, anda boleh menjadi dropship tanpa keluarkan modal. Misalnya, anda boleh jual baju kurung dan tudung. Anda menjadi orang tengah untuk buat promosi dan melayan pertanyaan pelanggan. Jika berjaya menjual produk tersebut, dapatlah komisyen.
Anda juga boleh mohon kerja sebagai tutor. Jika berbakat dalam jahitan, boleh ambil tempahan menjahit pakaian. Kalau masakan anda selalu dipuji, apa kata cuba jual makanan pula.
Bagi pihak lelaki, anda boleh jadi pemandu Grab. Bila ada masa terluang, baik bawa kereta. Boleh juga buat duit guna aset sendiri. Kalau berbakat dalam gunting rambut, cuba minta kerja di kedai gunting rambut. Pendek kata, ikutlah kemampuan, bakat dan minat sendiri. Janji dengan cara halal.
Ada banyak kerja part time yang boleh dilakukan, hinggakan yang tidak perlukan modal langsung. Antara mahu atau tidak sahaja.
.
Buat tempahan semasa ada promosi
Sentiasa merajinkan diri ke Pameran Pengantin yang diadakan di kawasan anda. Biasanya promosi yang diberikan hebat dan harganya jauh lebih murah. Anda perlu membuat tempahan awal dan bayar sedikit deposit.
Di sini, anda boleh mencari pakej perkahwinan yang mengikut bajet termasuk katering, kad kahwin, perkhidmatan fotografi, pelamin, andaman dan sebagainya. Misalnya kalau hendak tempah kad kahwin, tak perlu ambil yang mahal-mahal. Sudahnya hujung nanti akan ke tong sampah juga. Membazir kan?
Malah, kini di media sosial seperti Facebook juga ada banyak page dan group yang memberikan tips dan perkhidmatan untuk majlis kahwin.
Cuma untuk guna cara kumpul duit kahwin dengan teknik sebegini, perlu selalu follow penyedia khidmat kahwin di Facebook dan Instagram selalu.
Buat tabung kahwin
Tabung kahwin ni bukan maksudnya simpan di dalam bank. Simpanan itu anda yang pegang dan ikut kreativiti sendiri. Misalnya, jika anda bawa duit belanja ke tempat kerja sehari sebanyak RM30.00. Duit ini mungkin termasuk duit makan, duit minyak dan sebagainya.
Setiap hari, anda boleh simpan sebanyak RM5.00 iaitu baki dari wang harian itu. Paksa diri untuk menyimpan. Apa jadi pun, wang RM5.00 perlu disimpan. Jika perlu digunakan kerana terdesak atau kecemasan, esoknya gandakan jumlah itu menjadi RM10.00.
Maka, jika setiap hari anda menyimpan RM5, jadi dalam sebulan anda sudah mempunyai RM150. Untuk setahun dah jadi RM1,800, kalau 2 tahun RM3,600. Jika dicampurkan dividen ASB (RM7250,00.00) campur tabung kahwin (RM3,600.00), anda dah berjaya kumpul RM10,850.00.
Itu belum dicampur dengan simpanan gaji kerja tetap dan kerja sampingan serta pendapatan lain lagi. Jangan risau, pasangan yang hendak membina masjid dengan niat kerana Allah akan dimudahkan jalan dan rezekinya.
Perlukah berhutang untuk kahwin?
Kalau boleh, elakkanlah. Selagi kita boleh simpan dengan kudrat sendiri, teruskanlah. Cara kumpul duit kahwin sudah ada. Hanya perlu ikut dan jadi lebih kreatif untuk menambah lebih banyak amaunnya.
Lubuk konten untuk inspirasi bakal – bakal pengantin. Pengantin kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Jerawat berpunya daripada kecederaan yang disebabkan oleh bintik putih (white head) dan bintik hitam (black head) di kulit anda; ataupun akibat pertumbuhan bakteria. Untuk sebab pertama, ia boleh berpunca dari tabiat gaya hidup atau sebab lain. Ini antara cara mudah yang mungkin anda boleh gunakan kalau dah tak sabar nak kecutkan jerawat di wajah, tambahan hari persandingan semakin hampir nanti.
SAPU DENGAN UBAT GIGI
Ada mereka yang sumpah bahawa ubat gigi amat mujarab dan salah satu cara menghilangkan jerawat yang baling berkesan. Cuma sapukan ubat gigi atas jerawat!
Minyak Pati (Essential Oil)
Penggunaan minyak pati atau essential oil seperti Frankincense, peppermint, lavender, lemon, tea tree, grapeseed, Primrose dan lemongrass juga amat popular sebagai cara menghilangkan jerawat. Disebabkan oleh kepekatan essential oil, ia adalah lebih baik digunakan apabila dicairkan dengan air atau dicampur dengan minyak pembawa lain.
Minyak Argan atau Kastor
Selain daripada minyak pati, anda juga boleh menggunakan argan oil atau castor oil pada kulit muka. Biarkan selama sejam kemudian sapu bersih dengan tuala yang direndam air suam.
Garam Epsom
Campurkan satu sudu kecil garam epsom dengan air kemudian rendamkan kapas ke dalam campuran itu. Dab kapas tersebut ke atas kawasan yang berjerawat selama beberapa minit kemudian basuh muka dengan air sejuk.
Cuka Epal Sidar (Apple Cider Vinegar)
Gaulkan cuka epal sidar (Apple cider vinegar) dan air dalam nisbah 1:1 kemudian rendamkan kapas ke dalam campuran tersebut. Dengan lembut sapukan kapas tersebut ke atas kawasan berjerawat selama beberapa minit. Selepas itu basuhkan muka dengan air sejuk.
Pes Baking Soda Dan Air
Buatkan pes dengan satu sudu kecil baking soda dan air. Sapukan pes tersebut ke atas jerawat anda dan biarkan selama 5 minit. Kemudian basuh muka anda dengan air suam.
Milk of Magnesia
Anda juga boleh menggunakan milk of magnesia (Magnesium Hydroxide) untuk mengeringkan jerawat anda. Cecair ini boleh dibiarkan selama beberapa jam atau semalaman.
Pil Minyak Ikan
Pil minyak ikan juga dikatakan sebagai salah satu cara penyembuhan jerawat dari dalaman. Mungkin ia kesannya tidak selaju, tetapi ia merupakan cara yang paling berkesan dalam masa jangka panjang.
Minyak Kelapa
Menurut ramai, hanya dengan urut (dalam bulatan) beberapa titis minyak kelapa ke atas kawasan jerawat amat mujarab dalam penghilangannya.
Vaseline atau Vicks Vaporub
Vaseline ataupun Vicks Vaporub juga agak popular sebenarnya sebagai cara menghilangkan jerawat. Cuma sapukannya ke atas jerawat dua kali sehari untuk beberapa jam.
Pes Bawang Putih
Tumiskan beberapa biji bawang putih dengan air sehingga ia menjadi pes. Basuhkan muka selepas 10 minit. Peringatan: Jangan gunakan bawang putih tulen (tanpa campuran air) ke atas jerawat.
Madu Tulen
Madu tulen juga merupakan salah satu ubat mujarab Sapukan madu tulen ke atas muka dan biarkannya selama 30-40 minit sebelum membasuh muka anda.
Pes Aspirin
Hancurkan beberapa biji aspirin kemudian campurkannya dengan sedikit air sehingga ia menjadi pes. Biarkan pes itu semalaman.
Ais
Letakkan ais yang dibalut dengan kain lembut ke atas jerawat untuk beberapa minit. Ini akan meredakan kesakitan dan mengeringkan jerawat.
Gel Lidah Buaya (AloeVera)
Potong daun lidah buaya (aloe vera) dan keluarkan gel di dalamnya. Ini boleh digunakan secara langsung di kawasan yang terjejas untuk merawat jerawat.
Hidrogen Peroksida (Hydrogen Peroxide)
Rendamkan kapas dalam larutan hidrogen peroksida (3%). Dalam sapuan lembut, gunakan hidrogen peroksida pada jerawat dengan menggunakan kapas. Hidrogen Perokosida boleh didapati di kedai farmasi.
Jus Lemon Segar
Perah jus lemon segar dan celupkan bola kapas di dalamnya. Dengan bola kapas, sapukan jus lemon di kawasan yang terjejas sebelum tidur.
Listerine
Letakkan bola kapas di mulut botol Listerine dan condong botol untuk mendapatkan beberapa titis Listerine pada kapas. Sapukan Listerine di kawasan yang terjejas dan biarkan ia kering. Lepas ia benar-benar kering, bilas dengan air.
Campuran Madu Dan Kayu Manis
Campurkan madu dan serbuk kayu manis untuk membuat pes. Bersihkan wajah anda dan sapukan pada jerawat. Biarkan ia semalaman. Lihat perbezaan selepas mencuci muka pada keesokan harinya.
Eye Drop
Letakkan dua hingga tiga titis ‘eye drop’ pada Q-tip. Sapukan pada jerawat dengan Q-tip. Biarkan selama 30 minit sebelum membasuhnya. Cara menghilangkan jerawat yang senang dan efektif!
Rubbing Alcohol
Rendam bola kapas dalam ‘rubbing alcohol’ dan peras lebihan. Dab bola kapas pada jerawat dan biarkan alkohol menguap secara semula jadi. Bilas alkohol selepas kira-kira 15 minit. Teknik ini tidak harus dilakukan oleh mereka yang mempunyai kulit sensitive.
Kunyit
Campurkan kunyit dengan air untuk membuat tampalan halus yang akan meliputi seluruh kawasan yang terjejas untuk menghilangkan jerawat. Sapukan pes ini pada jerawat dan biarkan ia kering. Bilas pes kunyit itu selepas kira-kira 15 minit.
Telur Putih dan Buah Lemon
Pisahkan telur putih dari kuning dan tambah jus lemon. Campurkan dengan baik. Sapukan campuran di seluruh muka dengan berus. Biarkan topeng telur putih itu selama kira-kira 30 minit dan kemudian bilas dengan air suam. Selepas itu bilas dengan air sejuk.
Minyak Zaitun (Oilve Oil)
Sebelum tidur, bersihkan wajah anda dan suamkan sedikit minyak zaitun. Urutkan minyak di muka anda dengan gerakan bulatan lembut selama beberapa minit. Biarkan minyak pada kulit anda semalaman.
Teh Hijau
Minum dua hingga tiga cawan teh hijau setiap hari sebagai sebuah pencegahan dan cara menghilangkan jerawat untuk selama-lamanya!
Pilihan rona pada baju pengantin memainkan peranan penting bagi menonjolkan penampilan mempelai di majlis meraikan cinta. Rona yang sempurna mampu membuatkan aura jelita si ratu sehari tampak lebih menyerlah. Lihat seleksi palet rona yang boleh dijadikan inspirasi buat majlis bahagia anda.
PEACH ECHO
Peach echo merupakan rona oren dengan suntikan merah muda yang memberi kesan lebih harmoni dan hangat. Rona yang masih dalam kelompok rona oren ini masih menampilkan nuansa yang ceria.
GREEN FLASH
Rona ini memiliki sifat yang unik dan cukup menyerlah. Ia lebih memberi kesan neutral dengan rona alam yang nyata, malah mampu membuatkan si pemakai rasa lebih menyerlah dengan kuasa rona menyengat ini.
ICED COFFEE
Warna transisi yang neutral ini memiliki kesan sederhana, lembut dan halus. Ratu sehari akan terlihat lebih eksentrik dengan suntikan rona ini. Sesuai buat bakal pengantin yang inginkan sesuatu kelainan di majlis bahagia.
LIMPET SHELL
Rona yang terkesan bersih, segar dan moden ini sesuai buat mempelai yang menggemari rona pastel. Sesuai digayakan di majlis pernikahan mahupun resepsi, rona lembut ini bakal menyerlahkan penampilan anda.
SNORKEL BLUE
Tampak anggun dan memukau! Rona ini memberikan kesan yang tenang dan relaks. Rona seakan-akan navy blue ini tampak lebih bertenaga, malah mampu menghasilkan ilusi yang lebih langsing buat si pemakai.
ROSE QUARTZ
Ternyata rona rose quartz ini mencipta kesan yang lebih romantis, elegan dan eksklusif. Rona pastelnya mampu membiaskan aura jelita yang tiada tara selain menghasilkan gaya ratu sehari yang anggun dan feminin.
LILAC GREY
Rona ini termasuk dalam rona yang klasik seolah-olah tradisional, namun masih memiliki rasa edgy di dalamnya kerana gabungan antara warna terang, lilac dan warna kelabu. Eksklusiviti rona ini mampu membangkitkan mood mewah dan lebih classy buat si pemakai.
Tip Memilih Rona Busana Mengikut Tubuh
Pastinya setiap gadis yang bergelar ratu sehari ingin tampak anggun, menawan dan langsing di hari paling bahagia. Pemilihan rona busana bagi menyerlahkan bentuk badan seseorang itu harus dititikberatkan agar anda kelihatan jelita.
TUBUH GEMPAL & TINGGI
Individu yang mempunyai badan seperti ini sesuai menggayakan busana berona gelap seperti navy blue, coklat gelap dan hijau gelap. Rona-rona ini mampu memberi ilusi lebih langsing dan tinggi. Jika ingin bergaya dengan busana bercorak, pilihlah corak dengan motif yang bersaiz kecil.
TUBUH KURUS & RENDAH
Serlahkan penampilan anda dengan penggayaan busana pengantin daripada rona yang lebih cerah dan corak atau motif yang sedikit besar. Motif garisan menegak sesuai dipakai supaya anda tampak lebih tinggi. Lengkapkan penampilan anda dengan memakai kasut tumit tinggi.
TUBUH KURUS & TINGGI
Bagi mereka yang mempunyai tubuh kurus dan tinggi, anda sesuai memakai warna cerah seperti merah jambu, merah, kuning, oren, hijau, biru dan coklat. Selain itu, anda juga boleh menggayakan busana dengan corak melintang atau motif yang lebih besar bagi mengurangkan anda kelihatan terlalu kurus.
Lubuk konten untuk inspirasi bakal – bakal pengantin. Pengantin kini di seeNI. Download seeNI sekarang!