Sebelum berkahwin, janganlah hanya meletakkan rupa paras sebagai kayu pengukur untuk memilih pasangan. Asal nampak kacak, itulah yang direbut-rebutkan sedangkan paling utama sekali wanita perlu melihat agamanya, sifat tanggungjawabnya dan kedudukan ekonominya.

 

Janganlah terlalu menjadi hamba cinta. Jangan butakan mata kerana cinta. Hidup berumahtangga ni bukan untuk sehari dua tetapi ia untuk selama-lamanya. Jadi, carilah pasangan hidup yang boleh bersama-sama hidup susah dan senang dengan anda. Baca perkongsian Mohd Fadli Salleh ini.

 

******************************************************************

“Mak. Ayah curi tabung adik,” mengadu si anak pada si ibu dengan sayu.

“Tabung kakak pun mak,” balas si kakak.

“Tabung abang pun sama mak,” balas anak kedua.

Tiga tabung anak. Tiga-tiga dalam tong sampah. Si ibu mengeluh. Bil letrik dah merah. Surat potongan letrik dah sampai. Tertunggak lebih RM1000.

Masuk ke dapur nak jerang nasi, buka pili air. Tiada air keluar. Dah kena potong rupanya. Suaminya berjanji nak bayar, rupanya janji tinggal janji.

Bank dah telefon ansuran kereta dah 3 bulan tertunggak. Guru Kemas telefon minta bayar tunggakan yuran.

Anak sulung pula bawa balik surat jamuan akhir tahun pengawas. Kena bayar lagi. Beras kat dapur dah habis. Peti ais kosong. Susu pun sama.

Dan suami… Suaminya hanya menjadi biawak hidup di rumah. Berbulan-bulan dah tak kerja. Hampir setahun dah kalau dikira.

Sebelum ini pun sama. Semua pekerjaan, si isteri yang kena carikan. Tolong isi borang. Kena heret tangan suruh pergi temuduga.

IKLAN

Elok dapat kerja, buat hal. Bergaduh dengan orang itu orang ini. Main perempuan lain pula. Isteri mana nak sabar. Maka bergaduh. Bila bergaduh, bukan setakat mulut sahaja. Kaki tangan suami naik ke badan sampai lebam satu badan.

Dan… Kisah ini berulang-ulang. Berputar tanpa henti. Si ibu ini kena tanggung semuanya. Dia bukan kerja doktor. Bukan juga lawyer. Dia hanya kerani sahaja.

Gajinya bukan besar. Tapi semua benda dia kena tanggung. Semua. Termasuk duit rokok suami, duit minyak motor, duit kedai kopi.

Apa benda ni? Gila.

Serius aku cukup tak faham seorang lelaki boleh duduk saja harap isteri bagi duit. Bila tak dapat curi pula tabung anak. Ah, gila.

Aku kalau terdesak usahkan curi, minta duit isteri pun tidak walau aku tahu isteri aku ada duit. Malu. Itu maruah lelaki. Maruah suami.

Aku rela pinjam dengan kawan-kawan. Bila gaji masuk terus bayar. Usah nak minta duit isteri, nak pinjam pun tak sanggup.

Tak ada rasa bersalah langsung tak kerja nak isteri yang bertungkus lumus. Tak ada rasa berdosa ke biarkan isteri pikul segala tanggungjawab bayar itu ini?

Tak ada sekelumit rasa malu ke isteri yang biayai dan tanggung keluarga. Dan lebih memalukan, tabung anak sendiri pun sanggup dipecahkan. Sampai pernah si anak berkata pada ibu,

IKLAN

“Mak. Kalau ayah tak pulang lagi baik kan?”

“Mak tak pernah ajar anak-anak bencikan ayah. Tapi…”

Akak ini datang dari jauh semata-mata nak bertemu aku. Untuk sekampit beras dan barang basah supaya dapur itu berasap kembali.

Dia tertekan sangat. Suaminya langsung tidak peduli bil air dipotong dan bil api sampai surat merah. Tak pernah suami dia fikirkan yuran tadika anak, jauh sekali nak fikirkan pasal bayaran jamuan pengawas.

Semua atas pundak dia. Semua sekali.

Pernah surat saman Coway sampai di rumah. Dia tak mampu bayar dan dia sangat berharap dia dipenjarakan.

Biar lega. Biar terlerai semua masalah yang dia tanggung. Sampai tahap itu dia terfikir.

Namun bila memandang mata anak-anak, jiwanya kembali melembut.

IKLAN

Dia masih ibu. Dan bagaimana anak-anak ini akan survive jika dia ke dalam? Nak harapkan suami? Tak adanya…

Entahlah. Aku dah tak tahu nak cakap bagaimana lagi. Kes suami pemalas begini sangat banyak aku terima.

Kalau dia malas hanya menyusahkan diri sendiri tak apa juga. Ni habis susahkan isteri dan anak-anak, menjadi beban yang amat.

Aku tidak menggalakkan penceraian. Namun kadang-kadang melepaskan itu lebih membahagiakan. Bertahan dengan harapan pasangan berubah kadang-kadang hanya angan-angan yang tak mungkin kesampaian.

Kadang-kadang, itu jalan terbaik. Tidak terpakai untuk semua orang. Bukan juga aku tuju buat akak ini. Tapi secara umumnya, begitulah.

#DanaKITA
#MFS
– Sebuah kisah dicelah masyarakat yang padat.

HUKUM SUAMI TIDAK BEKERJA

Di dalam Surah al-Nisa’, ayat 34, Allah berfirman maksudnya “Kaum lelaki itu adalah pemimpin dan pengawal yang bertanggungjawab terhadap kaum perempuan, oleh kerana Allah melebihkan orang-orang lelaki (dengan beberapa keistimewaan) ke atas orang-orang perempuan, dan juga kerana orang-orang lelaki membelanjakan (memberi nafkah) sebahagian daripada harta mereka.”

 

“Daripada Jabir RA yang diriwayatkan Muslim, katanya Rasulullah bersabda, maksudnya: Bertakwalah kepada Allah dalam mengendalikan urusan kaum wanita. Kamu mengambil mereka dengan amanah Allah…

 

Kewajipan kamu pula ialah memberikan nafkah dan pakaian yang sepatutnya kepada mereka. “Sesungguhnya, aku tinggalkan satu perkara yang kamu tidak akan sesat selama-lamanya, selagi kamu berpegang dengannya, iaitu kitab Allah,” katanya.

 

***JOM SERTAI CHANNEL TELEGRAM PESONA PENGANTIN DAN DAPATKAN LEBIH BANYAK INFO BERSAMA KAMI. KLIK SAHAJA DI SINI.

Lubuk konten untuk inspirasi bakal – bakal pengantin. Pengantin kini di seeNI.
Download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI