Berbulan madu merupakan salah satu perkara yang sangat diidamkan oleh kebanyakan pasangan yang baharu melangsungkan perkahwinan. Kata orang, lebih jauh lebih seronok namun untuk pergi lebih jauh, perbelanjaannya lebih besar. Ramai yang teringin ke Eropah dan melihat cara hidup ‘orang putih’.

Kota Sydney, Australia merupakan tempat terbaik untuk berkenalan dengan negara ini sambil memadu kasih yang baharu disulam. Ia juga salah satu bandar raya paling popular di rantau Asia Pasifik dan juga dunia sejagat.

Buat pasangan yang pertama kali ke Sydney, anda boleh memulakan penjelajahan paling mudah dan cepat dengan menaiki The Big Bus (Hop-On Hop-Off Tour). Persis bas Hop-On dan Hop-Off di Kuala Lumpur, bas ini memberikan perkhidmatan lawatan pelancongan ke seluruh kawasan utama Sydney serta persekitarannya. Ini termasuklah kawasan pusat dan juga pantai Bondi yang sering menjadi tumpuan orang ramai.

Bas ini bukan sahaja melalui tempat-tempat tersohor Sydney tetapi turut berhenti di setiap lokasi bagi para pelancong yang ingin menjelajah serta melihat dengan lebih mendalam. Harganya juga tidak terlalu mahal dan menjadi pilihan terbaik untuk mereka yang ingin melawat Sydney dalam sepintas lalu.

Memadu Kasih di Kota Sydney Menyimpan Banyak Kenangan Bersama

LOKASI TARIKAN

Salah satu tempat yang harus dikunjungi di pusat kota Sydney adalah jambatan Harbour atau lebih dikenali sebagai Sydney Harbour Bridge. Jambatan yang terletak di Pelabuhan Sydney ini menjadi lambang kota Sydney dan merupakan lokasi sambutan tahun baharu paling popular di Australia. Setiap tahun baharu, percikan bunga api dapat dilihat memenuhi langit malam di jambatan ini dan pastinya ia romantis di waktu senja.

Lebih menarik, jambatan ini juga boleh dipanjat atau didaki. Sejak tahun 1998, Jambatan Harbour memulakan ‘Harbour Bridge Climb’ atau Pendakian Jambatan Harbour kepada orang awam termasuk penduduk tempatan serta para pelancong asing.

Walaupun digelar satu pendakian, namun ia tidak memerlukan anda untuk memanjat atau mendaki seperti di gunung atau bukit. Para pendaki hanya perlu melewati ratusan anak tangga untuk mencapai puncak jambatan di tengah. Terdapat beberapa pilihan pendakian mengikut tahap yang mampu dilalui para pengunjung. Banyak juga pasangan yang sama-sama mendaki untuk mengabadikan kenangan manis, khasnya bergambar di puncak jambatan.

IKLAN

Ini kerana pemandangan yang dapat dinikmati di atas sana memang sukar diungkap dengan kata-kata. Seluruh kota Sydney dapat disaksikan termasuklah satu lagi bangunan ikonik Sydney iaitu Rumah Opera Sydney atau Sydney Opera House. Jadi ia memang sesuai untuk pasangan yang bercinta.

Sydney Opera House pula merupakan salah satu gedung tersohor Australia dan juga dunia. Bentuk bumbung uniknya yang mirip cangkerang menjadikannya sebuah hasil seni bina yang mengagumkan. Malah para pengunjung turut berpeluang mempelajari cara-cara pertunjukan dianjurkan. Lebih romantis kalau dapat menyaksikan salah satu persembahan pentas yang dianjurkan sewaktu berada di situ. Dan sudah tentu jangan lupa untuk mengambil gambar berlatarbelakangkan bangunan ini.

Memadu Kasih di Kota Sydney Menyimpan Banyak Kenangan Bersama

 

MENCARI KELAINAN

IKLAN

Untuk pasangan yang ingin mencari kelainan, boleh cuba menyertai ‘Whale-Watching Cruise’ atau Pelayaran Melihat Paus bersama Fantasea Cruising. Pengunjung berpeluang melihat paus secara dekat di lautan biru beberapa kilometer dari pelabuhan Sydney.

Memadu Kasih di Kota Sydney Menyimpan Banyak Kenangan Bersama

Agak menakjubkan juga bila dapat melihat paus-paus ini naik ke permukaan samudera untuk bernafas. Ada juga pelayaran yang lengkap dengan makan malam romantik, mengikut pakej yang dipilih. Jadi ini juga salah satu aktiviti yang sesuai untuk pasangan yang sedang berbulan madu.

Satu lagi destinasi wajib kunjungi ialah Sydney Fish Market atau Pasar Ikan Sydney. Sungguh pun begitu, ia bukanlah pasar ikan biasa. Selain dijaga kebersihannya dengan rapi, pasar ini juga menjadi tumpuan mereka yang ingin menjamu selera dan mencuba makanan laut segar (yang dijual di situ).

Makanan halal juga mudah diperoleh di Sydney kerana terdapat banyak restoran halal di seluruh bandar raya ini. Jika ingin melihat lebih banyak tempat menarik dan romantis untuk berbulan madu, terbanglah ke Sydney. Anda pasti tidak akan menyesal!

IKLAN
Memadu Kasih di Kota Sydney Menyimpan Banyak Kenangan Bersama
Sydney Fish Market

 

 PILIHAN PENGINAPAN

Terdapat banyak pilihan penginapan buat yang berkunjung ke Sydney iaitu Adina Apartment. Bagi yang suka menginap di ruang yang lebih luas dan selesa dengan konsep pangsapuri, bolehlah cuba bermalam di Adina Apartment.

Radisson Blu Plaza pula sesuai untuk anda yang ingin berada berdekatan dengan kawasan membeli-belah dan pusat kota pula. Radisson Blu Plaza Sydney ialah pilihan yang sesuai kerana ia bukan sahaja terletak di pinggir Pitt Street tetapi juga hanya beberapa minit perjalanan kaki dari Jambatan Harbour dan juga Rumah Opera Sydney.

Buat yang mampu dan inginkan ruang inapan yang mewah, Hotel The Darling yang terletak di Darling Harbour merupakan pilihan yang sangat sesuai. Menurut senarai Forbes Travellers, ia merupakan salah satu hartanah lima bintang terbaik di dunia. Semestinya ia bukanlah calang-calang tempat penginapan.

Malah restorannya yang bernama Sokyo juga merupakan salah satu restoran Jepun yang paling popular di Sydney. Pastinya penginapan anda bersama orang tersayang di sini akan membangkitkan rasa kasih sayang untuk anda berdua memulakan kehidupan berumah tangga.

Memadu Kasih di Kota Sydney Menyimpan Banyak Kenangan Bersama
Radisson Blu Plaza Hotel ( kiri) Pittstreet ( kanan)

 

Memadu Kasih di Kota Sydney Menyimpan Banyak Kenangan Bersama
Suite 712

Oleh: Shah Shamshiri

Lubuk konten untuk inspirasi bakal – bakal pengantin. Pengantin kini di seeNI.
Download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI