Ramai wanita mahu kelihatan cantik tetapi suka ambil jalan mudah dan sambil lewa sahaja dalam mengetahui kesan sampingan setiap bahan kosmetik yang digunakan. Mari kita ubah sikap dan ambil tahu setiap kesan dan gejala yang akan dihadapi jika mengambil ubat kecantikan tanpa info yang tepat dan lengkap.
Tambahan pula ramai wanita di Malaysia mengidamkan kulit cerah. Tidak hairan produk kosmetik untuk tujuan itu semakin meningkat permintaannya. Fenomena ini semakin berleluasa apabila ramai pengguna, terutama wanita, berani mengambil ubat secara oral atau suntikan untuk mencerahkan kulit selain produk kosmetik.
Antara ubat yang semakin berleluasa dijual secara tidak sah di media sosial dan blog adalah asid Tranexamic. Penjualan ubat ini bertujuan mencerahkan kulit dengan mengambilnya secara oral atau suntikan.
Ubat ini juga dijual secara kombinasi dengan suntikan vitamin C bagi memberi kesan lebih ketara kepada penggunanya. Namun, adakah indikasi sebenar ubat asid Tranexamic untuk memutihkan kulit? Setiap ubat yang didaftar dengan Kementerian Kesihatan adalah dengan indikasi tertentu bersama bukti kajian klinikal. Ubat asid Tranexamic didaftarkan untuk mengawal pendarahan daripada terus berlaku. Ubat ini akan memastikan proses pembekuan darah terus utuh dan pendarahan dapat dielak atau dihentikan.
Oleh itu, ubat ini kerap digunakan doktor dalam situasi pesakit wanita mengalami pendarahan haid tidak berhenti atau pesakit mengalami pendarahan hidung yang berterusan.
Ubat ini juga digunakan untuk mengawal pendarahan ketika dan selepas pembedahan prostat, pendarahan organ yang abnormal seperti di paru-paru dan buah pinggang serta rawatan mengubati gejala seperti eritema, bengkak dan gatal kulit teruk.
Ads
Bahaya salah guna ubat cerah kulit
Semua ubat mempunyai kesan sampingan, begitu juga ubat asid Tranexamic. Doktor perlu menimbangkan manfaat dan risiko ubat ini sebelum diberi kepada pesakit.
Antara kesan sampingan umum ubat asid Tranexamic adalah pening kepala, sakit sendi, sakit dan kekejangan otot, saluran hidung tersumbat, sakit perut dan badan lesu.
Kesan sampingan serius dan memerlukan rawatan segera pula adalah kesan alergi (ruam, gatal kulit, sukar bernafas, bengkak pada muka, bibir atau lidah), sakit kaki, bengkak dan sakit seluruh badan, sakit dada, dada berasa ketat dan sukar bernafas, keliru, batuk berdarah, kurang atau susah membuang air kecil, gangguan penglihatan warna dan kabur, rasa kebas pada lengan atau kaki, sawan, pening teruk, pendek pernafasan, muntah dan kelesuan luar biasa.
Ubat asid Tranexamic tidak boleh digunakan jika pesakit mempunyai sejarah alergi terhadap ubat ini, mengalami penyakit tromboembolik, gangguan penglihatan warna, wanita mengalami masalah pendarahan haid tidak teratur, individu mengalami pendarahan otak, darah dalam air kencing atau pendarahan akibat masalah buah pinggang, ibu mengandung dan menyusukan anak serta individu menggunakan ubat kontraseptif estorgen dan progesterone.
Ads
Individu mempunyai masalah pembekuan darah atau situasi yang meningkatkan risiko pembekuan darah juga tidak boleh menggunakan ubat ini. Sebagai contoh, pesakit yang ada masalah injap jantung atau degupan jantung.
Ubat asid Tranexamic membantu memberhentikan pendarahan, justeru penggunaannya tanpa pemantauan doktor sangat berbahaya kerana dikhuatiri berlaku tromboembolisme, yang mana gumpalan darah berlaku dalam salur darah dan hanyut bersama aliran darah.
Seterusnya gumpalan darah ini boleh tersumbat pada salur darah penting di otak dan jantung yang menyebabkan berlaku strok dan serangan jantung.
Ubat asid Tranexamic juga menyebabkan pening kepala dan akan bertambah teruk jika diambil bersama alkohol atau ubat lain. Ubat ini juga tidak disyorkan bagi remaja berumur bawah 18 tahun kerana status keselamatan dan keberkesanan ubat ini tidak dapat ditentukan.
Ads
Penyalahgunaan ubat ini dilakukan oleh individu tidak bertauliah atau ada ilmu dalam bidang perubatan dan kesihatan. Mereka yang menjual ubat asid Tranexamic biasanya mencadangkan dos penggunaan harian yang tidak betul, malah ada yang mencadangkan ubat ini dibuka daripada kapsulnya dan dicampurkan dalam minuman jus buah atau air untuk disapukan pada muka.
Tindakan seperti ini tidak disyorkan oleh pengilang, malah tiada bukti klinikal menunjukkan tindakan seperti itu lebih berkesan dan boleh mencerahkan kulit.
Rakyat Malaysia harus menjadi pengguna lebih bijak. Jangan mudah percaya dan terpedaya dengan promosi jualan di Internet berkaitan ubat asid Tranexamic untuk mencerahkan kulit.
Sehingga kini tiada data saintifik bahawa ubat ini berkesan untuk mencerahkan kulit. Malah, tidak berbaloi jika dilihat harga jualan ubat ini yang mencecah enam kali ganda harga cadangan jualan runcit oleh pengeluar.
Pengguna dinasihat mendapatkan nasihat doktor atau ahli farmasi terlebih dulu sebelum menggunakan produk asid Tranexamic. Jangan terlalu ghairah ingin memiliki kulit lebih cerah sehingga memperjudikan nyawa akibat serangan jantung atau strok kesan penggunaan ubat ini.
Ubat ini hanya sesuai digunakan oleh pesakit yang mendapat rawatan doktor untuk masalah pendarahan, bukan pecerahan kulit.
Lubuk konten untuk inspirasi bakal – bakal pengantin. Pengantin kini di seeNI.
Download
sekarang!
Lelaki terkaya di Asia beri nasihat kepada belia berpendapatan RM2000 | Artikel ini khas untuk anda yang masih muda dan dah jadi usahawan muda juga buat mereka yang mahu berkahwin dalam masa terdekat. Kalau anda muda dan masih makan gaji, anda juga boleh ambil nasihat yang sama untuk mencapai misi menjadi usahawan muda.
Siapa dia lelaki terkaya di Asia? Li Ka-Shing – lelaki terkaya di Asia dengan jumlah kekayaan bersih sehingga USD31.9 billion !!!
Li Ka-Shing tidak habis sekolah tetapi seorang ulat buku. Sifat itu adalah pengaruh daripada bapanya yang merupakan seorang guru yang mencintai ilmu. Walau bagaimanapun, Li Ka-Shing kehilangan bapanya sebelum berumur 15 tahun. Akibat daripada itu dia tidak dapat meneruskan persekolahan. Dia dilahirkan di ChaoZhou, sebuah tempat di daerah Guangdong, China pada 29hb Julai 1928.
Bermula daripada seorang buruh kasar di sebuah kilang plastik, dia mencuba nasibnya menjadi seorang jurujual, juga dalam industri barangan plastik. Cerita berkenaan lelaki paling kaya di Asia ini merupakan antara cerita paling mula yang saya tahu.
Walaupun kaya raya, Li Ka-Shing hanya memakai jam Seiko yang dibelinya pada masa mula menjadi usahawan muda dahulu. Dia memang terkenal dengan cara hidup yang berjimat cermat dan amat suka membaca bagi mengumpulkan ilmu.
Ketika mula bekerja sebagai buruh kasar Li Ka-Shing berpeluang membantu majikannya mengarang satu surat penting. Peluang itu berlaku apabila kerani majikannya tak hadir dan tiada orang yang boleh membantu majikannya buat surat.
Oleh sebab Li Ka-Shing tahu membaca dan menulis, orang menunjukkan beliau pada majikannya. Setelah Li Ka-Shing berjaya buat surat, majikannya kagum dengan keupayaan beliau mengarang dengan baik, lalu ditawarkan kerja pejabat yang lebih mudah.
Tapi sikap sebagai usahawan muda yang ada pada dirinya membuatkan dia menolak tawaran tersebut. Sebaliknya dia minta untuk menjadi seorang jurujual daripada menjadi seorang kerani.
Oleh sebab suka dengan sikap Li Ka Shing, majikannya mengizinkan beliau menjadi jurujual. Terbukti bakatnya sebagai seorang jurujual amat hebat. Hasil jualannya seorang diri mengatasi hasil gabungan jualan kesemua jurujual yang ada dalam masa yang singkat saja.
Bila dia bercadang nak buka kilang buat bunga tiruan dari plastik, majikannya yang yakin akan bakat Li Ka Shing mahu mengikutinya dan menjadi rakan kongsi Li Ka Shing. Ertinya majikannya sanggup berada di bawah pimpinan Li Ka Shing yang masih muda itu. Majikannya sanggup jual kesemua kilangnya untuk mengumpul dana bagi menjayakan hasrat Li Ka Shing.
Dan kini, Li Ka Shing adalah orang paling kaya di Asia. Dia masih kekal bersederhana walaupun kekayaannya amat hebat. Berikut adalah petua beliau untuk usahawan muda yang mahu berjaya dalam hidup.
PETUA LI KA-SHING UNTUK ANAK MUDA
Katakan anda berpendapatan sebanyak RM2000 sebulan sekarang. Tak kira samada anda dah berniaga atau anda masih makan gaji. Pastikan anda bahagikan pendapatan itu kepada 5 bahagian.
1. Belanja untuk sara hidup anda. Pastikan anda bersederhana dalam belanja sara hidup. Jumlah sebanyak maksima RM600 mungkin dah cukup jika anda pandai berjimat. Bajet sekitar RM20 sehari untuk perbelanjaan hidup walau apapun yang berlaku.
Makan pagi secara sederhana dengan makan bihun atau nasi goreng, telur sebiji dan air segelas. Itu dah cukup mengenyangkan. Makan tengahari juga dengan cara yang sederhana dan sedikit buah. Makan malam pastikan anda masak sendiri dengan cara yang mudah dan sederhana. Makan sayur dan buah dan minum segelas susu sebelum tidur.
2. Belanja untuk bina rangkaian kawan. Untuk itu anda perlukan sebuah telefon bimbit. Bajet sekitar RM100 saja sebulan untuk bil telefon anda. Peruntukkan sebanyak RM300 lagi untuk belanja kawan makan. Anda boleh bajet dalam 3 orang sebulan dengan kos RM100 seorang. Jadi jumlahnya adalah dalam lingkungan RM400 untuk aktiviti bina rangkaian kawan ini. Pastikan kawan yang anda belanja itu adalah mereka yang:
Lebih berilmu daripada anda. Jangan belanja orang yang entah apa-apa yang berfikiran negatif dan tidak punya ilmu yang lebih baik dari anda sendiri.
Lebih kaya daripada anda. Belanja mereka walaupun mereka lebih kaya kerana apa yang mereka tahu perlu menjadi rahsia yang perlu dikorek.
Orang yang membantu anda dalam kerjaya atau perniagaan. Tak ada usahawan yang boleh naik tanpa bantuan dari mereka yang prihatin dan besar jiwanya membantu orang lain. Jadi hargai mereka dan jangan kemut untuk belanja mereka. Ia bakal menjadi magnet untuk lebih ramai lagi orang lain datang memberikan bantuan selepas ini.
3. Belanja untuk aktiviti menuntut ilmu. Jangan ambil mudah dengan aktiviti menuntut ilmu untuk berjaya. Tak ada orang yang boleh pergi jauh jika malas mencari ilmu. Untuk itu anda perlu pastikan sejumlah RM300 diperuntukkan untuk:
Beli buku pengetahuan. Jangan pula beli buku mengarut seperti surat khabar, novel, majalah mangga dan sebagainya. Belilah buku yang anda boleh kutip ilmu dan aplikasikannya dalam kehidupan. Baca betul-betul dan jangan sia-siakan wang yang dibelanjakan untuk beli buku tersebut. Mungkin anda perlu siapkan dalam RM100 sebulan untuk beli buku.
Ikuti seminar atau kursus keilmuan yang anda rasa penting dan dapat membantu meningkatkan kemahiran dan pengetahuan diri anda. Belanjakan dalam lingkungan RM200 sebulan untuk kursus atau seminar yang baik untuk anda. Anda akan dapat ilmu dan penting lagi anda akan berkenalan dengan mereka yang turut sama mahu berjaya dalam hidup seperti anda.
4. Belanja untuk melancong ke luar negara. Peruntukkan sebanyak RM200 sebulan untuk aktiviti berjalan ke negeri orang. Anda boleh tetapkan satu aktiviti berjalan ke luar negara sekali setahun. Jika anda sediakan RM200 sebulan, setahun anda akan ada sebanyak RM2,400. Jumlah itu memadai untuk anda melancong ke negara jiran yang kosnya murah. Berjimat dengan penuh kemut ketika melancong. Bukan kemewahan yang yang dicari, tapi apa yang boleh anda pelajari daripada pengembaraan itulah yang paling penting. Jauh perjalanan, luas pemandangan!
5. Peruntukan untuk simpanan. Baki selanjutnya sebanyak RM500 hendaklah disimpan dalam akaun simpanan. Masukkan dalam tabung haji atau mana-mana akaun yang susah nak dikeluarkan. Ia adalah pelaburan untuk modal memulakan perniagaan anda.
Mulakan perniagaan secara kecil-kecilan terlebih dahulu. Trading mungkin satu pilihan yang baik. Bila mula kecil, gagal bermakna anda hanya hilang wang yang sedikit. Jika berjaya, ia jadi suntikan semangat untuk anda berjaya lebih tinggi sedikit lagi.
Cuba buat kerja tambahan untuk tambah pengalaman. Libatkan diri dengan aktiviti menjual kerana menjual adalah perkara penting untuk setiap usahawan yang mahu berjaya.
Li Ka-Shing nasihatkan pada semua anak muda untuk berjimat cermat sejak dari awal. Jangan habiskan duit dengan membeli pakaian dan kasut mewah. Simpan terlebih dulu wang anda. Bila dah kaya nanti, belilah apa saja yang anda mahu, tapi bukan ketika anda masih muda dan miskin.
Satu lagi masihat menarik dari Li Ka-Shing untuk usahawan muda adalah, jika anda miskin, banyakkan masa diluar. Keluar dan cari kawan dan buat apa saja aktiviti. Jika dah kaya nanti baru banyakkan duduk dalam rumah dan kurangkan keluar.
Lubuk konten untuk inspirasi bakal – bakal pengantin. Pengantin kini di seeNI.
Download
sekarang!
Antara ciri-ciri panau yang dapat dilihat dengan mata kasar adalah tompok-tompok jelas dan pucat yang berwarna putih, coklat, perang, hitam atau merah jambu.
Tompok-tompok ini berbentuk bulat atau bujur dan kadang kala akan bercantum menyebabkannya menjadi lebih besar dan luas.
Ia kebiasaannya akan menyerang bahagian kulit yang terdapat banyak penghasilan minyak seperti muka, leher, kulit kepala, dada serta belakang badan.
Kebiasaannya, penderita jangkitan panau ini akan berasa gatal pada kawasan kulit yang mengalami panau.
Apakah punca berlakunya panau?
Terdapat beberapa punca berlakunya panau, termasuklah:
Kulit berminyak
Penghasilan peluh yang berlebihan
Sistem imun tidak kuat
Cuaca panas dan lembab
Kerap memakai pakaian yang lembab atau basah
Kurang menjaga kebersihan diri
Kelenjar adrenal telah dibuang
Bagaimanakah merawat panau?
Panau boleh dirawat dengan menggunakan ubat sapu atau ubat makan iaitu:
Losyen 2.5% selenium sulphide
Propylene glycol
Whitfield’s ointment
Krim terbinafine
Kumpulan azole: clotrimazole, miconazole, ketoconazole, econazole, tioconazole
Selain itu, terdapat 6 tip menghilangkan berkesan menghilangkan panau iaitu:
1. Bawang putih
Bawang putih boleh digunakan untuk menghilangkan panau kerana ia bersifat anti kulat.
Caranya, hanya perlu sapukan ia pada kawasan yang dijangkiti atau makan secara mentah.
2. Yogurt
Yogurt merupakan agen yang sangat bagus dalam mematikan kulat.
Oleh itu, ia sangat berkesan dalam menghilangkan panau.
Caranya, jadikan yogurt ini sebagai masker dan tampalkan ia pada kawasan yang berpanau.
3. Mentega, serbuk kunyit & serbuk cedana
Bahan-bahan yang sangat terkenal dalam petua penjagaan kulit ini boleh juga digunakan untuk menghilangkan panau.
Caranya, campurkan bahan-bahan ini menjadi ‘masker’ sama seperti yogurt dan tampalkan ia pada kawasan yang dijangkiti.
4. Limau & kapur
Limau dan kapur adalah bahan alkali yang mampu meneutralkan kadar pH pada kulit.
Oleh itu, ia sangat berkesan menghilangkan panau.
Caranya, campurkan limau dan kapur ini kemudian titiskan atau sapukan ia pada kawasan panau.
5. Ambil vitamin
Anda sangat disarankan untuk mengambil vitamin C yang ternyata bagus untuk kulit ini untuk menghilangkan panau.
Selain itu, anda juga boleh mengambil suplemen lain seperti alfalfa untuk menguatkan sistem imun dalam badan anda.
6. Jaga kebersihan diri
Paling penting, anda perlu sentiasa menjaga kebersihan diri.
Jika anda seorang yang aktif dan banyak berpeluh, pastikan anda kerap mandi bagi menghalang setiap pertumbuhan kulat pada kulit.
Lubuk konten untuk inspirasi bakal – bakal pengantin. Pengantin kini di seeNI.
Download
sekarang!
Banyak sebenarnya peringkat untuk mengenali keluarga bakal pasangan. Dah lepas stage mak ayahnya, kena pula lalui peringkat ambil hati adik-beradiknya pula. Ada pasangan kita yang sangat rapat dengan adik-beradik. Kadang-kadang sampai mereka juga turut terlibat untuk memilih pasangan hidup kita.
Nak masuk dalam keluarga pasangan, jangan sesekali abaikan perasaan dan penerimaan adik-beradiknya. Cubalah ambil hati mereka sikit kerana daripada mereka jugalah kita boleh tahu apa yang pasangan kita suka dan tak suka.
Di sini ada beberapa panduan yang anda boleh cuba. Bukan susah pun ambil hati mereka. Asalkan anda ada personaliti menarik, pandai ambil hati dan tak nampak annoying di mata mereka, tentu semuanya berjalan lancar.
Ajak keluar makan
Kalau anda ada bajet lebih, ajaklah mereka keluar makan berdua dengan anda. Mula-mula memang rasa awkward tapi bila dah selalu jumpa mungkin akan terbiasa. Masa inilah anda boleh kenal bakal ipar atau ipar anda dengan lebih dalam.
2. Sering menghubungi
Sekarang ni ada banyak cara anda boleh menghubungi seseorang. Bertanya khabar melalui whatsapp salah satu daripadanya.
3. Ambil tahu
Ambil tahu bila tarikh hari lahir atau tarikh ulangtahun perkahwinan mereka. Selain hadiah, ucapan juga menjadi tanda mereka juga penting untuk anda.
4. Saudara sendiri
Selain adik-beradik kandung, anggaplah mereka juga sama seperti adik-beradik sendiri. Mesralah dengan mereka dan sayangi mereka sebagaimana anda menyayangi adik-beradik sendiri.
5. Jemput ke rumah
Bila dah berkahwin, ajaklah mereka datang ke rumah. Jamu dengan makanan yang anda masak sendiri. Sambil-sambil tu, mintalah petua masakan atau tanyalah apa yang mereka pandai masak. Puji-puji sikit, jangan lupa tu!
6. Kenalpasti hobi mereka
Anda kena peka sedikit dengan sekeliling. Bila berkunjung ke rumah mereka, anda boleh tahu apa yang mereka minat. Mungkin lepas ni anda juga boleh join mereka sekali!
7. Jangan sekat hubungan persaudaraan
Jangan sesekali sekat hubungan pasangan dengan adik-beradik mereka. Itulah ‘pantang’ yang perlu anda elakkan. Sekiranya mereka ingin keluar bersama, berilah peluang.
Lubuk konten untuk inspirasi bakal – bakal pengantin. Pengantin kini di seeNI.
Download
sekarang!