Sebaik berhasrat untuk berkahwin tentunya banyak persediaan yang perlu difikirkan oleh bakal pengantin. Dari perkara yang kecil hingga yang besar. Buat bakal pengantin lelaki ada beberapa persiapan yang harus kita lakukan untuk persediaan semasa majlis nikah nanti. Apa yang kita jarang tekankan adalah persediaan kecil yang dianggap remeh yang sering diabaikan oleh bakal pengantin. Jom tengok apa perkara-perkara kecil yang harus diberikan perhatian menjelang majlis tersebut.
TIPS – persediaan pengantin lelaki semasa akad nikah ❤
Salam semua .. Kali ni nak share skit tips tuk pengantin lelaki .. This is based from my own experience & dah banyak kali pg wedding2 korang .. Kadang2 nampak bende ni kecik tapi bila yg kecik tulah kadang2 boleh jadi spoil !!! Hehehe akak harap tips ni bolehlah bantu sikit sebanyak buat bakal bakal pengantin , ataupun nasihat yang korang boleh bagi kepada saudara mara lelaki yang nak bernikah. Selamat membaca ” sharing is caring ”
1)sediakan duit upah jurunikah n saksi – ini tanggungjawab pengantin lelaki ya. sila letak dalam sampul awal awal. jgn sampai terjadi insiden memalukan pulak, tak bagi pak imam duit, or lagi malu kalau kene pinjam duit org mase majlis… a big no no!!!!
Ads
2)bawa pen- bawakla pen yang cantik cantik sikit…. tanak la pen kilometrico…. hahah nanti kan nak masuk gambar nikah…
3)sediakan sapu tangan. percayalah, walaupun tempat tu beraircond, kalau dah cuak… sure berpeluh punya. Rumah lagila… takde aircond, dengan org ramai berkerumun… dengan panas lampu pelamin…… Bagus yg bawak sapu tangan ni , ce tgk berapa kali dia kluakan handkerchief dok sapu peluh… nasib baik bawak… kalau tak, bercucuran la peluh tu menitik. Hahahaha.. Neves ye dik!!
4) Tolong pastikan anda pakai socks yang cantik!! presentable!! sile jgn pakai stoking yang dah berlubang!!! dan lebih teruk stoking kerja masam korang !!!!! nampak remeh, tapi sila sediakan awal awal, nanti pagi pagi kelam kabut pulak carik stoking.
Ads
5)Kalau boleh sediakan kasut yang bersih untuk dipakai di atas pelamin, nanti nampak pelik, pengantin perempuan pakai heels, pengantin lelaki tak pakai kasut. masa majlis, terus amek kasut kat atas dulang hantaran… nasib baik ada. Ada rasa2 nak buat gitu ke??!! Hahahaha
6) jangan lupa pakai singlet. Tak sexy ok kalau lelaki nampak t**ts. Dahla baju nikah selalunya putih.
so, ini antara perkara yang nampak remeh, tapi sebenarnya kalau terlupa boleh mencacatkan hari penting korang !! ada apa apa lagi nak tambah. Yang document document penting lain tu macam biasa la, IC jgn tinggal… Ok lah tu je yg terlintas di pikiran akak skang .. Kalau ada rasa nak tambah, komen je kat bawah & jangan lupa tag, share ok .. Bak kata pepatah ” sharing is caring ” hehehe …
Buat isteri yang selama ini rasa geli atau kurang gemar jika suami anda simpan janggut tidak kiralah janggut sejemput atau jambang, inilah masanya untuk anda ubah persepsi itu. Bagi yang suka dengan ‘aksesori’ lelaki yang satu ini, sememangnya anda seorang isteri yang beruntung kerana ‘aksesori’ ini banyak kelebihannya!
Selain mendapat pahala berganda kerana ia merupakan sunah Rasulullah SAW, kajian yang diterbitkan dalam “The Journal of Evolutionary Biology” mengatakan wanita lebih cenderung inginkan lelaki yang berjanggut dan melihat lelaki sebegini sebagai rakan kongsi jangka panjang.
Oleh itu, ayuh baca fakta unik ini untuk lebih meyakinkan anda bahawa lelaki yang menyimpan janggut bukan sahaja memberi manfaat buat dirinya sendiri malah turut bermanfaat untuk isterinya.
1. Malaikat tadah air wuduk yang jatuh dari janggut
Ketika zaman Rasulullah SAW ada seorang sahabat yang berjanggut nipis yang sedang mengambil wuduk untuk bersembahyang di masjid. Melihatkannya, Rasulullah SAW tersenyum dan memalingkan mukanya. Sahabat itu menyangka Rasulullah SAW senyum kerana janggutnya yang nipis itu dan memalingkan mukanya kerana tidak suka pada janggutnya itu.
Keesokan harinya, lelaki tersebut datang ke masjid setelah mencukur janggutnya. Apabila terserempak dengan Rasulullah SAW, lelaki itu melemparkan senyuman tetapi Rasulullah SAW tidak memandang langsung kepada lelaki tersebut. Ini membuatkan dia bertambah hairan lalu mengajukan pertanyaan kepada Baginda.
“Wahai Rasulullah, mengapa hari ini kamu tidak senyum kepadaku seperti sebelum ini?” Jawab Baginda, “Sebelum ini aku nampak malaikat berebut-rebut untuk menadah air wuduk yang jatuh dari janggutmu tetapi apabila kamu mencukur janggutmu tidak ada lagi malaikat yang menunggu dijanggutmu wahai sahabat.”
2. Kurangkan tanda penuaan dan awet muda
Seorang ahli dermatologi dari London bernama Dr. Nick Lowe mengatakan bahawa janggut membantu melindungi kulit agar tetap sihat, mengurangkan tanda-tanda penuaan sekali gus membuatkan lelaki awet muda. Ini kerana pendedahan terhadap sinaran matahari yang sedikit membuatkan lelaki yang menyimpan janggut kelihatan lebih muda berbanding mereka yang tidak mempunyai janggut.
3. Buatkan wajah sentiasa hangat
Rambut merupakan penebat yang membuatkan lelaki kekal hangat, begitu juga dengan janggut kerana ia merupakan sebahagian daripada rambut yang ada pada wajah. Carol Walker, Konsultan Trichologist dari Birmingham Trichology Centre mengatakan janggut dapat menahan udara sejuk sekali gus menaikkan suhu leher terutamanya jika berada pada cuaca yang sejuk. Ini kerana janggut mempunyai kelebihan dalam menyerap dan menyimpan haba di dalam badan.
4. Beri perlindungan daripada sinaran ultra violet
Hasil kajian dari University of Southern Queensland menerusi jurnal bertajuk “Radiation Protection Dosimetry” mendapati bahagian wajah yang tertutup dengan janggut rata-ratanya sepertiga lebih rendah terdedah dengan sinaran ultra violet yang membahayakan sekali gus memberi perlindungan terhadap sinar ultra violet matahari 90 hingga 95 peratus. Bahkan kajian yang dijalankan di Australia juga membuktikan perkara yang sama.
5. Kurangkan gejala asma dan alahan
Jika anda mengalami alahan debunga atau debu dan gejala asma, janggut sebenarnya membantu sebagai penapis bagi mengelakkan kuman sampai ke permukaan wajah. Lebih besar janggut yang anda simpan, maka lebih banyak bahan pencemaran yang dapat ditapis setiap hari.
6. Melembapkan kulit wajah
Kulit wajah terbina dengan ejen pelembap tersendiri yang dikenali sebagai ‘sebaceous glands’. Ia bertindak untuk mengeluarkan minyak semula jadi yang menjadikan kulit kekal lembap. Dengan menyimpan janggut yang tebal, ia akan membantu melindungi kulit wajah anda daripada terkena angin yang boleh menyebabkan kulit menjadi kering.
7. Elak masalah jerawat
Menyimpan janggut juga boleh membantu melindungi kelenjar sebum daripada dijangkiti oleh bakteria jerawat, vulgaris, sekali gus mencegah terjadinya masalah jerawat dan bintik hitam.
8. Sensasi ciuman yang berbeza
Wanita lebih menikmati ciuman dengan lelaki berjanggut berbanding lelaki yang wajahnya mulus tanpa janggut. Ini kerana janggut akan membuatkan pasangan rasa geli sekali gus menambahkan keintiman saat mencium suami.
9. Pahala buat isteri
Sebaik sahaja isteri celik mata dari tidur, rebutlah peluang pahala dengan merenung wajah suami dan kemudian usap lembut janggut suami dari dagu hingga ke penghujungnya.
10. Galak kesuburan wanita
Kajian oleh para saintis dari Massachusetts Institute of Technology, Amerika Syarikat berjudul “The Amazing Fact of Human Body” mendapati janggut lelaki mengandungi hormon testosteron yang amat diperlukan bagi kesuburan wanita. Ia membantu menstabilkan kitaran haid selain menggalakkan pertumbuhan telur wanita dengan cara sentuhan dan belaian pada janggut atau jambang suami.
11. Calon ayah yang baik
Kajian dari University of New South Wales dalam jurnal bertajuk “Evolution and Human Behaviour” mengatakan bahawa wanita berpendapat lelaki yang memiliki janggut adalah lebih menarik serta dilihat sebagai calon pasangan dan ayah yang baik.
12. Sesuai dijadikan pasangan romantik
Hasil kajian yang dijalankan ke atas wanita Britain berusia 18 hingga 44 tahun mendapati tarikan yang dimiliki oleh selebriti terkenal seperti George Clooney, Brad Pitt dan David Beckham adalah disebabkan oleh wajah mereka yang berjambang. Mereka juga menyifatkan lelaki berjanggut paling sesuai dijadikan pasangan romantik.
* Ingat ya suami! Walaupun banyak kelebihan, pastikan janggut atau jambang anda sentiasa dibersihkan dan dirapi selalu agar ia tidak menyebarkan bakteria dan kuman untuk diri anda mahupun orang lain terutamanya isteri.
Lubuk konten untuk inspirasi bakal – bakal pengantin. Pengantin kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Baru-baru ini pelakon Zarina Zainuddin menyelar segelintir wanita muda yang kemaruk kahwin suami orang sehingga sanggup memusnahkan rumah tangga orang.
Bak kata pepatah, sanggup membina bahagia atas penderitaan orang lain itu sepatutnya, elakkan lah. Walaupun memegang status isteri kedua, namun pemilik nama penuh Nur Zarina Mohd Zainuddin, 54,menasihati agar golongan wanita muda mempertimbangkan keputusan memilih bernikah dengan suami orang kerana akan digelar penyondol sampai ke tua.
Nasihat Zarina Zainuddin Buat Wanita Muda
“Ingat ya, tak senang kahwin dengan suami orang. Jadi isteri nombor dua otak kena kuat dan kalau iman tak cukup, tidak payah! Jadi orang gila di rumah nanti.
“Carilah lelaki bujang, tak payah nak peningkan kepala. Sampai ke tua orang akan kata kau penyondol,” katanya dalam video Instagram semalam.
Dalam video sama, dia turut berasa kurang senang melihat ramai wanita yang masih muda ‘kemaruk’ berkahwin dengan suami orang sedangkan tidak menjaminkan kehidupan yang mewah pun.
“Sakit hati lihat semua yang cantik dan muda hendak sangat kawin dengan suami orang kemudian jadi ala-ala wanita simpanan di rumah sebab suami takut isteri pertama mengamuk.
“Kalau boleh tak payahlah, jika hidup mewah lain cerita tetapi kalau kau pun bekerja mencari duit, memang sayang.
“Baik bercerai ketika usia muda sebelum usia tua yang ketika itu hendak berpisah pun tiada faedah,” katanya lagi.
Caranya Berbeza Walau Status Isteri Kedua
Sementara itu, Zarina berkata, situasinya ketika bernikah dengan suaminya dan menjadi isteri kedua adalah berlainan namun rasa bersalah tetap dirasai sehingga hari ini.
“Kes saya lain, tidak akan sama sebab saya bukan nak menggatal. Dia bawa saya jumpa isteri pertama dan kini sudah 30 tahun saya berkahwin.
“Tetapi sehingga sekarang saya rasa berdosa besar sebab kacau hak madu saya,” luahnya.
Elakkan Dan Lupakan!
Menerusi luahan sama, dia menasihatkan wanita muda di luar sana melupakan hasrat untuk bernikah dengan suami orang sebaliknya memilih lelaki bujang.
“Nak buat apa kalau semua hidup asyik makan hati dia makan hati saya makan. Suami pun semakin botak fikir hal isteri-isterinya.
“Anda fikirlah sendiri, rasa nak azankan di telinga supaya jangan kahwin suami orang. Cari lelaki bujang yang berlambak di luar sana,” ujarnya.
Terdahulu, Zarina mendirkan rumah tangga dengan Datuk Seri Abu Raihan Wan Jaafar pada 13 Julai 1993 sebagai isteri kedua.
Hasil perkahwinan, mereka dikurniakan empat cahaya mata lelaki termasuklah sepasang kembar Raizal Azrai Abu Raihan (Azal) dan Muhammad Razil Azrai Abu Raihan (Azil) yang sentiasa menjadi perhatian netizen.
Lubuk konten untuk inspirasi bakal – bakal pengantin. Pengantin kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Percaya atau tidak, sebenarnya kes meninggalkan ibu bapa dalam erti kata membiarkan mereka hidup sendiri telah banyak berlaku termasuk yang meninggalkan ibu bapa di rumah orang tua atau yang membiarkan ibu bapa bersendirian di kampung.
Tidak menziarahi dan tidak menjenguk ibu bapa, sekadar hanya mengirimkan wang, malah berapa ramai pula yang tidak mengirimkan wang dan hilang tanpa khabar berita.
Ketaatan seorang anak perempuan bertukar takhta daripada ibu bapa kepada suaminya selepas si anak berkahwin namun bukan sampai membuang atau menyisihkan ibu bapa. Ketaatan kepada suami biarlah bertempat dan berbatas. Menyisihkan atau membuang ibu bapa tidak termasuk di dalam ketaatan yang perlu dan wajar diikuti.
Sebagai anak lelaki pula, takhta ketaatan anda tidak pernah berubah. Malah, jika anda beristerikan wanita yang tidak membenarkan anda berlaku baik kepada ibu bapa, harus bagi anda untuk menceraikan isteri tersebut. Ingat! Cintakan isteri jangan sampai anda menjadi lelaki dayus!
Kes buang ibu bapa sebelum berkahwin juga tidak kurang banyaknya. Ada banyak kes anak gadis lari dari rumah kerana mengikut kekasih. Anak gadis ini kembali semula ke pangkuan ibu bapa kerana hidup terseksa malah juga ada kes, memerlukan bantuan pihak tertentu untuk mengembalikan mereka ke pangkuan ibu bapa.
Ada yang tidak lari tetapi menentang ayah sendiri di Mahkamah Syariah kerana si ayah tidak mengizinkannya berkahwin dengan jejaka pilihan hati.
Peruntukan undang-undang membenarkan seorang anak gadis memohon pada Mahkamah Syariah agar si ayah yang enggan mewalikan atau mengizinkan perkahwinannya, tanpa alasan yang munasabah menurut syarak, supaya bersetuju dan mewalikan perkahwinannya.
Peruntukan juga jelas, jika si ayah tetap enggan bersetuju, maka Mahkamah Syariah boleh membenarkan si anak berkahwin menggunakan wali hakim. Peruntukan ada dan diakui demi kebaikan individu namun daripada segi moral, apakah menyaman ayah sendiri di mahkamah atas nama cinta kepada seorang lelaki, sesuatu yang wajar?
Ada kes melibatkan alasan keengganan si ayah bukan sesuatu yang wajar dan munasabah menurut syarak.
Harus diingat! Syarak menegaskan, setiap anak wajib taat dan hormat kepada ibu bapa. Ya! Ketaatan kepada ibu bapa juga terbatas kepada perkara yang tidak menyalahi syarak. Enggan menerima lelaki pilihan anda bukanlah perkara yang melanggar syarak biarpun alasan keengganan tersebut tidak munasabah menurut syarak.
Melawan ayah sendiri di mahkamah bererti anda tidak menghormati ayah anda sendiri. Anda telah melukakan hatinya. Anda sanggup mengetepikan cinta sejati ibu bapa yang menjaga, mendidik dan menyayangi anda sejak anda kecil semata-mata kerana cinta seorang lelaki yang hadir ketika anda telah berusia belasan ataupun puluhan tahun? Sungguh anda zalim!
Bukan saja zalim kepada ibu bapa tetapi anda zalim kepada diri sendiri. Percayalah! Biar sedalam mana cinta si dia kepada anda, biar berjuta kali ucapan cinta dilafazkan, biar beribu kali pelukan dan belaian diberi, cinta seorang lelaki atau perempuan tidak akan sama dengan cinta dan kasih sayang ibu dan ayah. Bukan mendoakan tetapi terlalu banyak kes serupa.
Natijahnya hanya satu, anda yang bertindak membuang ibu bapa atau melawan ibu bapa kerana cinta si dia, tidak akan hidup bahagia dan jika berkahwin, perkahwinan anda akan dibubarkan juga akhirnya, andai masih tiada restu ibu bapa.
Ingatlah! Restu Allah hanya ada jika kita punya restu daripada ibu bapa.
Oleh: Suzana Ghazali, Perunding Psikologi Keluarga Dan Guaman Syarie
Lubuk konten untuk inspirasi bakal – bakal pengantin. Pengantin kini di seeNI. Download seeNI sekarang!