Sebaik berhasrat untuk berkahwin tentunya banyak persediaan yang perlu difikirkan oleh bakal pengantin. Dari perkara yang kecil hingga yang besar. Buat bakal pengantin lelaki ada beberapa persiapan yang harus kita lakukan untuk persediaan semasa majlis nikah nanti. Apa yang kita jarang tekankan adalah persediaan kecil yang dianggap remeh yang sering diabaikan oleh bakal pengantin. Jom tengok apa perkara-perkara kecil yang harus diberikan perhatian menjelang majlis tersebut.
TIPS – persediaan pengantin lelaki semasa akad nikah ❤
Salam semua .. Kali ni nak share skit tips tuk pengantin lelaki .. This is based from my own experience & dah banyak kali pg wedding2 korang .. Kadang2 nampak bende ni kecik tapi bila yg kecik tulah kadang2 boleh jadi spoil !!! Hehehe akak harap tips ni bolehlah bantu sikit sebanyak buat bakal bakal pengantin , ataupun nasihat yang korang boleh bagi kepada saudara mara lelaki yang nak bernikah. Selamat membaca ” sharing is caring ”
1)sediakan duit upah jurunikah n saksi – ini tanggungjawab pengantin lelaki ya. sila letak dalam sampul awal awal. jgn sampai terjadi insiden memalukan pulak, tak bagi pak imam duit, or lagi malu kalau kene pinjam duit org mase majlis… a big no no!!!!
Ads
2)bawa pen- bawakla pen yang cantik cantik sikit…. tanak la pen kilometrico…. hahah nanti kan nak masuk gambar nikah…
3)sediakan sapu tangan. percayalah, walaupun tempat tu beraircond, kalau dah cuak… sure berpeluh punya. Rumah lagila… takde aircond, dengan org ramai berkerumun… dengan panas lampu pelamin…… Bagus yg bawak sapu tangan ni , ce tgk berapa kali dia kluakan handkerchief dok sapu peluh… nasib baik bawak… kalau tak, bercucuran la peluh tu menitik. Hahahaha.. Neves ye dik!!
4) Tolong pastikan anda pakai socks yang cantik!! presentable!! sile jgn pakai stoking yang dah berlubang!!! dan lebih teruk stoking kerja masam korang !!!!! nampak remeh, tapi sila sediakan awal awal, nanti pagi pagi kelam kabut pulak carik stoking.
Ads
5)Kalau boleh sediakan kasut yang bersih untuk dipakai di atas pelamin, nanti nampak pelik, pengantin perempuan pakai heels, pengantin lelaki tak pakai kasut. masa majlis, terus amek kasut kat atas dulang hantaran… nasib baik ada. Ada rasa2 nak buat gitu ke??!! Hahahaha
6) jangan lupa pakai singlet. Tak sexy ok kalau lelaki nampak t**ts. Dahla baju nikah selalunya putih.
so, ini antara perkara yang nampak remeh, tapi sebenarnya kalau terlupa boleh mencacatkan hari penting korang !! ada apa apa lagi nak tambah. Yang document document penting lain tu macam biasa la, IC jgn tinggal… Ok lah tu je yg terlintas di pikiran akak skang .. Kalau ada rasa nak tambah, komen je kat bawah & jangan lupa tag, share ok .. Bak kata pepatah ” sharing is caring ” hehehe …
Jika anda mahu kelihatan awet muda, bebas penyakit, sekaligus selamat dunia akhirat, cubalah berpuasa Isnin dan Khamis secara teratur. Kebanyakan dari kita tentunya pernah mendengar puasa Isnin dan Khamis sebagai puasa sunnah di dalam Islam. Namun berapa ramai yang benar-benar berusaha secara berterusan melakukan puasa tersebut.
Tidak ramai daripada kita yang tahu hikmah puasa Isnin dan Khamis dari segi spiritual, kesihatan dan keutamaannya di hadapan Allah. Alasan utama mengapa puasa Isnin-Khamis disunahkan dalam Islam ialah kerana Rasulullah sering berpuasa pada dua hari tersebut.
Tahukah anda apakah keutamaan berpuasa Isnin dan Khamis? Ada dua hadis daripada Rasulullah yang berkenaan dengan pemilihan hari Isnin dan Khamis:
Yang pertama, dalam hadis Riwayat Ahmad disebutkan bahawa Rasulullah mengatakan bahawa semua amal dibentangkan di hari Isnin dan Khamis. Oleh kerana itu, sebagai orang beriman, sungguhlah baik bila pada saat malaikat melaporkan amalan kita itu kita sedang berpuasa.
Yang kedua, hari Isnin dan Khamis adalah hari istimewa kerana pada hari itulah Rasulullah dilahirkan, menjadi rasul dan mendapat wahyu (HR Muslim).
Sesungguhnya hari Isnin dan Khamis memang cukup istimewa dalam Islam. Dengan berpuasa di hari Isnin dan Khamis, secara tidak langsung kita melakukan maintenance untuk diri kita secara rutin baik dari segi spiritual mahupun jasmani.
Amalan berpuasa juga mampu meningkatkan amalan. Biasanya seseorang yang kekenyangan cenderung malas beribadah. Puasa menjadikan kita lebih produktif dalam beribadah kerana kita mampu menambah ibadah. Di samping itu, berpuasa juga mampu melembutkan hati. Ini kerana dengan berpuasa, kita cenderung lebih berempati dengan orang-orang yang tidak bernasib baik. Berpuasa menjadikan kita lebih dekat dengan Allah dan lebih bertakwa.
Selain dari keuntungan dari segi emosional spiritual seperti yang dijelaskan di atas, puasa juga memiliki keutamaan dari segi kesihatan. Sudah bukan rahsia lagi bahawa saat ini bahawa amalan berpuasa yang teratur itu baik untuk kesihatan.
Manfaat kesihatan dari berpuasa yang paling popular adalah amalan berpuasa merupakan cara berkesan untuk membatasi kalori yang masuk ke tubuh kita. Dalam Islam dan bidang kedoktoran, dianjurkan untuk tidak makan berlebihan, kerana makanan yang berlebihan dan tidak sihat boleh menimbulkan penyakit.
Berpuasa juga dapat merehatkan sistem pencernaan kita. Sistem pencernaan kita akan berehat selama kita berpuasa. Sistem detoksifikasi tubuh juga bekerja lebih lancar. Walau bagaimanapun semuanya bergantung kepada niat. Jika niat puasa kita hanyalah dari segi kesihatan, maka itulah yang kita dapat. Namun jika niat puasa kita adalah dalam rangka meningkatkan kualiti spiritual dan mendekatkan diri pada Allah maka tidak hanya kita mendapat fedah daripada kesihatan tetapi juga reda Allah dunia akhirat.
Allah sangat menyukai orang yang berpuasa kerana Allah sehingga Allah menjanjikan gerbang khusus di syurga bagi yang gemar berpuasa, iaitu Ar-Rayyan (H.R Muslim).
Kesimpulannya marilah kita menjadikan amalan berpuasa pada setiap hari Isnin dan Khamis sebagai satu rutin dalam usaha meraih reda Allah dan salah satu cara untuk meraih jannahNya. Insya Allah dengan puasa yang rutin, kita tidak hanya mendapat balasan di akhirat nanti, tetapi kita juga mendapat keuntungan di dunia berupa kesihatan yang prima dan daya fikir yang jernih.
Lubuk konten untuk inspirasi bakal – bakal pengantin. Pengantin kini di seeNI.
Download
sekarang!
Soalan: Adakah sahih hadith isteri sujud pada suami?
Jawapan:
Di dalam hidup berumah tangga, seorang isteri itu wajib untuk mentaati suaminya pada perkara yang ma’ruf. Ini kerana, dengan ketaatan tersebut akan memudahkannya jalan untuk ke syurga berdasarkan sebuah hadith yang disahihkan oleh Imam Ibn Hibban:
Maksudnya: “Jika seorang wanita menunaikan solat 5 waktu, berpuasa pada bulannya (Ramadhan), mengawal kemaluannya (maruahnya) dan ta’at kepada suaminya. Masuklah dia ke dalam Syurga dari mana-mana pintu yang dia kehendaki”. [Riwayat Ibn Hibban, no. Hadith (4163), 471/9]
Bagi menjawab pertanyaan pertama di atas, hadith sujud pada suami telah diriwayatkan oleh beberapa orang sahabat Nabi SAW. Antaranya Abu Hurairah, Mu’az bin Jabal, Suraqah bin Malik, Aisyah, Ibn Abbas, Abdullah bin Abi Awfa, Ummu Salamah, Anas bin Malik dan beberapa orang lagi sahabat Nabi SAW yang lain. Adapun berkaitan matan hadith adalah seperti berikut:
Maksudnya: “Jika aku boleh memerintahkan seseorang itu untuk sujud kepada seseorang, maka aku memerintahkan isteri untuk sujud pada suaminya.” [Riwayat al-Tirmizi (1159)][Imam al-Tirmizi mengatakan hadith ini melalui jalur Abu Hurairah RA adalah hasan gharib]Hadith ini juga disahihkan oleh Imam al-Hakim di dalam al-Mustadrak melalui jalur Mu’az bin Jabal [Lihat: al-Mustadrak, 190/4]
Tambahan pula, hadith ini mempunyai sebab wurudnya (sebab Nabi SAW ucapkan hadith ini) iaitu apabila salah seorang daripada sahabat Nabi SAW pulang daripada Syam dan melihat orang-orang Nasrani dan Yahudi sujud kepada pembesar dan ulama’ mereka sebagai tanda penghormatan nabi-nabi mereka. Maka, sahabat ini berkata bahawa Rasulullah SAW lebih berhak untuk dilakukan sedemikian tetapi Nabi SAW melarang para sahabat melakukan hal tersebut dengan mengatakan bahawa orang-orang Yahudi dan Nasrani ini mereka mendustakan serta menyelewengkan kitab-kitab nabi-nabi mereka. [Lihat: al-Mustadrak, 190/4]
Makna Hadith
Antara yang boleh difahami daripada hadith ini adalah kewajipan seorang isteri itu mentaati suaminya kerana sujud ini tidak dihalalkan melainkan kepada Allah SWT sahaja. Ini kerana, terdapat banyak hak-hak suami yang perlu dilaksanakan oleh isteri dan sebahagiannya tidak terlaksana oleh si isteri.
Imam al-Syaukani berkata, makna hadith ini adalah jika dibolehkan sujud kepada manusia nescaya Nabi SAW akan memerintahkan para isteri untuk sujud kepada suaminya. [Lihat: Tuhfah al-Ahwazi, 272/4] Di dalam Musnad Ahmad, daripada Anas bin Malik RA bahawa Nabi SAW bersabda:
Maksudnya: “Tidak dibenarkan seorang manusia itu untuk sujud kepada manusia. Jika dibenarkan untuk manusia itu sujud kepada manusia nescaya aku akan meminta isteri untuk sujud kepada suaminya kerana besarnya hak suami ke atas isteri itu.” [Riwayat Ahmad (12614)] [Syeikh Syu’aib al-Arna’outh menilai hadith ini sahih li ghairihi]
Penutup
Kesimpulannya, hadith di atas adalah sahih dan ia tidaklah menunjukkan kebolehan seorang isteri itu untuk sujud kepada suaminya. Ini kerana, sujud hanya dibenarkan kepada Allah SWT sahaja dan tidak dibenarkan sujud kepada selain daripada Allah SWT sebagaimana larangan jelas daripada Nabi SAW berdasarkan riwayat di dalam Musnad Ahmad di atas. Akan tetapi, hadith ini menggambarkan bahawa kedudukan suami itu tinggi di sisi isteri dan si isteri wajib untuk mentaati suaminya selagimana apa yang diperintahkan itu tidak bercanggah dengan agama. Akhirnya, semoga Allah SWT mengurniakan kita suami yang soleh dan isteri yang solehah agar rumahtangga yang dibina itu mendapat keberkatan dan keredhaan daripada Allah SWT. Amin.
Lubuk konten untuk inspirasi bakal – bakal pengantin. Pengantin kini di seeNI.
Download
sekarang!
Hari ini ramai isteri yang bekerja demi membantu suami menambahkan rezeki keluarga. Walaupun isteri bekerja dan mempunyai pendapatannya sendiri, wang atau harta isteri adalah milik peribadinya, malah tidak boleh dimanfaatkan kecuali dengan keredaan dan kerelaan isteri.
Tugas utama yang diamanahkan oleh Allah kepada setiap wanita adalah membesar dan mendidik anak-anak. Malah tiada seorang pun yang dapat menggantikan peranan kaum wanita dalam memikul tugas ini.
Di dalam Al-Quran turut membicarakan perihal wanita dalam pelbagai sisi kehidupan. Bermula dengan hak dan kewajipannya sehinggalah menyentuh tentang keistimewaan tokoh-tokoh wanita dalam sejarah Islam dan kemanusiaan.
Sungguhpun begitu, Islam tidak pernah melarang wanita untuk keluar bekerja membantu menambah rezeki keluarga. Mereka boleh memilih bidang apa sekalipun asalkan pekerjaannya itu ‘halal’, mendapat persetujuan suami dan tidak melanggar syariat.
Gaji atau pendapatan isteri ini sebenarnya boleh mempengaruhi suasana dalam keluarga. Gaji yang berkat ditambah dengan usaha dan bantuan yang ikhlas itu secara tidak langsung akan dapat mengeratkan lagi hubungan antara suami isteri.
Walau bagaimanapun, terdapat juga di kalangan suami yang sering mengambil kesempatan terhadap isterinya yang bekerja. Seolah-olah, suami dengan sengaja memanfaatkan pendapatan yang diperoleh oleh isteri, sehingga menimbulkan pelbagai perbalahan dalam rumah tangga.
Justeru, fenomena inilah yang sering kali mengundang pelbagai persoalan dan pertanyaan. Apakah wang itu milik isteri semata-mata sehingga tidak ada hak bagi suami untuk menikmatinya? Atau wang tersebut milik bersama?
Bergembiralah wahai Muslimah. Islam juga menyarankan agar kaum lelaki berbuat baik terhadap wanita.
Sebagaimana yang disabdakan oleh Nabi Muhammad SAW yang bermaksud: “Bertakwalah kalian dalam (memperlakukan) terhadap wanita.” (Riwayat Muslim)
Dalam Shahihain dari Abu Hurairah, ia berkata: Rasulullah bersabda: “Hendaklah kalian memperhatikan kaum wanita dengan baik.” (Riwayat al Bukhari dan Muslim)
Justeru, setiap wanita itu harus memahami bahawa di bawah naungan Islam, wanita bakal hidup dalam kemuliaan lagi berharga serta hak-haknya dilindungi sebagaimana yang telah ditetapkan oleh Allah baginya.
Nafkah Kewajipan Suami
Umumnya, wanita merupakan sebahagian masyarakat yang dijamin kehidupannya. Baik sebagai anak, isteri, ibu atau saudara perempuan. Sementara lelaki pula, mereka diberi tanggungjawab untuk melindungi kaum wanita, dan wanita itu sendiri tidak wajib untuk menanggung nafkah keluarga.
Begitu juga dengan wanita yang sudah berkeluarga, segala keperluan rumah dan anak-anak haruslah ditanggung oleh suami.
Dan ini merupakan salah satu bentuk penghormatan Islam terhadap kaum wanita.
Allah SWT telah berfirman: “Kaum lelaki itu adalah pemimpin kaum wanita, oleh kerana Allah telah melebihkan sebahagian mereka (kaum lelaki) atas sebahagian yang lain (kaum wanita), dan kerana mereka (kaum lelaki) telah menafkahkan sebahagian daripada harta mereka”. (Surah An Nisaa’: 34)
Seperti mana ‘mahar’, pendapatan isteri juga boleh dikategorikan sebagai hak mutlak isteri. Suami tidak mempunyai hak walau sedikit pun ke atas harta tersebut. Kelemahan fizikal atau statusnya sebagai isteri, tidak bererti suami boleh “merampas” hak miliknya, atau memanfaatkannya mengikut kemahuannya.
Syaikh ‘Abdullah bin ‘Abdul Rahman al Jibrin pernah ditanya tentang hukum suami yang mengambil wang (harta) milik isterinya, untuk digabungkan dengan wangnya (suami).
Menjawab pertanyaan ini, Syaikh al Jibrin menyatakan, tidak dinafikan isteri lebih berhak dengan mahar dan harta yang dia miliki, baik melalui usaha yang dilakukan, hibah atau warisan. Ia adalah hartanya dan akan kekal menjadi miliknya. Dia yang paling berhak untuk melakukan apa saja dengan hartanya itu, tanpa ada campur tangan pihak lainnya.
Sepenuhnya Milik Isteri
Wang atau harta isteri adalah milik peribadinya, tidak boleh dimanfaatkan kecuali dengan keredaan dan kerelaannya. Setelah mendapat keredaan itu, barulah ia menjadi ‘halal’ bagi suaminya.
Sepertimana yang difirmankan oleh Allah SWT: “Berikanlah mas kahwin (mahar) kepada wanita (yang kamu nikahi) sebagai pemberian dengan penuh kerelaan. Kemudian jika mereka menyerahkan kepada kamu sebahagian dari mas kahwin itu dengan senang hati, maka makanlah (ambillah) pemberian itu (sebagai makanan) yang sedap lagi baik akibatnya.” (Surah an Nisaa’: 4)
Ayat di atas, jelas ditujukan kepada para suami, bukan kepada para wali wanita.
Syaikh ‘Abdur Rahman as Sa’di di dalam tafsirnya menulis, ketika ramai orang (suami/lelaki) berbuat aniaya kepada kaum wanita dan merampas hak-hak mereka terutamanya mas kahwin yang dirasakan berat untuk diberikan kepada isteri, maka Allah memerintahkan para suami untuk tetap memberikan mahar tersebut kepada isteri.
Apabila para isteri mengizinkan bagi kalian (para suami) dengan reda dan kerelaan iaitu mengurangkan sebahagian daripadanya atau menunda atau digantikan dengan yang lain, maka tiada masalah bagi kalian (para suami).
Ada beberapa pertanyaan yang diajukan kepada Syaikh Bin Baz, antaranya: “Saya telah menikahi seorang guru. Apakah saya berhak mengambil daripada gajinya dengan redanya untuk suatu keperluan, misalnya untuk meminta sebuah rumah?”
Beliau menjawab: “Tiada masalah bagimu untuk mengambil gaji isterimu atas dasar redanya, jika dia seorang wanita rasyidah (berakal). Begitu juga dengan segala sesuatu yang diberikan kepada mu untuk membantumu, tiada masalah untuk engkau gunakan. Dengan catatan, ia rela dan dewasa.”
Tolak Ansur Suami Isteri
Hakikatnya, terdapat jalinan kasih sayang yang begitu utuh dan erat antara suami isteri. Namun, kemesraan ini tidak seharusnya berlandaskan kepada wang ringgit.
Ini kerana harga kemesraan dan keutuhan dalam rumah tangga itu tidak boleh diukur dengan harta benda dan wang semata. Sebaliknya kejujuran, kerjasama dan saling memahami merupakan resipi utama dalam kebahagiaan berkeluarga.
Andai kata suami itu seorang yang ‘cukup’ serba serbi, mungkin dia tidak akan tergamak untuk mengambil atau menggunakan harta isterinya. Begitu juga bagi seorang isteri, pasti dia tidak sanggup untuk meminta itu dan ini sekiranya suaminya seorang yang tidak bergaji besar.
Dalam keadaan ini, isteri sangat dianjurkan untuk membantu suami. Malah, rumah tangga akan terasa manis andai bantuan itu diberikan dengan hati yang benar-benar ikhlas dan reda.
Sebagaimana yang lakukan oleh Zainab, isteri Ibnu Mas’ud, menerusi Al Bukhari meriwayatkan hadis Abu Sa’id dalam Sahihnya, ia berkata: “Dari Abu Sa’id al Khudri: …Zainab, isteri Ibnu Mas’ud datang meminta izin untuk bertemu. Ada yang memberitahu: “Wahai Rasulullah, ini adalah Zainab”. Baginda bertanya, “Zainab yang mana?” Maka ada yang menjawab: “(Zainab) isteri Ibnu Mas’ud”. Baginda menjawab lagi, “Baiklah. Izinkanlah dirinya”, maka dia (Zainab) berkata: “Wahai Nabi Allah. Hari ini engkau memerintahkan untuk bersedekah. Sedangkan aku mempunyai perhiasan dan ingin bersedekah. Namun Ibnu Mas’ud mengatakan bahawa dirinya dan anaknya lebih berhak menerima sedekah ku.” Nabi bersabda, “Ibnu Mas’ud berkata benar. Suami dan anakmu lebih berhak menerima sedekahmu.”
Dalam lafaz lain, Nabi SAW menambahkan: “Benar, ia mendapatkan dua pahala iaitu pahala menjalin tali kekerabatan dan pahala sedekah.”
Syaikh Abdul Qadir bin Syaibah al Hamd mengatakan, terdapat beberapa pengajaran melalui hadis di atas:
1. Dibolehkan bagi wanita bersedekah untuk suaminya yang miskin.
2. Suami adalah orang yang paling utama untuk menerima sedekah daripada isterinya berbanding orang lain.
3. Isteri dibolehkan bersedekah untuk anak-anaknya dan kaum kerabatnya yang tidak menjadi tanggungannya.
4. Sedekah isteri tersebut termasuk bentuk sedekah yang paling utama.
Maka oleh sebab itulah, bagi seorang isteri yang baik, akan dapat mengelola wang dan harta milik peribadinya secara bijak, membelanjakan pada hal-hal yang bermanfaat bagi dirinya di dunia dan akhirat serta tidak boros sehingga mendatangkan kerugian baginya.
Sumber: Majalah i
Lubuk konten untuk inspirasi bakal – bakal pengantin. Pengantin kini di seeNI.
Download
sekarang!
Setiap pasangan pasti mengimpikan hari bahagia yang diingati sepanjang hayat. Momen dua hati disatukan dalam suasana indah, bersama keluarga dan rakan tersayang sudah tentu...