Ads

Persalinan Bernilai RM170,000, Tiara Eksklusif Swarovski Lengkapkan Penampilan Putri Batriyshah Di Sisi Muhammad Naim

Bagaikan puteri dari kayangan, Putri Batriyshah pada majlis persandingannya bersama suami tercinta, Muhammad Naim, cukup memukau dengan persalinan haute couture yang sarat kemewahan, kehalusan seni dan perincian kristal Swarovski.

Bukan sekadar busana pengantin biasa, persalinan eksklusif hasil sentuhan rumah fesyen Rizalman Haute Couture itu merupakan sebuah karya seni yang mengambil masa enam bulan untuk disiapkan, dengan keseluruhan nilainya dianggarkan mencecah RM170,000.

Lebih menarik, penampilan anak perempuan kepada Puan Hajah Haliza Maysuri dan Tuan Haji Mohd Rosli Awang turut dilengkapkan dengan tiara Swarovski yang tidak dijual kepada umum serta jambangan bunga kristal bernilai RM30,000, hadiah penuh kasih sayang daripada seorang ayah.

Persalinan Bernilai RM170,000, Tiara Eksklusif Swarovski Lengkapkan Penampilan Putri Batriyshah Di Sisi Muhammad Naim

Inspirasi Keanggunan Angsa Putih

Mengangkat konsep The White Swan, persalinan Putri Batriyshah diinspirasikan daripada keindahan dan keanggunan seekor angsa putih.

Direka secara eksklusif oleh Rizalman Haute Couture, busana ini menampilkan siluet potongan duyung yang menyerlahkan keanggunan figura pengantin, diperkaya dengan permainan lapisan fabrik bertekstur menyerupai susunan bulu dan bentangan sayap angsa.

Dalam dominasi rona putih nan suci, perincian lipatan halus, sulaman tangan serta kilauan kristal bernuansa perak digabungkan bagi menghasilkan penampilan yang romantis, elegan dan penuh dramatik.

Keindahan rekaan ini turut terserlah menerusi bahagian belakang busana dengan perincian fabrik yang mengembang indah, seakan-akan sayap angsa yang sedang dibentangkan.

Menurut maklumat, proses penghasilan persalinan eksklusif ini mengambil masa selama enam bulan, merangkumi perancangan, penelitian rekaan, pemilihan fabrik, sulaman serta pemasangan kristal secara manual.

Antara keistimewaan busana berkenaan ialah penggunaan 83,000 kristal Swarovski yang didatangkan khas dari Austria.

Ads

Sebanyak 15 jenis kristal dengan variasi bentuk, saiz dan rona dipilih dengan teliti sebelum dijahit secara manual mengikut motif tenunan serta corak renda pada permukaan busana.

 

View this post on Instagram

 

A post shared by Pesona Pengantin (@pesonapengantin)

Kehalusan craftsmanship turut dapat dilihat menerusi penggunaan fabrik sifon yang dibentuk satu persatu bagi menghasilkan tekstur unik menyerupai bulu angsa.

Selain itu, teknik draping diaplikasikan bagi membentuk alunan siluet yang indah, manakala tiga pendekatan sulaman termasuk tambour embroidery, fixed iron dan teknik sulaman tangan khusus digunakan bagi menyempurnakan keseluruhan rekaan.

Dengan kos pembuatan adi busana melebihi RM99,600 serta penggunaan kristal Swarovski bernilai lebih RM70,000, keseluruhan karya eksklusif ini dianggarkan bernilai RM170,000.

Tiara  Hadiah Eksklusif Buat Putri

Tidak lengkap penampilan seorang ratu sehari tanpa mahkota yang menyerlahkan keanggunannya.

Ads

Bagi menyempurnakan gaya pada malam persandingan, Putri Batriyshah tampil mengenakan tiara Swarovski Vienna Opera Ball 2025, sebuah rekaan eksklusif sentuhan Pengarah Kreatif Global Swarovski, Giovanna Engelbert.

Tiara berkenaan dihiasi 233 butir Swarovski Zirconia dan kristal yang dipasang dengan tangan, sekali gus memperlihatkan kehalusan seni pertukangan barang kemas mewah.

Lebih istimewa, rekaan tersebut dihasilkan bagi meraikan ulang tahun ke-130 Swarovski. Apa yang menjadikan aksesori ini cukup luar biasa adalah hakikat bahawa tiara berkenaan tidak ditawarkan untuk jualan kepada umum.

Sebaliknya, ia merupakan hadiah istimewa daripada Swarovski sendiri buat Putri Batriyshah sempena hari persandingannya bersama Muhammad Naim.

Jambangan Kristal Lambang Kasih Seorang Ayah

Di sebalik segala kemewahan yang menghiasi penampilan Putri Batriyshah, terdapat satu lagi aksesori yang menyimpan nilai sentimental cukup mendalam.

Ads

Jambangan bunga kristal Swarovski bernilai RM30,000 yang digenggamnya pada malam istimewa itu merupakan hadiah daripada ayahandanya, Tuan Haji Mohd Rosli Awang.

Difahamkan, ayahanda Putri Batriyshah sememangnya meminati jenama Swarovski sejak berpuluh tahun lalu. Justeru, pemilihan jambangan berkenaan menjadi simbol kasih sayang seorang ayah buat puteri kesayangannya yang kini melangkah ke alam rumah tangga.

Persalinan Bernilai RM170,000, Tiara Eksklusif Swarovski Lengkapkan Penampilan Putri Batriyshah Di Sisi Muhammad Naim

BACA JUGA: Seindah Permata, Semewah Berlian! Jambangan Bunga Kristal Cecah Harga RM30,000

Jambangan tersebut turut mencuri perhatian kerana Swarovski buat pertama kalinya memperkenalkan bunga kristal bersaiz sebenar, menampilkan 12 kuntum bunga yang diinspirasikan daripada keindahan musim bunga dan musim panas.

Berbeza dengan jambangan bunga segar yang akhirnya akan layu, kuntuman kristal ini membawa simbolik cinta abadi, sebuah lambang kasih sayang yang tidak akan pudar ditelan waktu.

Kemewahan Yang Sarat Makna

Sesungguhnya, penampilan Putri Batriyshah pada hari persandingannya bersama Muhammad Naim bukan sahaja menyerlahkan keindahan seni haute couture, malah mempertemukan kemewahan fesyen dengan nilai sentimental yang cukup menyentuh hati.

Daripada persalinan The White Swan yang dihasilkan penuh ketelitian, tiara eksklusif Swarovski sehinggalah jambangan kristal hadiah ayahanda, setiap elemen mempunyai kisah dan keistimewaannya yang tersendiri.

Buat Putri Batriyshah, pastinya segala keindahan ini menjadi sebahagian daripada kenangan manis yang akan terus terpahat sepanjang hayat, tatkala memulakan perjalanan baharu sebagai seorang isteri di sisi Muhammad Naim.

Dapatkan cerita, perkongsian dan info menarik. Free jer!
Dengan ini saya bersetuju dengan Terma Penggunaan dan Polisi Privasi

Lubuk konten untuk inspirasi bakal – bakal pengantin. Pengantin kini di seeNI. Download sekarang!

KLIK DI SEENI
∞
∞
Ads

Inspirasi Lain

Pelakon Siri ‘Mr. Sunshine’, Jang Dong Yoon Nikahi Kim Seung Yoon,...

Cinta yang bermula daripada sebuah perkenalan di lokasi penggambaran akhirnya membawa dua hati ke jenjang pelamin. Itulah kisah indah pasangan pelakon Korea Selatan, Jang...