
Kebanyakan perhubungan melibatkan pandangan wanita terhadap sesuatu perkara yang jejaka lakukan untuk si dia. Ya, memang benar wanita sedikit rumit untuk difahami kehendak mereka memandangkan kita… Well, let’s face it guys, we will never understand the value of a relationship. Mempertingkatkan kepercayaan dalam perhubungan memerlukan tindakan daripada jejaka itu sendiri untuk si dia menilai sejauh mana jejaka memandang serius dalam perhubungan.
Sejambak Bunga Ros Vs. Sekuntum Bunga
Menghabiskan duit yang banyak untuk membeli sejambak bunga ros yang mahal memang sangat berbaloi. Tapi si dia lebih tahu ‘nilai’ sebenar di sebalik kocek anda. Cinta tidak boleh dibeli dengan wang ringgit Jadi, apa kata anda cuba untuk memilih sejambak atau sekuntum bunga liar kecil dan lihat reaksi si dia apabila menerima bunga tersebut berbanding dengan bunga ros mahal. Apa yang pasti, kemesraan dan cinta tidak terikat pada berapa banyak wang yang anda laburkan.
Usaha Mengingati Si Dia
Menghantar mesej melalui telefon bimbit sepanjang hari di tempat si dia bekerja menunjukkan bahawa anda benar-benar mengingati si dia. Jika tidak menghantar mesej, pasti si dia merindukan anda. Sebagai kelainan, tinggalkan nota kecil di dalam kereta si dia atau hantarkan terus ke pagar rumah apabila si dia sedang sibuk bekerja. Usaha melakukan ini membuktikan cinta dan kasih sayang sebenar berbanding meninggalkan pesanan SMS sepanjang masa.
Karya Cinta
Berikan si dia hadiah ringkas hasil buatan sendiri. Contohnya memuatkan lagu-lagu romantik ke dalam sebuah CD atau USB drive dengan sedikit kata-kata ringkas mengapa setiap lagu tersebut mengingatkan anda pada si dia. Lebih menarik jika anda berkebolehan menulis puisi. Tuliskan ke atas sebuah kad. Usah panjang lebar. Straight to the point!
Pujian
Sekali pun anda sedang bermasalah besar, jangan lupa untuk memuji si dia. Ya, jejaka tidak mungkin berkongsi masalah dengan si dia. Pujian terhadap si dia menerusi apa yang si dia gayakan, si dia pasti menghargainya. Memuji paras rupa, potongan rambut mahu pun pakaian si dia kelihatan cantik adalah penting. Ini menandakan anda telah memberikan perhatian sepenuhnya terhadap si dia.
Memasak
Katanya, jika wanita beranggapan jejaka itu seksi apabila sedang memasak. Jadi, apa tunggu lagi? Masak untuk si dia! Anda tidak perlu memasak hidangan gourmet atau cuisine. Cukup sekadar berkebolehan untuk memasak menu hidangan yang mudah untuk disediakan. Lebih bagus lagi, jika anda sendiri yang membeli kelengkapan dan bahan dapur untuk memasak. Tidak perlu lagi membungkus makanan atau membelanjakan wang untuk makan di luar. Lihat sahaja resipi mudah di Internet.
Download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
Di Jemput Ke Majlis Perkahwinan Tapi Tidak Hadir? Apa Hukumnya?

Dengan teknologi yang ada pada masa kini semuanya boleh dilihat hanya pada hujung jari sahaja. Termasuklah jemputan perkahwinan. Kalau dulu kita perlu pos kan kad ke rumah satu-satu namun kini ramai orang yang mengambil langkah mudah iaitu dengan menjemput hanya melalui Facebook atau sosial media lain sahaja.
Ya, sememangnya cara sebegini amat mudah, malah kita dapat melihat siapa lagi yang akan menghadiri majlis tersebut. Tetapi, apa hukumnya sekiranya kita dijemput tetapi tidak menghadirinya? Jom baca lebih lanjut.
Soalan:
Assalamualaikum w.b.t S.S Mufti, saya dijemput untuk hadir ke kenduri perkahwinan melalui Facebook, tetapi saya tidak menghadirinya. Apakah hukumnya ?
Jawapan:
Wa’alaikumussalam w.b.t.
Alhamdulillah segala puji dan syukur kami panjatkan kepada Allah S.W.T. Selawat dan salam kami ucapkan ke atas junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W, para isteri dan keluarga baginda, para sahabat, seterusnya golongan yang mengikuti jejak langkah baginda sehingga hari kiamat.
Mukadimah
Menurut kitab Al-Feqh al-Manhaji, Al-Walimah diambil dari perkataan الولْم yang membawa erti berhimpun atau berkumpul. Dinamakan dengan yang demikian itu kerana kedua pasangan suami isteri berkumpul padanya (majlis perkahwinan).
Kemudian disebutkan, al walimah merupakan makanan perkahwinan, atau kesemua makanan yang dibuat untuk dijemput (orang ramai) dan selainnya. Rujuk Al-Feqh al-Manhaji (2/92).
Secara umumnya, menghadiri kenduri perkahwinan adalah suatu perkara yang diperintahkan. Dan seperti yang diketahui bahawa setiap kata perintah yang terdapat di dalam Al-Quran dan Al-Sunnah membawa kepada hukum wajib, melainkan jika terdapat petunjuk-petunjuk lain yang mengalihkan hukum wajib tersebut.
Hukum Menghadiri dan Memenuhi Jemputan
Para fuqaha berbeza pendapat berkenaan hukum menghadiri jemputan ini dengan melihat kepada jenis dan kategori jemputan tersebut sama ada ia merupakan jemputan kenduri perkahwinan atau jemputan-jemputan selainnya. Kami ringkaskan seperti berikut:
Pertama: Hukum Menghadiri Jemputan Majlis Perkahwinan
Majoriti para ulama menyatakan bahawa hukum memenuhi jemputan perkahwinan adalah wajib. Ini berdalilkan dengan sebuah hadis daripada Ibn Umar R.A bahawa Rasulullah S.A.W bersabda:
إِذَا دُعِيَ أَحَدُكُمْ إِلَى الْوَلِيمَةِ فَلْيَأْتِهَا
Maksudnya: Apabila salah seorang kamu dijemput ke majlis perkahwinan (walimah), maka hadirlah ia.
Riwayat Muslim 1053
Hukum wajib tersebut diambil daripada perkataan Nabi S.A.W فَلْيَأْتِهَا yang merupakan kata perintah yang membawa hukum wajib secara asasnya di sisi kaedah fekah.
Imam Al-Nawawi dalam syarahan beliau ke atas hadis di atas berkata: ‘’Pendapat paling sahih dalam mazhab kami, hukum menghadiri kenduri perkahwinan adalah fardhu ‘ain bagi mereka yang dijemput, akan tetapi kewajipan tersebut gugur disebabkan beberapa keuzuran berikut:
- Sekiranya ada syubhah (keraguan) pada makanan.
- Adanya kemungkaran di dalam majlis tersebut.
Secara asasnya, sekiranya seseorang itu mengetahui terdapatnya kemungkaran di majlis tertentu, maka wajib ke atasnya untuk mencegah kemungkaran tersebut sekiranya dia mampu mengubahnya. Manakala sekiranya dia tidak mampu, hendaklah dia tidak menghadiri majlis tersebut.
Berkaitan dengan isu menghadiri majlis yang terdapat di dalamnya kemungkaran, kami telah menjawabnya secara panjang lebar di dalam Irsyad Al-Fatwa Siri Ke- 224 : Hukum Duduk Di Dalam Majlis Yang Dihidang Arak Padanya yang boleh dibaca menerusi pautan berikut https://bit.ly/2HMzU1i
- Majlis perkahwinan yang hanya mengkhususkan orang-orang kaya sahaja untuk hadir.
Ini berdasarkan sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah R.A bahawa beliau berkata:
شَرُّ الطَّعَامِ طَعَامُ الْوَلِيمَةِ يُدْعَى لَهَا الأَغْنِيَاءُ وَيُتْرَكُ الْفُقَرَاءُ
Maksudnya: Seburuk-buruk makanan adalah makanan pada majlis perkahwinan yang dijemput padanya orang-orang kaya dan ditinggalkan (tidak dijemput) orang-orang miskin.
Riwayat Ibn Majah (1913)
- Majlis perkahwinan yang dijemput oleh dzimmi (orang bukan Islam), maka pendapat yang sahih di sisi mazhab Imam Al-Syafie adalah tidak wajib untuk menghadirinya.
Ini berdasarkan sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah R.A beliau berkata bahawa Rasulullah S.A.W dalam menyatakan hak (tanggungjawab) seorang muslim ke atas seorang muslim yang lain antaranya:
وَإِذَا دَعَاكَ فَأَجِبْهُ
Maksudnya: Dan apabila dia menjemput kamu (ke sesuatu majlis) maka hendaklah kamu menerimanya (menghadirinya).
Riwayat Muslim (2162)
Ini berhujahkan bahawa yang menjadi kewajipan apabila undangan datang dari umat Islam itu sendiri.
Adapun hukum menghadiri majlis perkahwinan orang bukan Islam maka kami nyatakan bahawa para ulama’ mazhab Syafi’e berpandangan, hukum menghadiri jemputan walimah orang bukan Islam ialah sunat sekiranya jemputan itu datang daripada kaum keluarga dan jiran tetangga atau jika kehadiran kita akan memberi manfaat kepada dakwah Islam. Rujuk Nihayah Al- Muhtaj, Al-Ramli (6/371).
Ini juga dipersetujui oleh Imam al-Mardawi dari mazhab Hanbali, yang turut menyebut akan keharusan menghadiri walimah orang bukan Islam dengan memetik pandangan Imam Ahmad dan Ibn Qudamah. Rujuk Al-Insaf, Al-Mardawi (8/320).
Kami juga menambah beberapa keuzuran lain seperti berikut:
- Kesesakan lalu lintas, hujan lebat, jalan lecah, dan seumpamanya.
Kata Dr. Wahbah Al-Zuhaili: ‘’Antara keuzuran yang menggugurkan kewajipan untuk memenuhi jemputan adalah: Banyaknya kesesakan, hujan lebat, jalan lecah, sakit, dan seumpamanya’’. Rujuk Al-Fiqh Al-Islami wa Adillatuh, Al-Zuhaili (9/6622).
Ini mengguna pakai keuzuran-keuzuran yang membolehkan seseorang itu tidak menghadiri solat Jumaat.
- Kenduri perkahwinan tersebut berlangsung jauh dari kediaman mereka yang dijemput.
- Kesibukan orang-orang yang dijemput seperti tokoh-tokoh politik, agama, dan juga pemimpin masyarakat.
- Banyaknya jemputan kenduri yang lain dalam hari yang sama di tempat-tempat yang jauh jaraknya.
Kata Imam Al-Nawawi lagi: ‘’Dan Al-Qadhi telah menukilkan kesepakatan para ulama dalam menyatakan wajibnya menyahut (menghadiri) jemputan walimah al-‘urs (majlis perkahwinan)’’. Rujuk Al-Minhaj, Al-Nawawi (9/570).
Begitu juga berdalilkan sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah R.A bahawa Rasulullah S.A.W bersabda:
وَمَنْ لَمْ يُجِبِ الدَّعْوَةَ فَقَدْ عَصَى اللَّهَ وَرَسُولَهُ
Maksudnya: Dan sesiapa yang tidak menyahut jemputan (dengan menghadirinya), sesungguhnya dia telah menderhakai Allah dan Rasul-Nya.
Riwayat Muslim (1432)
Ini bermaksud tidak menghadiri jemputan majlis perkahwinan dianggap sebagai suatu maksiat kepada Allah S.W.T, dan tidaklah perbuatan itu dianggap maksiat melainkan pada meninggalkan yang wajib.
Kedua: Hukum Hadir Jemputan Majlis Selain Perkahwinan Adalah Mustahab
Para ulama menyatakan bahawa hukum memenuhi jemputan menghadiri majlis selain dari majlis perkahwinan, seperti majlis keraian, majlis perpisahan, majlis akikah, dan seumpamanya adalahmustahab (iaitu sunat).
Kata Imam Al-Nawawi: ‘’Adapun selainnya (iaitu selain jemputan perkahwinan), maka ada dua pendapat di sisi ashab kami. Pertama, hukum menghadirinya adalah sama seperti walimatul ‘urus. Pendapat kedua, hukum memenuhi jemputan tersebut adalah mustahab’’.
Beliau juga turut menukilkan pendapat Imam Malik dan jumhur yang menyebut: ‘’Tidak wajib memenuhi jemputan (selain majlis perkahwinan)’’. Rujuk Al-Minhaj Syarah Sahih Muslim, Al-Nawawi (9/570).
Hukum Menjemput Hadir Ke Majlis Perkahwinan Melalui Facebook Event
Dalam perkembangan masa kini, banyak berlaku perubahan dalam gaya hidup termasuklah isu jemputan ke majlis perkahwinan. Justeru kami menyatakan beberapa kaedah asas yang berkaitan dengan isu ini. Antaranya:
العادة محكَّمة
Maksudnya: Adat itu menjadi penentu hukum.
Ini bermakna, adat itu boleh menjadi penentu atau pemutus hukum dalam permasalahan-permasalahan yang berlaku. Yang mana permasalahan tersebut tidak terdapat padanya dalil-dalil yang jelas dalam menjelaskan hukumnya.
Justeru secara umumnya, hukum bagi perbuatan ini adalah harus. Ini juga bertepatan dengan sebuah kaedah fiqh yang menyebut:
الوَسَائِلُ لَهَا أَحْكَام المَقَاصِد
Maksudnya: Wasilah-wasilah mengambil pakai hukum maqasid.
Justeru, sekiranya tujuan seseorang itu benar-benar ingin menjemput orang ramai hadir ke majlis perkahwinannya, adalah dibolehkan untuk dia menggunakan apa sahaja wasilah menjemput yang harus sama ada melalui lisan, kad jemputan, atau aplikasi media sosial seperti facebook, twitter, dan seumpamanya.
Kesimpulan
Sebagai penutup kami menyatakan bahawa secara kebiasaannya jemputan yang datang dalam bentuk facebook event ini sekadar proses pemudah cara dalam menentukan jumlah bilangan individu yang akan hadir ke majlis perkahwinan tersebut dari kalangan rakan-rakan facebook pengantin. Bahkan kebiasaannya mereka akan menyebut bahawa kad jemputan akan menyusul sekiranya kita menekan pilihan going (akan hadir).
Meskipun begitu, sekiranya jemputan itu datang dalam bentuk yang umum seperti jemputan perkahwinan di majlis yang terdapat di dalamnya ramai orang, dan kita berada dalam majlis tersebut, maka tidak menjadi tuntutan (kewajipan) untuk kita menghadirinya di sisi majoriti ulama. Demikian juga kita katakan kepada isu jemputan yang datang melalui facebook event, kumpulan whats app (whats app group), dan sebagainya yang datang dalam bentuk jemputan umum.
Oleh yang demikian, secara asasnya wajib bagi anda untuk memenuhi undangan perkahwinan yang ditujukan khas kepada anda meskipun ia dijemput melalui facebook. Tambahan pula ia turut disertakan pula dengan jemputan yang sama melalui medium-medium lain seperti jemputan secara berhadapan, kad jemputan, dan selainnya.
Hukum wajib ini sekiranya anda tidak ada sebarang keuzuran yang menghalang. Namun jika anda tidak dapat menghadirinya disebabkan terdapatnya keuzuran-keuzuran seperti yang telah kami nyatakan, maka ia tidaklah dianggap sebagai berdosa. Sebaiknya, sampaikanlah permohonan maaf kepada mereka yang menjemput serta perbanyakkanlah berdoa kepada pasangan yang melangsungkan perkahwinan agar mendapat rahmat dan berkat dari Allah S.W.T.
Semoga Allah S.W.T memberikan kefahaman yang tepat kepada kita dalam beragama. Amin.
Sumber : Mufti Wilayah Persekutuan
Download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
Pesan Coach Ina Fitlife, Jika Nak Kurus Elak 10 Kesilapan Besar Diet Ini

Tahun baharu ramai yang memasang impian dan salah satunya yang jadi kemestian semua orang ialah ingin kurus. Tapi macam mana nak kurus? Mesti tak boleh makan nasi dan kena minum air sahaja? Kalau berat sudah mencecah 80kg, mampukah anda mendapatkan berat ideal sekurang-kurangnya 50kg?
Mungkin ini yang bermain di fikiran anda. Segalanya terletak pada diri individu itu sendiri sejauh mana kecekalan dirinya mahu berubah dan bukan hanya untuk nampak cantik. Yang penting tubuh badan sentiasa sihat.
Nak kurus tapi tak berjaya? Cuba semak 10 kesilapan besar ketika diet sebagaimana yang dikongsikan oleh Coach Ina Fitlife ni. Mungkin ada kesilapan-kesilapan yang pernah anda lakukan ketika mengamalkan diet.
Sebelum nak melangsungkan hari bahagia, cuba selidik tip berguna ini agar misi anda untuk menurunkan berat di tahun 2018 tercapai.
1. SKIP HIDANGAN
Jangan skip mana-mana hidangan. Lagi-lagi sarapan pagi. Sarapan tu penting tau ! Pilih sarapan yang sihat, tinggi protein dan serat ! Elakkan sarapan yang tinggi kalori, gula dan lemak.
2. MAKAN 3x SEHARI JE?
3 hidangan sehari TAK cukup untuk mengawal nafsu makan membantu meningkatkan metabolism. Paling kurang makanlah 5x sehari. Rancang meal plan mengikut keperluan kalori seharian. Yang penting makan kerap untuk kawal nafsu.
3. MAKAN TAK CUKUP?
Jangan jangan jangan tak makan. Nak turun berat kena makan. Berlapar akan membuatkan metabolisma berkurang dan menjejaskan penurunan berat badan korang tu.
4. NAK KURUS ORANG CAKAP ELAK NASI.
Saya sendiri pun makan nasi 2x sehari. Nasi adalah sumber karbohidrat yang baik. Memang lah menggemukkan kalau sehari 4 5 pinggan nasi , TETAPI oats, buah, roti pun menggemukkan kalau diambil berlebihan. Nak makan nasi, jangan lebih segenggam tangan untuk satu hidangan.
5. IKUT ORANG CAKAP & MISS GOOGLE
Ikut diet membuta. Ramai yang suka ikut trend-trend diet terkini. Asal nak kurus je tanya cik google tak pun ikut orang cakap. Nak diet kena tahu dan faham apa yang korang makan. Turun berat bukan magik !
6. TAK TAHU KEPERLUAN KALORI SEHARIAN
Kenal pasti keperluan kalori seharian ( DCR) . Bukan main berlapar je. Bila dah tahu DCR, baru lah senang nak rancang menu makan seharian. Ye tak ?
7. NAK DIET KENA MAKAN SALMON DAN PASTA JEEE.
Buat lah diet yang sesuai dengan kita yang duduk di Malaysia ni. Tiada masalah makan makanan kita selagi ia selari dengan keperluan kalori anda. Nak makan kari ayam ? Makan je ! Ambil bahagian isi, kurangkan kuah. Ni diet makan sandwich , makan pasta kononnya ORANG CAKAP senang turun berat.
8. DIET SAYA KENA MINUM AIR DAN TAK BOLEH MAKAN NASI
Diet yang baik merangkumi kesemua pilihan harian yang sihat dan seimbang. Nasi tu tak salah . Yang salah kalau korang ambil berlebihan.
9. AKU NAK KURUS SEBAB NAK KAWENNN
Diet yang sihat bukanlah diet yang ada jangka masa. Ceee google sikit tanya ” WHAT IS DIET “. Diet sepatutnya menjadi amalan sepanjang masa bukan short term. Nak sihat berpanjangan, bukan sebab nak nampak cantik di hari perkahwinan je.
10. GELOJOH
Naik berat punyalah makan macam macam , nak kurus kalau boleh 1 minggu tu nak turun 20 KG. Penurunan berat adalah proses , bukan LIPOSUCTION .
Haaa sekarang dah tahu mistake mistake yang korang selalu buat ?
Selamat mencuba dan good luck !
Download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
Bersihkan Rumah Dari Gambar Patung Untuk Elak Gangguan Iblis Dalam Rumahtangga

Setiap Muslim hendaklah mengawal rumah tangganya daripada gangguan syaitan dan iblis. Antara cara untuk memelihara rumah tangga daripada gangguan syaitan adalah dengan melakukan 7 perkara ini.
.
1. Membaca al-Quran
Membaca al-Quran dengan penuh khusyuk banyak kelebihannya. Membiasakan membaca al-Quran dalam rumah, selain beroleh pahala membawa berkat dan menyelamatkan penghuni rumah tangga daripada gangguan iblis dan syaitan.
Zikir ketika masuk dan keluar rumah.
Daripada Abu Malik al-Asyaari bahawa Rasulullah bersabda maksudnya: “Apabila seorang hendak masuk ke dalam rumah, hendaklah dia mengatakan: Ya Allah, aku mohon kepada Engkau sebaik-baik tempat masuk dan sebaik-baik tempat keluar. Dengan nama Engkau kami masuk dan dengan nama Engkau kami keluar, dan kepada Tuhan kami, kami menyerahkan diri, kemudian memberi salam kepada keluarga.” – (Riwayat Abu Daud).
2. Memberi salam kepada keluarga dan ahli rumah
Firman Allah bermaksud: “Maka apabila kamu masuk ke sebuah rumah dari rumah-rumah ini hendaklah kamu memberi salam kepada penghuninya yang bererti salam sejahtera kepada diri kamu sendiri, salam yang ditetapkan di sisi Allah, yang diberi berkat lagi baik.” – (Surah an-Nur, ayat 61).
Imam an-Nawawi berkata: “Disukai untuk mengucapkan salam dan banyak berzikir kepada Allah serta memberi salam sama ada dalam rumah itu ada orang atau pun tidak.” Rumah yang tiada penghuni perlu juga diberi salam, sebab setiap rumah ada penghuni dalamnya iaitu malaikat sebagai penjaga dan pengawalnya. Seseorang yang masuk ke dalam rumah dengan memberi salam dijamin Allah keselamatannya.

.
3. Zikir ketika makan dan minum
Daripada Jabir berkata, bahawa dia mendengar Rasulullah bersabda maksudnya: “Apabila seorang masuk ke rumahnya dengan berzikir kepada Allah ketika memasukinya dan ketika makan, syaitan berkata: “Aku tidak makan dan tidak menginap di tempat kamu, dan apabila dia masuk tidak berzikir kepada Allah ketika masuk, maka syaitan mengatakan: “Aku boleh menginap dan apabila tidak berzikir ketika makan, syaitan berkata: “Aku boleh bermalam dan makan malam.” – (Riwayat Muslim).
4. Membersihkan rumah daripada gambar patung
Islam melarang segala bentuk gambar patung disimpan dalam rumah. Hal ini kerana malaikat tidak akan masuk ke rumah yang ada gambar patung atau tanda salib dalamnya.
Diriwayatkan daripada Aisyah bahawasanya beliau membeli bantal kecil yang ada gambar. Ketika Rasulullah melihatnya, Baginda berdiri di pintu, enggan masuk ke dalamnya. Maka, diketahui daripada wajah Rasulullah kelihatan rasa tidak senang, lalu Aisyah berkata: “Ya Rasulullah, aku bertaubat kepada Allah dan utusannya, apakah dosaku?
Baginda bersabda: “Bagaimana keadaan bantal kecil ini?”
Aisyah menjawab: “Aku sudah membelinya untuk engkau duduk padanya dan bersandar.” Maka baginda bersabda: “Sesungguhnya orang membuat gambar ini akan diazab pada hari kiamat dan dikatakan kepada mereka: Hidupkanlah apa yang kamu ciptakan itu.”
Imam Nawawi berkata, jika hendak membuat juga gambar itu, maka buatlah gambar pokok dan segala sesuatu yang tidak ada roh padanya. Demikian menurut riwayat Bukhari dan lafaz bagi Muslim dan Nawawi.

.
5. Membanyakkan solat sunat di rumah
Solat yang dikerjakan sebagai benteng gangguan syaitan untuk masuk ke rumah. Rasulullah bersabda maksudnya: “Jadikanlah solat sunat dalam rumah kamu dan janganlah jadikan rumah kamu itu sebagai kubur.” – (Riwayat Bukhari, Muslim dan Nawawi).
Maksud sebagai kubur itu adalah tidak melakukan solat sunat di rumah. Rasulullah selalu mengerjakan solat sunat di rumah sebelum solat fardu di masjid seperti sabdanya bermaksud: “Wahai manusia, solatlah kamu (sunat) di rumah kamu kerana sesungguhnya solat seseorang yang paling afdal adalah di rumahnya kecuali solat wajib.” – (Riwayat Nasai’).
6. Harmonikan rumah tangga
Sabda Rasulullah bermaksud: “Sesungguhnya iblis meletakkan singgahsana di atas air, kemudian mengutus pasukannya, maka yang paling dekat daripadanya (antara syaitan) kedudukannya adalah yang paling besar membuat fitnah sehingga datang salah satu daripada mereka mengatakan bahawa tidaklah dia tinggalkan seorang suami dan isteri, dia berkata: Maka mendekatlah dia daripadanya dan mengatakan sebaik-baik orang adalah kamu.” – (Riwayat Muslim dan Nawawi).
Maka, wajib bagi suami isteri untuk bergaul harmoni, ceria dan mesra serta bergaul baik dengan keluarganya untuk mengelak daripada gangguan syaitan dan konconya.
7. Bentengkan anak daripada gangguan syaitan
Menjadi kewajipan ibu bapa untuk menjaga zikir pada waktu jimak bagi memelihara anak daripada bisikan dan pengaruh syaitan dari awal lagi.
Daripada Ibnu Abbas bahawa Rasulullah bersabda maksudnya: “Andai kata salah seorang antara kamu mendatangi isteri, hendaklah memulakan dengan menyebut nama Allah dan berdoa: “Ya Allah, jauhkanlah syaitan daripada kami, dan jauhkan syaitan daripada apa yang Engkau rezekikan kepada kami. Maka apabila Allah menjadikan antara mereka berdua seorang anak, tidaklah syaitan akan dapat mengganggu anak itu selama-lamanya.” – (Riwayat Bukhari, Muslim dan Nawawi).
Daripada Abi Rafi’ bahawa beliau melihat Rasulullah mengazan pada telinga Husin bin Ali ketika Fatimah melahirkannya dalam keadaan sihat. – (Riwayat Abu Daud dan at-Tirmizi).
Kumpulkan anak-anak dan usap kepala mereka. Kemudian ucapkan doa bermaksud: “Aku mohon perlindungan untuk kamu dengan kalimah-kalimah Allah yang sempurna dan semua perbuatan syaitan dan ancaman berbahaya serta daripada semua mata yang jahat.”
Rasulullah memohon perlindungan kepada Allah dengan doa ini untuk Husin dan Hasan dan mengatakan: “Sesungguhnya bapa kamu berdua memohon perlindungan untuk mereka berdua iaitu Ismail dan Ishak.” – (Riwayat Bukhari dan at-Tirmizi).
kredit : RAHSIA PERKAHWINAN
Download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI