Tidak dinafikan bahawa Hari Raya mempunyai rohnya yang tersendiri bagi masyarakat beragama Islam. Di antara roh paling utama bagi perayaan ini adalah menzahirkan kegembiraan dan kesyukuran. Ini sebagaimana yang dikatakan oleh Imam Al-Hafiz Ibn Hajar Al-Asqalani Rahimahullah: “Menzahirkan perasaan bergembira pada hari-hari perayaan adalah di antara syiar Islam”. Rujuk Fath Al-Bari, Ibn Hajar (2/514).
Di dalam nas-nas syarak terdapat beberapa dalil yang menunjukkan kepada hal ini. Di antaranya adalah sebuah hadis yang diriwayatkan daripada Ummul Mukminin A’isyah R.anha beliau berkata:
دَخَلَ رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم وَعِنْدِي جَارِيَتَانِ تُغَنِّيَانِ بِغِنَاءِ بُعَاثٍ فَاضْطَجَعَ عَلَى الْفِرَاشِ وَحَوَّلَ وَجْهَهُ فَدَخَلَ أَبُو بَكْرٍ فَانْتَهَرَنِي وَقَالَ مِزْمَارُ الشَّيْطَانِ عِنْدَ رَسُولِ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم فَأَقْبَلَ عَلَيْهِ رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم فَقَالَ ” دَعْهُمَا فَلَمَّا غَفَلَ غَمَزْتُهُمَا فَخَرَجَتَا
Maksudnya: Rasulullah S.A.W masuk ke dalam rumahku dan di sisiku terdapat dua orang perempuan sedang menyanyi dengan nyanyian peperangan bu’ath. Lalu baginda S.A.W berbaring di atas katil dan memalingkan wajahnya. Kemudian Abu Bakr Al-Siddiq R.A masuk lalu memarahiku. Dia berkata: Seruling syaitan di sisi Rasulullah S.A.W ? Maka Rasulullah S.A.W pun menghadap ke arah Abu Bakar lalu berkata: Biarkanlah keduanya. Apabila Rasulullah tidak perasan maka aku pun memberi isyarat kepada kedua perempuan tersebut lalu keduanya pun keluar.
Riwayat Muslim (892)
Imam Al-Nawawi Rahimahullah meletakkan hadis dengan lafaz yang hampir sama dengan hadis di atas, di bawah tajuk ; Bab Pada Menyatakan Kelonggaran Untuk Bermain Permainan Yang Tidak Ada Maksiat Padanya Pada Hari-Hari Perayaan.
Ini kerana, peristiwa tersebut berlaku pada hari raya yang merupakan hari kegembiraan dan keseronokan. Kerana itulah Rasulullah S.A.W mengarahkan kepada Abu Bakr Al-Siddiq R.A supaya membiarkan kedua perempuan tersebut untuk menyanyi pada hari tersebut. Kesimpulan fekah yang boleh kita ambil adalah, selama mana sesuatu perbuatan yang dapat menzahirkan kegembiraan pada hari perayaan itu tidak bercanggah dengan syariat, selain tidak terdapat dosa padanya maka perkara ini adalah dibolehkan.
Budaya Memberi Duit Raya
Kami berpandangan, konsep memberi duit raya kepada ibubapa, kaum kerabat, serta kanak-kanak pada 1 Syawal adalah menepati perbuatan sedekah di dalam Islam. Bahkan perbuatan sedekah kepada ibubapa termasuk di antara ibadah yang sangat menguntungkan kerana ia menghasilkan tiga bentuk pahala amalan soleh iaitu birrul walidain (berbuat baik kepada dua ibubapa), mengeratkan silaturahim, serta pahala bersedekah itu sendiri.
Demikianlah juga jika ia diberikan kepada kaum kerabat, sanak saudara dan umpamanya. Ia turut mendapat dua pahala iaitu pahala bersedekah dan juga pahala menghubungkan silaturahim. Ini berdasarkan sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Sa’d bin Abi Waqqas R.A bahawa Rasulullah S.A.W bersabda :
إِنَّكَ لَنْ تُنْفِقَ نَفَقَةً تَبْتَغِي بِهَا وَجْهَ اللَّهِ إِلَّا أُجِرْتَ عَلَيْهَا حَتَّى مَا تَجْعَلُ فِي فَمِ امْرَأَتِكَ
Maksudnya : Sesungguhnya kamu tidaklah membelanjakan nafkah yang kamu harapkan redha Allah dengannya (nafkah tersebut) melainkan kamu akan diberikan ganjaran ke atasnya, sekalipun jua nafkah yang kamu jadikannya di dalam mulut isteri kamu.
Riwayat Al-Bukhari (56)
Isu Tasyabbuh
Berkaitan dengan isu tasyabbuh (penyerupaan) di antara duit raya dengan ang pow yang diberikan semasa perayaan kaum Cina, kami melihat bahawa tidak terdapat sebarang unsur tasyabbuh di antara keduanya. Ini kerana pemberian duit raya ada asasnya di sisi Islam iaitu termasuk dalam kategori sedekah yang sunat hukumnya. Justeru, tidak timbul isu tasyabbuh di sini. Adapun berkenaan penggunaan sampul raya, maka ia kembali kepada hukum asal sesuatu sebagaimana yang dinyatakan dalam kaedah fekah ;
الأَصْلُ فِي الْأَشْيَاءِ الْإِبَاحَة
Maksudnya: Hukum asal bagi setiap sesuatu (yang bukan ibadah) adalah harus.
Kesimpulan
Setelah kami mengemukakan beberapa nas dan hujahan berkaitan isu ini, maka kami menyatakan bahawa pemberian duit raya kepada kaum keluarga, serta jiran tetangga yang hadir berkunjung ke rumah pada 1 Syawal adalah HARUS hukumnya. Ini bertepatan dengan usaha menzahirkan syiar Islam menerusi kegembiraan memberi dan menerima sedekah, mengeratkan silaturahim, serta budaya kunjung mengunjung.
Begitu juga kami cadangkan beberapa dhawabit seperti berikut:
- Pemberian duit raya yang diberikan tidaklah dilakukan secara takalluf (memaksa diri) untuk memberi dengan jumlah yang besar.
- Golongan yang menerimanya perlulah bersyukur dengan kadar yang diterima dan tidak diungkit-ungkit. Sebaliknya bersyukur dan mendoakan kebaikan untuk pemberi.
- Hendaklah diutamakan pemberian kepada golongan fakir, miskin, dan mereka yang memerlukan. Ini kerana, asnaf untuk sedekah yang wajib iaitu zakat, adalah merupakan asnaf yang sama untuk kita beri keutamaan semasa memberikan sedekah sunat.
Akhir kalam, semoga penulisan ini memberikan pencerahan secukupnya kepada sesiapa yang membacanya. Ameen.
Download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI