Di sebalik nama besar perancang perkahwinan, Nas Great Idea, berdirinya Muhammad Nazrul Nazaruddin atau lebih dikenali dengan sapaan Nas. Bukan calang-calang orang, pengaruh Nas ternyata cukup besar dalam industri perkahwinan.
Berpengalaman sejak tahun 2003 hingga kini, setiap sentuhan magisnya dalam mendekorasikan sesebuah majlis perkahwinan sentiasa mencuri perhatian. Setiap kali melangkahkan kaki ke majlis resepsi perkahwinan tentunya mata seakan-akan terpaku dengan keindahan dekorasi yang dijelmakan hasil sentuhan Nas Great Idea.
Begitulah kuatnya impak hasil kerja seni Nas yang kini menjadi ikon bagi kebanyakan usahawan yang berkecimpung dalam industri perkahwinan. Laburkan sahaja sejumlah bajet untuk sebuah perkahwinan maka Nas Great Idea akan berusaha sedaya yang mungkin untuk merealisasikan perkahwinan impian yang diangan-angankan.
Meskipun berlatarbelakangkan dunia kejuruteraan yang sudah tentu jauh menyimpang daripada apa yang diceburinya sekarang, ia bukanlah halangan untuk Nas mencipta jaya. Sikap percaya bahawa rezeki akan datang apabila disertakan dengan daya usaha yang tidak berbelah bahagi nyata membuahkan hasil.
MENGAPAKAH MEMILIH NAMA NAS GREAT IDEA?
Great Idea ini dicadangkan oleh salah seorang pelanggan saya. Katanya, mengapa tidak saya memakai nama tersebut memandangkan ia menggambarkan kredibiliti saya dalam industri ini. Meskipun pada mulanya saya merasakan nama ini agak ‘berat’ untuk dibawa namun lama-kelamaan saya semakin serasi dengan nama ini. Alhamdulillah dengan berkat nama Nas Great Idea, saya telah berjaya di luar kebiasaan. Dengan nama ini juga saya berjaya membina pengaruh dengan lebih kukuh.
BAGAIMANAKAH ANDA MEMBANGUNKAN NAS GREAT IDEA SEHINGGA MENJADI PERUNDING PERKAHWINAN YANG CUKUP DIKENALI RAMAI?
Dalam apa jua perniagaan yang diusahakan, strategi pemasaran itu amat penting. Setiap kali saya diberi tugasan, saya akan lakukan dengan sebaik mungkin. Beri nilai lebih dengan setiap kerja yang dilakukan. Ambil peluang untuk mengembangkan bisnes apabila berpeluang. Jangan lepaskan peluang yang ada di hadapan mata kerana peluang itu tidak datang selalu. Apabila peluang itu datang, cepat-cepat rebut peluang itu agar ia boleh dimanfaatkan sebaik mungkin.
Kita yang memilih untuk mengembangkan perniagaan kita dan bukannya orang lain. Sebagai contoh, apabila seorang pelanggan itu datang dengan bajet tertentu, kita beri lebih hasil kerja daripada bajet yang diberikan. Kita tidak beri 20 peratus atau 80 peratus hasil kerja tetapi 200 peratus. Jangan sekat idea dan kemampuan untuk berkarya bagi menghasilkan sesuatu yang luar biasa. Apabila kita berfikir secara luar biasa maka tindakan kita juga akan jadi luar biasa. Dengan cara itu, kita mampu menarik lebih ramai pelanggan untuk terus berurusan dengan kita pada masa-masa yang akan datang.
BAGAIMANAKAH NAS GREAT IDEA BERSAING DENGAN PERUNDING-PERUNDING PERKAHWINAN YANG LAIN?
Tidak dapat dinafikan persaingan memang sengit terutamanya apabila muncul perunding-perunding perkahwinan yang masih baharu. Kesilapan besar mereka yang sudah ada platform dalam industri perkahwinan ialah menganggap kemunculan perunding yang baharu ‘naik’ ini sebagai cendawan yang baharu tumbuh. Sepatutnya kita yang sudah lama berdiri dalam industri ini perlu melihat perunding yang baharu dalam industri ini sebagai bunga yang baharu berkembang. Apa yang perlu dilakukan ialah kita ‘angkat’ bunga-bunga ini dan ‘gubah’ sedaya mungkin. Didik dan beri tunjuk ajar kepada mereka. Apabila kita menganggap mereka sebagai saingan, secara tidak sedar kita telah menyekat diri kita untuk melakukan perkara yang baik. Kongsi ilmu dengan mereka supaya mereka tidak melakukan kesilapan yang telah kita lakukan. Tidak timbul masalah untuk kedekut ilmu kerana lebih banyak ilmu yang dikongsi maka lebih banyak ilmu yang bakal kita peroleh.
APAKAH SIGNATURE REKAAN DALAM DEKORASI NAS GREAT IDEA?
Buang tabiat! Itu sahaja yang boleh saya katakan. Kami selalu menghasilkan rekaan dekorasi yang di luar akal dan pemikiran manusia. Sebagai contoh, untuk gubahan bunga kita akan gubah ‘setinggi alam’, pentas kaca, air terjun dan sebagainya. Saya suka mengubah dewan menjadi suatu tempat yang lain. Pernah kita buat satu dewan dengan tema empat musim, tema negara Turki (bangunan di dalam dewan). Kami gantikan dengan candelier yang baharu dengan 24 buah candelier gergasi di dalam dewan. Hasil output kami memang berbeza daripada apa yang dilihat di dalam gambar. Kata kunci untuk menghasilkan dekorasi yang mengagumkan ialah kita perlu ada jiwa setiap kali melihat seni dekorasi yang dipersembahkan. Kecantikan bukan untuk dilihat semata-mata tetapi untuk dirasai. Tetapkan pemikiran anda untuk menghasilkan yang lebih baik bukannya menetapkan pemikiran untuk permintaan pasaran.
BAGAIMANAKAH ANDA MENDAPAT IDEA UNTUK SESUATU REKAAN DEKORASI?
Saya mengumpulkan perancang-perancang perkahwinan di Malaysia dan juga Brunei di dalam satu Group Whatsapp yang dikenali sebagai Weddings Malaysia. Saya mengajar mereka cara-cara untuk mendapatkan ilham. Apabila sudah mendapat klien, kita reka konsep perkahwinan untuk klien. Jangan buka menu untuk klien seperti pakej A, pakej B dan sebagainya kerana ia boleh menyebabkan keterbatasan dalam pasaran. Ilham akan datang apabila kita menetapkan pemikiran pada klien ‘kosong’. Klien datang kepada kita umpama kertas putih. Maka sebab itulah apabila bermesyuarat kali pertama dengan klien, buka kertas putih dan mula melakar bagi mendapatkan idea. Jujur saya katakan bahawa idea saya datang di hadapan klien setiap kali klien datang bertemu dengan saya.
Ads
Pernah seorang klien saya dilamar di bawah pohon sakura di luar negara. Melalui gambar yang dilihat, saya dapat idea untuk mendirikan pohon sakura di dalam dewan perkahwinan. Klien saya memang sangat terkejut dengan idea tersebut kerana kami mengimbau kembali memori terindah dalam hidupnya. Cuba letakkan diri kita di tempat bakal pengantin maka dari situ kita tahu idea dekorasi yang bakal kita lontarkan. Memang kami tidak membataskan idea untuk berkarya kerana kami mahu klien dan juga tetamu ‘menikmati’ setiap inci hasil kerja yang kami pamerkan.
APAKAH MATERIAL YANG SERING ANDA GUNAKAN KETIKA MENDEKORASI PELAMIN?
Antara material utama yang saya gunakan ialah pentas diikuti karpet, lampu, bunga dan efek 3D. Saya gemar menggunakan material yang praktikal kerana saya mahu tetamu datang dengan tanggapan pertama yang menjurus ke arah dekorasi seluruh majlis resepsi dan bukan hanya tertumpu pada pelamin semata-mata.
BAGAIMANAKAH ANDA MENGURUSKAN BUNGA-BUNGA SEGAR,S ELAIN MEMASTIKAN BUNGA-BUNGA ITU TIDAK LAYU?
Baca selawat sebelum memasuki dewan bagi memulakan kerja. Selawat ini ‘menyejukkan’. Sebelum memulakan kerja menggubah bunga, letakkan sepenuh jiwa untuk melakukan kerja dengan sepenuh hati. Anggap majlis perkahwinan itu sebagai majlis anda sendiri dan sebab itulah kita perlu menghasilkan kerja sebaik mungkin. Curahkan perasaan sehabis mungkin untuk mendekorasikan bunga. Akhirnya tetamu akan dapat merasai aura yang cuba kami tampilkan.
Selain itu cara merawat bunga juga penting kerana ia melibatkan kuantiti bunga yang banyak. Setiap bunga perlu dirawat dengan teliti untuk setiap tangkai. Misalnya bunga mawar, ia perlu dibuang daun dan durinya. Daun perlu dibuang kerana ia menyerap air manakala duri perlu dibuang agar kerja-kerja menggubah bunga menjadi lebih mudah dan cepat. Bunga pula perlu direndam dengan bahan khas bagi mengekalkan kesegarannya.
Jika bunga Hydrangea, ia perlu direndam dalam air setengah atau satu jam sebelum digunakan agar bunga tahan lebih lama. Jika bunga mawar pula ia perlu dikembangkan dengan tangan kerana bunga mawar lambat berkembang. Selalu juga menyembur bunga dengan air yang dicampurkan dengan bahan nutrisi untuk mengekalkan kesegaran, selain selalu mencurah air di atas span. Jujur saya akui bahawa bunga yang diimport lebih berkualiti berbanding bunga tempatan terutama daripada segi saiz dan ketahanannya.
Ads
ADAKAH ANDA BERDEPAN DENGAN DETIK-DETIK YANG MENCEMASKAN KETIKA MENGURUSKAN MAJLIS PERKAHWINAN? BOLEH KONGSIKAN?
Bermacam pengalaman yang pernah saya lalui antaranya bakal pengantin perempuan tidak mahu berkahwin, bapa pengantin meninggal dunia dan sebagainya. Untuk insiden bapa pengantin yang sepatutnya menjadi wali kepada anak perempuan tunggalnya, majlis tersebut tetap diteruskan atas permintaan keluarga arwah. Ketika majlis resepsi berlangsung, kita mengumumkan tentang perkara yang sebenar. Ia merupakan satu kejutan buat tetamu namun siapalah kita untuk menidakkan takdir yang telah tersurat. Selain itu, detik-detik lain yang mencemaskan sepanjang bergelar perancang perkahwinan ialah ketika majlis di kawasan terbuka, pernah berlaku ribut.
NYATAKAN MAJLIS PERKAHWINAN YANG ADA MENINGGALKAN NILAI SENTIMENTAL BUAT DIRI ANDA? MENGAPA?
Saya masih ingat dengan satu majlis yang saya uruskan dengan seorang klien. Majlis berlangsung di kediamannya namun yang membuatkan saya terkesan hingga sekarang ialah daripada segi layanan yang diberikan oleh klien tersebut. Bukan soal wang ringgit yang menjadi persoalannya tetapi ia berkaitan dengan soal hati.
CABARAN DALAM DUNIA PERUNDINGPERKAHWINAN?
Antara cabaran yang perlu saya lalui antaranya daripada segi menguruskan staf. Cabaran daripada segi menguruskan klien cuma sekitar 30 peratus sahaja. Selebihnya daripada segi cabaran menguruskan staf. Bukan mudah untuk menguruskan staf yang ramai kerana masing-masing punya ragam yang tersendiri.
Kerjaya sebagai perunding perkahwinan nyata berbeza dengan perunding dekorasi, perunding majlis dan perunding koordinator. Sebagai perunding perkahwinan kita bukan menjual produk tetapi menjual perkhidmatan.
ISU IDEA YANG DICIPLAK. APA KOMEN ANDA?
Isu ciplak ini bergantung pada hati masing-masing. Isu ini sentiasa berterusan cuma apa yang perlu kita ingat bahawa apabila orang lain meniru hasil kerja kita ini bermakna kita telah melakukan kerja yang bagus. Gara-gara idea yang diketengahkan, orang lain turut mendapat rezeki. Kita patut bersyukur dan bukannya mengeluh kerana secara tidak sedar, kita akan menjadi lebih kreatif untuk menghasilkan idea yang lebih baik.
BAGI ANDA, APAKAH SEBENARNYA TANGGUNGJAWAB HAKIKI SEORANG PERUNDINGPERKAHWINAN?
Ads
Tanggungjawab seorang perunding perkahwinan ialah berkongsi ilmu dengan orang lain agar dapat dimanfaatkan sebaik mungkin. Usah lokek untuk berkongsi ilmu dan hanya simpan untuk diri sendiri kerana sesungguhnya sikap ini amatlah merugikan.
PELANGGAN CEREWET MUNGKIN PERKARA BIASA YANG DIHADAPI OLEH SEORANG PERUNDINGPERKAHWINAN? APAKAH TIP YANG AMALKAN SAAT BERDEPAN DENGAN PELANGGAN YANG CEREWET?
Ada pelbagai kategori cerewet di kalangan klien dan sebab itulah perunding perkahwinan harus bertindak sebagai cermin. Jika klien yang datang itu baik dan tidak cerewet, maka kita bersahabat dengan klien. Apabila kita memudahkan urusan orang lain nescaya Allah akan memudahkan urusan kita. Sebagai contoh, jika klien cerewet maka perunding perkahwinan perlu 100 kali lebih cerewet daripada pelanggan.
APAKAH PERANCANGAN MASA HADAPAN UNTUK ANDA MENGUKUHKAN LAGI NAS GREAT IDEA?
Di dalam kelas yang saya anjurkan, saya mengajar peserta agar jangan menuruti dan mengejar waktu. Inilah kesilapan yang biasa kita lakukan. Sepatutnya kita melawan masa. Industri perunding perkahwinan harus melawan masa. Sebagai perunding perkahwinan, kita perlu berpandangan jauh. Kita sudah nampak prospek untuk masa hadapan.
Melalui penubuhan Intensif Wedding Talk And Action (IWTA) saya mengadakan kelas. Dalam kelas ini, saya membimbing perunding perkahwinan yang masih baharu untuk menjana pendapatan secara luar biasa. Saya pernah terfikir untuk mengembangkan sayap bisnes ke luar negara tetapi saya sangat selektif dengan kerja-kerja yang ditawarkan. Selebihnya saya mahu fokus bagaimana kita dapat menggerakkan semua perunding perkahwinan ke satu matlamat yang sama. Saya mahu semua perunding perkahwinan bersatu dan saling membantu antara satu sama lain. Maka sebab itulah saya wujudkan Group Whatsapp Weddings Malaysia untuk kami saling berbual dan berkongsi pengalaman.
PERKEMBANGAN TERBAHARU DAN PROJEK TERKINI NAS GREAT IDEA?
Penubuhan IWTA mendapat sambutan yang luar biasa. Promosi hanya dilakukan dalam masa 10 hari sahaja tetapi sambutannya sangat menggalakkan sehingga ramai yang tidak berpeluang menyertainya. Kursus pada bulan Januari lalu berlangsung dengan jayanya. Begitu juga dengan kursus seterusnya di Hotel Grand Dorsett, Subang Jaya pada 28 dan 29 Mac. Di dalam kelas ini saya mengajar sesuatu yang luar biasa iaitu cara untuk memasang pokok yang besar di dalam dewan. Malam terakhirnya pula akan diteruskan dengan Gala Dinner dan perkongsian ilmu tentang pengurusan majlis.
Kelas ini merangkumi kelas teori dan juga praktikal. Akan ada banyak lagi kelas praktikal selepas ini seperti kelas untuk centerpiece. Melalui rEACT, kami akan membawa perunding-perunding perkahwinan yang terpilih untuk melakukan tugasan di Paris, Amsterdam dan London selama 16 hari, malah membuka maksimum untuk 26 orang peserta sahaja.
RESIPI KEJAYAAN NAS GREAT IDEA
Berfikir sesuatu yang lain yang tiada di pasaran Malaysia.
Berikan hasil kerja di luar jangkaan yang ada dalam fikiran pelanggan. Tiada yang mustahil untuk dilakukan.
Hasil kerja lebih daripada apa yang diharapkan oleh pelanggan.
NASIHAT KEPADA PERUNDING PERKAHWINAN
Perlu ada minat. Apabila adanya minat maka semua kerja dapat dilakukan dengan mudah.
Dapatkan ilmu yang cukup sebelum memulakan langkah dalam bidang ini.
Mentor juga penting kerana melalui mentor anda dapat belajar daripada mereka serta dalam masa yang sama dapat membimbing anda untuk berjaya.
Lakukan tindakan yang luar biasa. Apabila anda berfikir secara luar biasa maka anda akan bertindak secara luar biasa.
Lubuk konten untuk inspirasi bakal – bakal pengantin. Pengantin kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Masih ada yang memilih jalan bercinta selepas kahwin, itulah yang berlaku kepada pasangan Diyana dan Aisham yang bertemu jodoh di aplikasi TillJannah.
Lebih menarik lagi, ibu kepada Diyana sendiri yang mencarikan anaknya pasangan menerusi aplikasi tersebut. Tidak sangka, itulah jodoh yang ditetapkan oleh Allah SWT.
Bercinta Selepas Nikah
Saya Diyana, pasangan saya Aisham. Syukur kepada Allah kerana memudahkan jodoh kami. Perkenalan dan pertemuan dalam waktu yang sangat singkat di TillJannah.
Pada dasarnya, perkenalan ini dipantau oleh ibu bapa saya dan permulaan pencarian dimulai oleh ibu saya. Salah satu pencarian dilakukan adalah melalui TillJannah dan semakin aktif pada bulan October dan November 2021.
Perkenalan dan pencarian secara rawak sahaja dengan melihat biodata terlebih dahulu. Setelah semua berjalan lancar, baru betul-betul saya membalas mesej yang dihantar. Permulaan perkenalan, ibu saya meletakkan syarat berkenalan 2 minggu di dalam portal TillJannah kerana, banyak juga pengalaman perkenalan tersangkut di tengah jalan yang membuang masa.
Perancangan Selepas Nikah
Sepanjang perkenalan di TillJannah, kami banyak bertanya berkenaan berapa lama tempoh untuk berkahwin dan perancangan masa hadapan dan keluarga. Tujuan utama adalah kerana tidak mahu lagi terpilih orang yang kurang tepat dan belum bersedia.
Kami berdua juga membuat solat hajat dan istikharah supaya boleh melihat kesesuaian kami. Saya memberi nombor telefon ayah saya dan dari situ saya melihat kesunguhan si dia.
Dia mula mesej ayah saya memberitahu dia sedang berkenalan dengan saya dan memberi tarikh untuk datang berkenalan dengan ibu bapa saya.
Apabila melihat kesungguhannya, saya mula memberi nombor telefon saya dan kami mula berhubung menggunakan aplikasi Whatsapp.
Mungkin ini juga salah satu dorongan kuat untuk dia mengenali saya. Tujuan saya supaya si dia tidak membuang masa jika dia tidak dapat menerima saya.
Kami mula berkenalan di bulan November 2021 dan berjumpa di rumah saya pada Januari 2022. Saya sangka mungkin si dia hanya mahu melihat dan berkenalan dengan saya serta keluarga.
Saya tidak meletakkan harapan yang tinggi untuk dia menerima saya. Tak sangka pertemuan pertama itu si dia terus datang merisik pada waktu yang sama. Seminggu kemudian kami mengikat tali pertunangan dan bernikah pada 27 Mac 2022.
Jodoh Itu Cerminan Diri
Cabaran kami tidak setara seperti orang lain. Mungkin kerana kami hanya berkenalan secara atas talian dan bertunang dalam masa yang singkat. Kami tidak pernah keluar dan hanya bercerita tentang kerja serta aktiviti seharian melalui Whatsapp sahaja.
Diharap cinta selepas nikah ini memberi kebahagiaan kepada kami dan keluarga. Bagi yang belum bertemu jodoh jangan berputus asa. Ibu saya mencari selama 2 tahun sehingga bertemu di TillJannah.
Jangan cepat mengalah. Jodoh kita itu adalah cerminan kita. Dia berusaha untuk kita. Tidak kiralah kita wanita yang bagaimana, jangan malu untuk mulakan. Mana tahu salah seorang itu jodoh kita.
Apa yang paling penting, berdoa kepada Allah supaya jodoh yang datang boleh membahagiakan kita dan keluarga.
Sumber: TillJannah
Lubuk konten untuk inspirasi bakal – bakal pengantin. Pengantin kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Bagaimanakah kedudukan saf yang betul apabila seorang isteri solat berdua bersama dengan suaminya?
Jawapan :
Isu ini disebutkan oleh para fuqaha apabila mereka membincangkan berkenaan susunan saf di dalam solat yang melibatkan orang lelaki, perempuan, khunsa, serta kanak-kanak. Di antara dalil yang menjadi madar (ruang lingkup) perbahasan berkaitan isu ini adalah sebuah riwayat daripada Anas bin Malik R.A yang menyatakan :
Maksudnya : Bahawa neneknya yang bernama Mulaikah menjemput Rasulullah S.A.W memakan makanan yang telah dimasaknya. Maka baginda pun menjamu makanan tersebut lalu bersabda : Bangunlah untuk aku bersolat bersama kamu semua. Kemudian Rasulullah S.A.W berdiri untuk solat, lalu baginda meletakkan aku dan seorang anak yatim di belakangnya, dan perempuan tua (nenek) di belakang kami. Kemudian baginda solat dua rakaat bersama kami dan seterusnya beredar.
Riwayat Al-Bukhari (380)
Berdasarkan hadis di atas, terdapat beberapa faedah yang boleh dikeluarkan seperti berikut:
Hadis di atas menunjukkan kepada keharusan solat sunat secara berjamaah.
Galakan kepada penghuni rumah untuk mengambil berkat dengan kehadiran orang soleh dan ahli ilmu dengan menunaikan solat di dalam rumah mereka.
Baginda S.A.W mahu mengajarkan kepada mereka pergerakan-pergerakan solat.
Begitu juga diajarkan pergerakan solat kepada orang perempuan. Ini kerana, sangat sedikit dan terbatas pergerakan solat yang dapat mereka pelajari daripada Rasulullah ketika di masjid. Maka apabila baginda solat di rumah Mulaikah ini, beliau dapat melihat pergerakan solat, mempelajarinya, dan seterusnya mengajarkan kepada orang lain.
Hadis ini juga menunjukkan sahnya solat kanak-kanak yang mumayyiz.
Hadis di atas turut menjelaskan bahawa kanak-kanak juga turut mempunyai tempat di dalam saf.
Begitu juga orang perempuan berdiri di belakang orang lelaki semasa solat.
Demikianlah beberapa faedah daripada hadis yang diistinbatkan oleh Imam Al-Nawawi Rahimahullah apabila mensyarahkan hadis di atas. Rujuk Syarah Sahih Muslim, Al-Nawawi (5/293).
Justeru, dapatlah difahami bahawa jika seorang perempuan itu menjadi makmum kepada orang lelaki, sama ada lelaki tersebut adalah ayahnya, abang, adik, atau suaminya, maka kedudukan saf bagi wanita itu adalah di belakang imam. Ini juga bertepatan dengan nas yang turut diriwayatkan oleh Anas bin Malik R.A yang mengatakan :
Maksudnya: Sesungguhnya Rasulullah S.A.W solat dengannya (Anas) bersama dengan ibunya atau ibu saudaranya lalu Anas berkata: Baginda mendirikan aku di sebelah kanannya dan baginda mendirikan orang perempuan di belakang kami.
Riwayat Muslim (1056)
Kata Imam Al-Nawawi Rahimahullah: Sekiranya yang hadir mengerjakan solat itu terdiri daripada orang lelaki, kanak-kanak, golongan khunsa, serta orang perempuan, maka didahulukan orang lelaki, kemudian kanak-kanak, kemudian golongan khunsa, kemudian orang perempuan. Rujuk Al-Majmu’ Syarah Al-Muhazzab, Al Nawawi (3/132).
Di dalam kenyataannya yang lain Imam Al-Nawawi mengatakan: Para ashab kami mengatakan: Kesemuanya ini (susunan solat) hukumnya adalah mustahab (sunat) dan menyelisihinya adalah makruh namun tidak membatalkan solat.
Imam Al-Mawardi di dalam kitabnya Al-Hawi Al-Kabir (2/340) menukilkan kenyataan Imam Al-Syafie yang berkata: Apabila seorang lelaki menjadi imam, maka makmum (lelaki) berdiri di bahagian kanannya. Sekiranya makmum tersebut merupakan khunsa musykil atau perempuan maka setiap seorang dari mereka berdiri di belakangnya (imam) secara bersendirian.
Sekiranya seorang lelaki menjadi imam kepada seorang sahaja wanita, maka perempuan tersebut berdiri di belakangnya dan bukannya di sebelahnya. Ini berdasarkan sabda Nabi S.A.W :
Maksudnya : Sebaik-baik saf orang lelaki adalah yang paling depan dan seburuk-buruk saf orang lelaki adalah yang paling akhir. Manakala sebaik- baik saf orang perempuan adalah yang paling belakang dan seburuk-buruk saf bagi mereka adalah yang paling hadapan.
Riwayat Muslim (440)
Kesimpulan
Setelah kami mengemukakan beberapa pendapat para fuqaha berserta dengan nas-nas syarak di atas, maka kami menyatakan bahawa sekiranya seorang wanita solat bersama suaminya secara berjamaah, maka kedudukannya adalah di belakang suaminya. Semoga Allah S.W.T memberikan kefahaman yang jelas kepada kita dalam beragama. Ameen.
Lubuk konten untuk inspirasi bakal – bakal pengantin. Pengantin kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
FIRMAN Allah yang bermaksud: “Sehingga aku berkata (kepada mereka); Pohonlah keampunan kepada Tuhan kamu, sesungguhnya Dia Maha Pengampun. (Sekiranya kamu berbuat demikian), Dia akan menghantar hujan lebat mencurah-curah kepada kamu, Dan Dia akan memberikan kamu harta yang banyak berserta anak pinak dan Dia akan mengadakan bagi kamu kebun-kebun tanaman serta mengadakan bagi kamu sungai-sungai (yang mengalir di dalamnya).” (Surah Nuh, ayat 10-12)
Firman Allah itu pasti membuatkan kita bertambah bersemangat untuk selalu memohon keampunan Allah. Kayanya Allah, Dia bukan sahaja menjanjikan keampunan-Nya, bahkan menjanjikan kekayaan daripada limpah kurnia-Nya yang luas.
Kita semua pasti pernah mengalami hari yang sukar. Kereta rosak, anak sakit, tiada air berhari-hari, dibebani hutang, pasangan merajuk, kerja tidak siap dan pelbagai lagi cabaran hidup.
Pada saat itu, emosi pasti terganggu bagaikan mengalami cuaca panas terik. Allah mengajar kita, penyejuknya adalah dengan beristighfar.
Allah sengaja mendatangkan pelbagai masalah untuk melihat sejauh mana kita menyelesaikannya. Adakah kita menjadi seorang merintih masalah atau berusaha mencari jalan penyelesaian?
Para ulama yang dekat dengan cara fikir al-Quran dan al-Sunnah cukup memahami hakikat kehidupan ini. Ibnu Kathir berpesan, “Barang siapa yang menghiasi dirinya dengan amalan ini iaitu memperbanyak istighfar, maka Allah akan:
Memudahkan rezekinya
Memudahkan urusannya
Menjaga kekuatan jiwanya
Ibnu Qayyim pula berkata: “Apabila engkau berdoa, sementara waktu yang dimiliki begitu sempit, padahal dadamu dipenuhi dengan begitu banyak keinginan, maka jadikanlah seluruh isi doamu istighfar, agar Allah mengampunkan kamu. Apabila engkau diampuni, maka semua keperluanmu akan dipenuhi oleh-Nya tanpa engkau memintanya.”
Lazimnya lafaz istighfar itu diungkapkan sebagai zikir untuk memohon keampunan kepada Allah. Ia juga dilafazkan selepas kita tersedar daripada melakukan dosa.
Harapan kita tentu sekali supaya dosa kita dihapuskan. Namun, manfaat istighfar lebih jauh daripada itu.
Kalimat zikir sering diucapkan Nabi SAW memiliki banyak keutamaan lain jika diamalkan. Ada beberapa kisah menceritakan bagaimana ajaib amalan istighfar dalam kehidupan.
Seorang pakar bedah kardiotorasik terkenal dari Mesir, Dr Khalid Abdul Aziz Al-Jubair menulis sebuah buku bertajuk Kesaksian Seorang Doktor iaitu versi terjemahan.
Beliau menceritakan masalah yang dialami dan bagaimana Allah menyelamatkannya dengan keberkatan istighfar.
Dr Khalid Al-Jubair mendapat fitnah daripada beberapa rakan sekerjanya. Fitnah itu cukup berat dan jika dapat dibuktikan, jawatannya akan terancam.
Seterusnya beliau akan dipencenkan dan tidak dibenarkan lagi berkhidmat untuk merawat pesakit. Komplot fitnah itu dilakukan dengan cukup teliti. Mereka semuanya berpakat untuk menjadi saksi dan menciptakan bukti kukuh. Dr Khalid berasa dia tidak berupaya melawan fitnah itu dan mulai murung.
Dia hanya mampu mencari Allah. Seterusnya, keajaiban berlaku pada saat-saat akhir. Allah mendatangkan ilham pada saat dia di masjid untuk menunaikan solat fardu.
“Selama ini orang datang kepadaku dengan harapan yang besar agar aku mengubati mereka. Kini aku juga mempunyai harapan yang besar. Seharusnya aku datang kepada-Nya dan meminta pertolongan daripada-Nya,” kata beliau sendirian.
Kemudian beliau teringat kelebihan istighfar. Beliau segera melafazkan kalimah zikir itu sebanyak mungkin. Sepanjang perjalanan pulang ke rumah dan juga ke hospital beliau tidak henti-henti melafazkan kalimat berkenaan.
Astaghfirullahal-ladzi la ilaha illa huwal-hayyul-qayyum, wa atubu ilaih, bermaksud, “Aku memohon ampun kepada Allah, Yang tiada Tuhan yang berhak disembah selain Dia, Yang Maha Hidup, Yang Maha Mengurus, dan aku bertaubat kepada-Nya.” (Riwayat al-Hakim dari Ibnu Mas’ud dan At-Tirmidzi dari Bilal bin Yasar bin Zaid)
Selepas itu, ada perasaan hebat menyelubungi jiwanya. Beliau seakan-akan mengalami sentuhan spiritual sehingga perasaan resah dan berserabut kerana fitnah itu terus hilang.
Tidak lama selepas itu, semua tuduhan dikenakan ke atas beliau digugurkan kerana tidak dapat dibuktikan. Namanya dibersihkan dan beliau bebas untuk berkhidmat seperti biasa.
Rakan-rakannya yang melakukan komplot fitnah pula turut menerima hukuman. Sebahagian daripada mereka ditamatkan perkhidmatan, ada juga yang dilucutkan jawatan dan ada yang dipindahkan ke bahagian lain. Sebahagian yang lain pula datang kepadanya dan memohon maaf.
Ibnu Qayyim pula mengisahkan; “Aku sering menyaksikan guruku, Syaikhul Islam (Ibnu Taimiyah) ketika menghadapi masalah-masalah berat, beliau segera bertaubat kepada Allah, memperbanyakkan istighfar, bersandar kepada-Nya dan mengharap turunnya kebenaran dari-Nya.
Biasanya tidak lama selepas itu, bantuan daripada Allah pun turun mencurah-curah sehingga beliau boleh memilih mana-mana sahaja jalan penyelesaian yang beliau mahu.
Ibnu Taimiyah sendiri berkata, “Saat ada masalah yang amat pelik dan rumit, yang membuatkan aku berasa buntu, maka aku akan beristighfar kepada Allah sebanyak 1000 kali atau lebih kurang, sampai Allah bukakan dan pecahkan masalah masalah untukku.”
Ada sebuah mutiara kisah yang cukup manis untuk diamalkan. Kisah itu dipetik daripada kitab Tafsir al-Maraghi, hasil tulisan ulama bernama Ahmad Musthafa al-Maraghi.
Kisah iktibar itu mengenai tabi’in bernama Hasan al-Basri. Beliau sering didatangi segenap lapisan masyarakat bertanyakan hukum agama dan meminta nasihat.
Satu hari, seorang lelaki datang mengadu kepadanya kerana masalah kelaparan. Beliau dengan penuh hikmah menjawab, “Istighfarlah kepada Allah.”
Kemudian beliau didatangi seorang mengadu masalah ketiadaan zuriat. Beliau menjawab, “Istighfarlah kepada Allah.”
Kemudian datang seorang lelaki mengadu kebunnya kekeringan kerana musim kemarau. Beliau dengan penuh hikmah menjawab, “Beristighfarlah kepada Allah.”
Jawapan Hasan al-Basri menghairankan masyarakat sekitarnya. Salah seorang daripada penduduk itu bertanya, “Beberapa orang lelaki datang dan mengadu pelbagai masalah, tetapi tuan hanya menyuruh mereka semua untuk melafazkan istighfar.”
Hasan al-Basri menjawab, “Aku sama sekali tidak mengatakan apapun dari diriku sendiri. Sesungguhnya Allah berfirman seperti itu.”
Firman Allah yang dimaksudkan oleh Hasan adalah Surah Nuh ayat 10-12. Diriwayatkan dari Abdullah bin Abbas, Rasulullah bersabda yang bermaksud: “Barang siapa melazimkan istighfar, maka Allah akan jadikan jalan keluar dalam setiap kesulitan hidup dan jadikan setiap kegundah-gulanaan menjadi kebahagiaan dan Allah akan memberinya rezeki dari jalan yang tidak disangka-sangka.” (Hadis Riwayat Abu Dawud dan Ibnu Majah)
Kesimpulannya, apa sahaja masalah yang datang, ‘halau’ ia dengan istighfar. Insya-Allah, dengan membawa hati kembali kepada Ilahi, masalah akan pergi.
Sumber : Metro
Lubuk konten untuk inspirasi bakal – bakal pengantin. Pengantin kini di seeNI. Download seeNI sekarang!