Mawar Rashid yang mula dikenali menerusi pertandingan Dewi Remaja 2014/15 selamat diijabkabulkan dengan pilihan hatinya Raden Ahmad Faizal Yaakob atau mesra dipanggil Raf Yaakob petang semalam bertempat di Hotel Royale Chulan, Kuala Lumpur.
Pelakon drama “Suamiku Paling Sweet” ini sah bergelar isteri kepada Raf Yaakob dengan sekali lafaz. Mawar, 22, dan Raf 32, dinikahkan oleh Iman Masjid Saidina Abu Bakar As-Siddiq Bangsar iaitu Mohamad Azri Ahmad Kamil.
Raf menyerahkan RM900 sebagai mas kahwin manakala wang hantaran dirahsiakan jumlahnya. Mawar menyerahkan sembilan dulang hantaran dan dibalas dengan tujuh dulang hantaran oleh pihak Raf.
Antara selebriti yang turut hadir bagi memeriahkan majlis tersebut ialah Emma Maembong, Syamim Farid, Ruhainies, Rasya Rizrose dan ramai lagi.
TEMA JAWA TRADISIONAL GAMIT PERHATIAN
Dalam majlis tersebut, pasangan merpati dua sejoli ini memilih tema Jawa Tradisional sebagai pilihan untuk majlis pernikahan. Mawar dan Raf menyarungkan busana daripada pereka terkenal Cosry. Ternyata Mawar kelihatan anggun dalam persalinan ala Jawa Tradisional bersama padanan renda putih dan batik yang cukup elegan.
Tampil berseri dan memukau, Mawar dirias indah dengan solekan malar segar Ramzamode dan dandanan dari Syukqadir. Solekan dengan mainan rona-rona tanah nyata menyerlahkan lagi seri pengantin pelakon jelita ini.
Dekorasi indah menyingkap suasana penuh damai dan harmoni dengan dekorasi yang turut mendapat sentuhan serta eleman Jawa Tradisional. Azasna Design diberi tanggungjawab untuk merealisasikan tema Jawa Tradisional untuk majlis pernikahan pasangan ideal ini. Elemen dan unsur klasik dapat dilihat dalam setiap genap dan sudut dengan mainan rona dan sulaman dekorasi yang memainkan peranan penting bagi memastikan tema Jawa Tradisional ini dapat direalisasikan dengan sempurna.
Ads
MAJLIS BERSIRAM & BERINAI
Sehari sebelum bernikah, pasangan ini telah mengadakan majlis bersiram dan berinai dengan tema Thai yang dihadiri saudara mara dan rakan terdekat. Berikut kami kongsikan beberapa momen mereka sekitar majlis bersiram dan berinai yang dilakukan dengan penuh adat.
Ads
KISAH CINTA MAWAR & RAF
Dalam temu bual yang dilakukan admin Pesona Pengantin bersama Mawar dan Raf ketika sesi penggambaran muka belakang edisi Oktober-Disember 2017, Mawar dan Raf ada berkongsi isi hati masing-masing.
Ads
Pertemuan Mawar dan Raf yang diaturkan oleh Emma Maembong telah mencetuskan degup cinta dalam diri pasangan. Pertama kali bertentang mata sudah membibitkan perasaan yang sukar untuk diungkapkan. Hanya empunya diri sahaja yang dapat menafsirkan perasaan murni itu.
“Sebelum bertemu dengan Raf, saya tidak pernah percaya tentang cinta pandang pertama. Namun selepas melaluinya sendiri saya sedar bahawa hakikatnya cinta pandang pertama itu sememangnya wujud. Saat pertama kali bersua wajah dengan Raf, dia telah berjaya mencuri hati saya.
“Kesungguhan yang ditunjukkan Raf untuk menoktahkan hubungan kami ke arah yang lebih serius membuatkan saya yakin bahawa dialah jodoh saya. Meskipun tempoh perkenalan antara kami berlangsung dalam tempoh yang singkat namun bagi saya, sesuatu yang baik itu mengapa harus dilengah-lengahkan. Saya yakin inilah pilihan yang terbaik buat saya. Selepas dua bulan tempoh perkenalan, kami terus melangkah ke fasa yang lebih serius.
“Ciri-ciri yang ada apa pada diri Raf lebih daripada apa yang saya impikan. Di mata saya, Raf sudah cukup sempurna. Sesungguhnya Raf mewah dengan limpahan kasih sayang. Hubungan Raf dengan ibunya juga sangat rapat. Saya sangat bersyukur kerana dipertemukan dengan Raf yang amat mengutamakan ahli keluarga. Sifat yang ada pada diri Raf begitu meyakinkan saya untuk hidup bersamanya,” kongsi Mawar tentang perasaannya.
Raf pula mengakui bahawa dia sangat sukakan Mawar kerana terpikat dengan nilai santun yang ada pada diri Mawar. Ujar Raf, meskipun mereka berbeza usia 10 tahun namun cara pemikiran dan tindakan Mawar mencerminkan dia seorang yang matang.
“Dalam usia yang masih muda, Mawar sudah pandai berdikari. Sikapnya yang sukakan kanak-kanak telah berjaya mencuri hati saya. Melihat Mawar melayan anak buahnya dengan penuh manja dan kasih sayang meyakinkan saya yang Mawar boleh menjaga anak-anak saya dengan baik. Mawar bijak membawa diri. Saya yakin Mawar tiada masalah untuk menyesuaikan diri.
“Lagipun Mawar hadir dengan dirinya yang sebenar. Dia juga senang untuk dibentuk. Saya ada juga melakukan solat Istikharah dan alhamdulillah, Mawar ialah jodoh saya. Ya, memang benar saya dan Mawar berbeza umur 10 tahun tetapi sikap dan perwatakan Mawar tidak seperti usianya yang baharu sahaja 22 tahun,” kata Raf.
5 SEBAB MAWAR JATUH CINTA DENGAN RAF
Penyayang dan romantik.
Berpendidikan.
Berjaya membuatkan hati Mawar berada di ‘awang-awangan’.
Susahnya apabila berhadapan dengan lelaki yang panas baran. Perkara sekecil kuman pun boleh menjadi besar. Memang susah untuk mengubah mereka. Kita perlu bijak mengawal keadaan apabila berdepan dengan mereka yang panas baran. Apa yang perlu dilakukan apabila berdepan dengan teman lelaki atau tunang yang panas baran?
Menurut perunding psikologi keluarga dan guaman Syarie, Suzana Ghazali, hubungan yang terjalin boleh diteruskan dengan teman lelaki atau tunang yang panas baran sekadar dengan cepat marah atau melenting. Boleh cuba bertahan dengan teman lelaki atau tunang yang suka caci maki tetapi fikirkanlah banyak kali jika berdepan dengan teman lelaki atau tunang yang panas baran hingga sampai tahap memukul walau baharu cubaan angkat tangan hendak menampar.
Sukar untuk mengubah sikap orang lain lantaran ubahlah pendirian dan emosi diri sendiri terlebih dahulu.
Berikut dikongsikan lima cara untuk menghadapi teman lelaki atau tunang yang panas baran. Moga ia bermanfaat kepada wanita yang mengalami masalah ini.
Lebih Bersabar
Teman lelaki atau tunang yang panas baran mempunyai sikap kurang sabar. Oleh itu anda sebagai teman wanita atau tunangnya perlulah lebih bersabar. Jika anda juga tidak sabar sepertinya agak susah untuk mengawal keadaan.
Jangan Cari Pasal
Anda perlu tahu segala perkara yang si dia tidak suka. Seteklah mengetahui tentang perkara tersebut maka elakkan daripada melakukan perkara tersebut. Sebaliknya jika perkara yang si dia tidak suka itulah adalah satu keperluan atau tanggungjawab contohnya solat, berlembutlah dalam mengajak, bukan mengajar
Elakkan Lawan Bercakap
Seorang yang panas baran memang tidak suka dilawan percakapannya atau dibangkang. Sebaiknya jika anda rasa perlu untuk mempertahankan pendapat sekali pun, tunggu keadaan yang sesuai. Jangan terus dibantah pada waktu yang sama.
Kenal Pasti Kelemahan
Setiap orang ada perkara yang boleh menyebabkan dia jadi lemah dan mengalah. Sama juga dengan mereka yang memiliki sikap panas baran. Tambahan pula jika si dia terlalu sayangkan anda maka jika dia tiba-tiba marah, anda boleh diam dan pura-pura merajuk. Walau bagaimanapun perlu juga kenal pasti sikap si dia yang lain sebab ada jenis si panas baran yang tidak suka orang merajuk. Tika ini, mungkin anda boleh sekadar mengakui kata-katanya atau senyum dan cuba untuk menukar topik perbualan.
Gunakan Komunikasi Yang Baik
Sentiasa bercakap atau berhubung dengan ayat-ayat yang baik dan lembut. Boleh luahkan rasa suka anda apabila si dia bercakap dengan baik. Nyatakan kerisauan dan ketakutan anda jika si dia berubah sikap menjadi panas baran. Dengan cara tersebut, si dia boleh mengubah sikap apatah lagi jika si dia takut kehilangan anda.
Bantu Si Dia Ubah Sikap
Panas baran berpunca daripada banyak sebab dan boleh ‘ditawarkan’ menjadi lebih dingin dan hilang panas baran tersebut jika si pelaku berkehendak dan dibantu. Si dia mungkin menghadapi tekanan atau mengikut sikap ahli keluarga yang rapat terutama ayah sendiri. Lantaran itu, bantu si dia untuk tahu dan faham mengenai kesan dan akibat daripada sikap panas baran.
Lubuk konten untuk inspirasi bakal – bakal pengantin. Pengantin kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Disebabkan sibuk menyiapkan persiapan majlis kahwin berbulan lamanya, tak sedar anda telah mengabaikan kesihatan tubuh badan sehingga diserang demam panas ketika majlis kahwin. Kepada bakal pengantin, sentiasalah beringat dan menjaga kesihatan badan agar majlis kahwin anda tidak bertukar menjadi majlis yang duka dan suram.
Di sini disenaraikan tip yang berguna untuk bakal pengantin mengembalikan kecergasan tubuh badan seperti sedia kala.
1. Minum air 8 gelas sehari
Ketika demam, suhu badan akan panas di mana banyak air diperlukan untuk mengembalikan kesegaran tubuh. Amalkan minum air masak sebanyak lapan gelas besar sehari. Kebaikan minum air yang banyak memang bagus terutamanya untuk melancarkan sistem pencernaan di dalam badan, selain membuatkan kulit sentiasa lembap dan melegakan stres. Di samping itu, suhu panas badan anda juga akan menurun dengan cepat.
2. Letakkan tuala lembap di dahi
Tuala lembap yang kecil boleh diletakkan di dahi ketika suhu badan sedang naik. Anda akan rasa kesejukan di dahi dan lega daripada panas yang memerangkap di dalam kepala anda. Amalkan sekerap yang mungkin dan basahkan kain tersebut beberapa kali. Keesokan harinya, anda pasti akan beroleh sedikit tenaga untuk majlis hari bahagia.
3. Jangan tidur lewat malam
Rehat dan tidur yang cukup amat penting bagi bakal pengantin. Berhentilah daripada melakukan sebarang kerja dan penuhilah masa rehat dengan tenang. Tidur lewat malam akan memburukkan lagi tubuh badan anda yang tidak sihat dan berasa lemah di samping akan mendapat lingkaran gelap di bawah mata pada keesokan harinya.
4. Elakkan minuman sejuk & berais
Minuman berais dan sejuk adalah sangat bahaya malah menjadi pantang larang untuk anda ketika demam. Elakkan daripada minum minuman sejuk kerana ia akan membuatkan tekak anda berasa panas dan meningkatkan suhu dalam badan ketika demam. Di pagi hari sebelum majlis perkahwinan bermula, gantikanlah minuman sejuk yang anda suka kepada minuman panas. Tambahan dengan limau nipis, lemon atau madu akan melegakan tekak selain membuatkan badan anda lebih lega nanti.
Lubuk konten untuk inspirasi bakal – bakal pengantin. Pengantin kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Setiap pasangan yang mendirikan rumah tangga pasti mengimpikan hubungan yang bahagia dan harmoni. Sikap saling mempercayai perlu ada dalam diri masing-masing dalam memastikan rumah tangga sentiasa dalam keadaan yang baik. Namun, anda juga pasti tidak dapat lari dari perselisihan faham dengan pasangan.
Ia dianggap perkara biasa dalam perhubungan. Perkara tersebut dapat mematangkan lagi hubungan bersama pasangan sekaligus membentuk rumah tangga yang lebih kukuh. Pasangan yang telah menemui kunci kepada kebahagiaan dalam hubungan akan menjadikan cinta mereka sentiasa kuat, lebih menyeronokkan dan setiap hari bagaikan hari baru yang penuh dengan bunga-bunga cinta.
Pesona Pengantin senaraikan 5 ramuan cinta untuk anda miliki hubungan rumah tangga yang bahagia dan harmoni.
1. KEKAL POSITIF
Sikap yang ceria selalu membawa kebahagiaan dan emosi yang positif. Ramai yang inginkan pasangan yang bersikap ceria dan positif dalam kehidupan mereka. Sebaliknya pula dengan sikap tidak puas hati yang berterusan, sentiasa mengadu, kuat berleter akan memberikan emosi negatif dan seterusnya akan merosakkan hubungan dengan pasangan.
Anda mesti kekal positif dan jangan biarkan pasangan anda merasa sedih. Sentiasa optimis kerana anda dan pasangan anda boleh menempuhi apa sahaja asalkan anda mempunyai antara satu sama lain. Anda boleh buat jenaka tentang kegagalan anda, ketawa bersama , buat kesimpulan dan move on!
2. JADI DIRI SENDIRI DAN BERSIKAP JUJUR
Anda mahu menjadi lebih baik daripada diri anda sendiri. Anda sembunyikan kesilapan lama anda dan anda sorokkan cerita yang anda ingin lupakan tetapi sebenarnya anda tidak perlu untuk menjadi sempurna. Jadilah diri anda sendiri. Ramai yang suka bersembunyi di sebalik topeng, takut untuk menunjukkan pada orang lain diri mereka sendiri.
Bersembunyi adalah perbuatan yang meletihkan dan hubungan anda bersama pasangan anda tidak jujur dan akhirnya akan merumitkan. Amat penting sekali untuk anda menjadi ikhlas dan tidak takut untuk menunjukkan kepada pasangan anda apa yang anda rasa. Pasangan anda adalah orang yang paling dekat dengan anda. Jika anda punya masalah, segeralah meluahkannya. Langkah pertama untuk menyelesaikan masalah adalah melalui perbincangan.
3. BERIKAN SI DIA RUANG
Jangan asyik nak berkepit dengan pasangan anda 24 jam. Jangan halang hobi pasangan anda dan jangan sesekali abaikan hobi anda juga. Anda jatuh cinta dengan pasangan anda kerana caranya dan dia juga jatuh cinta dengan cara anda dan terima semua hobi dan tabiat anda. Melakukan pengorbanan adalah sia-sia.
Tiada siapa yang akan menghargainya. Pasangan anda tidak perlukan pengorbanan dan tidak mahu mendengar celaan anda. Anda dan pasangan anda cuma perlu bahagia bersama. Anda dan pasangan anda perlu membawa perkara yang baru dan menarik ke dalam hubungan anda. Jangan rosakkan apa yang anda sudah punyai.
4. SENTIASA MENYOKONG ANTARA SATU SAMA LAIN
Pasti ada di satu hari kita akan mengalami hari yang buruk sehinggakan ia mampu menghilangkan mood. Sekiranya hari itu tiba, berikan pasangan anda sokongan anda. Tunjukkan kepada pasangan anda yang anda ambil berat tentang mereka. Ia tidaklah sukar dan pasangan anda pasti akan merasa lebih baik.
Pastikan anda berikan perhatian kepada kehendak dan keperluan pasangan anda. Anda hendaklah sedar bahawa pasangan anda bukanlah bayangan diri anda mahupun harta anda. Anda perlu menghormati pasangan anda tidak kira jika pasangan anda berbeza dari diri anda.
5. TUNJUKKAN KASIH SAYANG ANDA
Ia amat penting untuk mengingatkan pasangan anda betapa anda menghargai semua tentang dirinya untuk anda. Bersyukurlah walaupun untuk perkara-perkara kecil. Jangan sia-siakan apa yang Allah sudah kurniakan untuk anda. Beritahu pasangan anda betapa anda menghargai setiap perkara dalam perhubungan anda.
Tunjukkan kepada pasangan anda betapa anda memerlukan dia dan jangan teragak-agak untuk menunjukkan kasih sayang anda kerana ia amat penting untuk membina hubungan yang mendalam dan kuat di antara anda berdua. Buat pasangan anda merasa istimewa.
Lubuk konten untuk inspirasi bakal – bakal pengantin. Pengantin kini di seeNI. Download seeNI sekarang!