
Busana pengantin tertutup sering dikaitkan dengan gaya konservatif atau terlalu sederhana. Namun, lima selebriti Hollywood ini membuktikan bahawa potongan berlengan panjang dan berleher tinggi tetap mampu menyerlahkan pesona seorang ratu sehari.
Malah, pemilihan fabrik mewah, perincian renda serta siluet yang tepat menjadikan setiap persalinan tampil lebih elegan dan eksklusif. Daripada rekaan klasik berinspirasikan keluarga diraja hingga gaya moden yang menyerupai baju kurung, semuanya boleh dijadikan inspirasi buat bakal pengantin yang mengutamakan kesopanan.
Miranda Kerr, Inspirasi Keanggunan Grace Kelly
Miranda Kerr memilih gaun pengantin rekaan Maria Grazia Chiuri untuk Dior ketika melangsungkan perkahwinan bersama pengasas Snapchat, Evan Spiegel.

Gaun satin dengan potongan klasik itu menampilkan skirt kembang, lengan panjang dan garis leher tinggi. Rekaan tersebut diinspirasikan daripada gaun perkahwinan ikonik Grace Kelly ketika berkahwin dengan Putera Rainier III dari Monaco.
Sulaman bunga lily of the valley yang menghiasi permukaan gaun memberikan sentuhan romantis dan feminin tanpa menjadikan keseluruhan penampilannya terlalu sarat. Dipadankan dengan headpiece serta layah ringkas, Miranda kelihatan anggun seperti puteri dalam kisah klasik.
Sofia Richie, Siluet Seakan Baju Kurung
Selain gaun utama, antara persalinan perkahwinan Sofia Richie Grainge yang turut mencuri perhatian ialah rekaan putih Chanel dengan siluet labuh dan longgar, sekali pandang seakan baju kurung moden.

Rekaan berlengan panjang dan berleher tinggi itu dihiasi perincian manik serta tekstur halus yang memberikan sentuhan mewah. Potongannya yang tidak terlalu mengikut bentuk tubuh menjadikan persalinan berkenaan kelihatan sopan, selesa dan cukup dekat dengan cita rasa bakal pengantin di Malaysia.
Penampilan Sofia membuktikan bahawa gaya minimalis tidak semestinya membosankan. Dengan pemilihan fabrik dan perincian yang tepat, busana berpotongan ringkas juga mampu meninggalkan impak besar.
Paris Hilton, Mewah Bak Puteri
Paris Hilton tampil penuh glamor dalam gaun pengantin Oscar de la Renta ketika mendirikan rumah tangga bersama Carter Reum.
Gaun bersiluet ball gown itu menampilkan leher tinggi, lengan panjang serta taburan motif bunga tiga dimensi pada bahagian tubuh dan skirt. Potongan pinggang yang kemas disusuli skirt bervolum memberikan ilusi figura lebih tinggi, selain mencipta penampilan dramatik ketika berjalan menuju ke altar.
Meskipun sarat dengan renda dan perincian bunga, keseimbangan pada rekaannya menjadikan Paris kelihatan romantis serta elegan tanpa mengorbankan elemen kesopanan.
Lily Collins, Pesona Romantis Berbalut Renda
Lily Collins memilih gaun pengantin renda rekaan khas Ralph Lauren ketika berkahwin dengan Charlie McDowell. Persalinan tersebut menampilkan potongan leher tinggi, lengan panjang serta siluet yang kemas mengikut tubuh.
Tarikan utama penampilan itu ialah cape renda bertudung yang menggantikan layah tradisional. Elemen tersebut memberikan sentuhan dramatik dan sedikit misteri, sekali gus menyerlahkan suasana romantis perkahwinannya yang berlangsung berlatarbelakangkan keindahan alam.
Pemilihan renda daripada bahagian kepala hingga ke kaki menjadikan penampilannya cukup tersendiri, seolah-olah watak utama dalam sebuah kisah dongeng.
Olivia Culpo, Minimalis Tetapi Menyerlah
Olivia Culpo pula memilih gaun pengantin rekaan khas Dolce & Gabbana ketika melangsungkan perkahwinan dengan Christian McCaffrey.
Tidak dihiasi manik berlebihan atau perincian yang terlalu sarat, gaun berkenaan menyerlah menerusi siluet ball gown yang dramatik, garis leher bulat tinggi dan lengan panjang. Bahagian pinggang yang terbentuk kemas memberikan keseimbangan kepada skirt kembang yang cukup mewah.
Penampilannya disempurnakan dengan layah renda labuh yang membingkai wajah serta menjadikan keseluruhan gaya kelihatan klasik. Kesederhanaan rekaan itu membolehkan keanggunan semula jadi Olivia menjadi tumpuan utama.
Sopan Bukan Bererti Terhad
Lima gaya ini membuktikan bahawa busana pengantin tertutup hadir dalam pelbagai karakter. Ada yang tampil klasik, moden, romantis, minimalis mahupun sarat kemewahan.
Rahsianya terletak pada pemilihan siluet, fabrik dan perincian yang bersesuaian dengan bentuk tubuh serta personaliti pengantin. Lengan panjang dan leher tinggi bukanlah batasan dalam berfesyen, sebaliknya boleh menjadi elemen utama yang menjadikan penampilan hari bahagia lebih anggun dan tidak lapuk dek zaman.

sekarang!
