
Bukan mudah untuk terus kekal cergas sepanjang hari. Kadangkala badan kita masih sahaja keletihan dan kelesuan walaupun tidak melakukan kerja-kerja berat. Kenapa perkara ini boleh berlaku sedangkan kita sudah melakukan senaman dan tidur dengan cukup? Hal ini mungkin kerana tubuh kita masih kurang vitamin untuk terus memberikan tenaga.
Seorang pengguna Facebook Suhaili Baharudin telah berkongsi resipi untuk membuat ‘energy booster’ dengan cara yang mudah, selamat dengan hanya menggunakan kos yang rendah. Dengan menggunakan bahan-bahan semula jadi seperti limau kasturi anda kini boleh mendapatkan vitamin C yang diperlukan tubuh.
Bagi yang tidak tahu, limau kasturi sebenarnya penuh dengan vitamin C, boleh menjadikan kita awet muda dan mengikis kolestrol jahat dalam badan. Yang paling penting boleh hilangkan kedut pada kulit. Jadi, tidak hairanlah jika limau kasturi boleh menjadi agen utama untuk memberikan tenaga pada tubuh!

BAHAN-BAHAN DAN CARA MEMBUAT:
1. Bahannya ialah limau kasturi- bukan sahaja murah malah mudah untuk didapati.

2. Belah dan buang biji limau tersebut. Kisar limau sehingga halus dengan kulit sekali bersama sedikit air kemudian tapis.

3. Jika mahu lebih sedap, tambah sedikit madu asli.
4. Masukkan dalam bekas kiub (mould) kemudian simpan dalam peti ais di bahagian beku.

5. Setiap kali kita hendak minum, ambil satu kiub dari peti ais dan curah air panas. Pati limau kasturi ini walaupun sudah ditapis tetapi masih mengandungi serat di dalamnya. Ianya juga sangat berkhasiat walaupun hanya satu kiub.

6. Boleh ambil setiap pagi sebelum subuh. Curahkan dengan air panas dan biarkan seketika sebelum diminum. Jangan tambah gula.

Boleh ulang secawan lagi pada waktu tengah hari atau malam. Bagi yang telah mencubanya anda pasti boleh rasakan perbezaan pada tubuh anda. Rasa sangat segar dan energetik serta kurang rasa sakit badan.
Sumber: Facebook | Suhaili Baharudin
Lubuk konten untuk inspirasi bakal – bakal pengantin. Pengantin kini di seeNI.
Download
sekarang!
Renda Pilihan Untuk Majlis Perkahwinan

Busana perkahwinan dan renda memang sukar untuk dipisahkan. Sulaman renda ibarat pelengkap dan penyeri buat busana perkahwinan. Sebut sahaja fabrik renda, pelbagai jenis nama dan fabrik renda boleh didapati di gedung-gedung menjual kain. Berikut beberapa jenis renda yang masih popular dipakai sempena majlis perkahwinan sehingga ke hari ini.
- Renda Chantilly
Fabrik jenis ini sangat ringan dan jahitannya juga sangat halus. Jika diamati, renda sebegini turut mempunyai kualiti yang murah. Berhati-hati ketika memilihnya kerana renda ini membolehkan anda nampak gah dan ada juga yang menampakkan anda tidak berseri. Kesemuanya bergantung kepada tahap kualiti renda ini.

- Renda Vintaj
Renda vintaj merupakan jenis renda yang dihasilkan daripada proses mengait. Ia juga merupakan jenis renda tertua dan memerlukan waktu yang cukup lama dalam proses pembuatannya kerana diusahakan menggunakan tangan sepenuhnya.


- Renda Berkait
Renda ini mempunyai tekstur yang lembut. Benang pada renda ini biasanya dijahit agak tebal sehingga membuatkan baju lebih bersifat fleksibel dan memudahkan pergerakan tanpa batasan. Jika renda ini mengikut ukuran badan yang tepat, ia boleh menyerlahkan bentuk badan bakal mempelai.

- Renda Bunga
Renda bunga merupakan jenis renda yang diperoleh daripada modifikasi bahan-bahan yang dihasilkan menjadi bunga dan dijalin bersama bahan seperti tile, organdi mahupun flannel. Khusus untuk renda bunga yang berukuran besar biasanya lebih banyak diaplikasikan dan dijahitkan satu-persatu pada fabrik kain.

- Renda Alencon
Namanya diambil bersempena negara asalnya iaitu Alencon yang terletak di Perancis. Kebanyakan renda jenis ini mempunyai corak bunga-bungaan di bawah fabrik berjaring yang menghasilkan efek menawan jika dipakai. Renda sebegini juga kebiasaannya dipakai mengikut bentuk badan seakan-akan melekat pada tubuh.

- Renda Tile
Renda tile mempunyai tekstur yang nipis, lembut dan jarang dengan bahan dasar kain tile atau broked. Renda tile ini dapat diaplikasikan pada gaun pengantin, baju untuk majlis formal, kebaya dan kerudung. Ia memberikan kesan yang lebih anggun dan mewah.

- Renda Guipure
Ia juga dikenali sebagai renda Venetian dan memiliki corak yang lebih jelas. Walaupun renda Guipure bersifat lebih kasar dan berat, namun ia tidak memerlukan kain jaring di bawahnya. Kebiasaannya sulaman renda ini dijahit bersama kain tanpa corak.

Tip Memilih Renda
Pemilihan renda amat penting bagi memastikan busana pilihan anda tampak cantik dan sempurna. Sulaman renda yang bersesuaian memberi kesan yang lebih elegan dan eksklusif buat penampilan ratu sehari. Pastikan anda memilih renda yang tepat agar anda tampil menyerlah di majlis hari bahagia.
- Untuk kelihatan mewah dan cantik, pilihlah lacedengan corak bunga yang jelas menampakkan bentuk dan coraknya.
- Jika anda mempunyai bentuk badan yang agak besar, elakkan membeli bentuk bunga renda yang besar, sarat dan berkilat. Anda boleh bergaya dengan renda yang mempunyai manik dan labuci tetapi pastikan bentuk bunga itu kecil dan tidak terlalu besar agar anda masih tampak manis dan ayu.
- Untuk menjimatkan kos, anda boleh menggunakan renda di bahagian atas baju atau bahagian tertentu sahaja. Selain memberikan kesan yang lebih ringkas dan minimalis, penggunaan renda yang tidak keterlaluan dapat menjimatkan wang. Selain itu, hiaskan sedikit renda berlebihan di layah agar anda tampil lebih menawan.
- Elakkan daripada membeli renda yang terlalu murah dan tidak berkualiti. Pemilihan renda yang tidak berkualiti memberikan kesan yang tidak menyerlah dan kelihatan murah. Selain itu, pemilihan rona renda juga harus sesuai dengan rona kulit anda. Pilihlah rona renda dengan palet pastel agar anda tampak lebih manis dan menyuntik aura yang lebih menyerlah.
Lubuk konten untuk inspirasi bakal – bakal pengantin. Pengantin kini di seeNI.
Download
sekarang!
Komunikasi Yang Baik Antara Tip Pikat Hati Mentua

Kejutan menghadapi budaya hidup keluarga mertua sering berlaku kepada pasangan yang baru berkahwin, sehingga kadang-kadang jika tidak ditangani dengan baik, boleh menyebabkan krisis dalam rumah tangga.
Perbezaan ini memerlukan penyesuaian kerana walaupun berbeza status tanggungjawab menghormati dan melayan ibu bapa mertua dan keluarganya adalah sama seperti kita menghormati dan melayan ibu bapa kandung dan kaum kerabat sendiri.
Hubungan dan komunikasi dengan keluarga mertua perlu dikendalikan secara hormat dan hikmah malah bersama ipar duai juga perlu dipelihara kerana perkahwinan bukan sahaja membina hubungan suami isteri, ia juga menghubungkan tali silaturrahim dan persaudaraan antara dua buah keluarga yang sebelum ini mungkin belum pernah mengenali antara satu sama lain.
Panduan mengelakkan masalah hubungan dan komunikasi:
1. Bersifat terbuka dan bersangka baik kepada keluarga mertua walaupun mempunyai pendapat yang berlainan. Pasangan kita mungkin boleh menjadi perantara untuk menyatukan dua pendapat yang berbeza. Elakkan buruk sangka bagi mengelakkan pertengkaran yang boleh menjejaskan lagi hubungan anda dengan keluarga mertua.
2. Menunjukkan kegembiraan apabila mereka berkunjung ke rumah anda melalui huluran salam, layanan mesra dan menyediakan hidangan yang enak mengikut kemampuan.

3. Apabila keluarga mertua membuat aktiviti atau program maka anda sebagai menantu perlulah memberi kerjasama dan komitmen dalam aktiviti atau program yang dirancang, jika tidak dapat menghadirkan diri berilah alasan secara baik agar tidak menyinggung perasaan pihak mertua.
4. Jika anda mempunyai masalah dalam rumah tangga, mereka juga boleh menjadi tempat untuk anda meminta nasihat dan bimbingan. Jangan sesekali abaikan mereka dalam membuat sesuatu keputusan.

5. Sentiasa ingat bahawa pengorbanan kita memendam rasa akibat rasa kurang senang atau tidak puas hati terhadap keluarga mertua atau ipar duai mungkin terlalu kecil jika dibandingkan dengan doa dan restu mereka untuk kesejahteraan hidup kita sepanjang hayat. Mereka juga sama seperti ibu bapa kandung kita mendoakan yang terbaik dan tidak ada ibu bapa yang sanggup mendoakan sesuatu yang buruk terjadi pada anak menantu mereka.
6. Tidak mencampuri urusan keluarga mertua terutama dalam soal pengurusan harta atau kewangan melainkan diminta pandangan atau nasihat. Jangan cuba berlagak pandai dalam menguruskan hal-hal keluarga mertua jika pandangan anda tidak diperlukan. Anda bukan akan menyelesaikan masalah tetapi akan lebih menambahkan masalah. Lebih berhati-hati bila bercakap jika melibatkan sesuatu yang sensitif tentang keluarga mertua anda.

7. Memberi respon positif terhadap sebarang kenyataan dan tidak menggunakan kata-kata yang menyinggung perasaan mereka. Jangan sesekali gunakan bahasa yang kasar yang boleh menampakkan sikap kurang ajar anda.
8. Berbuat baik dengan kawan-kawan dan adik beradik pasangan merupakan salah satu cara suami atau isteri menzahirkan rasa kasih sayang kepada pasangan. Hormatilah juga saudara mara yang lain seperti mana anda menghormati suami anda.
Tonton juga video di bawah:
Lubuk konten untuk inspirasi bakal – bakal pengantin. Pengantin kini di seeNI.
Download
sekarang!
Ini 8 Cara Yang Paling Suami Harapkan Isteri Buat Bila Sambut Dia Pulang Kerja

Lepas seharian di tempat kerja dan ditambah pula dengan pelbagai masalah, tentu sahaja suami rasa tidak sabar untuk pulang ke rumah. Rasa penat suami akan terlerai apabila isteri menyambut kepulangan suami dari kerja dengan persediaan dan penuh kasih sayang.
Apatah lagi cara-cara yang dinyatakan ini bukanlah sesukar mana untuk isteri lakukan. Jika dimulakan dari awal rumah tangga, pasti ia akan menjadi satu kebiasaan dalam diri anda dan suami.
Bagi suri rumah tangga ataupun isteri yang sering pulang awal berbanding suami jom amalkan lapan cara ini. Selain melegakan kepenatan dan suami inginkan penghargaan atas usaha kerasnya di tempat kerja, tip ini juga boleh membuatkan suami teruja untuk pulang awal bertemu orang yang dicintainya.
1. BERSIMPATI DENGAN SUAMI
Saat kepulangan suami, tunjukkan rasa simpati isteri dengan kepenatan yang suami rasai setelah seharian di tempat kerja. Bukan itu sahaja, anda juga harus memahami pelbagai kemungkinan yang suami alami di tempat kerja misalnya dimarahi ketua, dibebani dengan pelbagai tugasan, bertengkar dengan rakan sekerja dan sebagainya.
Jika anda memahami tanggungjawab suami dalam mencari sumber rezeki untuk keluarganya, pasti anda akan lebih menghargai kepulangan suami dan tahu saat suami sedang bersedih, marah atau gembira.
2. SIAPKAN KEPERLUAN SUAMI
Setiap suami tentu sahaja inginkan istirahat yang cukup sekembalinya dari tempat kerja. Sebagai isteri, anda tentu sahaja tahu apa yang diperlukan oleh suami kerana setiap orang berbeza-beza.
Ada suami yang inginkan secawan kopi atau teh panas sekembalinya dari kerja, tak kurang juga cukup dengan segelas air kosong sebagai pembasah tekak dan penyejuk hati. Jika perlu, anda juga boleh mengurut suami untuk meregangkan otot-ototnya.
3. JAGA PENAMPILAN DIRI
Perkara ini memang kurang diperhatikan oleh isteri. Percayalah dengan menunjukkan penampilan yang menarik boleh mengubah mood suami menjadi lebih bersemangat semula.
Sebenarnya anda tidak perlu untuk bersolek mampan tetapi berusahalah untuk tampil menarik dengan memakai pakaian yang kemas dan badan tidak berbau sekembalinya suami dari tempat kerja. Pastikan juga rambut anda diikat rapi dan jangan dibiarkan berserabai seperti hantu Mak Limah.
Namun bagi yang tidak bekerja ambil kesempatan anda berada di rumah dengan menyiapkan diri anda sebaiknya. Berhiaslah untuk menyambut kepulangan suami tercinta tanpa berlebih-lebihan.
4. BERI SENYUMAN MANIS
Berikan senyuman manis saat menyambut kepulangan suami kerana senyuman adalah senjata yang paling berkesan untuk membuatkan hati suami ceria. Sebanyak mana pun masalah suami di tempat kerja, rasa beban itu akan segera hilang apabila melihat senyuman manis orang yang dicintainya.
Walaupun isteri berdepan dengan masalah, usahakanlah untuk tidak menunjukkan wajah yang murung atau masam apabila suami balik dari kerja kerana ia akan menambahkan lagi bebanan suami yang dalam kepenatan.
5. BERI PELUKAN & CIUMAN

Betapa bahagianya suami ketika pulang ke rumah apabila isteri menyambut suami dengan sebuah pelukan hangat dan ciuman yang penuh kasih sayang. Pelukan ini akan meringankan bebanan suami selain mengeratkan lagi kasih sayang antara anda berdua.
6. PASTIKAN RUMAH BERSIH
Selain penampilan isteri, suasana rumah yang bersih dan tersusun rapi juga boleh menenteramkan jiwa suami apabila pulang dari kerja. Oleh itu usahakan untuk anda mengemas rumah sebelum suami pulang ke rumah.
Bukan sahaja suami, sesiapa pun akan pening kepala apabila melihat rumah bersepah seperti tongkang pecah. Ini kerana rumah yang bersepah akan mempengaruhi suasana hati suami kerana suami tidak dapat beristirahat dengan selesa dan tambah tertekan. Jadikan rumah yang bersih dan rapi sebagai syurga untuk memadu kasih dan menghibur suami.
7. HIDANGKAN MAKANAN KEGEMARANNYA

Perkara yang paling dinanti-nantikan suami ketika pulang kerja tentu sekali apabila dapat menikmati masakan daripada air tangan isterinya. Apalagi jika isteri memasak makanan kegemaran, pasti tambah berselera suami menjamahnya.
8. BIARKAN SUAMI REHAT
Sekembalinya suami dari kerja jangan sesekali isteri membebani suami dengan masalah. Berikan suami berehat seketika bagi melepaskan lelahnya. Jangan lontarkan pertanyaan demi pertanyaan ataupun masalah kepada suami yang dapat memancing berlakunya pertengkaran. Jika ada masalah yang anda ingin ceritakan kepada suami, pastikan suami sudah berada dalam keadaan yang tenang dan cukup rehat.
Lubuk konten untuk inspirasi bakal – bakal pengantin. Pengantin kini di seeNI.
Download
sekarang!

