
Anda boleh mula dengan mengurangkan sedikit demi sedikit pengambilan makanan anda terutamanya makan malam namun janganlah anda buang ia terus dari diet harian anda.
Jika anda belajar untuk mengikut peraturan secara perlahan-lahan, kemungkinan besar anda akan mendapat otot yang anda ingini dan perut yang kempis sepanjang hidup anda jika diamalkan dengan betul. Berikut adalah beberapa kesilapan ramai pengantin kerap lakukan dengan tujuan untuk menurukan berat badan secara pantas, tetapi akhirnya badan jadi semakin gemuk, sampailah baju kahwin ketat dan tak muat.

- Meninggalkan Waktu Makan
Tidak makan apa-apa boleh menyebabkan anda merosakkan sepenuhnya kebolehan tubuh anda untuk mengawal selera makan anda.
Oleh itu jika anda meninggalkan sarapan atau sebarang waktu makan yang penting, otak anda akan kekurangan tenaga untuk mengatakan tidak kepada godaan makanyang tidak dapat dielakkan.
- Makan Terlalu Cepat
Anda tidak seharusnya menolak keinginan anda untuk makan, tapi anda harus mengamalkan mengambil makanan secara perlahan-lahan.
Benarkan masa untuk tubuh anda benar-benar menikmati dan menghadam agar anda tidak makan dalam keadaan perut penuh.

- Makan Dengan Banyak Hujung Minggu
Jika anda kerap berparti dan mengikuti majlis makan pada hujung minggu anda tentu akan mengalami masalah pada hari yang berikutnya.
Asid palmitik selalunya akan boleh didapati dalam lemak tepu yang terkandung dalam setiap hidangan hujung minggu anda dan ia seterusnya boleh menyebabkan keinginan anda untuk makan bertambah pada hari yang berikutnya.

- Makan Snek Yang Masin
Sodium boleh menyebabkan terlebih makan tanpa kita sedari. Dan ia juga begitu cepat untuk bertambah.
Namun anda boleh mengurangkan ketagihan kepada snek yang masin setelah beberapa lama mengamalkan diet kurang garam.
- Meminum Arak
Alkohol boleh menyebabkan berat badan anda bertambah dengan cara yang lebih mendadak. Cuba anda kira berapa banyak minuman keras yang telah anda ambil dan anda akan lebih terperanjat dengan hasilnya.
Selain dari membekalkan tiada kalori langsung, minuman keras membantutkan keinginan anda yang menyebabkan selera makan anda bertambah dengan mendadak.
Lubuk konten untuk inspirasi bakal – bakal pengantin. Pengantin kini di seeNI.
Download
sekarang!
13 Tip Jimatkan Kos & Elak Belanja Kahwin Tersasar Buat Bakal Pengantin

Perkahwinan yang sempurna tidak semestinya besar dan gah. Biarpun skalanya sederhana namun jika dirancang dengan teliti pasti mampu menjadikan ia sebagai sebuah majlis perkahwinan yang diingati buat pasangan pengantin, keluarga dan juga tetamu yang hadir.
Belanja untuk mengadakan majlis perkahwinan sudah pasti besar namun jika anda bijak merencana dengan baik pasti belanja kahwin tidak akan tersasar. Bahkan perkara yang anda rasa tidak perlu, usahlah diletakkan dalam senarai kahwin. Buatlah majlis mengikut kemampuan dan bukannya majlis yang bertujuan untuk menunjuk-nunjuk. Bimbang jika berbelanja secara berlebihan untuk majlis kahwin, ada yang berhutang pula selepas majlis selesai.
Sebaiknya sebelum merancang untuk mengadakan majlis kahwin, elok anda dan pasangan sediakan bajet kahwin dan bagaimana untuk menguruskan wang agar selepas berkahwin nanti anda berdua tidak berdepan dengan konflik kewangan.
Tip berikut boleh membantu anda untuk merancang majlis perkahwinan secara bajet mengikut kemampuan.
1. TETAPKAN JUMLAH TETAMU
Memang sangat penting jika anda mengundang seluruh keluarga dan teman-teman baik yang anda kenal. Namun jumlah tetamu undangan ini sangat mempengaruhi kos perkahwinan. Semakin ramai tetamu, semakin besar kos katering yang perlu anda siapkan. Sebaiknya tetapkanlah jumlah tetamu yang bakal dijemput agar anda dapat merancang bajet perkahwinan dengan baik. Apabila anda sudah menetapkan bilangan tetamu, ini akan memudahkan anda untuk mengira bajet makanan, cenderamata, kad kahwin dan sebagainya.
2. SEWA BAJU KAHWIN
Elakkan menempah pakaian yang baharu, sebaiknya menyewa adalah lebih murah. Terdapat perkhidmatan yang membolehkan anda menempah baju kahwin baharu dan mengambilnya secara sewa sahaja. Ini bermakna selepas anda memakainya, anda perlu memulangkannya semula kepada butik perkahwinan. Sewaan sebegini jauh lebih rendah harganya daripada anda ingin membeli baju kahwin baharu yang pastinya hanya akan dipakai sekali sahaja.
3. BELI BARANG KAHWIN MASA DISKAUN
Rebutlah peluang membeli barang kahwin ketika kedai atau pusat membeli-belah mempunyai potongan harga kerana harganya tentu jauh lebih murah daripada sebelumnya. Belian pada ketika ini ternyata sangat menguntungkan. Namun pastikan anda bijak mengawal nafsu. Jangan disebabkan barangan yang dijual kebanyakannya murah anda berbelanja di luar kemampuan.
4. ELAK GUNA KAD KREDIT
Tidak dinafikan kad kredit ada baik dan buruknya. Bagi anda yang tidak tahu untuk menggunakan kad kredit secara baik dan bijak, anda dinasihatkan untuk tidak memakainya. Berbelanja dengan hanya swipe akan menyebabkan anda terlebih berbelanja dan akhirnya rasa terbeban untuk membayar banyak hutang di penghujung bulan.
5. BUAT MAJLIS SECARA GOTONG ROYONG
Majlis yang diadakan secara gotong royong ternyata lebih menjimatkan berbanding jika anda lakukan secara katering. Aktiviti gotong-royong dapat menjimatkan kos kerana anda hanya perlu mengeluarkan wang membeli bahan basah dan membayar upah tukang masak sahaja. Malah dengan cara ini akan mengeratkan lagi tali silaturahim keluarga anda dengan saudara-mara dan jiran tetangga.
6. KAWAL PERBELANJAAN SETIAP BULAN
Perbelanjaan pada setiap bulan amat mempengaruhi simpanan kewangan anda. Jika anda berbelanja lebih, segala bajet yang telah anda tetapkan akan berubah dan akan menyusahkan anda kelak. Bijaklah berbelanja dan buat tabungan setiap bulan agar duit tersebut dapat digunakan untuk pelbagai keperluan di majlis perkahwinan.
7. BERHENTI MEROKOK
Tidak kira lelaki atau wanita yang merokok, belajarlah untuk berhenti. Selain tidak baik untuk kesihatan, ia juga boleh membazirkan wang anda. Jika anda campur tolak wang yang telah anda belanjakan selama ini untuk membeli sekotak rokok pasti anda akan terkejut dengan jumlahnya. Jadi tindakan anda berhenti merokok sangat menguntung bukan hanya untuk kesihatan malah poket anda juga tidak bocor kerana membeli rokok.
8. KAWAL NAFSU KETIKA BERBELANJA
Bukan sahaja lelaki, wanita juga tidak kurangnya. Memandangkan anda bakal berkahwin, belajarlah untuk mengawal nafsu ketika berbelanja terutamanya bagi wanita yang gemar membeli peralatan mekap atau kasut setiap bulan. Bayangkan dengan duit yang anda laburkan untuk membeli peralatan mekap atau kasut setiap bulan itu jika disimpan pasti akan menjadi banyak.
9. KURANGKAN MEMBELI GAJET ELEKTRONIK
Ada sesetengah orang tidak boleh hidup tanpa membeli barangan baharu yang keluar setiap bulan terutamanya barangan gajet. Bagaikan tidak lengkap hidupnya jika tidak mengikut trend semasa. Berpada-padalah dan ingat yang anda akan melangsungkan perkahwinan. Hentikan seketika nafsu anda terhadap barangan gajet semata-mata untuk menyimpan wang.
10. TEMPAHAN SERVIS KAHWIN KETIKA PROMOSI
Pastinya untuk majlis kahwin nanti anda akan menggunakan pelbagai servis kahwin seperti fotografi, video, pelamin, khemah dan sebagai. Untuk menjimatkan belanja kahwin, seeloknya anda tempah servis-servis ini ketika ekspo perkahwinan yang sering diadakan di pelbagai tempat. Ini kerana ekspo perkahwinan menawarkan servis dengan harga istimewa selain menyediakan banyak hadiah menarik untuk pelanggan. Rebutlah peluang ini untuk kerana ia menguntungkan dan menjimatkan belanja kahwin anda!
11. JANGAN KETERLALUAN MEMBERI BARANG HANTARAN
Dulang hantaran sangat penting dalam sesebuah majlis perkahwinan. Pastinya anda ingin memberi pelbagai barangan untuk dipersembahkan dalam dulang hantaran itu. Bagi menjimatkan kos, elakkan berbalas hantaran dengan jumlah yang banyak. Memadai memberi barangan hantaran dengan barang penting sahaja. Janganlah kerana ingin bersaing dengan saudara-mara atau kawan-kawan menyebabkan anda sanggup berkorban duit.
12. BUKA AKAUN KHAS
Salah satu cara untuk menjimatkan kos kahwin adalah dengan membuka akaun khas untuk belanja kahwin anda. Ini dapat memastikan supaya anda tidak menggunakan kesemua wang simpanan, seterusnya berhutang. Tabung ini tidak semestinya diwujudkan ketika anda ingin kahwin sahaja. Jika belum ada hasrat untuk berkahwin, tidak salah untuk anda menyediakan tabungan sebegini sebagai persediaan di masa depan. Sediakan payung sebelum hujan kan lebih baik!
13. JANGAN PENTINGKAN STANDAND
Berhutang pasti membuatkan kepala pening. Bebanan ini akan menyebabkan anda dan pasangan tersepit dengan hutang yang terlalu banyak dan sering runsing. Jangan semata-mata inginkan sebuah majlis perkahwinan yang gah, anda sanggup berbelanja keterlaluan. Bukan standard atau benda mahal sahaja yang harus anda titikberatkan dalam majlis kahwin, sebaliknya majlis yang berlangsung dalam keadaan sempurna dan lancar itu yang menjadi keutamaan.
Lubuk konten untuk inspirasi bakal – bakal pengantin. Pengantin kini di seeNI.
Download
sekarang!
Bukan Soal Nak Honeymoon Kat Mana Tapi Bincanglah Kehidupan Selepas Kahwin

Bukan sekadar membayangkan soal indah-indah tetapi sepatutnya berbincanglah kehidupan selepas kahwin secara lebih jelas agar tahu arah tuju nak membina sebuah keluarga.
Bak kata Puan Normaliza Mahadi, pastikan ada pesetujuan dua pihak dan anda betul-betul mengenali si dia. Jemput baca lebih jauh tentang isu ini…
Bincanglah Kehidupan Selepas Kahwin

Ini nasihat kepada adik-adik yang telah ada pasangan dan merancang ingin berkahwin.
Sebelum kahwin sila pastikan satu perbincangan menyeluruh telah dibuat tentang perkahwinan. Bukan tentang nak honeymoon di mana, pelamin colour apa, baju sedondon tempah kat mana, apa doorgift nak bagi orang atau macam mana nak impress tetamu yang diundang. Bukan!
Perbincangan ini meliputi:
1. Kewangan. Gaji bakal suami dan isteri. Tanggungan bulanan masing-masing. Bakal suami nanti kena tanggung apa. Bakal isteri perlu bantu apa. Ceritalah pasal duit. Mengaku sahaja apa yang ada. Jangan membohong atau cuba melindungi kemampuan kewangan.
Lelaki kena jadi jantan yang menyara keluarga. Jangan biarkan isteri menampung perbelanjaan yang sepatutnya disara oleh suami. Dan lelaki kena ada kredibiliti mengajar perempuan hidup dibawah kemampuan suami. Mesti.
Bakal isteri boleh ada gaji 3 kali ganda gaji dari suami. Tetapi suami masih perlu bayar rumah, makanan dan pakaian keluarga. Inilah yang menjadikan lelaki sebagai ketua dalam keluarga. Sebab dia berkuasa kepada tempat tinggal, makan dan pakaian keluarganya. Bila berkuasa, barulah boleh mendidik dengan yakin.
Saya biasa mendengar cerita lelaki dihalau keluar dari rumah bila bergaduh. No! Bila bergaduh atau bersengketa dalam rumah yang dibiayai lelaki, suami akan lebih lelaki dan berkemampuan untuk menyelesaikan isu dengan lebih efectif.
Namun, kuasa ini bukanlah bermaksud boleh pukul atau maki hamun isteri jauh sekali menghalau isteri jika bersengketa.
Gaji isteri yang banyak bolehlah digunakan oleh isteri untuk membeli mesin basuh canggih, mesin dryer, thermomix, renovate dapur, beli TV sebesar padang bola dan bla bla.
2. Berbincang tentang penginapan, hala tuju pekerjaan, bilangan anak, perancangan hujung minggu, keperluan me time, pembahagian kerja rumah jika keduanya bekerja dan juga isteri tidak bekerja dan expectation kepada pasangan.
Berbincanglah
“Setiap hujung minggu abang perlu balik jumpa mak sebab mak dah tua”
“Saya ok aje abang balik rumah mak setiap hujung minggu. Abang ok ke jika 2 minggu saya ikut abang balik, seminggu saya balik sendiri ke rumah mak saya dan seminggu lagi jika keadaan mengizinkan abang ikut saya balik rumah mak?”
Perbincangan seperti ini sangat diperlukan. Bukan yang meliuk lintuk menyatakan cinta katak tu.
Elakkan Yang Pernah Memukul

3. Jika sebelum kahwin telah dipukul, mendapat tahu pasangan mengambil bahan terlarang, masih melakukan perkara maksiat seperti melangani pelacur, ketagih porno, gay, berhutang kepada ah long, rupanya pernah berkahwin tetapi menyorokkan, kaki maki hamun sama ada dalam media sosial ataupun verbal sewaktu bergaduh, bakal mak bapak mertua tak suka dan sebagainya. Mohonlah tanggungkan perkahwinan ataupun terus batalkan. Tak payahlah rasa yang nanti kahwin semua ni akan berubah. Janganlah jadi bodoh ya.
4. Belajarlah tentang perkahwinan. Baca buku. Hadir kelas. Dengar ceramah agama. Kedua pihak kena jadi manusia yang ready mahu memikul tanggung jawab.
Dah kahwin nanti keputusan kena buat dengan dua pihak. Bukan panggil mak bapak masuk campur. Kalau tak ready, tak payah kahwin.
5. Tinggalkanlah bekas tunang, bekas teman lelaki, bekas teman wanita, abang angkat, adik angat dan sebagainya.
Mereka ini bakal memecahbelahkan kasih sayang suami isteri. Mereka juga bakal menimbulkan sengketa. Tinggalkan.
Bukan satu dua kes penceraian disebabkan oleh pihak ketiga yang telah berada sangat awal sebelum perkahwinan.
6. Dan sangat penting kedua bakal suami dan isteri berusaha menjadi orang yang bertaqwa kepada Allah. Belajarlah AlQuran dan Hadith. Tadabur AlQuran. Fahamlah agama yang tulen.
Perkahwinan ni banyak sangat cabarannya di zaman ini. Dengan hanya berpegang kepada Allah dan Rasulullah SAW, ramai yang survive dalam perkahwinan.
Daripada ‘Aisyah R.A beliau berkata: Rasulullah SAW bersabda: “Sebaik-baik kalian adalah yang paling baik terhadap ahli keluarganya, dan aku adalah orang yang paling baik terhadap ahli keluargaku.”
Hadith ini kedengaran simple tapi sangat susah untuk dilaksanakan. Nak berbuat baik kepada ahli keluarga sendirilah yang sukar. Buat baik pada orang adalah sesenang kacang. Sebab itulah Rasulullah mendahului dan mencontohinya.
Lubuk konten untuk inspirasi bakal – bakal pengantin. Pengantin kini di seeNI.
Download
sekarang!
Pakar Inai, Dayu Designs Berkongsi Keistimewaan Dan Lakaran Inai Yang Dihasilkannya

Sejak berusia lima tahun Nooredayu Binti M.Selim pemilik Dayu Designs seringkali membantu ibunya memetik daun-daun inai daripada pokok inai yang ditanamnya. Sering melihat ibu mengisar daun-daun inai tersebut bersama sedikit air kopi, gambir dan nasi sejuk untuk dijadikan pes bagi rawatan rambutan dan mewarnakan uban. Bermula dari situ pendedahan tentang inai sebati dalam dirinya.

“Saya dan kakak akan menghabiskan masa bersama untuk memakai lebihan pes inai tersebut di hujung jari jemari dan juga membuat corak berbentuk bulat pada kedua telapak tangan. Mula melukis corak inai sejak berada di zaman kampus sekitar tahun 1999 menggunakan kon dulhan yang dibeli di kedai India secara suka-suka pada sahabat handai serta sanak saudara. Ketika itu saya menuntut di Universiti Teknologi MARA, Shah Alam di dalam jurusan Ijazah Sarjana Muda Seni Reka Grafik,” ujarnya.
Rentetan situasi kon inai yang dijual secara komersial ketika itu mendatangkan masalah untuk saya menghasilkan karya yang kemas dan halus, bermulalah ideanya untuk menginovasikan peralatan lukisan inai daripada jenis yang kon kepada menggunakan botol plastik yang mudah dipicit dengan mata besi yang pelbagai saiz.
“Saya amat terbuka untuk berkongsi resepi bancuhan inai ini kerana saya mahu menggalakkan orang ramai untuk cuba membancuhnya sendiri agar bancuhan yang dihasilkan adalah segar, asli dan selamat. Resipinya ringkas dan bahan-bahan alami yang digunakan adalah mudah diperoleh iaitu hanya menggunakan serbuk daun inai (‘Body Art Quality’) yang mana serbuknya sehalus bedak talkum dan telah disaring antara tiga hingga lima kali, gula tebu, minyak pati (‘Essential Oil’) dan Air Mawar atau Jus Lemon,” kongsinya.
Segalanya menjadi lebih serius pada tahun 2004 bila mana sewaktu itu dia melihat kebanyakan jurugambar-jurugambar perkahwinan di Malaysia mempromosikan hasil karya mereka menerusi platform online iaitu Fotopages.Com. Dia turut berkongsi koleksi gambar-gambar seni lukisan inai yang dihasilkannya. Maklumbalas positif diterimanya yang menyokong hasil karya seni lukisan inainya dan yang paling menyeronokkan apabila saya mula menerima tempahan daripada bakal-bakal pengantin dan juga badan-badan korporat serta individu-individu yang ingin menganjurkan majlis keraian seperti Hari Keluarga, Majlis Sambutan Hari Jadi, Majlis Pelancaran Produk, Majlis Cukur Jambul, Majlis Rumah Terbuka Hari Raya, Majlis Resepsi, Majlis Pertunangan, ‘Bachelorette Part’ or ‘Hens Night’ iaitu Parti yang dianjurkan oleh rakan-rakan perempuan untuk bakal pengantin sebelum Majlis Pernikahan.
Keistimewaan inai yang dihasilkan
Lukisan inai bunga ros yang eksklusif seakan-akan hidup merupakan corak signature dan menjadi pilihan yang paling popular apabila pelanggan membuat tempahan. Rekaan inai yang dihasilkan menggunakan inai asli, mampu mengindahkan tangan atau kaki wanita dan bertahan lima hingga 10 hari bergantung pada aktiviti si pemakai. Di samping itu, ia mempunyai kesan terapeutik dan khasiat penyembuhan serta dijadikan terapi diri dan juga minda.
“Saya menggunakan pes inai asli yang dibancuh sendiri untuk memastikan kualitinya terjamin, kekal segar, asli, selamat, diyakini dan bebas daripada bahan-bahan pengawet, tidak mengandungi bahan-bahan yang terlarang serta bebas pewarna tiruan,” jelasnya.
Campuran minyak pati (essential oil) yang terdapat di dalam pes inai asli yang dibancuh boleh membawa si pemakai hanyut ke dalam dunia khayalan seolah-olah berada di Ladang bunga sekitar Cameron Highland. Apatah lagi bila bancuhan inai ini dipakai oleh bakal pengantin dua hari sebelum majlis mampu memberi ketenangan, menghilangkan debaran, melenyapkan darah gemuruh serta mengurangkan tekanan dalam membuat persediaan untuk mengharungi gerbang perkahwinan yang bakal ditempuhi.
Terdapat enam jenis servis seni lukisan inai yang ditawarkan iaitu lukisan inai asli, lukisan inai jagua, lukisan inai putih, corak inai neon (glow in the dark), corak inai glitter dan sticker inai. Servis seni lukisan inai ini tidak terhad untuk dekorasi tubuh sahaja malah boleh dilukis inai pada busana, tudung, kasut atau beg hantaran mengikut citarasa pelanggan yang ingin tampil kelainan dan eksklusif.
“Seni ukiran kayu yang dapat dilihat pada bahagian-bahagian rumah, perabot, hiasan rumah, mimbar dan rehal serta corak batik pada fabrik turut memberi inspirasi kepada saya. Unsur flora merupakan motif corak inai yang sangat penting dalam seni lukisan inai yang dihasilkan. Biasanya tumbuhan yang menjalar dijadikan motif sampingan kerana sulur pautnya yang lembut dan menjalar mudah diubah suai bentuk mengikut cita rasa untuk dipadankan pada pelanggan. Saya juga suka membeli bahan bacaan yang dipenuhi dengan visual untuk dijadikan rujukan. Saya akan lakar dan olah kembali visual yang dilihat untuk dijadikan motif corak inai.
Kebiasaannya, pelanggan akan berbincang terlebih dahulu dengan saya untuk corak yang mereka ingini. Saya akan memberikan konsultasi berdasarkan kesesuaian majlis dan mengikut bentuk tangan mereka atau kawasan anggota tubuh yang ingin diinaikan. Kebebasan berkarya yang diberikan oleh pelanggan menjadi dorongan dan motivasi untuk saya hasilkan dengan penuh minat dan kasih sayang, melukis terus dari hati rekaan inai yang menarik,” ceritanya.

Cabaran
Sekitar tahun 2008, kecoh isu pemakaian inai (henna) bercorak dikaitkan dengan pemakaian tatu (syimaah) dan menyebabkan ramai keliru dan timbul keraguan. Persoalannya adakah ia dibenarkan dalam syarak? Jika dibenarkan apakah syaratnya? Bolehkan memakai inai bercorak? Terdapat juga beberapa pengantin yang terpaksa membatalkan tempahan mereka berikutan isu tersebut.
Situasi menjadi semakin reda, tempahan kembali dibuat dan pelanggan mulai jelas bilamana Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-88 yang bersidang pada 2 Oktober 2009 telah membincangkan Hukum Pemakaian Inai Bercorak Mengikut Syarak. Muzakarah telah memutuskan bahawa:
Pemakaian inai pada kedua tangan dan kaki adalah diharuskan bagi wanita sama ada yang telah berkahwin atau belum selagi mana tidak menimbulkan fitnah.
Walau bagaimanapun, kadar pemakaian inai di kedua-dua tangan dan kaki adalah terhad sehingga pergelangan tangan dan buku lali sahaja, manakala warna yang digunakan tidak bersifat kekal seperti tatu dan mengandungi sebarang unsur yang meragukan. Mengenai corak atau ukiran yang digunakan pula, corak atau ukiran daun dan tumbuh-tumbuhan adalahdibenarkan, manakala corak-corak haiwan, lambang dewa-dewa atau ajaran atau apa jua gambaran yang bertentangan dengan syarak adalah dilarang.
Pemakaian inai pada kedua tangan dan kaki bagi lelaki adalah tidak diharuskan kecuali pada sebilangan jari bagi pengantin semasa majlis perkahwinan dan juga untuk tujuan perubatan.
Pautan Rujukan: !! ⚠➳ http://piswi.islam.gov.my/


Ujar wanita ini untuk pakar dalam pemakaian henna pupuklah semangat pembelajaran sepanjang hayat dalam diri dan tingkatkan kemahiran melalui seminar, kursus, pembacaan dan sebagainya. Melaburlah untuk peralatan melukis inai dan produk yang terbaik untuk hasil rekaan inai yang menarik serta peruntukkan masa sekurang-kurangnya satu jam sehari untuk membuat latihan melukis inai atau lakaran.
Jangan lupa saksikan keistimewaan inai yang dilukis Dayu Designs dalam video ini.
Lubuk konten untuk inspirasi bakal – bakal pengantin. Pengantin kini di seeNI.
Download
sekarang!

