Gubahan hantaran merupakan pelengkap majlis. Hantaran yang cantik dan menarik menjadi pilihan bakal pengantin yang sentiasa inginkan sebuah majlis perkahwinan yang meriah dan diingati sampai bila-bila.

Pada masa kini, kebanyakannya gemar memilih warna tema tertentu bagi majlis perkahwinan mereka termasuk daripada segi warna hantaran, pelamin, bilik pengantin, pakaian keluarga, warna khemah dan sebagainya.

Tip Merancang Gubahan Hantaran:

Rancang lebih awal

Rancanglah gubahan hantaran anda seawal 6 bulan sebelum majlis. Perancangan yang betul adalah sesuatu tindakan yang bijak perlu diambil untuk menjadikan majlis perkahwinan anda berlangsung tanpa cacat celanya. Seeloknya anda dan pasangan perlu bijak merencanakan apa yang perlu didahulukan dan tentukan barang-barang yang wajib dibeli terlebih dahulu. Anda perlu tahu konsep yang bagaimana anda inginkan dan buat persediaan awal untuk menempah atau membuat sendiri hantaran itu dengan lebih awal dari tarikh perkahwinan anda.

Perbincangan keluarga

IKLAN

Buatlah perbincangan berkaitan hantaran bersama pasangan anda, keluarga dan keluarga pasangan anda. Perbincangan paling penting dalam merealisasikan impian perkahwinan anda untuk meminta pendapat dengan ahli keluarga dan saudara terdekat tentang jenis barang yang ingin digunakan atas dulang hantaran, warna tema hantaran, berapa dulang yang ingin diberikan, dan sebagainya. Hal ini dapat mengelakkan daripada perselisihan pendapat berkaitan hantaran ini.

Penentuan jumlah hantaran

Tentukan jumlah dulang hantaran anda dan pasangan (contoh 5 dulang berbalas 7 dulang). Bilangan dulang hantaran terpulang pada kemampuan pihak lelaki dan perempuan. Jika mengikut adat, jumlah dulang hantaran perlulah dalam bilangan angka yang ganjil. Contohnya 5 dulang dibalas dengan 7 dulang oleh pihak perempuan atau 9 dulang dibalas dengan 11 dulang. Jumlah dulang ini juga tidak mempengaruhi jumlah duit hantaran yang bakal dibincangkan semasa majlis pertunangan. Untuk menentukan berapa jumlah dulang hantaran yang ingin diberikan oleh pihak lelaki dan perempuan, perbincangan juga perlu ada bagi mengelakkan berlakunya masalah jumlah hantaran tidak cukup.

Pilih konsep hantaran

IKLAN

Pilih konsep gubahan hantaran mengikut keinginan anda, contoh konsep Inggeris, tradisional atau moden. Pastikan aksesori, dulang atau jenis fabrik yang digunakan tidak ketinggalan zaman.Trend semasa memperlihatkan kebanyakan bakal-bakal pengantin hari ini lebih menggemari konsep taman, moden, ringkas dan cantik. Namun, ada juga yang inginkan konsep tradisional yang masih menggunakan dulang hantaran turun temurun.

Pilihan jenis bunga

Penggunaan bunga segar kini lebih banyak berbanding penggunaan bunga tiruan. Namun, pemilihan tema bunga bergantung pada individu tersebut. Tidak bermakna jika menggunakan bunga tiruan, hantaran tidak nampak cantik malahan kini terdapat pelbagai pilihan bunga tiruan yang seakan-akan seperti bunga segar. Namun begitu, bunga jenis ini harganya agak mahal berbanding bunga tiruan yang biasa.

IKLAN

Penyediaan bajet

Bajet boleh mempengaruhi konsep sesebuah hantaran. Contohnya jika mahukan hantaran menggunakan dulang bersadur emas dan ditambahkan dengan hiasan bunga segar import, sudah tentunya bajet hantaran anda akan lebih tinggi dari biasa. Pastikan bajet hantaran sesuai dengan kemampuan diri anda. Tidak perlulah membazirkan duit semata-mata inginkan dulang hantaran yang mewah dan cantik, cukup hanya sekadar cantik dan menarik dengan bajet yang sederhana sahaja.

Buat sendiri atau upah orang

Kebaikan membuat sendiri hantaran adalah dapat menjimatkan kos kerana tidak perlu membayar upah kepada penggubah hantaran. Namun, ada keburukan juga kerana berlaku pembaziran sekiranya bakal pengantin kemungkinan tidak ada pengalaman dalam penghasilan hantaran dan kebiasaannya bahan yang dibeli akan berlebihan. Jangan jadikan gubahan hantaran sebagai bebanan dan tekanan kepada diri sebelum berlangsungnya majlis anda dan sebab itulah anda digalakkan untuk menyerahkan kerja membuat gubahan hantaran ini kepada yang lebih pakar.

 

Lubuk konten untuk inspirasi bakal – bakal pengantin. Pengantin kini di seeNI.
Download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI