Mengenakan aksesori pada hari perkahwinan memberikan suntikan romantis dan anggun pada keseluruhan penampilan si ratu sehari. Gaya bersahaja langsung menyerlah dan mampu memukau pandangan dengan padanan aksesori yang tepat dan sempurna. Berikan gaya yang lebih memikat pada penampilan anda saat bergelar ratu sehari. Pastinya si dia dan hadirin terpesona saat anda mengatur langkah menuju ke mahligai cinta.
SUBANG
Pilihan subang yang tepat juga boleh menjadikan penampilan tampak romantis dan eksklusif. Padanan subang yang terdiri daripada batu permata dapat membiaskan sinaran eksklusif yang cukup nyata. Elakkan daripada memilih subang yang terlalu kecil ataupun terlalu besar. Sebaiknya, pilihlah subang yang mampu memberi anda keselesaan saat memakainya. Nescaya aura glam itu akan terpancar dengan penuh anggun dan mempesonakan.
RANTAI
Rantai bermotifkan bunga dapat membantu penampilan anda menjadi anggun dan romantis. Dengan percikan rona yang memukau, ia dapat menyerlahkan sisi feminin buat si ratu sehari. Namun, elakkan daripada memilih rantai dengan motif bunga yang terlalu sarat. Ingat! Anda ingin memakainya untuk majlis perkahwinan.
LAYAH
Tidak lengkap penampilan ratu sehari tanpa layah. Ini kerana layah mampu memberi kesan romantis buat si ratu sehari sekali gus memberi momen perkahwinan yang nyata. Padankan layah yang sesuai dengan busana yang ingin anda sarungkan. Pilihlah rona yang senada agar anda terlihat elegan dan eksklusif. Elak daripada memilih layah yang sarat dengan perincian.
TIARA
Mengenakan tiara di hari perkahwinan juga dapat menghasilkan penampilan yang lebih romantis. Pilihlah tiara yang sederhana saiznya dan tidak terlalu besar. Pemilihan tiara juga bergantung pada tema perkahwinan anda. Jika anda memilih tema perkahwinan ala Inggeris, anda boleh mengenakan flower crown sebagai pelengkap gaya.
GELANG
Gelang mutiara juga boleh dijadikan pilihan buat ratu sehari tampil menawan. Selain menambah gaya, gelang mutiara dapat mengubah penampilan si ratu sehari agar tampak klasik dan dalam masa yang sama, tampak cukup romantis. Anda boleh mengenakan beberapa gelang mutiara dan memakainya dengan jumlah yang lebih banyak. Pasti penampilan anda mampu menjentik pandangan orang ramai.
TALI PINGGANG
Ternyata padanan tali pinggang dapat menghasilkan penampilan yang glamor dan menyerlah. Tali pinggang seperti gold plated belt dapat menyuntik elemen romantis di dalam gaya ratu sehari. Pereka Zuhair Murad dan Elie Saab merupakan antara pencetus fenomena bagi busana ratu sehari menggunakan pendekatan tali pinggang.
KASUT
Tidak lengkap penampilan si ratu sehari tanpa memakai kasut ala puteri raja. Padanan kasut yang tepat dengan busana glam bakal melahirkan penampilan yang cukup sempurna. Anda boleh memilih kasut berona pastel dengan sulaman renda berona senada. Untuk kelihatan lebih anggun, pilihlah kasut yang mempunyai percikan batu permata.
**************************************************
TIP MEMILIH AKSESORI PERKAHWINAN
Aksesori amat memainkan peranan penting dalam penataan gaya ratu sehari. Pilihan aksesori yang salah boleh membuatkan anda kelihatan seperti badut di majlis perkahwinan anda sendiri. Oleh itu cuba beri penekanan pada beberapa perkara ini agar penampilan anda menyerlah di majlis bahagia.
- WARNA
Kebanyakan busana pengantin terdiri daripada rona-rona pastel. Oleh itu, anda haruslah bijak memilih rona aksesori yang tidak terlalu kontra dengan busana yang ingin anda sarungkan. Anda boleh memilih rona perak dan keemasan bagi menyerlahkan keseluruhan penampilan kerana rona ini cukup sesuai dengan pilihan busana berona pastel.
- STAIL DAN CORAK
Teliti terlebih dahulu stail dan corak keseluruhan busana pengantin anda. Jika anda memilih busana pengantin yang elegan tanpa sebarang perhiasan, anda boleh mengenakan aksesori seperti rantai dan subang yang minimalis. Padanan ini bakal melahirkan gaya ratu sehari yang cukup eksklusif.
- PERSONALITI
Aksesori yang dipilih juga haruslah mengikut personaliti diri anda. Jika anda gemar kepada alam sekitar, anda boleh memilih aksesori yang berkaitan dengan alam sekitar sebagai pelengkap pada penampilan anda seperti flower crown dan sebagainya. Untuk yang gemarkan gaya santai dan ringkas pula, cukup untuk anda mengenakan tiara dan subang dengan rekaan minimalis.
Download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI