Pastinya setiap pasangan yang berkahwin ada perancangan untuk menimang anak sebagai penyeri dalam rumah tangga. Namun sebagai pasangan baharu tentu sahaja anda tiada pengalaman dan masih mentah tentang ilmu keibubapaan.
Agar anda dan pasangan lebih bersedia menerima kehadiran ‘orang baharu’, penting untuk anda berdua ikuti 11 pesanan daripada Puan Noor Afidah Abu Bakar, Co-Founder and Principal Consultant Parent Connect Consultancy ini tentang dunia keibubapaan. Semoga perkongsian beliau ini memberi manfaat untuk semua pengantin baharu ataupun yang bakal melangkah ke alam rumah tangga.
***************************************
Ketahuilah anak akan merubah segala-galanya dalam hidup anda. Walau bagaimana ideal sekalipun kehidupan yang kita bayangkan sebelum berkahwin dan ketika awal perkahwinan bersiap sedialah dengan perubahan-perubahan ini bersama-sama.
1) Pada peringkat awal perkahwinan, amalkan sikap terbuka dan sentiasalah membawa berbincang tentang apa saja kesulitan yang dihadapi. Jika dari awal kita mengambil sikap memendam rasa kerana bimbang sebelah pihak akan terguris, lama-kelamaan kita hanya menjadi lilin membakar diri yang tidak mendatangkan apa-apa kebaikan pada rumahtangga, keluarga dan diri sendiri. Tidak bersetuju pendapat adalah normal tetapi haruslah cuba untuk mencapai kata putus yang memuaskan hati kedua-dua pihak.
2) Tahun pertama menjadi ibubapa adalah tahun yang sangat mencabar kerana masing-masing bukan hanya perlu menyesuaikan diri dengan ‘orang baru’ yang cerewet, menangis, meraung, buang air tidak kira masa dan tempat, ‘fragile’, jadikan anda ‘zombie’, perlu melekap sentiasa untuk menyusu, tidak tahu serba-serbi dan sentiasa bergantung kepada anda, malah sebagai suami isteri sendiri kita masih dalam fasa suai kenal dengan teman sebilik kita.
Jika tahun pertama ini tidak ditangani dengan baik, kita akan mudah terjebak dengan perselisihan faham dan berkecil hati. Sesetengah konflik boleh membawa kepada masalah komunikasi yang berpanjangan dalam kehidupan berumah tangga.
3) Bersedialah untuk melakukan perubahan pada rutin dan aktiviti yang biasa diamalkan ketika bujang. Libatkan juga pasangan anda dalam aktiviti anda. Jika dia tidak berminat, sekali-sekala berceritalah tentang minat masing-masing. Ini akan mengeratkan lagi hubungan antara suami isteri dan tidak mewujudkan syak wasangka di kemudian hari. Apabila ahli keluarga bertambah, wujudkan ‘family culture’ yang akan mengeratkan hubungan kekeluargaan. Lakukan aktiviti bersama-sama sebagai satu keluarga. Semua ini harus dirancangkan dan bertekad dari awal.
4) Bina ‘trust’ yang kukuh antara satu sama lain. Kedua-kedua pihak perlu didengari, diberi suara, bertolak ansur dan bersetuju dengan isu-isu yang mungkin timbul satu hari nanti baik tentang ‘parenting’ ataupun perkahwinan.
5) Jadikan perkahwinan dan rumah tangga sebagai satu prioriti. Tanamkan tekad untuk sentiasa luangkan masa bersama dan ‘berdating’ walau apabila ada anak nanti. Dating tidak semestinya di luar dengan meninggalkan anak-anak di rumah. ‘Dating’ di rumah pun boleh. Bersembanglah tentang hal-hal kerja, minat masing-masing dan juga berbincang tentang keluarga. Tanamkan niat untuk tetapkan jadual untuk berjumpa sekali sekala waktu ‘lunch’ ketika hari kerja dan kekalkan ia supaya menjadi amalan yang berterusan. Jika diamalkan dari awal, lama-kelamaan ia akan menjadi habit yang dapat mengukuhkan hubungan antara suami isteri Insya-Allah.
Apabila mempunyai anak, berterusanlah menjadikan keluarga satu prioriti. Tidak ada sesiapa yang akan peduli tentang pasangan dan anak-anak anda melainkan diri anda sendiri.
6) Masing-masing perlu bersedia untuk ‘evolve’ atau lakukan perubahan. Keadaan dan persekitaran mungkin akan bertukar, Oleh itu apa yang diperbincangkan dan dipersetujui hari ini juga perlu bertukar bersesuaian dengan keadaan. Kita tidak tahu apa yang akan berlaku di kemudian hari jadi perlulah kita bersedia untuk menghadapi segala kemungkinan bersama-sama. Janganlah ‘lautan api sanggup ku renangi’ hanyalah menjadi madah cinta ketika segalanya mewangi dan harum ketika berdua.
7) Sebaiknya sebelum bayi lahir lagi berbincanglah tentang penjagaan bayi, siapa yang akan menjaganya terutamanya jika kedua-dua suami isteri bekerja, bagaimana jadual seharian suami isteri, penyusuannya, waktu tidurnya, susun atur rumah, rutin penjagaan kesihatan dan sebagainya. Tidak salah jika melakukan perancangan jangka masa panjang juga di awal perkahwinan contohnya tentang pendidikan anak, perancangan kewangan dan sebagainya supaya kita bersiap sedia.
Bersedialah untuk dapatkan bantuan jika perlu dan jangan malu untuk belajar dan bertanya dengan orang yang lebih berpengalaman dan kita percayai.
8) Harus diingat dalam ‘parenting’ tiada kaedah yang betul dan kaedah yang salah. Kita harus terima bahawa kita dibesarkan oleh ibu bapa kita dengan cara yang berbeza-beza. Tidak salah jika kita juga merancang untuk membesarkan anak-anak dengan cara yang berbeza tetapi haruslah dipersetujui oleh kedua-dua pihak. Dengar dan baca SEMUA nasihat ‘parenting’ tetapi pilih yang sesuai dengan dinamik keluarga kita.
Apa yang baik untuk keluarga kawan kita tidak semestinya baik untuk keluarga kita. Walau bagaimanapun sentiasalah menuntut ilmu ‘parenting’ dan tidak salah untuk ubah mengikut kesesuaian. Ada kalanya kita perlu mengikut ‘instinct’ kita kerana ‘instinct’ tentang anak-anak selalunya adalah benar.
Sentiasalah mengkaji dan ‘upgrade’ diri sendiri dengan ilmu. Ambil tahu tentang apa yang penting dan releven dalam dunia di mana anak-anak kita dibesarkan. Usah disamakan zaman kecil kita dengan zaman anak-anak kita.
9) Apabila mempunyai anak, perbelanjaan semestinya akan bertambah. Rancanglah kewangan dari awal. Menyimpanlah dari awal walaupun sedikit. Sediakan akaun tabungan untuk anak yang tidak akan diusik. Ketahuilah biasiswa dan pinjaman pelajaran sudah tidak banyak sekarang. Saingan juga sengit. Kita tidak tahu bagaimana pula satu hari nanti apabila anak kita meningkat dewasa. Beringatlah dari awal untuk menyimpan untuk pendidikan anak-anak. 17 tahun hanyalah masa yang singkat. Sedar tidak sedar anak sudah masuk ke peringkat universiti yang banyak memerlukan belanja. Berbincanglah tentang kewangan keluarga dari awal. Pastikan kedua-dua pihak bersetuju dengan rela hati.
Bersiap sedia juga untuk hari-hari sakit anak dan juga diri kita sendiri yang akan memerlukan belanja.
10) Apabila kehidupan yang ‘lovey dovey’ berdua menjadi bertiga, berempat, berlima dan seterusnya, kehidupan akan semestinya berubah. Tidur anda tidak lagi senyenyak dulu, makan asalkan tidak lapar sahaja, mandi pun tidak boleh berlama-lama, lawatan ke tandas sering terkocoh-kocoh, rumah umpama tongkang pecah, diri kurang terurus dan sering menjadi emotional, stres, keliru, takut, gementar akan segala kemungkinan dan kesilapan yang mungkin anda lakukan, INGATLAH semua ini adalah normal. Semua orang melalui situasi ini.
11) Usah dijadikan media sosial sebagai kayu ukur kebahagiaan kerana yang kita lihat di media sosial hanyalah yang indah dan wangi. Jika kita sentiasa mengamalkan komunikasi yang terbuka dengan pasangan, sentiasa mendengar dan memberi suara, Insya-Allah kita akan berjumpa jalan penyelesaian bagi segala kesulitan yang dihadapi dalam rumahtangga dan keluarga.
Buatlah apa yang terbaik untuk rumah tangga anda, keluarga anda dan anak-anak anda. Jadikan Al-Quran dan Sunnah sebagai panduan kehidupan anda sekeluarga sentiasa. Semoga Allah redha dan semoga rumah tangga yang baru dibina ini sentiasa dilimpahi rahmah dan baraqah dari-Nya.
Lubuk konten untuk inspirasi bakal – bakal pengantin. Pengantin kini di seeNI.
Download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI