Bawang putih sememangnya sinonim sebagai rencah penyedap dalam masakan dan sering dijadikan sebagai bahan tumisan. Tidak terbatas sebagai perencah masakan sahaja, rupanya bawang putih juga boleh menurunkan berat badan.

Bahan dengan aroma khas yang cukup menyengat dalam bawang putih boleh membantu anda mendapatkan berat badan ideal. Ia mengandungi beberapa elemen unik yang dipercayai mampu memelihara kesihatan tubuh. Salah satunya ialah allicin iaitu bahan seakan-akan belerang yang terbentuk setelah bawang putih mentah dipotong.

Ketika dipotong atau dicincang, bawang putih akan mengeluarkan aroma dan rasa yang khas. Aroma menyengat itulah tanda bahawa allicin sudah terbentuk. Jadi apakah kehebatan daripada zat ini?

PENAHAN NAFSU MAKAN

Menerusi sumber Health Me Up, allicin yang ada pada bawang putih berkhasiat sebagai penahan nafsu makan yang mengirimkan isyarat pada otak bahawa tubuh sudah kenyang. Perkara itu menyebabkan hasrat anda untuk makan menjadi berkurangan.

Selain itu, bawang putih juga merangsang sistem saraf untuk melepaskan adrenalin. Hormon ini akan meningkatkan metabolisme tubuh. Ketika metabolisme seseorang berada dalam keadaan baik, maka ia akan membuatkan tubuh lebih efektif membakar lebihan kalori sekali gus menurunkan berat badan.

Khasiat allicin sebagai penahan nafsu makan ini sudah dibuktikan oleh para pengkaji dari Weizman Institute, Israel. Mereka menemui bahawa allicin yang terkandung dalam bawang putih merupakan pengawal nafsu makan yang efektif.

ADA KHASIAT LAIN

Pasukan pengkaji yang diketuai oleh Dr. David Mirelman mengungkapkan bahawa bawang putih turut membantu menurunkan kolesterol jahat, mencegah diabetes dan menjaga kesihatan jantung.

Dalam satu percubaan pada tikus menemui, tikus yang diberi zat allicin tidak mengalami kenaikan berat badan, malah risiko menderita diabetes juga lebih rendah. Ini berbeza dengan tikus tanpa pemberian allicin yang semakin hari bertambah gemuk.

Ternyata begitu banyak khasiat allicin untuk kesihatan terutamanya bagi anda yang ingin menurunkan berat badan dan tampil langsing. Sayangnya allicin sangat mudah hilang, rosak atau berubah menjadi zat lain. Enzim yang mengeluarkan allicin umumnya akan rosak atau mati jika bawang putih terus dimasak dalam keadaan biasa.

Jadi untuk mendapatkan manfaat maksimum daripada bawang putih, sebaiknya potong atau hirislah ia terlebih dahulu. Anda juga boleh mengisar, barulah ditumis, direbus atau dicampurkan dengan bahan lain.

Jangan Lupa Komen: