Seseorang itu dilarang bercinta sebelum berkahwin. Apa yang dibolehkan ialah sekadar berkenan.
Ini kerana percintaan tersebut akan menyebabkan hati kedua-dua pasangan bergelora dan dilanda mabuk rindu sehingga lupa mengerjakan perintah Allah (meninggalkan solat), derhaka kepada ibubapa (biadap kepada ibubapa dalam urusan kahwin), bahkan mungkin ke tahap melakukan seks di luar nikah (zina).
Tiga perkara ini jelas haram hukumnya. Oleh itulah percintaan dilarang kerana ia membuka jalan-jalan ke arah perkara yang haram.
Apa yang dibolehkan sebelum pernikahan ialah berkenan, iaitu kecenderungan, kesukaan dan persetujuan hati kepada calon pilihan.
Perhatikan firman Allah berikut ini: Maka berkahwinlah dengan sesiapa yang kamu berkenan dari kalangan wanita-wanita… [al-Nisa’ 4:03].
Dalam ayat ini Allah Subhanahu waTa’ala menyuruh para lelaki untuk berkahwin dengan mana-mana wanita yang mereka berkenan. Maksud berkenan di sini ialah wujudnya kecenderungan, kesukaan dan persetujuan di hati.
Ini kerana pernikahan merupakan kehidupan bersama suami isteri bagi mencapai sakinah (ketenangan), mawaddah (saling berkasih sayang) dan rahmah. Maka amatlah penting sejak awal pernikahan dimulakan dengan adanya kecenderungan, kesukaan dan persetujuan hati di antara kedua-dua bakal pasangan.
Sebuah contoh daripada sunnah Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam ialah hadis berikut: Abdullah bin ‘Umar menerangkan bahawa (ayahnya) ‘Umar bin al-Khaththab berkata ketika Hafshah binti ‘Umar menjanda daripada Khunais bin Hudzafah al-Sahmi – beliau termasuk sahabat Rasulullah yang ikut serta dalam perang Badar dan meninggal dunia di Madinah – ‘Umar berkata:
Aku datangi ‘Utsman bin ‘Affan dan aku tawarkan Hafshah kepadanya. Aku berkata: “Jika engkau mahu, maka aku akan nikahkan engkau dengan Hafshah binti ‘Umar.” ‘Utsman hanya memberi jawapan: “Aku akan mempertimbangkan perkaraku terlebih dahulu.” Aku lalu menunggu beberapa malam, kemudian dia menemuiku dan berkata: “Nampaknya aku tidak akan menikah pada saat ini.”
Umar berkata: Kemudian aku menemui Abu Bakar, aku katakan kepadanya: “Jika engkau mahu, maka aku akan nikahkan engkau dengan Hafshah binti ‘Umar.” Abu Bakar hanya terdiam dan tidak memberi jawaban sedikitpun kepadaku. Dan kemarahanku kepadanya jauh lebih memuncak berbanding (kemarahanku) kepada ‘Utsman. Lalu aku menunggu beberapa malam, ternyata Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam datang meminangnya. Maka aku menikahkannya dengan baginda.
Kemudian Abu Bakar menemuiku dan berkata:
“Mungkin engkau marah kepadaku ketika engkau menawarkan Hafshah kepadaku dan aku tidak memberi jawaban sedikitpun?” Aku menjawab: “Ya.” Abu Bakar berkata: “Sebenarnya tidak ada yang menghalangiku untuk memberi jawapan kepadamu mengenai apa yang engkau tawarkan kepadaku, melainkan aku mengetahui bahwa Rasulullah sering menyebut-nyebutnya (Hafshah), dan tidak mungkin aku akan menyebarkan rahsia Rasulullah. Kalaulah baginda meninggalkannya, tentu aku akan menerima tawaranmu (untuk menikahi Hafshah).” [Shahih al-Bukhari, no: 3704/4005]
Perhatikan dalam hadis di atas bahawa Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam telah menyebut-nyebut nama Hafshah sejak suaminya meninggal dunia. Ini menunjukkan bahawa baginda telah berkenan kepada Hafshah dan menunggu masa yang sesuai untuk menemui ‘Umar dan melamarnya.
Sebelum itu, Rasulullah tidak mencintai Hafshah sebagaimana cinta suami-isteri, tidak berpacaran atau melakukan komunikasi rahsia dengan Hafshah umpama ‘boyfriend’ dan ‘girlfriend’. Apa yang baginda lakukan ialah sekadar berkenan kepada Hafshah.
Oleh itu dibolehkan untuk berkenan kepada calon pasangan sebelum bernikah. Kecenderungan, kesukaan dan persetujuan hati ini dikuatkan dengan bertanya kepada orang-orang yang dipercayai kejujurannya lagi dapat menyimpan rahsia mengenai latarbelakang calon, kelebihannya dan kekurangannya.
Dibolehkan untuk berjumpa secara terus di antara calon suami isteri ini bagi perbincangan-perbincangan lanjut, dengan syarat ia turut dihadiri oleh orang jujur lagi dipercayai bagi membantu perbincangan. Ditegah berjumpa secara berdua-duaan sahaja.
Artikel ini telah ditulis oleh Kapten Hafiz untuk ruangan Soal Jawab Munakahat.
Download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI