Mahar atau mas kahwin merupakan satu pemberian yang wajib suami berikan kepada isteri kerana pernikahan. Isteri berhak mendapat mas kahwin sejurus akad nikahnya sah. Mas kahwin akan menjadi hak isteri seepenuhnya dan tidak boleh diambil oleh suami atau ahli keluarga yang lain kecuali jika isteri benarkan.
Sebaik-baik mahar adalah yang paling mudah. Maknanya, ia mudah untuk dipenuhi oleh bakal suami. Namun, jika bakal suami tidak mampu, adakah boleh membayar mahar kepada isteri secara ansuran atau hutang?
Boleh Dengan Persetujuan Kedua-Dua Pihak
Menurut perbahasan ulama melalui al-Fiqh al Manhaji, mereka berpendapat bahawa boleh membayar mahar kepada isteri dengan cara hutang atau apa sahaja yang telah dipersetujui oleh kedua-dua pihak.
Ads
Sumber: Google
“Pemberian mas kahwin tidak disyaratkan dengan segera. Ia boleh disegerakan atau ditangguhkan sebelum persetubuhan. Walau bagaimanapun, penangguhannya hendaklah berdasarkan tempoh masa yang telah dipersetujui masanya. Isteri juga berhak menahan dirinya daripada melakukan persetubuhan dengan suami sehingga mas kahwin tersebut langsai. Namun, jika ia bersetuju untuk ditangguhkan, maka isteri tidak berhak menahan diri daripada suami kerana ia adalah berdasarkan persetujuan masing-masing.”
Melalui perbincangan ini, ia menunjukkan bahawa mas kahwin adalah hak isteri yang wajib ditunaikan. Jika suami tidak mampu dan meminta dipanjangkan tempoh bayaran, ia dibolehkan dengan persetujuan masing-masing.
Bagaimana Kalau Suami Meninggal Atau Bercerai Sebelum Membayar Mas Kahwin?
Jika suami meninggal sebelum sempat melunaskan bayaran mas kahwinnya kepada isteri, maka isteri boleh menuntut daripada harta suami atau juga ahli keluarganya. Namun, jika penceraian atau kematian berlaku sebelum sempat mereka bersentuhan, si isteri berhak mendapatkan separuh daripada kadar mas kahwin tersebut.
Mafhum: “Dan jika kamu ceraikan mereka sebelum kamu sentuh (bercampur) dengan mereka, padahal kamu sudah menetapkan kadar mas kahwin untuk mereka, maka mereka berhak mendapat separuh dari mas kahwin yang telah kamu tetapkan itu, kecuali jika mereka memaafkannya, (tidak menuntutnya); atau (pihak) yang memegang ikatan nikah itu memaafkannya (memberikan mas kahwin itu dengan sepenuhnya.” (Surah Al-Baqarah, 2:237)
Ramai orang kata, perempuan yang berbadan kecil atau petite itu umumnya lebih cenderung untuk bersalin secara C-Section menerusi pembedahan melihatkan keadaan saiz punggung yang kecil. Apakah fakta ini benar belaka?
Untuk pengetahuan semua, tuhan menjadikan manusia itu dengan kelebihan yang tersendiri. Fakta yang mengatakan mereka bertubuh genit itu sememangnya akan bersalin secara tidak normal iaitu bukan melalui faraj adalah kurang tepat.
Dalam isu ini, terdapat dua kemungkinan utama sama ada tubuh anda kecil dan tidak mampu menolak bayi keluar dariapda tubuh dengan kudrat yang tidak seberapa mahupun bayi yang dikandung terlalu besar saiznya yang tidak mungkin bisa dikeluarkan melalui saluran peranakan yang kecil melalui organ tersebut.
Ini penjelasan nyata menurut fakta saintifik:-
Perasaan untuk bersalin buat pertama kalinya mungkin meresahkan hati si ibu muda kerana takut kalau-kalau bayi tidak dapat dikeluarkan secara sempurna, lebih parah apabila cakap-cakap orang turut menganggu emosi apabila dikatanya “Pungkok hang kecik, tak bersalin normal kot pasai mesti hang kena bedah ni”. Lagu tu ka???
Secara amnya, semua ini adalah bergantung pada kelebaran rangka tulang pelvik yang akan terjadi ketika sudah tiba masanya bayi tersebut mahu keluar. Saiz punggung sama sekali tidak akan menentukan sama ada anda akan dibedah atau bersalin secara normal kerana ada sahaja wanita yang berbadan kecil tapi masih mempunyai kekuatan untuk meneran dan melahirkan bayi secara normal. Doktor yang akan menentukan cara bersalin yang mana paling sesuai demi keselamatan serta kesihatan si ibu, juga bayi yang bakal dilahirkan.
Mengapa Pembedahan C-Section Dilakukan?
“Cesarean Birth” atau juga dipanggil sebagai c-section adalah pembedahan yang dilakukan ke atas ibu untuk mengeluarkan bayi. Sepert yang dijelaskan awal tadi, cara ini hanya akan dilakukan jika si ibu berisiko berdepan sebarang komplikasi semasa bersalin, demi menjamin keselamatan si ibu dan bayi. Kebiasaannya jika keadaan ibu dan perkembangan bayi dilihat positif, tiada masalah untuk si ibu bersalin normal.
Kenapa Doktor Cadangkan C-Section?
Masalah Ibu
1. Terdapat masalah pada plasenta yang bisa menyebabkan pendarahan ketika proses meneran. (Plasenta atau uri adalah organ yang melindungi bayi dan menyalurkan nutrien kepada bayi sewaktu dalam kandungan).
2. Si ibu menghidap masalah jangkitan seperti HIV, jangkitan kelamin seperti herpes atau penyakit lain seumpanya.
3. Si ibu bakal melahirkan lebih dari seorang bayi (bayi kembar).
4. Si ibu memiliki masalah kesihatan kronik seperti darah tinggi, sakit jantung, kencing manis dan sebagainya.
5. Pernah bersalin menggunakan cara c-section sebelum ini.
Masalah Bayi
1. Saiz bayi terlalu besar yang melangkau kemampuan ibu untuk menerannya menerusi saluran organ.
2. Kedudukan bayi songsang (kaki di bahagian bawah atau bahu yang menghadap ke bawah.).
3. Proses kelahiran yang mengambil masa terlalu lama sebagai contoh, bayi kembar lazimnya bisa mengambil masa sehingga 16 jam untuk diteran. Atau mungkin juga saluran peranakan si ibu terlalu sempit yang berisiko membuatkan bayi lemas jika masa terlalu lama diambil.
4. Keadaan jantung bayi yang lemah.
5. Kecacatan pada bayi yang mungkin akan menjadi kekal jika terus dipaksa keluar secara normal, seperti masalah penglihatan dan pendengaran.
Apa yang pasti, bersalin secara normal adalah bergantung kepada kesihatan si ibu dan bayi yang turut dipengaruhi kelebaran tulang pelvik (tulang pinggul) si ibu. Jika punggung besar (disebabkan daging) namun rangka tulangnya adalah kecil, masih si ibu akan menghadapi masalah dalam melahirkan anak secara normal. Wallahualam.
Berikut adalah empat bentuk tulang pinggul wanita yang paling umum serta pengaruhnya terhadap proses bersalin.
Platipeloid. Bentuk rongga panggul adalah oval, yang memipih adalah dari diameter bahagian depan ke belakang. Hal ini dapat menyebabkan janin melalui pinggul dengan posisi kepala melintang. Bentuk pinggul ini berisiko untuk proses bersalin normal melalui vagina.
Android. Sebenarnya bentuk ini meyerupai pinggul kebanyakan lelaki di mana, ukuran rongga pinggulnya kecil dan bentuknya menyerupai simbol hati. Tulang iscium menonjol dan lengkungan pubik agak sempit. Bentuk pingguljenis android juga berisiko untuk cara bersalin normal melalui faraj.
Ginekoid. Ini adalah bentuk pinggul yang paling umum dan merupakan bentuk panggul terbaik yang sesuai untuk melahirkan bayi secara normal. Rongga dalamnya berbentuk oval. Jarak dari sisi kanan ke sisi kiri panggul lebih lebar dibandingkan dengan jarak dari bagian depan ke belakang. Pada bentuk tulang panggul ini, tulang iscium tumpul dan lengkungan pubik cukup besar, iaitu sekitar 90° atau lebih lebar.
Antropoid. Untuk pinggul jenis ini, rongga dalamnya berbentuk oval, tetapi jarak antara sisi depan dan belakang lebih lebar dibandingkan sisi kanan dan sisi kiri. Dinding samping pula sejajar dan bagian belakang cukup luas untuk menampung bagian belakang kepala bayi. Hal ini mengakibatkan bayi lahir menghadap ke atas.
Bagai dikata jika sudah berkenan, eloklah menghantar tanda bahawa anda pihak lelaki benar-benar serius dengan wanita yang jadi pilihan itu. Islam tidak menghalang seseorang untuk merisik calon pilihannya. Bahkan ianya disarankan oleh agama Islam.
Maksud Merisik
Merisik atau ‘menyiasat’ merupakan adat dan amalan tradisi yang cukup sinonim dengan masyarakat Melayu. Merisik bakal calon adalah suatu proses yang sangat disarankan sebelum seseorang itu berumahtangga. Ia bertujuan untuk mengetahui bakal calon sama ada telah berpunya ataupun tidak di samping mengenali calon pilihan itu dengan lebih dekat.
Proses risikan oleh masyarakat dahulu, biasanya akan dilakukan oleh kaum lelaki dengan diwakili ahli keluarganya yang akan berkunjung ke rumah calon perempuan. Namun masyarakat sekarang lebih terbuka dengan isu ini. Ada antara mereka yang merisik secara ‘direct’ kepada calon pilihannya mahupun menggunakan orang tengah seperti sahabat ataupun wakil yang dilantik untuk menyatakan hajat mereka.
Merisik Menurut Islam
Islam tidak menghalang seseorang untuk merisik calon pilihannya. Bahkan ianya disarankan oleh agama Islam. Merisik juga adalah termasuk menyiasat tentang hal keperibadian bakal calon dan rupa fizikal calon. Dalam suatu hadis daripada Abu Hurairah R.A, beliau menceritakan bahawa ada seseorang telah menyampaikan kepada Rasulullah S.A.W. bahawa dirinya telah berkahwin dengan seorang wanita Ansar. Rasulullah S.A.W. kemudian bertanya:
“Adakah kamu telah melihatnya?”
Jawab pemuda itu, “Belum.”
Kemudian Rasulullah S.A.W. menyarankan, “Lihatlah calon isterimu, kerana di bahagian mata orang Ansar ada sesuatu.”
(Hadis Riwayat Muslim : 3550)
Daripada hadis di atas, jelaslah kepada kita bahawa Rasulullah S.A.W. sangat menyarankan kepada pasangan yang ingin berkahwin untuk merisik dan melihat wajah bakal isterinya. Tujuan risikan tersebut adalah supaya diberi rasa ketenangan dan kedamaian jiwa untuk meneruskan perkahwinan.
4 Tip Untuk Merisik
1. Pilih Wakil Yang Sesuai
Jika anda tidak merisik secara ‘direct’ kepada calon pilihan, maka anda harus memilih wakil yang sesuai untuk menyatakan hasrat hati anda itu. Wakil yang sesuai ialah seperti ahli keluarga anda sendiri. Ibu bapa mahupun adik-beradik anda boleh menjadi wakil untuk merisik calon pilihan anda. Selain itu, wakil juga boleh dilantik di kalangan sahabat-sahabat yang anda ‘thiqah’ (percaya) dan boleh memegang amanah.
2. Menjaga Batas Dan Kelakuan
Selain itu juga, ketika dalam proses merisik anda perlu menjaga batas dan kelakuan. Mengajak keluar berdua-duaan atas nama merisik dan melakukan perbuatan yang tidak selari dengan Islam adalah dilarang. Islam memberi kebenaran untuk merisik namun tetap ada hadnya. Jika mahu bertanyakan soalan adalah lebih baik bertanyakan kepada ahli keluarganya dahulu atau sahabat-sahabat terdekat calon.
Jika terpaksa menanyakan secara ‘direct’ kepada calon, maka jagalah adab dan kelakuan. Elakkan bertanya soalan-soalan yang tidak perlu dan tidak penting.
3. Jangan Terlalu Berharap
Merisik merupakan proses yang anda tidak pasti sama ada calon pilihan anda itu akan menerima ataupun menolak risikan anda. Oleh sebab itu, jangan terlalu berharap. Jika terlalu berharap, anda akan kecewa apabila ditolak. Ia mungkin akan menjadi pengalaman pahit buat anda untuk merisik calon pilihan yang lain nanti. Ingat pepatah Melayu, ‘Bunga bukan sekuntum, kumbang bukan seekor’.
4. Menghormati Keputusan
Jika hasil risikan anda tidak berjaya dan ditolak, maka hormatilah keputusan yang dibuat oleh calon tersebut. Jangan memaksa orang untuk suka dan menerima kita. Mungkin ada sebab anda dan si dia tidak bersama. Terimalah keputusan tersebut dengan hati yang terbuka dan positif. Insya-Allah ada calon yang lebih baik menanti anda.
Sumber: https://baitulmuslim.com/
Lubuk konten untuk inspirasi bakal – bakal pengantin. Pengantin kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Baru-baru ini pelakon Zarina Zainuddin menyelar segelintir wanita muda yang kemaruk kahwin suami orang sehingga sanggup memusnahkan rumah tangga orang.
Bak kata pepatah, sanggup membina bahagia atas penderitaan orang lain itu sepatutnya, elakkan lah. Walaupun memegang status isteri kedua, namun pemilik nama penuh Nur Zarina Mohd Zainuddin, 54,menasihati agar golongan wanita muda mempertimbangkan keputusan memilih bernikah dengan suami orang kerana akan digelar penyondol sampai ke tua.
Nasihat Zarina Zainuddin Buat Wanita Muda
“Ingat ya, tak senang kahwin dengan suami orang. Jadi isteri nombor dua otak kena kuat dan kalau iman tak cukup, tidak payah! Jadi orang gila di rumah nanti.
“Carilah lelaki bujang, tak payah nak peningkan kepala. Sampai ke tua orang akan kata kau penyondol,” katanya dalam video Instagram semalam.
Dalam video sama, dia turut berasa kurang senang melihat ramai wanita yang masih muda ‘kemaruk’ berkahwin dengan suami orang sedangkan tidak menjaminkan kehidupan yang mewah pun.
“Sakit hati lihat semua yang cantik dan muda hendak sangat kawin dengan suami orang kemudian jadi ala-ala wanita simpanan di rumah sebab suami takut isteri pertama mengamuk.
“Kalau boleh tak payahlah, jika hidup mewah lain cerita tetapi kalau kau pun bekerja mencari duit, memang sayang.
“Baik bercerai ketika usia muda sebelum usia tua yang ketika itu hendak berpisah pun tiada faedah,” katanya lagi.
Caranya Berbeza Walau Status Isteri Kedua
Sementara itu, Zarina berkata, situasinya ketika bernikah dengan suaminya dan menjadi isteri kedua adalah berlainan namun rasa bersalah tetap dirasai sehingga hari ini.
“Kes saya lain, tidak akan sama sebab saya bukan nak menggatal. Dia bawa saya jumpa isteri pertama dan kini sudah 30 tahun saya berkahwin.
“Tetapi sehingga sekarang saya rasa berdosa besar sebab kacau hak madu saya,” luahnya.
Elakkan Dan Lupakan!
Menerusi luahan sama, dia menasihatkan wanita muda di luar sana melupakan hasrat untuk bernikah dengan suami orang sebaliknya memilih lelaki bujang.
“Nak buat apa kalau semua hidup asyik makan hati dia makan hati saya makan. Suami pun semakin botak fikir hal isteri-isterinya.
“Anda fikirlah sendiri, rasa nak azankan di telinga supaya jangan kahwin suami orang. Cari lelaki bujang yang berlambak di luar sana,” ujarnya.
Terdahulu, Zarina mendirkan rumah tangga dengan Datuk Seri Abu Raihan Wan Jaafar pada 13 Julai 1993 sebagai isteri kedua.
Hasil perkahwinan, mereka dikurniakan empat cahaya mata lelaki termasuklah sepasang kembar Raizal Azrai Abu Raihan (Azal) dan Muhammad Razil Azrai Abu Raihan (Azil) yang sentiasa menjadi perhatian netizen.
Lubuk konten untuk inspirasi bakal – bakal pengantin. Pengantin kini di seeNI. Download seeNI sekarang!