
Begitu banyak pilihan untuk konsep pra-perkahwinan yang kini boleh dilihat pada masa ini. 'Pre-wedding photoshoot' merupakan salah satu kenangan perkahwinan yang sangat manis. Gambar pra-perkahwinan dengan mengenakan wastra dan aksesori adat.
Akan tetapi, masih banyak lagi konsep yang dapat dilihat dan dikembangkan. Terutama bagi calon pengantin yang menginginkan pernikahan lebih dari satu sesi, tiga hingga lima sesi misalnya. Jom kita lihat antara konsep pra-perkahwinan yang boleh dilakukan nanti.
1. Gelap dramatis
Foto pra-perkahwinan berkonsep gelap dramatis merupakan jenis foto yang sesuai untuk anda dan pasangan yang sukakan latar belakang yang gelap ditambah oleh permainan cahaya redup menghasilkan gambar kelihatan mahal dan berestetika tinggi ditambah pakaian yang serba etnik.
2. Gaya Korea
Jika anda penggemar drama Korea selera warga sana boleh menjadi sumber inspirasi untukmu yang minat dengan gaya romantis. Rata-rata bakal pengantin sering menggenakan baju formal atau kasual sahaja. Untuk kelihatan lebih korea lagi, pasangan perlu lah 'styling' ala-ala gaya korean look. Contoh seperti gaya rambut mereka.
3. Formal elegan
Kunci yang menentukan bagusnya bukannya hasil gambar tetapi pada penampilan. Dimana pun tempat yang dituju tidak menjadi soal asalkan penampilan sudah terlihat elegan. Konsep elegan perlu digayakan dengan memakai sut atau busana yang kemas dan rapi.
4. 'Open space'
'Open space' bermaksud konsep yang terbuka bukan berada di dalam studio. Contohnya seperti ditempat seperti pantai atau pasir. Di tempat ini ia seakan tercipta kesan romantis dengan memasang ekspresi tanpa mengenal waktu. Suasana ini mampu menghasilkan gambar yang begitu indah sekali buat anda dan pasangan.
5. Kasual
Konsep kasual pra-perkawinan adalah konsep biasa yang sering kita dengar. Ia tidak terhad kepada sesuatu pemakaian. Konsep ini adalah secara santai dan bebas buat anda dan pasangan mencipta memori. Lokasinya pula, tidak kisah sama ada dalam mahupun di luar.
Download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
Pilih Bercinta Selepas Nikah, Jumpa Jodoh di Aplikasi TillJannah

Isi Kandungan
ToggleMasih ada yang memilih jalan bercinta selepas kahwin, itulah yang berlaku kepada pasangan Diyana dan Aisham yang bertemu jodoh di aplikasi TillJannah.
Lebih menarik lagi, ibu kepada Diyana sendiri yang mencarikan anaknya pasangan menerusi aplikasi tersebut. Tidak sangka, itulah jodoh yang ditetapkan oleh Allah SWT.
Bercinta Selepas Nikah
Saya Diyana, pasangan saya Aisham. Syukur kepada Allah kerana memudahkan jodoh kami. Perkenalan dan pertemuan dalam waktu yang sangat singkat di TillJannah.
Pada dasarnya, perkenalan ini dipantau oleh ibu bapa saya dan permulaan pencarian dimulai oleh ibu saya. Salah satu pencarian dilakukan adalah melalui TillJannah dan semakin aktif pada bulan October dan November 2021.
Perkenalan dan pencarian secara rawak sahaja dengan melihat biodata terlebih dahulu. Setelah semua berjalan lancar, baru betul-betul saya membalas mesej yang dihantar. Permulaan perkenalan, ibu saya meletakkan syarat berkenalan 2 minggu di dalam portal TillJannah kerana, banyak juga pengalaman perkenalan tersangkut di tengah jalan yang membuang masa.
Perancangan Selepas Nikah
Sepanjang perkenalan di TillJannah, kami banyak bertanya berkenaan berapa lama tempoh untuk berkahwin dan perancangan masa hadapan dan keluarga. Tujuan utama adalah kerana tidak mahu lagi terpilih orang yang kurang tepat dan belum bersedia.
Kami berdua juga membuat solat hajat dan istikharah supaya boleh melihat kesesuaian kami. Saya memberi nombor telefon ayah saya dan dari situ saya melihat kesunguhan si dia.
Dia mula mesej ayah saya memberitahu dia sedang berkenalan dengan saya dan memberi tarikh untuk datang berkenalan dengan ibu bapa saya.
Apabila melihat kesungguhannya, saya mula memberi nombor telefon saya dan kami mula berhubung menggunakan aplikasi Whatsapp.
Mungkin ini juga salah satu dorongan kuat untuk dia mengenali saya. Tujuan saya supaya si dia tidak membuang masa jika dia tidak dapat menerima saya.
Kami mula berkenalan di bulan November 2021 dan berjumpa di rumah saya pada Januari 2022. Saya sangka mungkin si dia hanya mahu melihat dan berkenalan dengan saya serta keluarga.
Saya tidak meletakkan harapan yang tinggi untuk dia menerima saya. Tak sangka pertemuan pertama itu si dia terus datang merisik pada waktu yang sama. Seminggu kemudian kami mengikat tali pertunangan dan bernikah pada 27 Mac 2022.
Jodoh Itu Cerminan Diri
Cabaran kami tidak setara seperti orang lain. Mungkin kerana kami hanya berkenalan secara atas talian dan bertunang dalam masa yang singkat. Kami tidak pernah keluar dan hanya bercerita tentang kerja serta aktiviti seharian melalui Whatsapp sahaja.
Diharap cinta selepas nikah ini memberi kebahagiaan kepada kami dan keluarga. Bagi yang belum bertemu jodoh jangan berputus asa. Ibu saya mencari selama 2 tahun sehingga bertemu di TillJannah.
Jangan cepat mengalah. Jodoh kita itu adalah cerminan kita. Dia berusaha untuk kita. Tidak kiralah kita wanita yang bagaimana, jangan malu untuk mulakan. Mana tahu salah seorang itu jodoh kita.
Apa yang paling penting, berdoa kepada Allah supaya jodoh yang datang boleh membahagiakan kita dan keluarga.
Sumber: TillJannah
Download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
Peristiwa Gubra Melanda Pada Satu Majlis Peminangan, Baca Perkongsian Jurucakap Majlis Ini

Agaknya sebab pandai berbicara, boleh berkelakar sedikit-sebanyak, dan tidak malu-malu, saya kerap dijadikan ketua atau jurucakap untuk hal-hal yang ada kaitan dengan perkahwinan. Pada hari perkahwinan, saya sering menjadi ketua rombongan – sama ada pihak lelaki atau pihak perempuan – membawa barang-barang hantaran, seperti yang telah diputuskan pada rundingan awal.
Acara ini sebenarnya hanya satu formaliti, sebab semuanya telah diketahui dan dipersetujui keluarga kedua belah pihak. Tugas saya hanya menyerahkan barang-barang untuk mengesahkan perkahwinan. Biasanya item-item penting yang mesti ditunjukkan dan dinyatakan ialah sirih junjung, wang hantaran, cincin pekahwinan, kasut, jam tangan, buah-buahan dan kek – semuanya digubah indah dan diletakkan dalam dulang hantaran.
Tugas saya hanya bercakap sepatah dua kata sebagai mengesahkan perkahwinan. Antara perkara penting yang perlu disebut ialah nama mempelai dan perincian mengenai barang-barang yang dibawa.
Acara ini bagi saya santai, tidak ada debaran, malah ada ketikanya saya boleh berkelakar dengan wakil atau ketua pihak yang satu lagi. Memang ramai tetamu, mata dan telinga tertumpu pada saya, tetapi biasanya semua okey. Secara peribadi saya lebih gementar ketika menjadi jurucakap atau ketua rombongan meminang. Almaklumlah, kita bertandang ke rumah yang tidak kita kenali penghuninya.
Memang anak teruna telah mengenali gadis yang hendak dipinang. Tetapi, saya sendiri tidak tahu siapa gadis itu, siapa keluarganya, siapa ketua atau pihak yang akan menerima rombongan kami.
Sekali peristiwa gubra melanda pada satu majlis peminangan. Ada pun yang hendak dipinang ialah seorang gadis anak yatim yang baru beberapa bulan kematian ayah. Sedih juga melihat ibu gadis yang bersimpuh bersama pada acara tersebut.
Sebagai ketua rombongan, saya memulakan bicara dengan menyatakan nama saya, dan menyebut nama anggota rombongan anak teruna. Saya mengucapkan terima kasih kepada ibu gadis dan keluarga pihak perempuan kerana sudi menerima rombongan kami.
Semua mata tertumpu pada saya, berdebar juga dibuatnya, dan saya meneruskan madah: “Ada pun hajat kami datang ke sini ialah untuk menyampaikan salam dan hasrat anak teruna, Mahat bin Abdul yang ingin melamar Mastura binti Sameon…”
Tiba-tiba saya merasa kawan sebelah buat batuk-batuk kecil sambil menyiku bahu saya. Terkedu saya, majlis senyap-sepi seketika, dan kemudian serentak semua hadirin ketawa.
Kemudian baru sedar yang saya telah tersalah sebut nama. Sebenarnya gadis yang hendak dipinang itu ialah Suryana binti Muhamad. Ada pun Mastura adalah nama ibu gadis. Memang ada ketikanya saya tersasul.
Suspen juga yang hendak dirundingkan dalam acara meminang ialah apakah syarat-syarat bertunang, apa barang-barang hantaran yang akan dipersetujui, berapa tempoh bertunang, berapa wang hantaran, cincin pertunangan, bla, bla, bla.
Dan, paling penting lagi amat mendebarkan ialah hasil peminangan tersebut: diterima atau tidak ditolak? Tetapi, sudah lebih 20 tahun menjadi jurucakap, dan sekian banyak acara merisik dan meminang, semuanya berjaya.
Hanya satu yang betul-betul kantoi, menyebabkan saya dan semua anggota rombongan meminang tersipu-sipu dalam seribu kebisuan. Ini terjadi tahun lalu, bukan di Malaysia, tetapi di luar negara.
Sebenarnya ini pertama kali saya merisik gadis di luar negara @ di Padang, Indonesia. Ini dilakukan betul-betul cara bidan terjun. Saya ke kota Minang bukan untuk meminang, tetapi mengikuti rombongan menteri untuk satu acara rasmi di sana.
Antara wartawan kanan yang turut serta dalam rombongan menteri berkenaan termasuk Pengurus Besar Bernama, Datuk Zulkefli Salleh, dan Ketua Pengarangnya, Datuk Zakaria Abdul Wahab.
Acara rasmi menteri berjalan sempurna, dan berjaya mencapai matlamat. Tetapi satu kegagalan yang amat memilukan, terjadi pada saya dan rombongan merisik, sekali gus menepati judul sebuah lagu asli Minang, ‘Ayam Den Lapeh’ @ dalam bahasa kita ‘ayam ku terlepas.’
Sebenarnya menangkap ayam tidak termasuk dalam agenda rasmi menteri dari Kuala Lumpur, dan saya langsung tidak mahu terlibat dalam acara tidak rasmi ini. Tetapi pesanan menerusi Whatsapps yang diterima seorang anggota rombongan , menimbulkan rasa simpati:
“Apa cara pun hang cari juga restoran tu sampai dapat…” Panjang lagi mesej pada skrin HP, dan penghujungnya bagaikan merayu: “Saya berkenan sungguh dengan si ayu itu. Dapatkan statusnya, sama ada masih gadis, sudah berpunya atau janda…”
Mesej itu dari seorang bekas rakan sekerja, yang sejak lebih dua tahun lalu dalam kesepian yang amat kerana kematian isteri. Alkisah, kira-kira sebulan terdahulu dia bersama rakan yang kali ini menganggoti rombongan menteri, libur ke Padang, singgah di sebuah restoran, dan terus terpikat pandang pertama pada si ayu yang bekerja di restoran berkenaan.
Tetapi kerana gubra sakan, juga kesuntukan waktu, dia tidak menyatakan hasratnya ketika itu, hatta bertanya nama si ayu itu pun dia tidak berani. Rupanya sejak pertemuan pertama itu, si duda mula merasa kesepiannya bakal berakhir. Selama sebulan mimpi dan igaunya tak lain tak bukan hanyalah si ayu itu.
“Datuk kena tolong sahabat kita ini,” kata rakan tersebut sebaik mendarat di Bandara Internasional Minang. “Ini amanah dia pada saya, kita kena sempurnakan. Lagi pun ini soal mendirikan masjid…”
Maka, kami berempat tengah hari itu singgah di restoran berkenaan. Elok saya rahsiakan nama yang terlibat, takut menimbulkan syak kepada para isteri di KL. Memang, niat baik untuk tolong mendirikan masjid. Tetapi jika silap tafsir, masjid kami pula akan berantakan!
Si ayu itu – namanya Yenni – rupanya anak pemilik restoran. Tentu sekali dia senang menyambut kami, kerana mengecam seorang dari kami yang makan di restorannya sebulan lalu. Saya memulakan bicara dengan menyampaikan puji-pujian si duda yang “amat manyukai lagi menyenangi makanan dan serba-serbi di restoran ini, termasuk Yenni.”
Santun sekali Yenni menjawab: “Terima kasih, Pak. Saya juga senang mendengar perkhabaran semacam itu.” Lega, seorang antara kami menyepak kaki saya di bawah meja, sambil berbisik: “Burung sudah dalam genggaman.”
Selepas menjamah makanan yang dihidangkan oleh Yenni dan ibunya, saya terus menyatakan hasrat sebenar ingin merisik, kalau boleh melamar terus, si ayu buat sahabat di KL.
“Aduhhh, ampun ya Pak,” kata ibunya, sekali gus membuat kami gamam. “Si Yenni ini sudah punya suami, sudah anak dua lagi. Ampun ya Pak…” kantoi.
Saya juga memohon maaf, terasa sedih sekali. Sempat kami mengambil gambar di depan restoran bersama keluarga Yenni, termasuk dua anaknya yang masih kecil. Gambar ini juga tidak disiarkan, hanya kenangan dalam HP.
Dalam perjalanan pulang ke hotel, perihal ayam yang terlepas itu terus diwassapkan kepada duda yang berhajat. Lewat senja baru dia membalas pesanan: “Makin sepi rasanya hidup ini…Apa pun terima kasih sebab hang pa semua telah berusaha yang terbaik.”
Pasti si duda kecewa bukan kepalang. Ketika di Padang kami berlagu ‘Ayam Den Lapeh’, di KL sahabat kami itu mungkin tidak tidur-tidur, dan asyik mendayukan lagu ‘Ubekkan Denai’ @ ‘ubatkan daku’.
Itulah sekali saya gagal dalam risikan dan peminangan. Saya doakan Yenni sekeluarga terus bahagia, sementara untuk kumbang duda itu saya hanya berpesan: bunga bukan sekuntum.
Oleh :ABD JALIL ALI
Download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
“Anak Akan Merubah Segala-Galanya Dalam Hidup Anda”, Konsultan Ini Kongsi 11 Pesanan Untuk Pengantin Baharu Tentang ‘Parenting’

Pastinya setiap pasangan yang berkahwin ada perancangan untuk menimang anak sebagai penyeri dalam rumah tangga. Namun sebagai pasangan baharu tentu sahaja anda tiada pengalaman dan masih mentah tentang ilmu keibubapaan.
Agar anda dan pasangan lebih bersedia menerima kehadiran ‘orang baharu’, penting untuk anda berdua ikuti 11 pesanan daripada Puan Noor Afidah Abu Bakar, Co-Founder and Principal Consultant Parent Connect Consultancy ini tentang dunia keibubapaan. Semoga perkongsian beliau ini memberi manfaat untuk semua pengantin baharu ataupun yang bakal melangkah ke alam rumah tangga.
***************************************
Ketahuilah anak akan merubah segala-galanya dalam hidup anda. Walau bagaimana ideal sekalipun kehidupan yang kita bayangkan sebelum berkahwin dan ketika awal perkahwinan bersiap sedialah dengan perubahan-perubahan ini bersama-sama.
1) Pada peringkat awal perkahwinan, amalkan sikap terbuka dan sentiasalah membawa berbincang tentang apa saja kesulitan yang dihadapi. Jika dari awal kita mengambil sikap memendam rasa kerana bimbang sebelah pihak akan terguris, lama-kelamaan kita hanya menjadi lilin membakar diri yang tidak mendatangkan apa-apa kebaikan pada rumahtangga, keluarga dan diri sendiri. Tidak bersetuju pendapat adalah normal tetapi haruslah cuba untuk mencapai kata putus yang memuaskan hati kedua-dua pihak.
2) Tahun pertama menjadi ibubapa adalah tahun yang sangat mencabar kerana masing-masing bukan hanya perlu menyesuaikan diri dengan ‘orang baru’ yang cerewet, menangis, meraung, buang air tidak kira masa dan tempat, ‘fragile’, jadikan anda ‘zombie’, perlu melekap sentiasa untuk menyusu, tidak tahu serba-serbi dan sentiasa bergantung kepada anda, malah sebagai suami isteri sendiri kita masih dalam fasa suai kenal dengan teman sebilik kita.
Jika tahun pertama ini tidak ditangani dengan baik, kita akan mudah terjebak dengan perselisihan faham dan berkecil hati. Sesetengah konflik boleh membawa kepada masalah komunikasi yang berpanjangan dalam kehidupan berumah tangga.
3) Bersedialah untuk melakukan perubahan pada rutin dan aktiviti yang biasa diamalkan ketika bujang. Libatkan juga pasangan anda dalam aktiviti anda. Jika dia tidak berminat, sekali-sekala berceritalah tentang minat masing-masing. Ini akan mengeratkan lagi hubungan antara suami isteri dan tidak mewujudkan syak wasangka di kemudian hari. Apabila ahli keluarga bertambah, wujudkan ‘family culture’ yang akan mengeratkan hubungan kekeluargaan. Lakukan aktiviti bersama-sama sebagai satu keluarga. Semua ini harus dirancangkan dan bertekad dari awal.
4) Bina ‘trust’ yang kukuh antara satu sama lain. Kedua-kedua pihak perlu didengari, diberi suara, bertolak ansur dan bersetuju dengan isu-isu yang mungkin timbul satu hari nanti baik tentang ‘parenting’ ataupun perkahwinan.
5) Jadikan perkahwinan dan rumah tangga sebagai satu prioriti. Tanamkan tekad untuk sentiasa luangkan masa bersama dan ‘berdating’ walau apabila ada anak nanti. Dating tidak semestinya di luar dengan meninggalkan anak-anak di rumah. ‘Dating’ di rumah pun boleh. Bersembanglah tentang hal-hal kerja, minat masing-masing dan juga berbincang tentang keluarga. Tanamkan niat untuk tetapkan jadual untuk berjumpa sekali sekala waktu ‘lunch’ ketika hari kerja dan kekalkan ia supaya menjadi amalan yang berterusan. Jika diamalkan dari awal, lama-kelamaan ia akan menjadi habit yang dapat mengukuhkan hubungan antara suami isteri Insya-Allah.
Apabila mempunyai anak, berterusanlah menjadikan keluarga satu prioriti. Tidak ada sesiapa yang akan peduli tentang pasangan dan anak-anak anda melainkan diri anda sendiri.
6) Masing-masing perlu bersedia untuk ‘evolve’ atau lakukan perubahan. Keadaan dan persekitaran mungkin akan bertukar, Oleh itu apa yang diperbincangkan dan dipersetujui hari ini juga perlu bertukar bersesuaian dengan keadaan. Kita tidak tahu apa yang akan berlaku di kemudian hari jadi perlulah kita bersedia untuk menghadapi segala kemungkinan bersama-sama. Janganlah ‘lautan api sanggup ku renangi’ hanyalah menjadi madah cinta ketika segalanya mewangi dan harum ketika berdua.
7) Sebaiknya sebelum bayi lahir lagi berbincanglah tentang penjagaan bayi, siapa yang akan menjaganya terutamanya jika kedua-dua suami isteri bekerja, bagaimana jadual seharian suami isteri, penyusuannya, waktu tidurnya, susun atur rumah, rutin penjagaan kesihatan dan sebagainya. Tidak salah jika melakukan perancangan jangka masa panjang juga di awal perkahwinan contohnya tentang pendidikan anak, perancangan kewangan dan sebagainya supaya kita bersiap sedia.
Bersedialah untuk dapatkan bantuan jika perlu dan jangan malu untuk belajar dan bertanya dengan orang yang lebih berpengalaman dan kita percayai.
8) Harus diingat dalam ‘parenting’ tiada kaedah yang betul dan kaedah yang salah. Kita harus terima bahawa kita dibesarkan oleh ibu bapa kita dengan cara yang berbeza-beza. Tidak salah jika kita juga merancang untuk membesarkan anak-anak dengan cara yang berbeza tetapi haruslah dipersetujui oleh kedua-dua pihak. Dengar dan baca SEMUA nasihat ‘parenting’ tetapi pilih yang sesuai dengan dinamik keluarga kita.
Apa yang baik untuk keluarga kawan kita tidak semestinya baik untuk keluarga kita. Walau bagaimanapun sentiasalah menuntut ilmu ‘parenting’ dan tidak salah untuk ubah mengikut kesesuaian. Ada kalanya kita perlu mengikut ‘instinct’ kita kerana ‘instinct’ tentang anak-anak selalunya adalah benar.
Sentiasalah mengkaji dan ‘upgrade’ diri sendiri dengan ilmu. Ambil tahu tentang apa yang penting dan releven dalam dunia di mana anak-anak kita dibesarkan. Usah disamakan zaman kecil kita dengan zaman anak-anak kita.
9) Apabila mempunyai anak, perbelanjaan semestinya akan bertambah. Rancanglah kewangan dari awal. Menyimpanlah dari awal walaupun sedikit. Sediakan akaun tabungan untuk anak yang tidak akan diusik. Ketahuilah biasiswa dan pinjaman pelajaran sudah tidak banyak sekarang. Saingan juga sengit. Kita tidak tahu bagaimana pula satu hari nanti apabila anak kita meningkat dewasa. Beringatlah dari awal untuk menyimpan untuk pendidikan anak-anak. 17 tahun hanyalah masa yang singkat. Sedar tidak sedar anak sudah masuk ke peringkat universiti yang banyak memerlukan belanja. Berbincanglah tentang kewangan keluarga dari awal. Pastikan kedua-dua pihak bersetuju dengan rela hati.
Bersiap sedia juga untuk hari-hari sakit anak dan juga diri kita sendiri yang akan memerlukan belanja.
10) Apabila kehidupan yang ‘lovey dovey’ berdua menjadi bertiga, berempat, berlima dan seterusnya, kehidupan akan semestinya berubah. Tidur anda tidak lagi senyenyak dulu, makan asalkan tidak lapar sahaja, mandi pun tidak boleh berlama-lama, lawatan ke tandas sering terkocoh-kocoh, rumah umpama tongkang pecah, diri kurang terurus dan sering menjadi emotional, stres, keliru, takut, gementar akan segala kemungkinan dan kesilapan yang mungkin anda lakukan, INGATLAH semua ini adalah normal. Semua orang melalui situasi ini.
11) Usah dijadikan media sosial sebagai kayu ukur kebahagiaan kerana yang kita lihat di media sosial hanyalah yang indah dan wangi. Jika kita sentiasa mengamalkan komunikasi yang terbuka dengan pasangan, sentiasa mendengar dan memberi suara, Insya-Allah kita akan berjumpa jalan penyelesaian bagi segala kesulitan yang dihadapi dalam rumahtangga dan keluarga.
Buatlah apa yang terbaik untuk rumah tangga anda, keluarga anda dan anak-anak anda. Jadikan Al-Quran dan Sunnah sebagai panduan kehidupan anda sekeluarga sentiasa. Semoga Allah redha dan semoga rumah tangga yang baru dibina ini sentiasa dilimpahi rahmah dan baraqah dari-Nya.
Download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI