Wanita cukup mudah untuk memasuki syurga Allah SWT apabila dia memenuhi empat ciri-ciri wanita solehah iaitu menunaikan solat fardu, puasa bulan Ramadan, menjaga maruah dan mentaati suaminya. Sebagaimana hadis Rasulullah SAW yang bermaksud : “Apabila seorang wanita (isteri) itu telah melakukan sembahyang lima waktu, puasa bulan Ramadan, menjaga maruahnya dan mentaati perintah suaminya, maka ia dijemput di akhirat supaya masuk syurga mengikut pintunya mana yang ia suka (mengikut pilihannya).”(Hadis Riwayat Ahmad, Ibnu Hibban dan Thabrani). Baca perkongsian ustaz Pahrol Mohamad Juoi
Pesan untuk para isteri:
“Sekalipun suamimu tidak baik, tetapi kau masih boleh menjadi wanita yang solehah dengan mentaati perintah dan kehendaknya yang tidak menyalahi syariat. Lihatlah betapa Siti Asiah boleh menjadi isteri yang solehah walaupun suaminya (Firaun) adalah sejahat-jahat manusia. Selagi dia menyuruh kepada kebaikan… walaupun dia bukan orang yang baik, kau wajib taat.”
Satu artikel yang baik untuk perkongsian:
Wanita solehah adalah sebaik-baik perhiasan dunia sebagimana sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Dunia ini adalah perhiasan dan sebaik-baik perhiasan itu adalah wanita solehah.” (Hadis Riwayat Muslim)
Walaupun wanita mudah masuk syurga kenapa pula wanita ramai di neraka sebagaimana Rasulullah SAW melihat ketika Israk dan Mikraj.
“Aku telah meninjau syurga dan aku dapati kebanyakan penghuninya ialah kaum miskin, dan aku juga meninjau neraka dan aku dapati kebanyakannya penghuninya ialah kaum wanita.”(Hadis Riwayat Bukhari)
Sahabat yang dimuliakan, walaupun banyak jalan-jalan kebaikan boleh dilakukan dan memudahkan wanita memasuki syurga Allah SWT, tetapi terdapat beberapa halangan terpaksa dihadapi oleh para wanita. Jika wanita tidak mengambil perhatian serius dan tidak berwaspada halangan, dugaan dan cabaran dikhuatiri wanita akan terjebak melakukan dosa dengan itu mereka akan dimasukkan ke dalam api neraka.
Seorang isteri tentulah mempunyai tugas dan tanggungjawab terhadap suami. Tanggungjawab ini adalah suatu perkara yang besar dan tidak boleh diabai-abaikan. Isteri yang mengabaikannya senang mendapat laknat dan dikhuatiri termasuk ke dalam kategori isteri derhaka (nusyuz).
Rasulullah SAW dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh ‘Aisyah radhiallahu ‘anha bermaksud: “Aku pernah bertanya kepada Baginda, “Siapakah orang yang paling berhak ke atas isteri?” Baginda menjawab, “Orang yang paling berhak kepada isteri ialah suaminya.” Kemudian aku bertanya lagi, “Dan siapakah orang yang paling berhak ke atas suami?” Baginda menjawab, “Orang yang paling berhak ke atas seorang suami ialah ibu kandungnya.”(Hadis Riwayat Bazar dan al-Hakim)
Ads
Dalam sebuah hadis yang lain pula baginda bersabda bermaksud: “Sekiranya aku dibenarkan untuk memerintahkan seseorang bersujud kepada orang lain nescaya aku perintahkan seorang isteri bersujud kepada suaminya.”(Hadis Riwayat Tirmizi dan Ibnu Hibban)
Apakah ciri-ciri atau tanda isteri yang derhaka itu? Ini perlu diketahui semata-mata untuk dijadikan langkah waspada agar para isteri terhindar daripadanya. Berikut adalah di antara ciri-ciri atau tanda-tanda isteri derhaka.
Pertama: Tidak mensyukuri kebaikan yang dilakukan suami.
Sabda Rasulullah SAW bermaksud: “Aku lihat api neraka, tidak pernah aku melihatnya seperti hari ini, kerana ada pemandangan yang dahsyat di dalamnya. Telah aku saksikan kebanyakan ahli neraka ialah wanita. Rasullullah SAW ditanya, “Mengapa demikian ya Rasulullah?” Baginda menjawab, “Wanita mengkufurkan suaminya dan mangkufurkan ihsannya. Jikalau engkau berbuat baik kepadanya seberapa banyak pun dia masih belum merasa berpuas hati dan merasa cukup.” (Hadis Riwayat al-Bukhari)
Ibnu ‘Asakir pula menyebut: “Apabila seorang isteri berkata kepada suaminya, aku belum pun melihat atau merasa nikmat pemberian daripadamu, maka ketika itu gugurlah segala pahala amalan kebajikannya.” Isteri yang mementingkan harta dunia, suka kepada kemewahan dan perhiasan dunia tidak akan ada sifat qanaah dan sering membebankan suami dengan perkara-perkara diluar kemampuan suami. Sifat kebendaan ini akan menyebabkan mereka tidak akan bersyukur di atas nikmat rezeki yang diberikan oleh suaminya.
Kedua: Suka menyakiti hati suami.
Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Kebanyakan ahli neraka adalah terdiri daripada kaum wanita.” Maka menangislah mereka dan bertanya salah seorang daripada mereka, “Mengapa terjadi demikian, adakah kerana mereka berzina atau membunuh anak atau kafir?” Baginda menjawab, “Tidak, mereka ini ialah mereka yang menggunakan lidah menyakiti hati suami dan tidak bersyukur akan nikmat yang disediakan oleh suaminya.” (Hadis Riwayat Muslim)
Isteri yang suka menyakiti hati suami akan menerima balasan buruk sebagaimana sabda Rasulullah SAW, “Seorang wanita menyakiti suaminya, maka isterinya yang bidadari itu berkata, “Janganlah kamu menyakitinya semoga Allah mengutukmu, kerana dia (suami) itu disampingmu hanyalah sebagai orang asing yang akan berpisah denganmu menuju kami.”(Hadis Riwayat Ibnu Majah)
Biasanya apabila seorang wanita (isteri) memegang jawatan yang tinggi daripada suaminya, mempunyai keluarga yang berharta atau sebuk memegang jawatan di dalam masyarakat akan wujud sifat riak dan bangga diri. Suaminya dipandang sepi dan sukar untuk diberi nasihat. Bila dirumah sifat menjadi “bos” ketika dipejabat akan terbawa-bawa dirumah dengan ini sifat menghormati suami akan hilang dan jadilah dia seorang isteri yang derhaka.
Ads
Ketiga: Menerima kedatangan seorang lelaki di rumah tanpa izin suaminya.
Suasana di akhir zaman ini kadangkala pergaulan bebas di antara lelaki dan wanita tanpa batas. Wanita muslim terbawa-bawa sikap wanita barat yang bebas bergaul walaupun mereka sudah menjadi isteri seperti keluar makan bersama ditempat kerja, keluar membeli belah dipasaraya dan membawa kawan lelaki datang kerumah dengan alasan membincangkan urusan perniagaan atau aktiviti masyarakat.
Akibat daripada pergaulan bebas tanpa had ini amat mudah boleh mengakibatkan wanita (isteri) berlaku curang kepada suaminya di luar rumah.
Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Tidak boleh seorang isteri mengerjakan puasa sunat, jika suaminya ada dirumah, serta tidak dengan izinnya dan tidak boleh memasukkan seorang lelaki ke rumahnya dengan tidak izin suaminya.”(Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)
Walaupun lelaki yang datang kerumah isteri tersebut adalah terdiri daripada mahramnya perlulah mendapat keizinan suaminya terlebih dahulu. Tetapi jika suami tidak ada halangan di atas kehadiran mereka tidak menjadi masaalah .
Keempat: Keluar rumah tanpa izin suami.
Maksud firman Allah: “Janganlah mereka (perempuan-perempuan) menampakkan perhiasannya melainkan untuk suaminya.”(Surah an-Nur ayat 31)
Nabi SAW bersabda maksudnya: “Apabila perempuan keluar rumah, sedangkan suaminya membencinya, dia dilaknat oleh semua malaikat di langit, dan semua apa yang dilaluinya selain daripada jin dan manusia sehingga dia kembali.” (Hadis Riwayat Thabarani di dalam al-Awsat)
Ads
Wanita sering keluar rumah dengan berhias, berwangi-wangian dan berpakaian tanpa menutup aurat yang sempurna. Terdapat kebanyakkan wanita muslim tidak menjaga aurat ketika keluar rumah. Suka memakai seluar jean, berbaju kemeja T-lengan pendik, tudung tiga segi yang nipis dan kecil dan berpakaian ketat menampakkan susuk tubuh mereka. Walaupun suaminya mengizinkan isterinya memakai pakaian tersebut (tidak sempurna berpakaian menurut Islam) darisegi akhlak Islam suami dan isteri tersebut akan mendapat dosa disisi Allah SWT.
Kelima: Meminta cerai daripada suami.
Sabda Rasulallah SAW yang bermaksud: “Mana-mana isteri yang meminta suaminya menceraikannya dengan tiada sebab yang dibenarkan oleh syarak haram baginya bau syurga.”(Hadis Riwayat Abu Daud dan Tirmizi)
Dalam kes meminta cerai kepada suaminya, seorang isteri dibenarkan sekiranya terdapat beberapa sebab yang di benarkan syarak seperti suami tidak memberikan nafkah zahir dan batin, suka memukul isteri dan menyuruh isteri melakukan perkara yang haram. Isteri boleh mengadu pada mahkamah syariah di atas perbuatan suaminya dan boleh menuntut fasakh. Jika isteri sudah merasakan tidak bersesuaian untuk hidup bersama suaminya dia boleh juga mengadu di makhamah syariah untuk Tebus Talak iaitu memberikan beberapa sejumlah wang sebagai tebusan kepada suaminya untuk dia diceraikan.
Tetapi dalam kes suami hendak berpoligami dan suami berkemampuan ketika ini isteri tidak ada hak untuk meminta cerai . Ini adalah kerana hukum berpoligami telah termaktub di dalam Al-Quran dan ianya di halalkan oleh Allah SWT. Jika suaminya telah pun berkahwin lain tanpa pengetahuannya dan jika dia memaksa suaminya mencerikan madunya dia akan mendapat laknat Allah dan berdosa besar. Suaminya akan menjadi dayus apabila mengikut telunjuk isteri pertama dengan mengabaikan isteri keduanya.
Jalan sebaik-baiknya isteri pertama perlulah bertolak ansur dan janganlah mengikut nafsu amarah dan membelakangkan hukum agama. Jika kalian bersabar dan menerima kehadiran isteri kedua dengan hati yang tenang dan terbuka dan berfikiran positif ganjaran yang akan kalian terima cukup besar disis Allah SWT. Jika kalian bertindak secara melulu tanpa di dorong oleh iman dan takwa berdasarkan hadis di atas tidak akan masuk syurga isteri yang meminta cerai tanpa alasan yang dibenarkan syarak.
Keenam: Isteri yang tidak menunaikan hajat suami.
Sabda Rasulullah SAW maksudnya: “Apabila memanggil suami akan isterinya ke tempat tidur, tetapi ditolaknya sehingga marahlah suaminya, maka akan tidurlah wanita itu di dalam laknat malaikat sehingga ke pagi.” (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)
Rasulullah SAW terlihat wanita yang mengagumkan baginda. Kemudian baginda mendatangi isterinya (iaitu Zainab r.ha) yang sedang membuat adonan roti. Lalu baginda melakukan hajatnya (berjimak dengan isterinya). Kemudian baginda bersabda: “Sesungguhnya wanita itu menghadap dalam rupa syaitan dan membelakangi dalam rupa syaitan (mengajak kepada hawa nafsu). Maka, apabila seseorang dari kalian melihat seorang wanita (yang mengagumkan), hendaklah ia mendatangi isterinya. Kerana yang demikian itu dapat menolak apa yang ada di dalam hatinya.” (Hadis Riwayat Muslim, Tirmidzi, Abu Daud, Ahmad dan Baihaqi)
Sahabat yang dikasihi, demikian sebahagian daripada ciri-ciri atau tanda isteri derhaka dan balasan buruk yang akan diterima di akhirat nanti. Semoga ia akan memberikan manfaat dan kesedaran bagi kita semua, khususnya pihak isteri supaya enam ciri-ciri yang boleh mendatangkan derhaka (nusyuz) dapat dielakkan.
Jika reda anak datang daripada reda ibu bapa maka reda isteri datang daripada reda suami. Isteri yang solehah akan menjadi ketua bidadari di syurga nanti sedangkan isteri yang nusyuz tempatnya di neraka Kalian pilihlah mana yang terbaik kerana ahli hikmah ada berkata: “Wanita yang cerdik adalah wanita yang sanggup mengorbankan sedikit daripada perasaannya dan bersusah payah di dunia semata-mata untuk mencapai kebahagiaan di hari akhirat.” Wallahualam
(Dipetik dari tulisan Abu Basyer dalam FBnya. Jazakallahu Khairan kathira Abu Basyer).
Lubuk konten untuk inspirasi bakal – bakal pengantin. Pengantin kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
FIRMAN Allah bermaksud: “Allah, tiada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Dia Yang Hidup kekal lagi terus menerus mengurus (makhlukNya); tidak mengantuk dan tidak tidur. KeupayaanNya apa yang di langit dan di bumi.
Tiada yang dapat memberi syafaat di sisi Allah tanpa izinNya. Allah mengetahui apa yang di hadapan dan di belakang mereka dan mereka tidak mengetahui apa pun daripada ilmu Allah melainkan apa yang dikehendakiNya. Kursi Allah meliputi langit dan bumi. Dan Allah tidak merasa berat memelihara kedua-duanya dan Allah Maha Tinggi lagi Maha Besar” (al-Baqarah: 255).
Ayat ini dikenali sebagai ayat Kursi, ayat yang paling agung dalam Al-Quran, malah ia disebut sebagai penghulu bagi seluruh ayat Al-Quran.
Dari segi sejarahnya, ia diturunkan pada waktu malam. Pada ketika itu juga Nabi memanggil Zaid selaku penulis wahyu untuk menulisnya. Dalam ayat yang pendek ini sebenarnya terkumpul sifat utama bagi Allah iaitu ketuhanan, keesaan, hidup, ilmu, memiliki kerajaan, kekuasaan dan kehendak.
Sesudah menegaskan mengenai keesaanNya, disusuli pula dengan menyebut dua sifatNya yang lain, iaitu hidup dan terus menerus mengurus makhlukNya. Dengan demikian, manusia akan merasa aman dalam hidup serta tenang perasaannya kerana meyakini bahawa dia di dalam tangan Tuhan yang hidup, yang terus menerus mengurus serta mengawal jaga keadaan hambaNya.
Allah, Dialah Tuhan yang tunggal bagi segala makhluk. Oleh itu, tiada yang berhak disembah dalam kehidupan ini melainkan Dia. Segala apa yang ada di langit dan bumi adalah hamba dan milikNya. Semuanya tunduk di bawah kehendak dan kuasaNya, seperti firman Allah bermaksud:
“Tidak seorang pun di langit dan bumi, kecuali akan datang kepada Tuhan Yang Maha Pemurah selaku seorang hamba. Sesungguhnya Allah menentukan jumlah mereka dan menghitung mereka dengan hitungan yang teliti. Dan setiap mereka akan datang kepada Allah pada hari kiamat dengan sendiri-sendiri” (Maryam: 93-95).
Di antara tanda keAgungan dan kebesaran Allah bahawa tiada seorang pun yang berani memberi pertolongan kepada seorang lain di sisiNya tanpa izinNya. Firman Allah bermaksud: “Ketika datang hari itu, tidak seorang pun berbicara, melainkan dengan izinNya; maka di antara mereka ada yang celaka dan ada yang berbahagia” (Hud: 105).
Ilmu Allah amat luas, meliputi segala makhluk ciptaanNya, baik yang dahulu, sekarang dan akan datang, bahkan Allah mengetahui segala urusan dunia dan akhirat. Allah juga amat luas kerajaan dan kekuasaanNya, langit dan bumi seluruhnya di dalam genggamanNya.
Itulah ayat yang mengandungi kaedah pembentukan keimanan terhadap Allah. Dari sinilah terbina hala tuju pengabdian seseorang hanya kepada Allah. Dengan demikian, tidaklah seorang manusia melainkan menjadi hamba, hanya kepada Allah, tidaklah dia menjuruskan pengabdiannya melainkan kepada Allah dan tidaklah dia menyerahkan ketaatannya melainkan kepada Allah.
Selain itu, ayat ini mempunyai beberapa kelebihan yang tidak ada pada ayat lain. Daripada kedudukannya dalam Al-Quran, sabda Nabi ketika ditanya oleh Abu Zar: “Ayat manakah yang diturunkan kepadamu yang paling Agung?” Jawab Baginda: “Ia adalah ayat Kursi” (riwayat Imam Ahmad, al-Nasai, al-Hakim dan al-Baihaqi).
Daripada sudut keberkatannya di dunia, sabda Rasulullah:
“Bacalah ayat Kursi kerana sesungguhnya ia mengawal jaga kamu, zuriat dan rumah tangga kamu sehingga bilik kecil di sekeliling rumahmu.” Dari segi keberkatannya dalam menghalau syaitan, sabda Rasulullah: “Di dalam surah al-Baqarah, ada satu ayat yang menjadi penghulu bagi ayat Al-Quran, tidak dibacanya dalam rumah yang ada di dalamnya syaitan melainkan keluar ia daripadanya, itulah ayat Kursi” (riwayat al-Hakim).
Daripada sudut keberkatannya ketika mati dan di akhirat, sabda Rasulullah: “Sesiapa yang membaca ayat Kursi selepas setiap solat fardu, Allah akan memberikannya hati orang yang bersyukur, amalan orang yang membenarkan Allah, pahala nabi-nabi, melimpahkan rahmat-Nya dan tidak menghalangnya daripada masuk syurga melainkan kematian yang akan memasukkannya”
(riwayat al-Nasai).
Lubuk konten untuk inspirasi bakal – bakal pengantin. Pengantin kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Istikharah sebenarnya berasal daripada perkataan Arab yang bermaksud meminta pilihan yang baik. Biasanya solat istikharah dilakukan apabila seseorang itu ingin melakukan sesuatu perkara tetapi dia tidak pasti apakah perbuatan atau tindakannya itu membawa kebaikan ataupun tidak kepada dirinya.
Maka untuk itu, dituntut baginya supaya melakukan solat sunat istikharah. Perlaksanaannya sama dengan solat-solat sunat yang lain. Dalam sebuah hadis daripada Jabir bin Abdullah berkata, Rasulullah saw. pernah mengajar kami cara untuk meminta petunjuk Allah Taala dalam beberapa urusan yang penting. Rasulullah menyatakan;
“Apabila kamu merancang sesuatu perkara, maka dia melakukan solat sunat dua rakaat”.
(Hadis ini direkodkan daripada Bukhari)
Hadis ini hadis umum. Tidak disebutkan hukum wajib melakukan istikharah. Ini terbukti, apabila Rasulullah sendiri, tidak pula melakukan istikharah dalam beberapa hal. Kemudian, tidak pernah direkodkan apabila Rasulullah sudah membuat keputusan, nabi beristikharah lagi.
Istikarah bukan sahaja untuk memilih jodoh
Istikharah ini sebenarnya bukan satu perkara khusus untuk mereka yang mahu berkahwin semata-mata. Bukan ‘alat pencari jodoh’. Bukan juga alat ‘penentu’ siapa yang menjadi pasangan kita. Istikharah ini adalah apa yang terdidik oleh Rasulullah kepada kita dalam membuat apa-apa sahaja keputusan.
Namun, apabila sesetengah pihak mula mengganggap ia ‘alat pencari jodoh sebenar’ yang kononnya tepat 100 peratus, maka istikharah menjadi satu punca kekeliruan hati. Istikharah bukan lagi membantu menenangkan jiwa dan menetapkan hati kita.
Berkait dengan hati
Kita kena faham, bahawa Istikharah itu sangat berkait rapat dengan hati. Kalau hati kotor, mana mungkin akan mendapat petunjuk yang baik. Kalau hati bersih, InsyaAllah ilhamnya nanti juga baik. Ada orang, bersungguh-sungguh solat Istikharah, tetapi maksiat tetap tak tinggal, solat wajib tunggang langgang, maka bagaimana hendak mengharap kepada petunjuk yang baik dan molek ?
Justeru, satu proses yang paling penting dalam bab Istikharah ini adalah membersihkan hati terlebih dahulu. Jika anda sudah benar-benar melaksanakan proses ini, maka barulah anda boleh mengharap datangnya petunjuk yang benar kepada hati anda. Jika tidak, berkemungkinan petunjuk itu hanyalah bayangan daripada Syaitan.
Istisyarah atau mesyuarat
Manusia dianugerahkan akal untuk membuat pertimbangan. Justeru ia perlu dimanfaatkan sebaik mungkin untuk berfikir, menganalisa dan mencari jalan. Islam menganjurkan bermesyuarat atau meminta pendapat orang berpengalaman sebagai kembar kepada proses Istikharah itu sendiri. Maknanya, kita tidak boleh seratus peratus bergantung kepada proses Istikharah semata-mata hinggakan ada yang menunggu-nunggu mimpi dan sebagainya.
Sebaliknya, dengan bermesyuarat pun kita akan mendapat kekuatan untuk membuat keputusan. Timbanglah dengan akal yang matang akan kesemua pilihan yang ada di depan mata, dan belajarlah untuk menjadi berani membuat keputusan. Itu kan sunnatullah dalam kehidupan.
Sumber : BaitulMuslim
Lubuk konten untuk inspirasi bakal – bakal pengantin. Pengantin kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Salah satu keadaan yang akan dialami oleh wanita hamil adalah masalah kaki bengkak. Keberatan kandungan di dalam perut adalah salah satu punca yang menyebabkan kaki anda bengkak. Namun, pernah tak anda mengalami atau mendengar kes ibu hamil atau dalam pantang mengalami bengkak pada sebelah kaki sahaja? Penting untuk anda ambil berat tentang isu ini kerana ia bukannya sakit yang biasa. Seperti apa yang dikongsikan oleh doktor ini dimana beliau pernah berhadapan dengan kes ibu hamil mengalami bengkak kaki sebelah dan meragut nyawa. Hal ini kerana berlaku masalah darah beku dalam kalangan ibu hamil yang tidak diketahui secara meluas.
IBU HAMIL DAN BERPANTANG JANGAN AMBIL RINGAN GEJALA LENGUH KAKI DAN BENGKAK SEBELAH
Menyaksikan kematian seorang ibu adalah saat yang paling mendukacitakan kepada kami kerana kematian seorang ibu bermaksud hilangnya seorang ibu kepada anak-anaknya dan terpisahnya sepasang suami isteri buat selama-lamanya. Ibu-ibu ini pula masih muda, berkerjaya dan masih produktif. Kadar kematian ibu adalah petunjuk kepada kualiti perkhidmatan kesihatan keseluruhannya. Saya berkongsi satu kematian ibu yang pernah berlaku agar cerita ini dapat dijadikan pengajaran.Seorang ibu, Puan M berusia 32 tahun melahirkan anak kedua secara normal di hospital. Semasa hamil tidak ada masalah dan proses kelahiran pun berjalan dengan baik. Pada hari ke 4 selepas bersalin beliau mula mengalami lenguh-lenguh di sebelah kaki kiri. Walau bagaimanapun Puan M masih boleh berjalan serta menguruskan diri dan menganggap ianya perkara kecil.Tidak ada gejala-gejala lain yang serius. Pada malam hari ke 6, Puan M mula mengalami sakit dada dan malam itu tidurnya tidak nyenyak, beliau cuba melegakan sakit dengan menggosok dadanya dengan minyak angin. Besok paginya beliau memandikan anak kecil.Semasa memandikan anak kecilnya, Puan M tiba-tiba merasa pening dan terus pengsan. Suami menjadi panik dan menalipon hospital.
PERNAFASAN SUDAH TERHENTI DAN JANTUNG TAK BERDENYUT!
Melihat keadaan Puan M yang semakin serius, suaminya mengambil keputusan untuk membawa sendiri Puan M ke hospital tetapi di tengah jalan, Puan M kelihatan seperti nazak, kemudian tidak bernafas. Suami Puan M mengambil keputusan untuk singgah ke sebuah klinik kesihatan berdekatan dan doktor yang bertugas memberi rawatan kecemasan. Ketika itu pernafasan Puan M sudah berhenti dan jantung sudah tidak berdenyut. Doktor melakukan CPR dan memasukkan tiub ke dalam saluran pernafasan. Puan M kemudian dibawa ke hospital besar dan pakar kecemasan meneruskan CPR.
Pakar dan pasukannya berjaya mengembalikan denyutan jantung serta tekanan darah Puan M. Ujian CTPA dapat dilakukan dan mendapati Puan M mengalami “massive pulmonary embolism” yakni banyak saluran darah di paru-parunya dipenuhi dengan darah beku. Walaupun dirawat oleh ramai doktor pakar yang berpengalaman, Puan M tidak dapat diselamatkan dan meninggal dunia pada hari ke-3 di hospital.
ALIRAH DARAH WANITA HAMIL MUDAH MEMBEKU
Salah satu perubahan fisiologi yang berlaku ke atas wanita hamil adalah aliran darah yang lebih mudah membeku. Ini adalah adaptasi yang penting untuk mengurangkan pendarahan semasa bersalin dan keadaan ini berterusan walaupun selepas melahirkan anak terutama pada minggu pertama. Faktor ini juga meningkatkan risiko terjadinya darah beku di dalam saluran darah kaki yang dikenali sebagai DVT (“Deep Vein Thrombosis”). Selalunya berlaku di salah satu kaki terutamanya betis.
DVT yang tidak dikesan dan dirawat boleh menyebabkan darah beku itu terlepas dan memasuki saluran darah paru-paru. Jika darah beku ini banyak dan menyumbat saluran darah paru-paru, ia boleh menyebabkan kegagalan jantung kanan dan mengurangkan darah kembali ke jantung kiri. Akibatnya bekalan darah ke organ-organ yang penting seperti otak dan jantung akan terjejas dan pesakit boleh meninggal pada kadar yang cepat. Di antara risiko tambahan yang menyebabkan berlakunya DVT ini adalah kurang pergerakan, kekeringan akibat tidak mengambil air yang mencukupi, mempunyai sejarah darah beku pada masa lalu, pembedahan, menghidap penyakit Thrombophilia dan lain-lain. Kadangkala DVT berlaku secara senyap.
Pengajaran daripada kes kematian Puan M yang trajis ini adalah jangan mengambil ringan masalah LENGUH dan SAKIT SEBELAH KAKI (SAKIT BETIS) samada semasa hamil ataupun selepas melahirkan anak (terutama minggu pertama selepas bersalin). Jika anda mengalami gejala ini ataupun mendapati sebelah kaki membengkak, kemerahan dan sakit apabila dipicit, sila maklumkan petugas perubatan ataupun pergi berjumpa dengan doktor dengan segera.
Lebih serius lagi jika gejala sebelah kaki itu diikuti dengan SAKIT DADA dan JANTUNG BERDEBAR, pada saat ini berkemungkinan Pulmonary Embolism sudah berlaku. Jika DVT dapat dikesan pada peringkat awal, ianya boleh diubati dan Pulmonary Embolism dapat dicegah. Puan M mungkin dapat diselamatkan jika beliau dibawa berjumpa dengan doktor semasa mengalami lenguh sebelah kaki, 2 hari sebelum mengalami sakit dada dan pengsan. Malangnya darah beku yang banyak sudah pergi ke paru-paru Puan M dan pada ketika itu jantung dan paru-parunya sudah gagal berfungsi. Semoga tragedi ini tidak berulang kepada ibu2 yang lain. Pulmonary embolism adalah penyebab kematian ibu yang ketiga paling utama di Malaysia.