Persalinan Bernilai RM170,000, Tiara Eksklusif Swarovski Lengkapkan Penampilan Putri Batriyshah Di Sisi Muhammad Naim

Bagaikan puteri dari kayangan, Putri Batriyshah pada majlis persandingannya bersama suami tercinta, Muhammad Naim, cukup memukau dengan persalinan haute couture yang sarat kemewahan, kehalusan seni dan perincian kristal Swarovski.

Bukan sekadar busana pengantin biasa, persalinan eksklusif hasil sentuhan rumah fesyen Rizalman Haute Couture itu merupakan sebuah karya seni yang mengambil masa enam bulan untuk disiapkan, dengan keseluruhan nilainya dianggarkan mencecah RM170,000.

Lebih menarik, penampilan anak perempuan kepada Puan Hajah Haliza Maysuri dan Tuan Haji Mohd Rosli Awang turut dilengkapkan dengan tiara Swarovski yang tidak dijual kepada umum serta jambangan bunga kristal bernilai RM30,000, hadiah penuh kasih sayang daripada seorang ayah.

Persalinan Bernilai RM170,000, Tiara Eksklusif Swarovski Lengkapkan Penampilan Putri Batriyshah Di Sisi Muhammad Naim

Inspirasi Keanggunan Angsa Putih

Mengangkat konsep The White Swan, persalinan Putri Batriyshah diinspirasikan daripada keindahan dan keanggunan seekor angsa putih.

Direka secara eksklusif oleh Rizalman Haute Couture, busana ini menampilkan siluet potongan duyung yang menyerlahkan keanggunan figura pengantin, diperkaya dengan permainan lapisan fabrik bertekstur menyerupai susunan bulu dan bentangan sayap angsa.

Dalam dominasi rona putih nan suci, perincian lipatan halus, sulaman tangan serta kilauan kristal bernuansa perak digabungkan bagi menghasilkan penampilan yang romantis, elegan dan penuh dramatik.

Keindahan rekaan ini turut terserlah menerusi bahagian belakang busana dengan perincian fabrik yang mengembang indah, seakan-akan sayap angsa yang sedang dibentangkan.

Menurut maklumat, proses penghasilan persalinan eksklusif ini mengambil masa selama enam bulan, merangkumi perancangan, penelitian rekaan, pemilihan fabrik, sulaman serta pemasangan kristal secara manual.

Antara keistimewaan busana berkenaan ialah penggunaan 83,000 kristal Swarovski yang didatangkan khas dari Austria.

Sebanyak 15 jenis kristal dengan variasi bentuk, saiz dan rona dipilih dengan teliti sebelum dijahit secara manual mengikut motif tenunan serta corak renda pada permukaan busana.

 

View this post on Instagram

 

A post shared by Pesona Pengantin (@pesonapengantin)

Kehalusan craftsmanship turut dapat dilihat menerusi penggunaan fabrik sifon yang dibentuk satu persatu bagi menghasilkan tekstur unik menyerupai bulu angsa.

Selain itu, teknik draping diaplikasikan bagi membentuk alunan siluet yang indah, manakala tiga pendekatan sulaman termasuk tambour embroidery, fixed iron dan teknik sulaman tangan khusus digunakan bagi menyempurnakan keseluruhan rekaan.

Dengan kos pembuatan adi busana melebihi RM99,600 serta penggunaan kristal Swarovski bernilai lebih RM70,000, keseluruhan karya eksklusif ini dianggarkan bernilai RM170,000.

Tiara  Hadiah Eksklusif Buat Putri

Tidak lengkap penampilan seorang ratu sehari tanpa mahkota yang menyerlahkan keanggunannya.

Bagi menyempurnakan gaya pada malam persandingan, Putri Batriyshah tampil mengenakan tiara Swarovski Vienna Opera Ball 2025, sebuah rekaan eksklusif sentuhan Pengarah Kreatif Global Swarovski, Giovanna Engelbert.

Tiara berkenaan dihiasi 233 butir Swarovski Zirconia dan kristal yang dipasang dengan tangan, sekali gus memperlihatkan kehalusan seni pertukangan barang kemas mewah.

Lebih istimewa, rekaan tersebut dihasilkan bagi meraikan ulang tahun ke-130 Swarovski. Apa yang menjadikan aksesori ini cukup luar biasa adalah hakikat bahawa tiara berkenaan tidak ditawarkan untuk jualan kepada umum.

Sebaliknya, ia merupakan hadiah istimewa daripada Swarovski sendiri buat Putri Batriyshah sempena hari persandingannya bersama Muhammad Naim.

Jambangan Kristal Lambang Kasih Seorang Ayah

Di sebalik segala kemewahan yang menghiasi penampilan Putri Batriyshah, terdapat satu lagi aksesori yang menyimpan nilai sentimental cukup mendalam.

Jambangan bunga kristal Swarovski bernilai RM30,000 yang digenggamnya pada malam istimewa itu merupakan hadiah daripada ayahandanya, Tuan Haji Mohd Rosli Awang.

Difahamkan, ayahanda Putri Batriyshah sememangnya meminati jenama Swarovski sejak berpuluh tahun lalu. Justeru, pemilihan jambangan berkenaan menjadi simbol kasih sayang seorang ayah buat puteri kesayangannya yang kini melangkah ke alam rumah tangga.

Persalinan Bernilai RM170,000, Tiara Eksklusif Swarovski Lengkapkan Penampilan Putri Batriyshah Di Sisi Muhammad Naim

BACA JUGA: Seindah Permata, Semewah Berlian! Jambangan Bunga Kristal Cecah Harga RM30,000

Jambangan tersebut turut mencuri perhatian kerana Swarovski buat pertama kalinya memperkenalkan bunga kristal bersaiz sebenar, menampilkan 12 kuntum bunga yang diinspirasikan daripada keindahan musim bunga dan musim panas.

Berbeza dengan jambangan bunga segar yang akhirnya akan layu, kuntuman kristal ini membawa simbolik cinta abadi, sebuah lambang kasih sayang yang tidak akan pudar ditelan waktu.

Kemewahan Yang Sarat Makna

Sesungguhnya, penampilan Putri Batriyshah pada hari persandingannya bersama Muhammad Naim bukan sahaja menyerlahkan keindahan seni haute couture, malah mempertemukan kemewahan fesyen dengan nilai sentimental yang cukup menyentuh hati.

Daripada persalinan The White Swan yang dihasilkan penuh ketelitian, tiara eksklusif Swarovski sehinggalah jambangan kristal hadiah ayahanda, setiap elemen mempunyai kisah dan keistimewaannya yang tersendiri.

Buat Putri Batriyshah, pastinya segala keindahan ini menjadi sebahagian daripada kenangan manis yang akan terus terpahat sepanjang hayat, tatkala memulakan perjalanan baharu sebagai seorang isteri di sisi Muhammad Naim.

Pelakon Siri ‘Mr. Sunshine’, Jang Dong Yoon Nikahi Kim Seung Yoon, Majlis Perkahwinan Intim Sarat Momen Romantis

Cinta yang bermula daripada sebuah perkenalan di lokasi penggambaran akhirnya membawa dua hati ke jenjang pelamin. Itulah kisah indah pasangan pelakon Korea Selatan, Jang Dong Yoon dan Kim Seung-yoon, yang kini membuka lembaran baharu kehidupan sebagai suami isteri.

Tanggal 10 Oktober 2026 menjadi tarikh penuh bermakna buat Jang Dong Yoon, 34, apabila beliau melangsungkan perkahwinan dengan wanita pilihan hatinya, Kim Seung Yoon, 29, selepas bertahun-tahun mengenali hati budi masing-masing.

Tidak memilih sebuah majlis gah mahupun sambutan mewah, pasangan ini sebaliknya meraikan penyatuan cinta mereka dalam sebuah majlis perkahwinan tertutup yang hanya dihadiri ahli keluarga, saudara-mara dan kenalan rapat.

Majlis yang berlangsung dalam suasana penuh privasi itu diadakan mengikut upacara keagamaan Kristian, sekali gus memperlihatkan keinginan kedua-duanya untuk menikmati detik istimewa bersama insan tersayang.

Pesona Pengantin Dengan Sentuhan Klasik

Di sebalik kesederhanaan majlis, potret perkahwinan yang dikongsikan pasangan ini menerusi Instagram nyata mencuri perhatian ramai.

Mengangkat konsep klasik dengan sentuhan romantis, setiap helaian foto seolah-olah menceritakan sebuah kisah cinta yang diterjemahkan melalui lensa kamera.

Kim Seung-yoon tampil cukup menawan dalam persalinan gaun pengantin putih yang menyerlahkan keanggunan seorang ratu sehari.

 

View this post on Instagram

 

A post shared by Pesona Pengantin (@pesonapengantin)

Perincian renda halus pada busananya memberikan sentuhan feminin yang lembut, manakala pilihan siluet klasik menjadikan keseluruhan penampilannya kelihatan elegan tanpa memerlukan perhiasan berlebihan.

Penampilannya turut disempurnakan dengan jambangan bunga beraneka warna yang memberikan kontras cukup indah terhadap rona putih gaun pengantin.

Sementara itu, Jang Dong Yoon tampil segak dalam persalinan tuksedo hitam klasik bersama kemeja putih, melengkapkan penampilan pasangan pengantin yang cukup serasi.

Keindahan fotografi berkonsepkan vintaj dengan latar yang sederhana turut menyerlahkan chemistry pasangan ini. Tiada elemen dekorasi keterlaluan, sebaliknya setiap potret memberikan penekanan terhadap ekspresi, bahasa tubuh dan kemesraan mereka berdua.

Cinta Berputik Di Lokasi Penggambaran

Lebih menarik, kisah cinta Jang Dong-yoon dan Kim Seung-yoon mempunyai perjalanan tersendiri yang cukup manis.

Kedua-duanya mula mengenali satu sama lain menerusi drama popular Korea Selatan, The Tale of Nokdu, yang ditayangkan pada 2019.

Daripada hubungan sebagai rakan dalam industri seni, perkenalan tersebut berkembang menjadi ikatan yang lebih istimewa.

Malah, pasangan ini terus berkongsi minat dan kecintaan terhadap dunia perfileman apabila Kim Seung-yoon turut membintangi dua buah filem pendek arahan Jang Dong Yoon, iaitu Please Be My Ear dan The Yeast.

Keserasian yang tercipta bukan sahaja menjadikan mereka pasangan yang saling memahami dalam kerjaya, malah membawa hubungan tersebut ke fasa yang lebih serius.

Selepas tujuh tahun sejak perkenalan mereka, pasangan ini akhirnya memilih untuk membina kehidupan bersama sebagai suami isteri.

Ungkapan Cinta Yang Penuh Makna

Bersempena hari bahagia mereka, Jang Dong Yoon turut berkongsi beberapa potret romantis bersama isterinya di Instagram.

Namun, apa yang lebih menyentuh hati ialah ungkapan ringkas yang dititipkan buat wanita kesayangannya, “My Love. My Muse. My Home.”

Tiga ungkapan yang cukup sederhana, namun membawa makna mendalam tentang kedudukan Kim Seung-yoon dalam kehidupannya, bukan sekadar sebagai cinta hati, tetapi juga sumber inspirasi dan tempat untuk kembali.

Tidak kurang romantis, Kim Seung Yoon pula membalas dengan ungkapan,“My Love. My Life. My Home.”

Kedua-dua ungkapan itu seolah-olah menjadi simbol bahawa sebuah perkahwinan bukan sekadar penyatuan dua insan yang saling mencintai, tetapi juga perkongsian kehidupan, impian dan masa hadapan.

Pilih Kesederhanaan Untuk Hari Bahagia

Sebelum ini, Jang Dong Yoon mengumumkan perancangan perkahwinannya pada 25 Ogos lalu menerusi sepucuk surat tulisan tangan yang dikongsikan kepada peminat.

Dalam perkongsian tersebut, pelakon yang turut dikenali menerusi drama Oasis, Daily Dose of Sunshine dan Like Flowers in Sand itu meluahkan hasrat untuk membina kehidupan bersama insan yang telah lama mendampinginya.

Bagi aktor berkenaan, keputusan untuk mendirikan rumah tangga hadir bersama keinginan untuk terus menjadi teman dan penyokong antara satu sama lain dalam menempuh perjalanan kehidupan.

Kisah perkahwinan Jang Dong Yoon dan Kim Seung Yoon turut membuktikan bahawa keindahan hari bahagia tidak semestinya diukur melalui kemewahan majlis atau kehebatan dekorasi.

Sebaliknya, keistimewaan sebuah perkahwinan terletak pada keikhlasan dua hati yang memilih untuk terus bersama, saling melengkapi dan berkongsi kehidupan hingga ke akhir hayat.

 

 

Seindah Permata, Semewah Berlian! Jambangan Bunga Kristal Cecah Harga RM30,000

Jambangan bunga atau hand bouquet merupakan antara pelengkap penting dalam penampilan seorang ratu sehari. Bukan sekadar digenggam ketika melangkah ke pelamin, jambangan bunga turut menjadi simbol keindahan, cinta dan kebahagiaan yang mewarnai detik penyatuan dua hati.

Jika selama ini bunga segar seperti ros, peony dan tulip menjadi pilihan popular dalam kalangan bakal pengantin, kini terdapat satu lagi inspirasi yang cukup mempesona, iaitu jambangan bunga yang dihasilkan daripada kristal.

Bayangkan setiap kuntuman bunga berkilauan bak permata, memantulkan cahaya indah dalam pelbagai rona. Lebih istimewa, jambangan ini tidak akan layu meskipun bertahun-tahun disimpan, menjadikannya kenangan berharga yang boleh terus diabadikan selepas hari perkahwinan.

Namun, di sebalik keindahan luar biasanya, siapa sangka harga sejambak bunga kristal ini boleh mencecah RM30,000!

Keindahan Kristal Dalam Sejambak Bunga

Dikenali sebagai Florere Bouquet, jambangan mewah daripada Swarovski ini menampilkan gabungan seni pertukangan kristal dan inspirasi keindahan alam semula jadi.

Setiap kuntuman dihasilkan dengan penuh ketelitian bagi menyerlahkan bentuk kelopak, susunan bunga serta permainan warna yang memukau pandangan.

Berbeza daripada jambangan bunga konvensional, rekaan ini menggunakan kristal dan logam berkemasan berwarna (lacquered metal) untuk menghasilkan tangkai, dedaun serta reben yang menyempurnakan keseluruhan gubahan.

Hasilnya, sebuah jambangan yang bukan sahaja kelihatan anggun, malah menyerupai karya seni eksklusif yang cukup indah dijadikan perhiasan.

Bagi bakal pengantin yang menggemari sentuhan mewah dan sesuatu yang berbeza, rekaan sebegini pastinya boleh menjadi inspirasi untuk melengkapkan penampilan pada hari bahagia.

Harga Cecah RM30,000, Dihasilkan Dengan 5,826 Potongan Kristal

Lebih menarik, jambangan kristal ini ditawarkan dalam dua pilihan saiz, Large dan Medium, dengan perincian rekaan yang berbeza.

Bagi versi Large, jambangan ini direka oleh Adi Stocker dengan menampilkan 12 jenis bunga yang diinspirasikan daripada keindahan flora musim bunga dan musim panas.

Kehalusan rekaannya terserlah menerusi 5,826 permukaan potongan kristal atau facets, yang menghasilkan kilauan memukau apabila terkena pancaran cahaya.

Berukuran 33.3 sentimeter tinggi, jambangan ini turut dilengkapi tangkai berwarna hijau serta reben merah jambu yang melengkapkan penampilannya. Harga yang disenaraikan di Malaysia ialah RM30,000.

Sementara itu, versi Medium pula berharga RM5,300 dan merupakan hasil sentuhan pereka Michele Blasilli.

Menampilkan tiga jenis bunga iaitu lily, peony dan lavender, jambangan setinggi 29.5 sentimeter ini dihasilkan dengan 1,946 facets yang menyerlahkan keindahan setiap kuntuman.

Meskipun lebih kecil, susunan bunganya tetap menampilkan ciri elegan dan romantis, sekali gus menjadikannya sebuah karya dekoratif yang menarik perhatian.

 

View this post on Instagram

 

A post shared by Pesona Pengantin (@pesonapengantin)

Kenangan Hari Bahagia Yang Tidak Akan Layu

Dalam dunia perkahwinan, setiap perincian memiliki makna tersendiri. Daripada busana pengantin, perhiasan diri sehinggalah kepada jambangan bunga, semuanya dipilih bagi mencipta kenangan yang indah.

Tidak dinafikan, bunga segar mempunyai pesona dan keharumannya yang tersendiri. Namun, jambangan kristal menawarkan keistimewaan berbeza kerana keindahannya boleh dinikmati untuk tempoh yang panjang dengan penjagaan rapi.

Selepas majlis perkahwinan, jambangan seumpama ini boleh dijadikan perhiasan di kediaman, sekali gus mengabadikan memori hari bahagia dalam bentuk yang cukup istimewa.

Bagaimanapun, Florere Bouquet sebenarnya diperkenalkan sebagai karya dekoratif dan bukannya aksesori khusus untuk digenggam pengantin. Justeru, penggunaannya sebagai hand bouquet memerlukan pertimbangan dari segi keselesaan, berat dan sifat kristalnya yang halus.

Buat bakal pengantin yang mengimpikan sesuatu yang eksklusif, kehadiran jambangan kristal ini membuka satu lagi perspektif tentang keindahan bunga dalam dunia perkahwinan.

Kerana akhirnya, sebuah jambangan bunga bukan hanya dinilai pada harga atau kemewahannya, tetapi pada kenangan dan makna yang tersimpan di sebalik setiap kuntuman.

 

Dengan Sekali Lafaz, Syed Saddiq Sah Bergelar Suami Bella Astillah, Serah Mas Kahwin RM500

Akhirnya, dua hati disatukan dalam sebuah ikatan yang suci. Ahli Parlimen Muar, YB Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dan penyanyi serta pelakon popular, Bella Astillah kini sah bergelar pasangan suami isteri selepas selamat diijabkabulkan dengan sekali lafaz pada Sabtu, 10 Oktober 2026.

Majlis akad nikah pasangan yang cukup mencuri perhatian ramai itu berlangsung di Menara Merdeka Maybank, Kuala Lumpur, dengan disaksikan ahli keluarga, tetamu VIP dan sahabat terdekat.

Pasangan berkenaan dinikahkan oleh bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri, dalam sebuah majlis yang berlangsung penuh tertib dan bermakna.

Pada majlis berkenaan, Syed Saddiq menyerahkan mas kahwin sebanyak RM500 kepada Bella, manakala kedua-dua belah pihak turut bertukar dulang hantaran.

Pihak pengantin lelaki menyediakan tujuh dulang hantaran, sementara pihak pengantin perempuan membalas dengan sembilan dulang hantaran.

Dengan Sekali Lafaz, Syed Saddiq Sah Bergelar Suami Bella Astillah, Serah Mas Kahwin RM500
Kredit foto: Instagram radio ERA

Memilih konsep serba putih dengan sentuhan tradisional dan elemen Islamik, majlis pernikahan pasangan ini menyerlahkan suasana penuh keindahan dan kesederhanaan, sekali gus menjadikan detik penyatuan mereka begitu istimewa.

Perkahwinan pasangan yang turut dikenali dengan gelaran BASS dalam kalangan peminat ini sememangnya antara acara paling dinantikan tahun ini, apatah lagi kisah cinta mereka sering menjadi perhatian sejak hubungan rapat kedua-duanya mula diperkatakan.

Terdahulu, Syed Saddiq melamar Bella ketika mereka berada di Gunung Kinabalu, Sabah, sebelum pasangan itu mengikat tali pertunangan pada 28 Mac 2026.

Daripada hubungan persahabatan yang terjalin, keserasian antara kedua-duanya akhirnya membawa mereka ke gerbang perkahwinan, sekali gus membuka lembaran baharu dalam kehidupan masing-masing.

Lebih istimewa, pasangan ini turut merancang beberapa majlis resepsi bagi meraikan hari bahagia mereka bersama keluarga, sahabat handai dan masyarakat.

Majlis resepsi di Kuala Lumpur dijadualkan berlangsung pada 18 Oktober, diikuti acara bertemakan Kenduri Rakyat di Muar, Johor pada 25 Oktober dan Kota Kinabalu, Sabah pada 31 Oktober 2026.

Penganjuran Kenduri Rakyat itu juga menjadi simbol hasrat pasangan berkenaan untuk berkongsi kebahagiaan dengan masyarakat menerusi suasana kenduri yang mengangkat tradisi rewang dan semangat kebersamaan.

 

 

Menelurusi Cinta Bella Astillah & Syed Saddiq Sambil Merakam Kenangan Yang Membawa Tuah. Bawa Pulang Hadiah Bernilai RM1,000!

Ada cinta yang mekar dalam diam, ada pula yang kisahnya mengundang senyum mereka yang mengikuti. Saat dua hati memilih untuk melangkah seiring, hari-hari yang mendatang terasa berbeza, sarat dengan debaran, harapan dan impian untuk membina kehidupan bersama.

Menjelang hari bahagia Syed Saddiq dan Bella Astillah, pastinya perkara kecil pun menjadi kenangan. Perbualan tentang persiapan, tawa yang meredakan gemuruh dan kehadiran insan tersayang memberi makna kepada perjalanan menuju sebuah ikatan. Kini, semua memori ini disimpul rapi.

Menerusi siri Walimatul Urus Bella Astillah & Syed Saddiq, penonton diajak menelusuri perjalanan pasangan ini, daripada persiapan sebelum perkahwinan hingga detik akad nikah, kemeriahan resepsi dan kehidupan selepas bergelar suami isteri. Kisah mereka dirangkumkan dalam lapan episod, eksklusif di Astro.

Dari Detik Pertemuan Dua Hati Ke Menghitung Hari Bahagia

Perjalanan ini bermula dengan dua episod yang membawa penonton mengenali kisah pasangan tersebut sebelum tibanya hari yang dinanti-nantikan.

Siri ini membuka tirai dengan episod satu, “Detik Pertemuan Dua Hati”, pada 6 Oktober 2026, pukul 11 malam, diikuti episod dua, “Menghitung Hari Bahagia”, pada 7 Oktober 2026, pukul 11 malam.

Dua episod awal ini membawa penonton mengikuti fasa praperkahwinan Bella dan Syed Saddiq. Buat pembaca Pesona Pengantin yang sedang menghitung hari sendiri, debaran menjelang perkahwinan tentu terasa dekat di hati. Di celah kesibukan persiapan, ada rasa teruja menantikan saat bermulanya kehidupan bersama.

Menelurusi Cinta Bella Astillah & Syed Saddiq Sambil Merakam Kenangan Yang Membawa Tuah. Bawa Pulang Hadiah Bernilai RM1,000!

Saksikan ‘Penyatuan Dua Hati’ Secara Langsung

Catat tarikh indah 10 Oktober 2026, pukul 9 pagi, untuk menyaksikan episod tiga, “Penyatuan Dua Hati”, yang menampilkan siaran langsung majlis akad nikah Bella dan Syed Saddiq.

Ikuti detik bermakna ini menerusi Astro Awani, Astro Ria, Astro Prima, Astro Gempak, sooka dan Astro Malaysia.

Akad nikah menjadi permulaan sebuah ikatan dan tanggungjawab baharu. Buat peminat yang mengikuti perjalanan pasangan ini, siaran langsung tersebut memberi peluang untuk turut menyaksikan detik mereka melangkah ke alam perkahwinan.

Kemeriahan diteruskan menerusi episod empat, “Wedding of The Year”, dengan siaran langsung majlis resepsi Kuala Lumpur pada 18 Oktober 2026, pukul 8 malam, menerusi Astro Prima, sooka dan Astro GO.

Bolehlah luangkan malam Ahad bersama keluarga atau teman sambil mengikuti suasana majlis dari rumah.

Kisah Bersambung Selepas Hari Bahagia

Selesai majlis, perjalanan Bella dan Syed Saddiq masih mempunyai sambungan untuk diikuti. Empat episod seterusnya dijadualkan setiap Selasa, pukul 11 malam:

  • Episod Lima: “Disebalik Akad” — 27 Oktober 2026.
  • Episod Enam: “Life as Husband & Wife” — 3 November 2026.
  • Episod Tujuh: “Muar with Love” — 10 November 2026.
  • Episod Lapan: “Majlis Tradisi Sabah” — 17 November 2026.

Daripada detik pertemuan hingga kehidupan selepas bergelar suami isteri, susunan episod ini mengajak penonton mengikuti perjalanan pasangan tersebut merentasi beberapa fasa penting.

Buat peminat yang menantikan sambungan kisah mereka, pastikan anda tidak ketinggalan dengan tarikh rancangan ini supaya tidak terlepas episod pilihan anda.

Satu Foto, Peluang Menang Hadiah

Apa yang menarik, sambil mengikuti kisah Bella dan Syed Saddiq di layar, peminat juga boleh merakam kenangan sendiri menerusi peraduan “Snap, Share, & WIN bersama BASS”. Jika anda sedang merancang untuk keluar bersama teman, masukkan persinggahan ke Astro Experience Store atau kiosk terpilih dalam agenda anda.

Mulai 5 Oktober 2026, standee Bella Astillah dan Syed Saddiq tersedia di lokasi terpilih seluruh negara. Cari standee BASS, pilih gaya bergambar yang paling selesa dan rakamkan foto anda untuk menyertai peraduan.

Caranya mudah:

  1. Ambil gambar bersama standee Bella Astillah dan Syed Saddiq di Astro Experience Stores dan Kiosk yang mengambil bahagian.
  2. Muat naik gambar ke akaun media sosial yang ditetapkan kepada umum.
  3. Sertakan tanda pagar #BellaSyedYes serta sebut @AstroMalaysia dan @sookaMalaysia.
  4. Imbas kod QR pada standee untuk melengkapkan penyertaan.

Jangan berhenti setakat memuat naik foto. Pastikan anda melengkapkan penyertaan melalui kod QR yang disediakan pada standee.

Menelurusi Cinta Bella Astillah & Syed Saddiq Sambil Merakam Kenangan Yang Membawa Tuah. Bawa Pulang Hadiah Bernilai RM1,000!

Hadiah Diinspirasikan Daripada Bella

Sebanyak lima pemenang berpeluang menerima hadiah bernilai RM1,000 setiap seorang. Diinspirasikan daripada hadiah parti bujang Bella, kempen ini mengetengahkan bagasi inspirasi pilihan Bella untuk pengiring pengantin.

Bagi bakal pengantin, kehadiran sahabat yang menemani sepanjang persiapan tentu membawa makna tersendiri. Merekalah tempat berkongsi keterujaan, meminta pandangan dan melepaskan sedikit debaran menjelang hari majlis. Sentuhan hadiah buat pengiring pengantin ini terasa dekat dengan semangat menghargai teman yang sentiasa ada di sisi.

Jadi, ajaklah sahabat anda untuk bergambar bersama standee BASS dan mencuba nasib. Penyertaan ditutup pada 31 Oktober 2026. Semak mekanik terperinci di laman kempen dan lengkapkan semua langkah sebelum tarikh tutup.

Menelurusi Cinta Bella Astillah & Syed Saddiq Sambil Merakam Kenangan Yang Membawa Tuah. Bawa Pulang Hadiah Bernilai RM1,000!

Meriahkan BASS, Cuba Nasib Anda!

Ada kenangan yang bermula dengan perkara sederhana, keluar bersama sahabat, singgah bergambar dan berkongsi momen yang menceriakan hari. Kali ini, foto tersebut turut memberi peluang untuk anda memenangi hadiah.

Kunjungi Astro Experience Store atau kiosk terpilih, bergambar bersama standee Bella Astillah dan Syed Saddiq, kemudian lengkapkan penyertaan “Snap, Share, & WIN bersama BASS” sebelum 31 Oktober 2026.

Menelurusi Cinta Bella Astillah & Syed Saddiq Sambil Merakam Kenangan Yang Membawa Tuah. Bawa Pulang Hadiah Bernilai RM1,000!

Menelurusi Cinta Bella Astillah & Syed Saddiq Sambil Merakam Kenangan Yang Membawa Tuah. Bawa Pulang Hadiah Bernilai RM1,000!

 

Layari laman khas BellaSyedYes di Gempak untuk mekanik peraduan, maklumat kempen serta peluang menghantar ucapan dan soalan buat pasangan ini.

Sambil mencuba nasib, saksikan perjalanan Bella Astillah dan Syed Saddiq menerusi Walimatul Urus, eksklusif di Astro. Jangan lepaskan siaran langsung akad nikah pada 10 Oktober dan resepsi Kuala Lumpur pada 18 Oktober 2026!

 

Inspirasi Lain

Persalinan Bernilai RM170,000, Tiara Eksklusif Swarovski Lengkapkan Penampilan Putri Batriyshah Di...

Bagaikan puteri dari kayangan, Putri Batriyshah pada majlis persandingannya bersama suami tercinta, Muhammad Naim, cukup memukau dengan persalinan haute couture yang sarat kemewahan, kehalusan...