
Persalinan eksklusif bernilai RM58,000 menjadi pilihan Dr. Fie untuk meraikan hari istimewa majlis resepsi kedia bersama Kapten Amrul. Busana rona powder blue hasil sentuhan pereka fesyen Eja Shahril itu mencuri perhatian dengan kehalusan rekaan serta perincian mewah yang menyerlahkan keanggunan pemakainya.
Menerusi perkongsian di Instagram, Eja Shahril mendedahkan bahawa busana berkenaan merupakan rekaan khas yang dihasilkan secara eksklusif untuk Dr. Fie sempena majlis istimewa pasangan tersebut.
Menariknya, persalinan berkonsepkan exclusive couture dress itu menggunakan material full custom diamond lace yang dipadankan dengan perincian kristal Swarovski, sekali gus memberikan sentuhan mewah pada keseluruhan rekaan.
Menurut pereka fesyen itu lagi, setiap perincian busana direka dan disusun dengan penuh ketelitian bagi menghasilkan kilauan yang mempesona tanpa mengabaikan elemen kesopanan serta keanggunan seorang wanita Muslimah.
Pemilihan rona powder blue yang lembut turut menjadi antara tarikan utama persalinan tersebut. Warna yang cukup tenang dan feminin itu bukan sahaja menyerlahkan keindahan rekaan, malah melengkapkan penampilan Dr. Fie yang tampak anggun pada hari istimewanya.
Bagi Eja Shahril, keistimewaan sesebuah busana couture bukan semata-mata terletak pada kemewahan material yang digunakan, sebaliknya turut merangkumi seni pertukangan, ketelitian serta karakter individu yang menggayakannya.
Malah, pereka berkenaan turut menyifatkan keseluruhan persalinan itu sebagai gambaran personaliti Dr. Fie yang elegan dan tidak berlebihan, meskipun dihiasi perincian mewah.
Dengan nilai mencecah RM58,000, busana eksklusif ini memperlihatkan bagaimana gabungan material premium, pemilihan warna yang tepat dan sentuhan kreatif pereka tempatan mampu menghasilkan persalinan istimewa yang tersendiri.
Hasilnya, Dr. Fie tampil penuh pesona dalam rekaan Eja Shahril yang meraikan keindahan seni couture serta keanggunan wanita moden.

sekarang!
