
Berbulan-bulan merancang hari bahagia, memilih menu dan memastikan jumlah hidangan mencukupi, tentu pasangan mengharapkan tetamu dapat menikmati jamuan dengan selesa. Namun, bagaimana jika katering datang berjam-jam lambat sehingga sebahagian tetamu pulang tanpa sempat menjamah makanan?
Lebih mengeruhkan keadaan, lauk yang dihidangkan berbeza daripada tempahan dan kualiti sangat mengecewakan, berbeza berbanding apa yang dicuba ketika mula-mula menempah.
Keadaan ini boleh menjejaskan perjalanan majlis dan meninggalkan rasa terkilan kepada pasangan serta keluarga. Apabila katerer sekadar menawarkan bayaran balik, timbul persoalan yang penting dalam situasi ini, adakah tanggungjawab mereka selesai sedangkan detik yang sepatutnya menjadi kenangan indah sudah terganggu?
Refund Makanan Belum Tentu Memadai
Pengantin perlu tahu bahawa tuntutan tidak semestinya terhad kepada harga makanan. Seksyen 60(2) Akta Perlindungan Pengguna 1999 memperuntukkan hak mendapatkan ganti rugi bagi kerugian yang terbukti berpunca daripada kegagalan perkhidmatan. Bagaimanapun, jumlah yang boleh diperoleh bergantung pada fakta, bukti dan penilaian pihak yang mendengar tuntutan.
Sebagai contoh, pasangan mungkin terpaksa membeli makanan gantian pada saat akhir, membayar kos penghantaran segera atau menanggung caj tambahan dewan dan petugas kerana majlis terpaksa dilanjutkan. Perbelanjaan seperti ini boleh dimasukkan dalam tuntutan sekiranya munasabah dan dapat dikaitkan dengan kegagalan katerer. Namun, kos keseluruhan perkahwinan tidak secara automatik menjadi tanggungan katerer hanya kerana jamuan bermasalah.
Simpan Bukti, Rekod Setiap Kerugian
Bukti perlu dikumpulkan sebaik sahaja masalah berlaku. Simpan sebut harga, invois, resit pembayaran dan perbualan WhatsApp yang mengesahkan menu, jumlah hidangan serta waktu makanan sepatutnya tersedia.
Catat waktu sebenar makanan tiba, rakam keadaan hidangan dan simpan resit setiap pembelian kecemasan. Saksi yang melihat kejadian juga boleh membantu menyokong tuntutan. Lebih jelas rekod yang disimpan, lebih mudah pasangan menerangkan perkara yang dijanjikan dan kegagalan yang berlaku.
Hantar Tuntutan Bertulis Kepada Katerer
Selepas majlis, kemukakan tuntutan bertulis kepada katerer dengan menyenaraikan perkara yang gagal dipenuhi, kesannya dan jumlah kerugian berserta pengiraan. Berikan tempoh munasabah untuk mereka menjawab, misalnya 14 hari.
Pastikan tuntutan disampaikan dengan jelas dan berfakta. Nyatakan waktu makanan sepatutnya tersedia, waktu sebenar ia diterima, menu yang tidak menepati persetujuan serta perbelanjaan tambahan yang terpaksa ditanggung.
Teliti Syarat Sebelum Terima Bayaran Balik
Jika menerima tawaran bayaran balik, teliti sama ada tawaran tersebut mensyaratkan penyelesaian penuh dan muktamad atau full and final settlement. Persetujuan sedemikian boleh menjejaskan tuntutan lanjut, bergantung pada kandungan dan keadaan persetujuan.
Pastikan jelas sama ada wang yang diterima hanya merupakan pemulangan bayaran makanan atau penyelesaian bagi semua tuntutan. Jangan terburu-buru bersetuju sekiranya masih ada kerugian lain yang belum diambil kira.
Tiada Penyelesaian? Pertimbangkan Tribunal
Jika rundingan tidak berhasil, pasangan yang membuat tempahan untuk kegunaan peribadi boleh mempertimbangkan Tribunal Tuntutan Pengguna Malaysia (TTPM). Tribunal mempunyai bidang kuasa bagi tuntutan sehingga RM50,000 yang terakru dalam tempoh tiga tahun.
Fi pemfailan ialah RM5 dan tuntutan boleh dikemukakan melalui portal TTPM. Pihak yang menuntut perlu menyediakan dokumen sokongan dan hadir untuk membentangkan kes. Peguam tidak dibenarkan mewakili pihak semasa pendengaran.
Bagaimana Dengan Rasa Malu Dan Kecewa?
Rasa malu di hadapan tetamu, tekanan emosi dan kekecewaan kerana kenangan perkahwinan terjejas merupakan kesan yang berat. Bagaimanapun, TTPM tidak mempunyai kuasa mengawardkan ganti rugi bagi kerugian bukan wang di bawah seksyen 112(3) Akta Perlindungan Pengguna 1999.
Meletakkan nilai tertentu pada perasaan tersebut tidak dengan sendirinya menjadikannya kerugian kewangan yang boleh diberikan pampasan oleh Tribunal. Sekiranya pasangan mahu meneroka tuntutan berkaitan aspek tersebut melalui mahkamah sivil, dapatkan penilaian peguam terlebih dahulu tentang asas undang-undang, bukti, kos dan peluang tuntutan.
Bagi bakal pengantin, jadikan persetujuan katering lebih terperinci sejak awal. Nyatakan menu, jumlah hidangan, waktu makanan mesti siap dihidang, syarat pertukaran lauk dan pelan kecemasan secara bertulis.
Pada hari majlis, lantik seorang wakil keluarga untuk berhubung dengan katerer serta merekodkan sebarang masalah. Hari bahagia memang tidak boleh diulang dengan mudah, tetapi persediaan yang teliti membantu pasangan mempertahankan hak apabila janji tidak ditunaikan.

sekarang!
