Kata orang, penghujung asmaradana ialah perkahwinan, menerusi lafaz keramat “Aku terima nikahnya…”. Cinta sakan lagi syahdu macam Shah Rukh Khan dan Kajol dalam filem Kuch Kuch Hota Haipun tidak akan sempurna jika tidak disudahkan dengan persandingan.
Buatlah apa sahaja untuk membuktikan cinta; berkejaran atau guling-guling dalam taman, menyanyi sambil tukar dua tiga persalinan, terjun dalam sungai sambil menjerit “nahi, nahi, nahi!”, dan lain-lain adegan… Semuanya tidak akan bererti jika tidak disudahkan di jinjang pelamin.
Pendek kata, kemuncak cinta ialah pelamin. Itulah hakikatnya. Tetapi seyogia juga diingatkan, bukan semua cinta berakhir di atas pelamin. Banyak juga cinta tidak kesampaian. Contoh paling mudah ialah cinta monyet. Jarang cinta jenis ini berakhir di atas persandingan.
Bercakap melalui pengalaman
Bercakap berdasarkan pengalaman, saya pernah melalui saat-saat indah – dan amat syahdu – menjadi ‘monyet’. Ketika itu zaman sekolah menengah dan filem Hindustan menjadi kegilaan orang kampung. Paling nostalgik ialah Sangam danJunglee.
Kami sama-sama di tingkatan lima, cuma berlainan kelas. Saya darjah D, orang panggil kelas paling koman. ‘Monyet’ saya kelas A, kelompok orang pandai. Terbukti cinta tidak mengenal kelas dan tidak mengenal rupa. Dia paling cantik di sekolah, wajah licin bagaikan pauh dilayang. Saya pula penuh jerawat batu.
Kelebihan saya hanya satu – pandai berbahas. Selalu menjadi wakil sekolah. Sekali peristiwa dia mengikut rombongan sekolah, mengiringi team saya di sekolah lain. Dia duduk di barisan hadapan, betul-betul menghadap saya. Tajuk debat Mana Lebih Baik, Pertanian atau Perindustrian.
Ketika berhujah, mata saya tidak lepas-lepas merenung wajahnya. Beberapa kali mata kami bertentangan dan dada saya berdebar kencang. Team saya kalah dalam pertandingan debat itu. Tetapi, saya memenangi hatinya. Dalam bas, selepas kekalahan itu saya memberanikan diri duduk di sebelahnya. Dan, cinta pun bermula!
Memanglah kami tidak berlari-lari mengejar kereta api, sebab tempat saya tidak ada kereta api. Tidak juga berguling-guling di atas daun getah kering, sambil menjerit “mohabat, mohabat!”. Tidak ada jip, juga tidak ada Inspektor Sahab, macam dalam kebanyakan filem Hindustan.
Ads
Demi cinta, sanggup ku harungi lautan api
Tetapi setiap malam, tidur saya sering bermimpikan wajahnya. Mimpi pun warna-warni. Waktu itu saya hafal dua tiga lagu Hindustan. Saya berazam lepas SPM, suruh emak masuk meminang wajah pauh dilayang itu. Demi cinta, sanggup ku harungi lautan api walaupun dengan kapal kertas. Sikit punya madah, fuhhh.
Di sekolah, kami sama-sama ke perpustakaan, ambil buku duduk semeja. Tetapi tidak membaca buku, sebab asyik merenung sesama sendiri. Dalam senyap, perasaan membara. Kami sama-sama ke kantin, makan nasi lemak, malah pernah sekali minum sirap berkongsi gelas dan straw. Memang Hindustan!
Semua orang termasuk guru besar tahu Laila Majnun sedang asyik maksyuk di sekolah. Malah, guru disiplin yang terkenal garang itu pernah memanggil kami masuk ke biliknya, menasihatkan kami supaya jangan terlalu asyik bercinta, takut nanti kecundang dalam SPM. Ada aku kisah! Kami telah berjanji sehidup semati. Sanggup tidur berbantal lengan, bertilamkan rumput, berselimutkan embun. Bagi saya, cinta ini mendorong untuk belajar lebih kuat. Kami sering bertukar nota, berbincang tentang soalan ramalan. Dan, setiap kali habis perbincangan pasti kata I love you... Fulamak!
Terbukti tidak sampai ke mana
Tetapi, nama pun cinta monyet. Terbukti tidak sampai ke mana. Selepas SPM, dia disambar oleh ‘monyet’ lain. Tidak lama kemudian bertunang dan kahwin dengan ‘monyet’ yang ada motosikal Vespa. Saya membawa sekeping hati yang lara ke Kuala Lumpur, dan kemudiannya bertemu dengan banyak lagi ‘monyet’…
Jika cinta monyet anda tidak sampai ke jinjang pelamin, janganlah bersedih. Tidak perlu hantuk-hantuk kepala ke batang pisang sambil menjerit “Kenapa kau mungkiri cinta kita!” Percayalah, kelawar dan kala jengking pun tidak akan simpati. Sebenarnya ada ramai lagi ‘monyet’ di luar sana yang gagal memeterai cinta di atas pelamin. Ada sekian banyak lagi cinta yang tidak sampai ke pelamin, malah dalam keadaan yang lebih pilu daripada cinta monyet. Bayangkan setelah bercinta sejak universiti, sama-sama kumpul duit setelah bekerja, tiba-tiba tidak dapat kahwin, sebab si Laila meninggal dunia akibat demam denggi.
Ads
Selalu juga kita dengar – mungkin mengalami sendiri – perihal cinta kalah Romeo dan Juliet, tetapi terpaksa diputuskan secara mendadak sebab orang tua tidak merestui. Maka dermaga pun menjadi saksi bisu, seperti yang diluahkan dalam lagu oleh Saleem. Pernah juga kita baca kisah duka, pelamin telah siap, penanggah telah didirikan, lembu dan kerbau telah disembelih untuk dikorbankan, tetamu telah diundang dan sanak-saudara telah berkumpul, tetapi akhirnya pelamin tidak sempat digunakan kerana pengantin terlibat dalam kemalangan jalan raya.
Ada juga alkisah cinta telah diluahkan dengan madah dan pujian yang keterlaluan. Engkaulah intan, engkaulah payung. Dikaulah permata hati, bulan, bintang, awan. Adindalah mangga harumanis, adindalah durian Musang King…
Tetapi yang dipuja siang malam itu akhirnya tidak boleh diajak naik pelamin, gara-gara si Majnun gagal mendapat keizinan berpoligami daripada isteri pertama. Maka, intan, payung, bulan, bintang hatta Musang King, tidak bererti apa-apa lagi.
Hatta, belum lama dulu kita mendengar kisah cinta paling klasik tetapi tidak juga berakhir di pelamin, sebaliknya terhenti setakat di ruang akad nikah. Sepasang kekasih – Roslan dan Halimah – memadu cinta sejak tahun akhir di universiti. Sama-sama lulus cemerlang, sama-sama mendapat jawatan baik.
Tetapi sesuatu yang tidak diduga terbongkar ketika pasangan tersebut hendak diijabkabulkan. Setelah dokumen diri diteliti pecahlah rahsia selama ini, rupanya kedua bakal mempelai itu sama jantina. Kekasih yang selama ini dikenali sebagai Halimah, rupa-rupanya Halim bin Sifulan. Mana mungkin bin boleh berkahwin dengan bin! Bin mesti nikah dan bersanding dengan binti.
Ads
Amaran kepada pasangan yang sedang bercinta
Amaran kepada pasangan yang sedang bercinta; Pastikan anda melihat sendiri kad pengenalan pasangan untuk mengesahkan jantina. Pastikan Laila anda betul-betul ‘Ramlah’, bukan ‘Ramli’. ‘Jamaliah’, bukan ‘Jamal’. Pastikan dia binti, bukan bin.
Pendek kata, betapa hebat pun kisah cinta dan asmaradana yang dilalui, jalan untuk ke jinjang pelamin sentiasa berliku dan penuh dengan duri. Ada sahaja halangan dan cabaran untuk betul-betul bersanding di atas pelamin.
Oleh sebab itu bersyukurlah bagi pasangan yang akhirnya dapat disatukan dengan ijab kabul dan disandingkan di pelamin. Kalau yang disandingkan itu ialah pasangan ketika cinta monyet dahulu, itu lebih bagus. Memang ada, tetapi sepatah kata P. Ramlee ‘kadang-kadang…’
Mempelai yang telah sah bersanding di atas pelamin itu pun, masih ada ujian. Sekali peristiwa, majlis salam restu dan merenjis menjadi kelam-kabut apabila pelamin yang indah dan dihiasi dengan bunga telur pengantin, tiba-tiba senget dan rebah. Maka telur pengantin pun bergolek di lantai.
Apa pun ini bukan salah pengantin, tetapi salah tukang buat pelamin. Amaran; tukang buat pelamin jangan hanya mengukur saiz pelamin, tetapi pastikan juga tukang buat pelamin mendapat ukuran sebenar saiz dan berat tubuh pengantin.
Akhir kalam, bagi yang selamat dan sempurna naik pelamin, saya ucapkan tahniah dan Selamat Pengantin Baharu.
Oleh : Dato’ Jalil Ali
Lubuk konten untuk inspirasi bakal – bakal pengantin. Pengantin kini di seeNI.
Download
sekarang!
Perihal perkahwinan tentunya memerlukan modal atau jumlah yang besar untuk perbelanjaan majlis, hantaran, tempahan busana, kad jemputan dan lain-lain lagi. Oleh itu, setiap pasangan perlulah lebih bersedia daripada segi mental, fizikal serta sudut kewangan khususnya. Anda perlu tahu tentang bajet kahwin dan bagaimana untuk menguruskan wang tersebut supaya anda dan pasangan tidak berdepan dengan konflik kewangan selepas berkahwin. Berikut tip untuk menjimatkan bajet kahwin.
1. JANGAN PENTINGKAN STANDARD
Sikap suka berhutang akan memberikan bebanan kepada anda sehingga menyebabkan anda dan pasangan tidak bahagia. Malah ramai pasangan yang terhimpit dengan hutang yang terlalu banyak hanya kerana menginginkan majlis perkahwinan yang mewah dan tampak gah.
2. TETAPKAN JUMLAH TETAMU
Tetapkan jumlah tetamu yang bakal dijemput agar anda dapat merancang majlis perkahwinan dengan sebaiknya. Apabila anda sudah menetapkan bilangan tetamu, ini memudahkan anda mengira bajet untuk makanan, cenderamata, kad kahwin dan sebagainya.
3. MENYEWA BUSANA PERKAHWINAN
Elakkan menempah pakaian yang baharu kerana khidmat menyewa pakaian jauh lebih murah. Ada juga perkhidmatan yang membolehkan anda menempah pakaian perkahwinan baharu tetapi untuk sewaan sahaja. Ini bermakna selepas memakai busana tersebut, anda perlu memulangkan semula kepada butik perkahwinan dan harganya jauh lebih rendah daripada membeli terus pakaian perkahwinan itu.
4.AWASI PERBELANJAAN SETIAP BULAN
Perbelanjaan pada setiap bulan amat mempengaruhi simpanan kewangan anda. Jika anda berbelanja secara berlebih-lebihan, segala bajet yang telah anda tetapkan akan berubah dan akan menyusahkan anda kelak.
5. ELAK BERHUTANG DENGAN KAD KREDIT
Kad kredit ada baik dan ada buruknya. Jika anda tidak tahu untuk menggunakan kad kredit secara berhemat, anda dinasihatkan untuk tidak memakainya. Membayar dengan hanya swipe boleh menyebabkan anda hilang pertimbangan dan boros berbelanja yang akhirnya menyebabkan anda pening untuk membayar hutang tersebut di penghujung bulan.
6. ADAKAN MAJLIS GOTONG ROYONG
Majlis yang diadakan secara gotong royong adalah lebih jimat berbanding menggunakan perkhidmatan katering. Ia dapat menjimatkan kos kerana anda hanya perlu mengeluarkan belanja membeli bahan basah, selain dapat mengeratkan tali silaturahim bersama saudara dan jiran-tetangga.
7.CUBA BERHENTI MEROKOK
Merokok sememangnya sinonim dengan kebanyakan lelaki. Semua sedia maklum merokok bukan sahaja tidak baik untuk kesihatan tetapi ia juga membazirkan wang. Jika anda campur tolak wang yang telah dibelanjakan untuk membeli rokok pasti anda akan terkejut dengan jumlahnya. Ini kerana wang tersebut jika dibuat tabungan boleh digunakan untuk banyak perkara yang lebih berfaedah termasuk belanja kahwin.
8. MEMBUKA AKAUN KHAS
Salah satu cara untuk menjimatkan kos perkahwinan adalah dengan membuka akaun khas untuk perkahwinan anda. Ini dapat memastikan supaya anda tidak menggunakan kesemua wang simpanan dan seterusnya berhutang. Elakkan membeli barang perkahwinan dengan menggunakan kad kredit.
Lubuk konten untuk inspirasi bakal – bakal pengantin. Pengantin kini di seeNI.
Download
sekarang!
Setiap perkahwinan pasti mengimpikan kemanisan kasih sayang yang berpanjangan dalam rumah tangga.
Membina kebahagiaan itu umpama menanam sepohon pokok kerana ia memerlukan benih, baja, air dan cahaya yang dipupuk dengan kasih sayang, tanggungjawab, konsisten dan kesabaran.
Bagi mengekalkan kasih sayang dan kebahagiaan itu, suami dan isteri haruslah memainkan peranan bersama. Amalan-amalan ini bukan sahaja boleh dipraktikkan oleh pasangan yang baharu berkahwin, tetapi juga boleh diamalkan oleh pasangan lama yang ingin memupukkan kembali rasa cinta dan kasih sayang seperti kali pertama anda berdua bergelar suami isteri.
1. Perlu saling lengkap-melengkapi
Alam rumah tangga menuntut suami isteri untuk memberikan komitmen sepenuhnya dan berkongsi hidup dalam pelbagai aspek. Tanamkan dalam diri bahawa perkahwinan yang bahagia hanya boleh dicapai jika anda saling melengkapi hidup pasangan anda. Anda berdua haruslah saling membantu jika pasangan mempunyai masalah, selain cuba mengatasi kelemahan-kelemahan yang ada dalam diri pasangan anda dengan sebaiknya.
2. Jauhi sikap suka mengungkit
untuk mengekalkan kasih sayang, sikap ungkit-mengungkit haruslah dielakkan. Jika sebelum ini anda pernah memberi pasangan anda sesuatu atau membantunya dia, jangan sesekali mengungkit tentang perkara tersebut terutamanya apabila anda berdua bertengkar. Cara ini menunjukkan yang anda tidak ikhlas dalam memberi bantuan atau barangan tersebut kepada pasangan. Jika sikap ini berterusan boleh membuatkan cinta dan kasih sayang pasangan anda menjadi pudar terhadap anda.
3. Luahkan kata cinta terhadap pasangan setiap hari
Amalan meluahkan kata-kata cinta, sayang dan puji-pujian kepada pasangan setiap hari boleh merubah perasaan pasangan yang suram kepada hari yang indah dan penuh bermakna. Kata-kata ini akan membuatkan pasangan akan rasa lebih dihargai dan bertuah kerana memiliki anda sebagai teman hidup. Jangan segan mengungkapkan kata maaf jika anda melakukan kesalahan dan sentiasalah memaafkan pasangan jika dia pula yang bersalah terhadap anda.
4. Isteri tidur beralaskan lengan suami
Para isteri haruslah mengenepikan bantal-bantal anda dan tidurlah beralaskan lengan suami bermula malam ini. Ini kerana hormon bau phero yang dirembeskan dari ketiak suami dikatakan boleh mengaktifkan hormon isteri hingga isteri berasa tenang dan relaks. Malah pelukan suami akan menerbitkan kasih sayang serta hormat pada suami.
5. Cium tangan, kucup dahi dan peluk
Jadikan amalan mencium tangan suami ketika suami hendak keluar dari rumah sebagai tanda bahawa restu suami amatlah berharga. Selepas isteri mencium tangan suami, suami pula haruslah membalasnya dengan mengucup dahi isteri dan memeluk isteri. Tindakan ini akan membuatkan isteri rasa lebih dihargai dan dengan sendirinya akan terbit kasih sayang itu dari hati yang ikhlas, selain mengeratkan lagi kasih sayang anda berdua. Malah kajian membuktikan bahawa sentuhan kulit boleh mewujudkan jalinan yang lebih erat kerana tubuh merembeskan hormon oxytocin.
6. Sentiasa amalkan mandi bersama
Amalan suami isteri yang sering mandi bersama sememangnya cukup bermakna dalam kehidupan suami isteri kerana ia dapat mengukuhkan lagi rasa kasih antara anda berdua, apatah lagi apabila adanya sentuhan saat anda menggosok dan menjirus tubuh badan pasangan. Malah amalan ini juga menjadi amalan Rasulullah SAW dalam memelihara kerukunan rumah tangga.
7. Solat berjemaah bersama
Sememangnya banyak ganjaran pahala yang boleh diperoleh apabila suami isteri solat berjemaah bersama. Ia akan mengeratkan kasih sayang, apatah isteri akan mengaminkan doa suami dan kemudian anda berdua akan saling bersalaman seta memohon maaf.
8. Sering lakukan kerja rumah bersama
Suami tidak boleh mengabaikan urusan kerja rumah dan hanya mengharapkan isteri melakukan urusan kerja rumah seorang diri. Sebaik-baiknya, bantulah meringankan bebanan isteri di rumah. Apabila anda berdua melakukan urusan kerja rumah bersama, bukan sahaja kerja rumah akan lebih cepat selesai malah anda berdua juga boleh gunakan masa ini dengan bergurau senda dan mengeratkan kasih sayang.
9. Sentiasa ada komunikasi dua hala
Sebuah hubungan rumah tangga dikatakan gagal apaabila tiada komunikasi dua hala antara suami isteri. Jika masing-masing memendam rasa tentang permasalahan rumah tangga dan tidak meluahkan apa yang terbuku di hati, masalah tidak akan selesai dan tiada penghujungnya. Oleh itu, pentingnya komunikasi dua hala agar anda berdua boleh berbincang dengan tenang.
Lubuk konten untuk inspirasi bakal – bakal pengantin. Pengantin kini di seeNI.
Download
sekarang!
Sejak kebelakangan ini, mood nak tanam pokok hiasan dalam rumah menjadi kegilaan ramai terutama kaum isteri. Mungkin sebab musim PKP yang membosankan, tumbuhan hiasan adalah terapi terbaik untuk kita memberikan nafas baru dalam persekitaran rumah. Tapi awas ada tumbuhan beracun dan bahaya jika diletak di dalam kawasan rumah. Tambahan buat pasangan baru kahwin yang mempunyai anak kecil, pastikan anda lebih berhati-hati dalam memilih pokok hiasan.
Pokok hiasan berbahaya yang boleh membawa maut dan pernah viral dulu budak kejang mulut lepas tergigit daun tanaman di rumah. Kenali pokok hiasan BERACUN!
Anthurium spp erana, pokok ini memiliki Calcium Oxalate yang berbahaya pada manusia dan haiwan. Namun, racunnya masih dalam kategori sederhana. Pun begitu, jika termakan dalam jumlah yang banyak boleh menyebabkan kematian dan kecederaan yang serius.
Nerium Oleander mempunyai bunga yang berlingkar dan ia membesar di kawasan terbuka yang boleh mencuri tumpuan orang ramai.
Walaupun pokok ini cantik, namun ia mempunyai kandungan racun yang tinggi dan sangat berbahaya pada kanak-kanak dan haiwan peliharaan.
Dieffenbachia kandungan toksin dalam pokok ini ialah Calcium Oxalate yang sederhana. Namun ia juga memberi kesan sampingan pada kanak-kanak.
Antara kesan yang boleh kelihatan seperti memusnahkan buah pinggang, gastrik dan arteries.
nama lain seperti Zanzibar Gem, Money Plant, Succulent Philodendron, Chinese New Year Festive Plant dan arum fern.
Ia membentuk daun yang tebal, batang berkilat yang seolah-olah sama seperti pokok artificial.
Caladium bicolor dikenali dengan nama Calcium Oxalate Crystals dan asparagine.
Semua bahagian tumbuhan ini adalah beracun jika termakan dalam kuantiti yang banyak. Sekiranya ada kanak-kanak termakan, ia akan menyebabkan sensasi terbakar atau melecur pada mulut dan tekak.