Waktu pagi tentunya waktu yang cukup sibuk bagi setiap pasangan suami isteri. Tuntutan untuk keluar pergi bekerja dan menyiapkan anak-anak untuk ke sekolah membuatkan pasangan suami isteri sibuk dengan tugasan masing-masing. Perkara ini menjadi lumrah dan perlu ditempuhi setiap hari.
Namun, dalam kesibukan melakukan tugas seharian, setiap pasangan harus menjaga hubungan agar kekal utuh demi menjamin keluarga yang bahagia. Walau sesibuk mana tugas seharian anda, waktu pagi juga merupakan waktu yang perlu dimanfaatkan bersama. Ia dapat mempereratkan lagi hibungan cinta agar terus mekar dan bersemi buat selamanya
Dalam kesibukan kita menempuh hari-hari, jom kita belajar tentang 9 perkara suami isteri patut lakukan bersama di waktu pagi agar cinta dan kasih sayang terus utuh, erat dan terus bersemi!
1. SOLAT BERJEMAAH BERSAMA-SAMA
Sesungguhnya solat adalah tiang agama. Selepas selesai membersihkan diri di pagi hari, ajaklah pasangan anda untuk solat berjemaah bersama-sama. Ia tidak mengambil masa yang lama dan solat berjemaah juga mampu mengeratkan hubungan suami isteri.
Selalunya, kita akan saling bersalaman dan bermaafan selepas solat. Ia memberikan keberkatan dan kemanisan dalam hubungan suami isteri. Jika suami anda ke masjid untuk solat subuh, bolehlah anda membantu menyiapkan pakaian dan menghantarnya ke pintu.
Ads
2. BANGUN AWAL PADA WAKTU YANG SAMA
Bangunlah awal di waktu pagi agar anda mempunyai lebih banyak masa bersama. Tetapkan waktu untuk bangun bersama. Contohnya mengunci jam 1 jam lebih awal dari waktu kebiasaan anda bangun dari tidur. Dengan cara ini, anda mempunyai banyak masa untuk diluangkan bersama. Ketika ini, anak-anak masih tidur dan anda pula tidak sibuk dengan hal sendiri.
3. PANDANG DAN SENYUM PADA PASANGAN
Dalam kesibukan dalam mempersiapkan diri dan keluarga, kadangkala anda terlupa untuk mengukir senyuman buat pasangan anda. Anda terlupa untuk memandang mata pasangan anda kerana kesibukan di waktu pagi.
Mulai saat ini, semai dan mekarkan cinta dalam rumah tangga dengan saling berpandangan dan memberikan senyuman ikhlas kepada satu sama lain. Walaupun anda penat dan tidak fokus, cubalah sedaya upaya agar hati boleh berbunga-bunga kembali dan menghilangakn rasa penat itu.
Ads
4. SARAPAN BERSAMA
Luangkan masa bersama dengan menikmati sarapan pagi bersama-sama. Tidak perlu hidangan berat seperti nasi lemak, nasi goreng, kuih muih dan sebagainya. Cukup hanya sekeping roti bersama secawan teh atau kopi. Saat ini pasti menjadi momen indah buat anda berdua kerana ketika waktu pagi, badan anda akan berasa lebih segar dan nyaman.
5. PELUKAN PASANGAN SEBELUM KE TEMPAT KERJA
Sebelum kaki melangkah keluar dari rumah,peuklah pasangan anda dengan erat disertakan ciuman di dahi dan tangan. Ia memupuk ikatan kasih sayang antara suami dan isteri. Dengan pelukan yang diberikan, ia seolah-olah mengikat perjanjian yang tujuan masing-masing keluar adalah untuk mencari rezeki dan berjanji untuk pulang bagi meneruskan kehidupan suci rumah tangga bersama-sama.
Ads
6. URUSKAN ANAK BERSAMA
Untuk membuatkan waktu pagi anda tidak terlalu sibuk, anda boleh membahagikan tugas menguruskan anak bersama pasangan. Contohnya, si suami mengejutkan anak-anak dan si isteri memakaikan baju atau menyiapkan anak. Ini boleh meringankan beban anda dan waktu anda bersama pasangan boleh diperolehi.
Untuk si suami, jangan menyerahkan semua persiapan untuk menguruskan anak kepada isteri semata-mata, anda juga harus membantu isteri bagi meringankan tugasannya. Tidak kiralah apa sahaja rutin harian keluarga anda, dengan pembahagian tugas sebegini, ringan sedikit beban dan masa pun dapat dijimatkan.
7. UCAPKAN KATA-KATA SAYANG
Ucapkan kata-kata sayang buat pasangan agar perasaan cinta makin mendalam. “Selamat bekerja”, “saya sayang awak”, “I will miss you”, atau “semoga dipermudahkan urusan di tempat kerja” merupakan kata-kata sayang yang tidak patut dilupakan pada waktu pagi. Ucapkannya kepada suami atau isteri anda, pasti mereka akan berterima kasih dan bersyukur mendapat pasangan yang penyayang.
8. LUANGKAN MASA BERDUA
Pada hujung minggu pula, tetapkan masa untuk berdua. Lakukan aktiviti-aktiviti bersama bagi mengeratkan hubungan anda berdua. Sebagai contoh, anda boleh memilih untuk bersarapan di luar bersama pasangan. Kemudian penuhi aktiviti bersama seperti membeli-belah mahupun menonton wayang. Mungkin tidak perlu setiap minggu jika ia kurang praktikal, namun berusahalah sekali sekala untuk melakukannya.
9. DOAKAN SATU SAMA LAIN
Akhir sekali, doakan yang baik-baik buat pasangan anda. Berdoalah kepada Tuhan agar hubungan anda bersama pasangan di bawah lindungan-Nya dan diberkati. Tiada yang lebih bermakna melainkan ucapan doa yang diucapkan oleh suami buat si isteri ataupun dari isteri buat suaminya yang tercinta!
Lubuk konten untuk inspirasi bakal – bakal pengantin. Pengantin kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Saat bakal bergelar ratu sehari sememangnya dinantikan buat semua gadis. Manakan tidak hati berbunga suka bila si dia bakal menjadi temanmu seumur hidup. Buat bakal pengantin janganlah terlalu sibuk dengan hal yang besar dan mengenepikan perkara yang penting. Buatlah persediaan sewajarnya agar seri menyerlah dan melangkah anggun bak raja dan ratu sehari. Manfaatkan tip berguna dari AyangKamell Ibrahim, Jurusolek Perkahwinan Malaysia.
10 tip untuk bakal pengantin
1. Sentiasa minum air putih lebih kurang 2 liter sehari serta mendapat tidur yang cukup. Ini adalah kunci untuk mendapatkan kesegaran kulit wajah dan berseri.
2. Berhenti melakukan sebarang bentuk rawatan wajah dua minggu sebelum hari bahagia. Dikhuatiri kulit luar tidak sempat matang untuk membenarkan solekan melekat dengan baik. Kulit terlalu licin selepas rawatan itu akan menyukarkan solekan untuk melekat di wajah.
3. Jangan melakukan sebarang ‘facial’ atau skrub kulit dua tiga hari sebelum majlis. Dikhuatiri luka-luka kecil akan menjadikan wajah jadi gatal dan pedih.
4. Lakukan ‘eyebrow trim’ atau membuang bulu muka dua tiga hari sebelum majlis kahwin. Dikhuatiri jika melakukan pada hari majlis, akan terjadi kemalangan atau terluka yang menyukarkan solekan menjadi kemas.
5. Amalkan petua orang lama seperti menyental kulit dengan hampas kelapa di seluruh badan adalah cara berkesan untuk membuang daki terutamanya di bahagian leher, ketiak dan sebagainya. Elakkan melakukannya di wajah. Walaubagaimanapun, membasuh muka dengan air kelapa lalu membilasnya dengan air sejuk adalah amalan yang baik untuk mendapatkan kulit yang segar dan lembab. Bagus diamalkan beberapa bulan sebelum bersanding.
6. Rambut juga perlu dibasuh sejam sebelum juruandam/jurusolek tiba serta perlu dikeringkan dengan cara semulajadi. Ia menghindari kulit kepala agar tidak berbau dan menjadi segar bagi mendapatkan styling yang sempurna. Ini kerana kulit kepala akan aktif semula mengeluarkan minyak selepas 15 minit dibasuh, lalu menyukarkan untuk bahan dandanan berfungsi baik dan tahan lama.
7. Minta dan sarankan jurusolek menggunakan teknik mekap yang berbeza mengikut majlis. Contoh untuk bernikah, biarlah solekan itu nipis dan tidak berat berbanding majlis bersanding. Latih mata untuk memakai kanta lekap seminggu sebelum majlis (jika mahu menggunakannya). Elakkan memakainya tanpa mencuba terlebih dahulu.
8. Sediakan ruang yang lapang untuk jurusolek meletakkan peralatan solekan. Cahaya ruang perlulah terang. Kerana ruang itu juga akan digunakan bersama dengan jurufoto dan video. Urusan lalu lalang akan menjadi lebih sempurna untuk semua.
9. Melakukan ‘trial makeup’ adalah langkah terbaik, tetapi perlulah disertakan dengan baju yang telah siap serta aksesori lain yang lengkap serta membawa seorang jurufoto semasa waktu tersebut agar impak kesannya terlihat jelas. Tanpa kesemua di atas, kesan mekap tidak akan sama seperti majlis sebenar.
10. Jangan lupa bahawa solekan ‘malar segar’ adalah yang paling selamat dan terbaik untuk bakal pengantin. Hati-hati dengan stail mekap berkarakter seperti ‘doll look’ dan ‘anime’ kerana ia bakal merubah wajah asal dan tidak sesuai untuk ratu sehari. (Foto yang akan dilihat di masa hadapan akan menjadi jelek lantaran mengikut stail tersebut) Mengapa mahu menjadi karakter lain sedangkan anda sepatutnya adalah seorang pengantin yang perlu tampil dengan menjadi diri sendiri.
Lubuk konten untuk inspirasi bakal – bakal pengantin. Pengantin kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Pergaduhan dan perselisihan faham merupakan lumrah dalam hubungan rumah tangga. Pepatah ada menyebut, sedangkan lidah lagi tergigit, inikan pula hubungan suami isteri. Dalam pada masa yang sama, perkara ini mampu memberi teladan kepada padangan suami isteri dalam memantapkan hubungan rumah tangga agar lebih matang dan kukuh.
Namun, jangan biarkan masalah itu berlanjutan dan tidak menemukan jalan penyelesaian. Ia boleh membawa kepada masalah rumah tangga yang lebih serius sekali gus merosakkan hubungan tersebut. Selesaikan ia dengan cara baik dan selamatkan rumah tangga sedaya yang mungkin. Jangan biarkan masjid yang dibina sekian lama runtuh begitu saja.
Jom kita lihat 5 sebab utama yang boleh rosakkan hubungan rumah tangga. Selamatkan ia sebelum terlambat!
1. CEMBURU YANG MELAMPAU
Cemburu tanda sayang? Ya, benar. Namun, usahlah ada perasaan cemburu yang begitu serius hingga menyebabkan pasangan anda tidak bebas untuk berkawan dan terasa dikongkong. Sifat cemburu yang terlampau akan menyebabkan anda berasa marah, emosi kurang stabil dan hilang pertimbangan sehingga melakukan perkara yang mungkin tidak disukai oleh pasangan anda.
Selain itu, pasangan anda akan mula khuatir dan timbul keraguan terhadap kepercayaan anda pada si dia. Jelas, sikap cemburu anda haruslah kena dengan tempat, masa, dan situasi untuk mengelakkan masalah dalam hubungan anda.
2. MENIPU
Mengapa harus menipu dalam hubungan? Sifat jujur merupakan kunci utama untuk mengekalkan hubungan bersama pasangan. Jangan sesekali memulakan penipuan kerana ia boleh menimbulkan permasalahan bersama si dia. Tidak kira sama ada perkara besar atau kecil, sentiasa berlaku jujur kepada pasangan anda, dan usah berselindung di balik bayangan sendiri.
Takut nanti, esok lusa, penipuan anda terbongkar dan pasangan anda langsung tidak menaruh kepercayaan terhadap anda. Apa yang lebih teruk, si dia juga akan membuat perkara yang sama dan akhirnya akan menyebabkan hubungan bertukar negatif. Terapkan kepercayaan, kejujuran dalam keikhlasan dalam hubungan anda untuk membina rasa cinta yang lebih manis.
3. SERING BUAT PERBANDINGAN
Perbandingan adalah perkara tidak wajar dilakukan dalam sesebuah hubungan. Sebagai contoh, sesetengah pasangan kerap kali membandingkan hubungan sekarang dan masa lampau. Usah bangkitkan cerita lama. Ini akan menyebabkan si dia rasa khuatir terhadap anda.
Bukan itu sahaja, malah ada juga yang membuat perbandingan tentang bentuk badan, rupa paras ataupun cara pemakaian pasangan dengan orang lain. Hal ini menyebabkan pasangan akan hilang kepercayaan pada anda dan secara tidak langsung, sedikit sebanyak akan menjejaskan kualiti hubungan anda. Jadi, usah membuat perbandingan, namun menasihati sesama lain adalah perkara paling bagus.
4. SIKAP AMBIL MUDAH
Kadang-kala, jika sesebuah hubungan itu sudah berada dalam tempoh yang lama, pasangan akan mula mengambil mudah mengenai hubungan cinta yang terjalin. Sudah tidak sehangat waktu pertama kali bercinta. Mengapa harus begitu? Seharusnya, semakin lama tempoh hubungan itu, semakin fasih setiap pasangan untuk mengukuhkan lagi hubungan yang terjalin.
Pelajari dan fahami perkara terbaik untuk membuat pasangan anda bahagia. Dalam tempoh yang lama, sudah pasti anda cukup arif tentang karakter si dia. Gunakan waktu yang ada dengan sebaik mungkin supaya hubungan anda kekal lama. Jangan ambil ringan dan sentiasalah berusaha untuk menjadikan hubungan bersama si dia lebih berkualiti.
5. GAGAL BERKOMUNIKASI
Komunikasi, komunikasi, komunikasi. Terutamanya kepada golongan muda, kurang berkomunikasi adalah penyebab utama hubungan jadi dingin. Perasaan cemburu, penipuan, dendam dan sebagainya dapat diatasi sekiranya pasangan mampu berkomunikasi dengan baik.
Luahkan saja perasaan tidak puas hati kepada pasangan. Jangan gentar untuk menjadi seorang yang jujur. Ambil masa untuk duduk berdiskusi, berbincang tentang perihal hubungan dan selesaikannya bersama. Secara tidak langsung, ia juga mengeratkan lagi diri anda bersama si dia.
Lubuk konten untuk inspirasi bakal – bakal pengantin. Pengantin kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Semua orang nak kahwin. Tapi bukan semua orang begitu teliti dalam soal nikah kahwin ni. Ada yang belum cukup ilmu, belum cukup stabil dan belum cukup umur pun dah kahwin. Eh jangan macam tu. Rukun nikah dan syarat sah nikah ni anda perlu tahu.
Rukun Nikah
Pengantin lelaki (Calon Suami)
Pengantin perempuan (Calon Isteri)
Adanya Wali
Dua orang saksi lelaki
Ijab dan Qabul (akad nikah)
Syarat-Syarat Sah Nikah
a) Syarat-Syarat Bakal Suami
Islam
Lelaki yang tertentu
Bukan mahram dengan bakal isteri
Bukan dalam ihram haji atau umrah
Dengan kerelaan sendiri (tidak sah jika dipaksa)
Mengetahui wali yang sah bagi akad nikah tersebut
Mengetahui bahawa perempuan itu boleh dan sah dinikahi
Tidak mempunyai empat orang isteri yang sah dalam satu masa.
b) Syarat-Syarat Bakal Isteri
Islam
Bukan seorang khunsa
Perempuan yang tertentu
Tidak dalam keadaan idah
Bukan dalam ihram haji atau umrah
Dengan rela hati (bukan dipaksa kecuali anak gadis))
Bukan perempuan mahram dengan bakal suami
Bukan isteri orang atau masih ada suami
Syarat Wali
Adil
Islam
Baligh
Lelaki
Merdeka
Tidak fasik, kafir atau murtad
Bukan dalam ihram haji atau umrah
Waras – tidak cacat akal fikiran atau gila
Dengan kerelaan sendiri dan bukan paksaan
Tidak muflis atau ditahan kuasa atas hartanya.
* Sebaiknya bakal isteri perlulah memastikan syarat WAJIB menjadi wali. Sekiranya syarat wali bercanggah seperti di atas maka tidak sahlah sebuah pernikahan itu. Sebagai seorang mukmin yang sejati, kita hendaklah menitik beratkan hal-hal yang wajib seperti ini. Jika tidak di ambil kira, kita akan hidup di lembah zina selamanya.
Jenis-Jenis Wali
Wali mujbir: Wali dari bapa sendiri atau datuk sebelah bapa (bapa kepada bapa) mempunyai kuasa mewalikan perkahwinan anak perempuannya atau cucu perempuannya dengan persetujuannya atau tidak (sebaiknya perlu mendapatkan kerelaan bakal isteri yang hendak dikahwinkan)
Wali aqrab: Wali terdekat mengikut susunan yang layak dan berhak menjadi wali
Wali ab’ad: Wali yang jauh sedikit mengikut susunan yang layak menjadi wali, jika ketiadaan wali aqrab berkenaan. Wali ab’ad ini akan berpindah kepada wali ab’ad lain seterusnya mengikut susunan tersebut jika tiada yang terdekat lagi.
Wali raja/hakim: Wali yang diberi kuasa atau ditauliahkan oleh pemerintah atau pihak berkuasa negeri kepada orang yang telah dilantik menjalankan tugas ini dengan sebab-sebab tertentu
Syarat-Syarat Saksi
Islam
Lelaki
Baligh
Berakal
Merdeka
Sekurang-kurangya dua orang
Memahami kandungan lafaz ijab dan qabul
Dapat mendengar, melihat dan bercakap (tidak buta, bisu atau pekak)
Adil (Tidak melakukan dosa besar dan tidak berterusan melakukan dosa-dosa kecil)
Bukan tertentu yang menjadi wali.
(Misalnya, bapa saudara lelaki yang tunggal. Katalah hanya ada seorang bapa saudara yang sepatutnya menjadi wali dalam perkahwinan itu tetapi dia mewakilkan kepada orang lain untuk menjadi wali sedangkan dia hanya menjadi saksi, maka perkahwinan itu tidak sah kerana dia dikira orang tertentu yang sepatutnya menjadi wali.)
Syarat-Syarat Ijab Dan Qabul
Syarat Ijab
Pernikahan hendaklah dengan perkataan nikah atau dengan perkataan yang sama maksudnya secara terang dan tepat.
Tidak diikatkan dengan tempoh waktu tertentu (seperti ikatan perkahwinan yang dijanjikan dan dipersetujui dalam tempoh tertentu dalam nikah kontrak/mutaah)
Tidak secara taklik. Tiada sebutan prasyarat sewaktu ijab (lafaz akad) dilafazkan
Tidak boleh menggunakan perkataan kiasan dan sindiran.
Dilafazkan oleh wali atau wakilnya
* Contoh lafaz ijab:
“Daku nikahkan dikau dengan ….. binti …. (sebutkan nama pengantin perempuan) dengan mas kahwin sebanyak RM …… tunai.”
.
.
Syarat Qabul
.
Lafaz Qabul (terima) hendaklah sesuai dengan lafaz ijab
Hendaklah terang dan nyata, bukan kiasan.
Dilafazkan oleh bakal suami atau wakilnya (atas sebab-sebab tertentu)
Tidak diikatkan atau mengandungi perkataan yang terbatas tempoh waktunya
Tidak secara taklik (tiada sebutan prasyarat sewaktu qabul dilafazkan.
Menyebut nama bakal isteri
Tidak diselangi dengan perkataan lain.
* Contoh lafaz qabul(akan dilafazkan oleh bakal suami) :
i)“Daku terima nikahnya ….. binti …. (sebutkan nama pengantin perempuan) dengan mas kahwin sebanyak RM …… ”
ATAU
ii)“Daku terima nikahnya ….. binti …. (sebutkan nama pengantin perempuan) sebagai isteriku.”
Lubuk konten untuk inspirasi bakal – bakal pengantin. Pengantin kini di seeNI. Download seeNI sekarang!