Assalamualaikum SS Dato’ Mufti. Saya sudah dua tahun lebih berkahwin namun suami masih gagal menyediakan tempat tinggal.
Kami tinggal di rumah ibu mertua (ibu tunggal), bersama adik ipar perempuan dan suaminya. Saya sentiasa kena menutup aurat kecuali dalam bilik saya. Isunya kami cuba mencari rumah sewa tapi tak dapat. Apakah boleh kami keluar rumah untuk tinggal berasingan dari ibu?
Jawapan
Alhamdulillah, pujian dan syukur kepada Ilahi dengan pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas Nabi SAW, keluarga, sahabat dan yang mengikut jejak langkahnya hingga hari kesudahan.
Kami mulakan jawapan ini dengan mengertikan hakikat perkahwinan seperti nas Ilahi:
Maksudnya: “Dan di antara tanda-tanda yang membuktikan kekuasaannya dan rahmatNya, bahawa Ia menciptakan untuk kamu (wahai kaum lelaki), isteri-isteri dari jenis kamu sendiri, supaya kamu bersenang hati dan hidup mesra dengannya, dan dijadikanNya di antara kamu (suami isteri) perasaan kasih sayang dan belas kasihan.”
(Surah al-Rum: 21)
Sayyid Qutb berkata: Islam memandang rumah tangga sebagai tempat kediaman, keamanan dan kedamaian dan memandang kepada hubungan suami isteri sebagai hubungan kasih mesra dan menegakkan hubungan ini di atas pilihan yang bebas supaya ia dapat berlangsung di atas asas saling mengerti, saling bersimpati dan saling berkasih sayang. Maka Islam inilah juga yang berkata kepada para suami:
Maksudnya: “Kemudian jika kamu (merasai) benci kepada mereka (disebabkan tingkah-lakunya, janganlah kamu terburu-buru menceraikannya), kerana boleh jadi kamu bencikan sesuatu, sedang Allah hendak menjadikan pada apa yang kamu benci itu kebaikan yang banyak (untuk kamu).”
Ads
(Surah al-Nisa’: 19)
Ini adalah supaya mereka mengekalkan hubungan suami isteri mereka dan tidak terus memutuskannya dengan sekali fikir sahaja atau dengan desakan keinginan yang pertama sahaja, malah ia harus memelihara kepentingan yayasan insaniyyah yang agung ini agar tidak terdedah kepada ledakan keinginan sentimen yang berubah-ubah dan kepada ketololan nafsu yang terbang di sana-sini. (Rujuk Tafsir fi Zilal al-Quran, 3/234)
Berkenaan dengan permasalahan Puan, saya amat bersimpati dan saya ringkaskan jawapan dalam beberapa poin berikut:
Sepatutnya, apabila pasangan sudah berkahwin dan mempunyai kemampuan untuk hidup bersama selain daripada ibubapa dan keluarga, maka inilah yang terbaiknya. Ini kerana dengan hanya berpasangan, hak privasi dan membina kehidupan dengan lebih selesa akan terwujud. Tambahan pula, tanpa campur tangan mana-mana pihak.
Antara makna kemampuan itu adalah mampu menyediakan tempat tinggal khusus bagi isteri sepertimana yang difirmankan oleh Allah SWT:
أَسْكِنُوهُنَّ مِنْ حَيْثُ سَكَنتُم مِّن وُجْدِكُمْ وَلَا تُضَارُّوهُنَّ لِتُضَيِّقُوا عَلَيْهِنَّ
Maksudnya: Tempatkanlah isteri-isteri (yang menjalani idahnya) itu di tempat kediaman kamu sesuai dengan kemampuan kamu; dan janganlah kamu adakan sesuatu yang menyakiti mereka (di tempat tinggal itu) dengan tujuan hendak menyusahkan kedudukan mereka (supaya mereka keluar meninggalkan tempat itu).
(Surah al-Talaq: 6)
Pepatah Melayu menyebut: “Biar banyak rumah daripada banyak orang dalam rumah,” dengan maksud dengan ramainya anggota dalam sebuah rumah, maka ragam dan juga perangai akan berbeza yang boleh membawa kepada pertelingkahan jika tidak ditangani dengan sebaiknya.
Oleh kerana ibu sudah ada anaknya yang menjaganya, maka tidak lagi menjadi masalah untuk anak yang lain keluar daripada rumah tersebut. Yang penting, sentiasa memberi perhatian dan kecaknaan sama ada dari segi nafkah atau kasih sayang melalui ziarah serta hadiah dan juga nafkah. Bahkan dengan cara ini, perasaan kasih sayang dan penghormatan akan jadi lebih tinggi berbanding tinggal sebumbung di rumah.
Suami sewajarnya memahami hak isteri untuk ditempatkan, yang munasabah dengan status keisterian agar peranan masing-masing dapat dijelmakan dengan lebih baik dan jelas. Ini akan menatijahkan bahtera rumahtangga lebih bahagia.
Layanilah isteri dengan seterbaik mungkin. Firman Allah SWT:
وَعَاشِرُوهُنَّ بِالْمَعْرُوفِ
Maksudnya: “Dan bergaulah kamu dengan mereka (isteri-isteri kamu itu) dengan cara yang baik.”
Ads
(Surah al-Nisa’: 19)
Syeikh a-Maraghi berkata: “Para suami diwajibkan bergaul dengan isteri-isterinya secara baik. Oleh itu, bergaullah dengan mereka secara yang dapat menyenangkan tabiat mereka. Tetapi tidak pula bertentangan dengan syariat dan adat. Janganlah kamu bersikap bakhil dalam menafkahi mereka dan jangan pula kamu sakiti mereka dengan ucapan dan perbuatan atau kamu menghadapi mereka dengan wajah muram dan kening berkerut.
Kalimah mu’asyarah (bergaul) di sini menunjukkan pengertian kebersamaan dan perkongsian iaitu layanilah mereka dengan cara yang baik dan para isteri perlu melayani kamu seperti itu juga. Jadi, suami dan isteri diseru agar saling memberikan kebahagiaan serta menjadi sumber ketenangan dan kebahagiaan dalam melayari rumahtangga. (Lihat Tafsir al-Maraghi, 2/1128)
Kepada isteri hendaklah patuh dan berkhidmatlah kepada suami dengan seterbaik mungkin kerana dengan sifat isteri solehah dan pelaksanaan ibadat kepada Allah akan menatijahkan syurga buat isteri. Benarlah hadis daripada Abdul Rahman bin ‘Auf, Nabi SAW bersabda:
إِذَا صَلَّتْ الْمَرْأَةُ خَمْسَهَا، وَصَامَتْ شَهْرَهَا، وَحَفِظَتْ فَرْجَهَا، وَأَطَاعَتْ زَوْجَهَا، قِيلَ لَهَا: ادْخُلِي الْجَنَّةَ مِنْ أَيِّ أَبْوَابِ الْجَنَّةِ شِئْتِ
Maksudnya: “Jika seorang wanita solat lima waktu, puasa Ramadhan, menjaga kemaluannya dan mentaati suaminya maka dikatakan kepadanya: “Masuklah syurga dari mana-mana pintu yang kamu mahu.”
Riwayat Ahmad (1661), al-Tabarani dalam
al-Mu’jam al-Awsat (4598) dan Ibn Hibban (4237)
Elakkan daripada menjadi nusyuz kerana akibatnya amat buruk. Sebuah hadis Nabi SAW menyebut:
وَالَّذِى نَفْسِى بِيَدِهِ لاَ تُؤَدِّى الْمَرْأَةُ حَقَّ اللَّهِ عَزَّ وَجَلَّ عَلَيْهَا كُلَّهُ حَتَّى تُؤَدِّىَ حَقَّ زَوْجِهَا
Maksudnya: “Demi Tuhan yang diriku dalam kekuasaan-Nya, seorang perempuan yang belum menunaikan hak Tuhannya sehinggalah dia menyempurnakan hak suaminya.”
Ads
Riwayat Ahmad (4/381) dan Ibn Majah (1853)
Sentiasalah bermesyuarat dan berbincang antara suami isteri dalam membuat sebarang keputusan. Ini akan menatijahkan ketenangan dan rasa puas hati dari kedua belah pihak. Bermesyuaratlah dengan cara yang baik. Benarlah firman Allah SWT:
وَشَاوِرْهُمْ فِي الْأَمْرِ
Maksudnya: “Dan juga bermesyuaratlah dengan mereka dalam urusan (peperangan dan hal-hal keduniaan) itu.”
(Surah Ali-Imran: 159)
Syeikh al-Maraghi berkata: “Berbincang itu mengandungi banyak faedah, antaranya memperlihatkan bahawa adanya kesatuan hati dalam menyelesaikan sesuatu masalah. Penyatuan hati ini yang akan menolong mencapai sesuatu tujuan.
Akhir kalam, sentiasalah berdoa antara satu sama lain agar rumahtangga Puan akan merasa harmoni dan elakkan daripada memberi tekanan kepada suami sehingga akhirnya niat yang baik boleh membawa akibat yang buruk. Lazimilah qiamullail serta berdoalah sepertimana yang diajar oleh Allah SWT:
Maksudnya: “Wahai Tuhan kami, berilah kami beroleh dari isteri-isteri dan zuriat keturunan kami: perkara-perkara yang menyukakan hati melihatnya, dan jadikanlah kami imam ikutan bagi orang-orang yang (mahu) bertaqwa.”
Maksudnya: “Wahai Tuhan Kami, kurniakanlah kepada kami di dunia dengan kebaikan dan di akhirat dengan kebaikan. Dan selamatkanlah kami dari azab Neraka.”
Lubuk konten untuk inspirasi bakal – bakal pengantin. Pengantin kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
1) Mengangkat takbir – ada 3 cara mengangkat takbir
i. Dgn meletakkan kedua2 ibu jari di bawah cuping telinga
ii. Dgn meletakkan kedua2 jari telunjuk di bawah cuping telinga
iii. Mengangkat kedua2 tangan sehingga ke paras dada (bukan telinga).
Perlu diingatkan, kedua2 lengan hendaklah dirapatkan ke badan. Menurut penceramah, syaitan2 yg berupa kambing hitam gemar bergayut2 dicelah lengan (bawah ketiak) utk mengganggu solat kita, oleh itu sekiranya kedua2 lengan dirapatkan, tiada ruang utk mereka.
2) Qiyyam – cara qiyyam yg betul ialah memposisikan tgn kiri ke atas sikit dari pusat (bukan menutup pusat) sambil ibu jari dihalakan ke atas, seolah2 menyentuh ulu hati. Tangan kanan diletakkan di atas tangan kiri agak2 selesa. Pastikan kedua2 lengan adalah rapat mendekati badan.
3) Rukuk – peralihan dari posisi qiyyam kepada rukuk dilakukan dgn penuh tertib dan sopan. Kedua2 tangan melurut peha dgn perlahan dan berhenti di atas lutut. Pastikan badan kita di dlm posisi sudut tepat (90 darjah). Siku juga dirapatkan ke badan dan sudut tepat.
4) ‘Iktidal – tegakkan badan semasa membaca “Sami Allahuliman hamidah..”; dan mengangkat tangan posisi takbir ketika membaca “…rabbanaa lakal hamdu”
5) Sujud – sujud dari segi istilah ialah “penyerahan diri yang tertinggi”. Tertib sujud ialah dengan meletakkan kedua2 lutut ke lantai, baru diikuti tapak tangan dan seterusnya dahi. Kedua2 tangan dirapatkan di bhgn bawah. Sedikit dari ibu jari, di mana ada sedikit ruang terbuka di antara kedua2 tangan dan di situlah dahi diletakkan. Jgn sujud terlalu jauh ke hadapan kerana dikhuatiri akan melebihi lebih dari anggota sujud yg 7 iaitu dahi, kedua tapak tangan, kedua lutut and kedua belah kaki (setakat jari shj). Ibu jari kaki dilentur sedikit agar menghala ke kiblat.
6) Duduk antara 2 sujud – ada 2 cara : Papan punggung diletakkan di atas kedua2 kaki, Papan punggung lebih diberatkan atas kaki kiri ,dan kaki kanan dilentur agar ibu jari menghadap kiblat.
7) Bangun selepas sujud – duduk sebentar sebelum bangun, bukan dlm keadaan bangun menungging. Sekiranya menghadapi kesulitan utk bangun, gunalah tgn kanan utk membantu kita bangun atau kedua2 tangan.
8) Tahiyyat – mengangkat telunjuk pada ketika menyebut “…illallahh. ..”; (semasa membaca “laa ilaa ha ILLALLAH”). Jari telunjuk itu jangan diturunkan sehingga memberi salam.
9) Salam – tidak perlu ditundukkan muka sebelum memberi salam. Menoleh sejauh mungkin sehingga 180 darjah ke belakang kerana malaikat ramai di sekeliling kita. Begitu juga ketika menoleh ke kiri. Tidak salah jika bahu dialihkan sedikit bagi membolehkan kita menoleh sehingga 180 darjah. Semasa menoleh ke kanan, alihkan sedikit bahu kiri dan sebaliknya.
10) Berdoa sesudah solat – seelok2 duduk ialah dgn melapikkan papan punggung dgn kedua2 kaki. Tgn diangkat separas dada dan berdoalah dlm keadaan tunduk sedikit kerana sekiranya kita berdoa dgn tgn yg tinggi dan mendongak ke langit, itu melambangkan sifat bongkak. Ingatlah, kita sedang menghadap yg Esa.
Seterusnya sebelum selesai ceramah, Ustazah sempat mengingatkan para hadirin bahawa kain yg digunakan ukt solat juga perlu menepati
Ciri2 yg tertentu. Antaranya:-
1) Tidak jarang. Rata2 kain telekung masa kini adalah jarang. Sekiranya kita memakai kain yg jarang dan dapat dilihat tengkuk dan warna kulit, maka solat kita tidak sah. Seelok2nya carilah kain telekung yg tidak jarang (antara caranya ialah dgn menggunakan lapis kain ataupun, pakailah anak telekung atau tudung labuh di dalam dan pastikan sewaktu di rumah, apabila kita solat cuma dgn berbaju sleeveless di dlm telekung, pastikan bahu dan tangan tidak kelihatan warna kulit jika diamati dari luar telekung.
2) Kadang2 sewaktu musafir, ada muslimah yg malas membawa kain solat, sekadar membawa telekung sahaja (tak payah org lain, saya pun begini). Apabila tiba waktu solat, cuma kain di badan sahaja digunakan dan bagi menutupi kaki, kita memakai stokin. Cara ini memang tidak salah, tapi pastikan stokin yg dipakai tidak jarang. Ingatlah sewaktu kita sujud, kain stokin itu akan menegang (stretch) dan manalah tahu, terdedah aurat kita ketika itu lalu tidak sahlah solat. Sebaik2nya pakai stokin yg tebal (Ustazah mencadangkan stokin yg lazim dipakai ketika bersukan) ataupun jika tiada, pakai 2 lapis.
3) Ada kain telekung yg indah bersulam dan berkerawang. Ada yg berlubang2 sehingga di belakang telekung. Adakalanya, bagi mereka yg rambut panjang, jika tidak ditutup betul2 dgn serkup/anak telekung, rambut2 ini akan terkeluar2 di celah2 kerawang telekung. Oleh itu, berhati2lah. Sama2lah kita berusaha memperbaiki solat kita kerana ia adalah tiang agama. Pertama sekali yg akan dihisab di akhirat kelak ialah solat kita. Solat yg baik akan melahirkan peribadi yg baik. Saya akui, terasa agak berat. Pengalaman saya, oleh kerana telekung saya agak jarang, saya kini memakai tudung labuh di dlm telekung setiap kali solat sambil berazam utk membeli telekung yg lebih baik kualitinya. Walaupun kadang2 terasa panas ketika solat saya gagahkan juga. Yg penting, saya mencuba seboleh2nya untuk mendapatkan solat yg diterima Allah, walaupun dari segi khusyuk solat, saya masih merangkak. Yg penting, kita kena ingat, inilah sebahagian persediaan kita utk akhirat, jadi biarlah berbaloi. Jangan pula nanti kita dihisab pula kerana solat yg tak sempurna. Biar susah sekarang, jgn susah di alam baqa’. Sekian saja yg dapat saya kongsi bersama. Sekira2 ada salah dan silap, harap dimaafkan. Segala yg baik itu datang dari Allah s.w.t. dan yg buruk itu dari saya.
Lubuk konten untuk inspirasi bakal – bakal pengantin. Pengantin kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Perkahwinan bukan sekadar membuka rezeki buat kedua-dua pasangan tetapi ia juga memberi peluang kepada kita untuk mengejar pahala dengan lebih banyak lagi. Sebenarnya, pahala lebih mudah untuk kita miliki selepas berkahwin. Walaupun sekadar membuat pasangan kita tersenyum, itu sudah boleh menambah pahala kita.
Banyak perkara yang dilakukan oleh Nabi Muhammad SAW yang boleh kita jadikan contoh. Baginda merupakan seorang suami yang sentiasa menjaga hati isterinya. Terlalu banyak hadis yang menceritakan tentang kebaikan baginda sebagai seorang suami.
Ini antara perkara yang dilakukan oleh Rasulullah yang boleh dijadikan contoh kepada para suami di luar sana. Semoga bermanfaat!
Kredit: Twitter @hafizaquafiz
Baginda berlumba lari dengan Aisyah. Adakalanya Baginda menang dan ada masanya Aisyah menang. (HR Ahmad, Abu Dawud & al-Nasaiiy)
Membuat kerja-kerja rumah (sudah tentu seperti membasuh baju, menjemur baju, sapu sampah, basuh pinggan) ketika baginda berada di rumah. (HR Bukhari)
Menzahirkan kecintaan kepada isteri. Apabila ditanya siapakah wanita paling disayangi, baginda menjawab “Aisyah”. Kalau lelaki? Jawab baginda, “Bapanya”. (HR Bukhari)
Tidak pernah memukul wanita (isteri) dan khadamnya. (HR Muslim)
Melayani isteri ketika sakit malah baginda mengelap air mata Safiyyah ketika dia menangis. (HR Nasaa’iyy) Adakalanya baginda meniup isteri-isterinya yang sakit dengan bacaan surah 3 qul -al-mu’awwizat. (HR Muslim)
Tetap mengingati kebaikan isteri telah meninggal dan amat menghargai kebaikan, kecantikan dan sumbangan mereka. Nabi tidak pernah melupakan Khadijah malah sering menyebut namanya sehingga Aisyah rasa cemburu. (HR Bukhari)
Amat romantik sehingga berkongsi gelas dengan isteri. Malah, baginda minum ikut tempat yang ada kesan mulut isterinya tanpa rasa jijik. (HR Muslim)
Hubungan cinta itu cukup mengasyikkan hingga kadang kala membuatkan kita lupa tentang musibah yang bakal menimpa. Jika tidak berwaspada, hubungan cinta yang dijalinkan boleh membawa bencana sekal igus mengundang ketidakpuasan daripada semua pihak.
Kini dengan teknologi yang serba moden seperti wujudnya laman media sosial, siapa sangka dari situ boleh tercetusnya bibit-bibit cinta antara dua jiwa hingga membawa hubungan tersebut ke gerbang perkahwinan.
Bahkan, ada yang sanggup melakukan hubungan cinta yang sukar untuk diterima akal dek kerana wang dan harta semata-mata. Pengantin senaraikan 8 jenis hubungan cinta yang tidak masuk akal dan membuatkan anda terkejut!
1. CINTA GANTI TIKAR
Pernah terjadi situasi di mana ada individu yang menjalinkan hubungan cinta dengan sahabat bekas kekasih. Ada baiknya jika menjalinkan hubungan istimewa dengan individu lain yang tidak berkaitan langsung dengan bekas kekasih kerana ini baik untuk mengelakkan situasi kurang senang yang terus berlarutan dengan sahabat.
2. CINTA KILAT
Biarpun hadirnya sepantas halilintar yang menyambar, ada baiknya jika anda sentiasa berwaspada. Ianya bukan lagi nyata apabila si dia menyatakan yang dirinya sudah jatuh cinta dalam masa beberapa hari sahaja kerana takut hanya berdasarkan kata manis sahaja. Kebiasaannya cinta sebegini hadir sekadar untuk memenuhi ruang hati yang kekosongan dan bersifat sementara. Seperti mana pantasnya ia datang, begitu juga pantasnya ia diakhiri.
3. CINTA MAJIKAN
Ruang pejabat bukan sekadar jentera penggerak kerjaya seharian. Kisah cinta pejabat paling klise adalah hubungan cinta antara majikan dan pekerja. Selain menjadi buah mulut rakan sejawat, hubungan cinta antara majikan dan pekerja juga mendatangkan kesan negatif kepada prestasi mutu tugasan dan tentu sekali sikap profesionalisme dalam kerjaya sukar dicapai.
4. CINTA SEJENIS
Mana-mana agama sekali pun tidak pernah merestui hubungan sejenis. Memang benar cinta itu buta dan tiada sempadan usia, jantina atau taraf tetapi menjalinkan cinta dengan kaum sejenis seharusnya dielakkan kerana ia ditentang oleh agama dan norma masyarakat. Jadi jangan sesekali nak cuba-cuba!
5. CINTA WARIS
Ada sesetengah ibu bapa yang mahu merapatkan kembali hubungan kekeluargaan dengan menjodohkan cinta anak-anak dengan sepupu mereka sendiri atau yang seumpamanya. Kononnya enggan pertalian darah dan harta kekayaan jatuh ke tangan keturunan lain. Tetapi fikirkan kembali jika hubungan terjalin itu kurang berjaya, seluruh keluarga dan keturunan pula yang jadi bahan cerita.
6. CINTA KEKASIH ORANG
Tindakan menjalin hubungan cinta dengan seseorang yang sudah berpunya tidak kira suami, isteri, tunangan dan kekasih orang lain) ibarat sengaja memperjudikan hati dan perasaan sendiri. Apatah lagi jika anda diletakkan sebagai pilihan ke dua? Risiko anda dijadikan boneka tempat melepas kesepian juga amat tinggi.
Malah, jika hubungan anda dan dia dapat dihidu dan dijejaki kekasihnya, pasti perang dunia ke-3 akan melanda. Elak menyandang gelaran orang ke-3, perampas atau seumpamanya kerana ianya tidak akan kekal lama.
7. CINTA OBSESI
Menyintai dan dicintai memang mengasyikkan tetapi jangan sesekali menunda perasaan cinta kepada perasaan yang sangat obses. Komited dengan percintaan memang perlu tetapi biarlah berpada-pada. Cinta obses adalah cinta yang tidak berlandaskan rasional akal sebaliknya mempertaruhkan perasaan, hati dan jiwa sepenuhnya.
Elakkan daripada terlalu mengagungkan cinta dan pasangan kerana sekiranya cinta obses yang anda miliki gagal di pertengahan jalan, kemungkinan anda terlibat dengan gejala negatif seperti membunuh diri atau menempah nasib yang buruk pada diri.
8. CINTA NAFSU
Cinta yang lahir atas sebab nafsu semata-mata tidak akan kekal lama. Selalunya individu yang tergolong dalam cinta seperti ini adalah mereka yang lemah dengan kata-kata pujian, sanjungan mahupun pujuk rayu seseorang. Jangan sekali terperangkap dengan kisah cinta begini kerana apa yang pasti anda sedang menempah masa depan yang berakhir dengan tangisan air mata dan maruah yang tercalar.
Lubuk konten untuk inspirasi bakal – bakal pengantin. Pengantin kini di seeNI. Download seeNI sekarang!