Bagi pasangan suami isteri yang bekerja, tak mudah nak cari pengasuh yang baik dan ikhlas jaga anak. Risau, tambahan pula sudah banyak kes yang melibatkan deraan anak oleh pengasuh. Lagi teruk sampai ada kes liwat dan rogol dengan ahli keluarga pengasuh. Nauzubillah… moga anak-anak kita sentiasa dalam lindungan Allah SWT.
Buat mak ayah yang masih bimbang memikirkan tentang pengasuh, jemput baca tip daripada ibu muda Puan Nadia Bakar, yang mana dia juga meletakkan anak di rumah pengasuh dengan mengamalkan beberapa tip ini. Mungkin ini rezeki. Kesemua pengasuh yang kami dapat baik-baik belaka. Dah ramai juga bersilih ganti waktu pengasuh tetap perlu bercuti, tetapi semuanya sangat bagus dan menyenangkan.
Alhamdulillah.
.
Biasanya ada 7 perkara yang saya sentiasa buat ketika di dalam proses mencari dan apabila sudah berjumpa pengasuh yang terbaik buat anak-anak saya.
1. Sentiasa mulakan dengan doa
Saya belajar tentang “doa dulu” sewaktu nak cari pengasuh lepas bersalinkan anak kedua, Annur. Waktu tu memang “terpaksa” minta sungguh-sungguh pada Allah sebab pengasuh yang sepatutnya kami dah janji nak jumpa tiba-tiba dapat kerja di tempat lain. Ya Allah!
Lagi seminggu saya dah nak masuk kerja semula ni. Mana pulak nak cari pengasuh dalam masa yang singkat? Dalam pada susah hati tu, tiba-tiba terdetik. “Apa kata aku cuba doa yang spesifik?” Waktu tu saya minta nak pengasuh yang baik, sama wavelength, yang boleh tolak ansur dengan kami, yang sayang anak kami macam anak dia sendiri.
Ads
Walau kita usaha macam mana sekalipun, tetaplah perlu minta petunjuk Allah sebab Dia jauh lebih tahu apa yang terbaik untuk kita kan? Jadi, nak tak nak kena letak doa sebagai usaha pertama. Nak tahu, esoknya kami dapat pengasuh yang sama macam dalam doa saya. Sampai hari ni pun masih meremang lagi bila cakap pasal pengasuh yang ini.
2. Sentiasa kenali pengasuh
Bab ni paling penting. Walau macam mana sibuk sekalipun, mesti selidik dulu siapa yang bakal menjaga anak-anak sementara kita pergi kerja. Risik-risik daripada jiran tetangga pengasuh juga. Inilah orang yang akan gantikan kita sebagai ibu bapa setiap hari. Pengasuh bukan semata-mata jaga makan minum anak kita saja tau. Secara tak langsung mereka juga terlibat dalam proses membina diri anak kita. Pakat-pakat dengan suami, pergi ke rumah pengasuh. Sembang-sembang. Dari situ kita dapat gambaran macam mana tempat yang anak kita akan duduk nanti.
3. Upah pengasuh
Biar pengasuh yang tetapkan harga. Muliakan perkhidmatan mereka. Kita tak perlu pandai-pandai nak letak harga dulu. Jika rasa kurang mampu dan nak minta kurang, mohon budi bicara pengasuh dan sertakan sebab kita sekali. Secara fitrahnya, orang takkan buat sesuatu tanpa kita bagi tahu sebabnya. Ada rezeki, pengasuh pun faham dan rela untuk kurangkan harga.
Ads
4. Mudahkan kerja pengasuh
Bekalkan makanan, pakaian dan keperluan asas anak-anak secukupnya. Kalau tak cukup, pengasuh pun susah hati. Contohnya, jika anak menyusu susu perahan. Tuang siap-siap ke dalam botol untuk sekali minum (per feeding). Mudah untuk pengasuh terus beri anak kita susu nanti.
Tidaklah pengasuh merungut di belakang kita sebab dia rasa susah bagi susu perahan beku yang perlu dicairkan terlebih dahulu sedangkan anak kita dah meraung-meraung kelaparan. Mana nak kisahkan susu lagi, anak kita lagi. Saya pernah terbaca kisah pengasuh yang suruh si ibu belikan susu tepung sebab susah nak handle susu perahan. Sedangkan tinggi harapan kita nak menyusukan anak dengan susu perahan sampai 2 tahun. Mudahkan kerja orang, Tuhan akan mudahkan urusan kita kan?
5. Hargai dan sayangi pengasuh
Kita rasa kalau majikan layan kita baik-baik macam keluarga dia sendiri, kita gembira tak? Bila pergi bercuti, beli buah tangan untuk pengasuh. Bila dapat bonus, hulurlah sedikit bonus juga. Bila dekat-dekat raya, beri duit raya. Boleh juga bayar lebih sikit setiap bulan sebagai sedekah. Sesekali bawa pengasuh makan best-best di luar. Untung-untung Allah lapangkan pintu rezeki buat kita dan jadi saham di akhirat nanti. Bukan senang tugas seorang pengasuh. Kita yang ibu bapa kandung ni pun berapa kali dah bertukar jadi “mak pak kau hijau” kat rumah kan?
Ads
Bila pengasuh gembira, selalunya dia akan jauh lebih gembira dan redha untuk jaga anak-anak kita. Silap-silap hari cuti pun dia minta hantar anak-anak ke rumahnya. Serius.
6. Jangan sesekali menipu
Bab ni paling dibenci oleh sesiapa pun kan. Kita sendiri pun tak suka ditipu. Jadi, kalau kita ada hal peribadi di luar yang menyebabkan pengasuh terpaksa jaga anak kita lebih masa atau waktu yang sepatutnya pengasuh cuti (selalunya hujung minggu), cerita betul-betul pada pengasuh.
Makcik, hari ni saya cuti. Tapi saya kena pergi Damansara, ada urusan peribadi sikit. Selalunya pengasuh boleh bertolak ansur kalau kita ni banyak menyenangkan dia. Malah dia sentiasa berbesar hati untuk tolong kita.
7. Teruskan berdoa dan berdoa
Bila kita dah pun usahakan apa yang patut, jangan lupa untuk berdoa buat pengasuh dan anak-anak kita. Setiap hari. Doakan pengasuh diberikan kesihatan yang baik, diluaskan pintu rezeki dan dipermudahkan segala urusannya. Semoga Allah pelihara keselamatan pengasuh dan anak-anak kita sepeninggalan kita untuk bekerja. Boleh juga amalkan doa dengan Asmaul Husna.
Ya Hafiz, Ya Hafiz, Ya Hafiz, Ya Allah. Ya Allah yang Maha Memelihara. Kau peliharalah keselamatan pengasuh dan anak-anak kami. Hanya Kau sebaik-baik pemelihara.
Lubuk konten untuk inspirasi bakal – bakal pengantin. Pengantin kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Asam garam rumah tangga, semua orang pernah melakukan silap. Namun, apa yang jadi persoalannya adakah anda selesaikannya atau anda biarkan sahaja? Memperbaiki kesilapan adalah perkara penting dalam kunci rumah tangga bahagia.
Namun begitu, anda harus beriltizam supaya tidak melakukan kesilapan yang sama berulang kali supaya kehidupan perkahwinan anda adalah dalam fasa yang cukup menggembirakan hingga ke hujung nyawa. Di sini kami akan kongsikan antara kunci kebahagiaan rumah tangga.
1. Jangan cuba tukar sikap pasangan
Kunci rumah tangga bahagia yang pertama adalah tidak cuba tukar sikap pasangan anda. Inilah masalah perkahwinan yang sering membelenggu apabila anda cuba tentukan apa yang boleh dan apa yang tak boleh dilakukan pasangan. Sebagai suami isteri, anda perlu saling menerima antara satu sama lain dan sedia terima kelemahan dan kelebihan pasangan itu.
2. Tidak berubah sebab orang lain
Kunci rumah tangga bahagia yang lain adalah jadi diri sendiri. Pendek kata, tak berpura-pura di hadapan pasangan. Namun begitu, jangan tertekan jika tak dapat penuhi apa yang pasangan inginkan. Tapi anda boleh cuba menjadi yang terbaik buat dirinya.
3. Buang perkataan ‘bercerai’
Ini juga sering terjadi pada pasangan yang masih ‘mentah’ dalam rumah tangga. Bila bergaduh sikit mula minta cerai. Sedangkan ada banyak cara lain yang boleh dilakukan untuk atasi masalah ini, bukan dengan perceraian saja. Sebab itu kedua-dua pasangan kena saling memaafkan dan tidak teruskan pertengkaran supaya tak jadi lebih rumit.
4. Berkomunikasi antara satu sama lain
Komunikasi adalah sangat penting dalam rumah tangga. Jangan disebabkan nak ‘menang’ hingga anda merendahkan martabatkan suami. Cuba bertolak ansur dan jadi pasangan yang terbaik kerana dengan berkomunikasi secara berhemah dapat selamatkan perkahwinan anda.
5. Cuba bertenang
Bila bergaduh, jangan menggunakan perkataan yang tidak sopan dan senonoh. Sebaiknya bercakap secara lembut untuk menyelesaikan masalah.
6. Ucap maaf jika buat silap
Semua orang melakukan kesilapan, jadi jika anda ada melakukan silap yang telah menguris hatinya. Ucaplah perkataan ‘maaf’. Tidak susah pun hanya perlu memberitahu sahaja.
7. Beri ruang antara satu sama lain
Semua orang perlukan ruang untuk diri sendiri, termasuklah pasangan yang sudah berkahwin. Ada kalanya anda memerlukan waktu dan masa anda sendiri untuk menenangkan fikiran dan sebagainya.
8. Beri kepercayaan terhadap pasangan
Kpercayaan merupakan kunci utama untuk rumah tangga bahagia. Oleh itu, jangan menuduh tanpa usul bukti. Sebaiknya tanya terlebih dahulu.
9. Elakkan membebel pada pasangan
Sudah menjadi kebiasaan seorang isteri akan kuat membebel lebih daripada suami. Sebab itu, suami jangan terkejut jika semasa bercinta, isteri kelihatan lembut dan bersopan santun saja. Tapi lepas berkahwin, bagaikan mulut murai ada saja yang tak kena di matanya. Namun begitu, isteri cuba kurangkan sikap membebel itu kerana suami anda kurang gemarkannya.
10. Jangan lupa hubungan intim
Biasanya bila sudah ada anak, ada ketikanya pasangan suami isteri sedikit mengelak untuk melakukan hubungan intim dan rasa tidak perlu melakukannya. Sedangkan hubungan kelamin itu dapat mengeratan ikatan kasih sayang antara kedua-duanya.
Lubuk konten untuk inspirasi bakal – bakal pengantin. Pengantin kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Alamak…lagi beberapa hari sahaja lagi majlis akad nikah. Tiba-tiba pula muncul jerawat sebutir ni. Nak tutup dengan make up nanti lambat sembuh dan berparut pula. Memanglah jerawat tak kelihatan tapi kulit akan jadi tak sihat!
Jangan risau. Ada jalan penyelesaian yang boleh anda cuba. Janganlah panic terlalu awal. Ada 5 bahan alami yang boleh anda gunakan. Semuanya ada di dapur. Rajin-rajin jengah dapur kalau nak cari alternatif semula jadi.
Jus lemon
Perahan air jus lemon berbentuk acidic. Jadi ia sangat sesuai membunuh kuman dan mengecutkan jerawat. Caranya mudah sahaja. Perah jus lemon dan ambil bebola kapas. Celupkan sedikit jus lemon dan tekapkan pada jerawat selama 20 minit dan bilas. Rasa sedikit pedih tapi tahanlah! Lakukan dua tiga kali sehari untuk kesan lebih cepat.
Bawang putih
Potong bawang putih kepada dua dan tekapkan pada jerawat sehingga jus bawang putih melekat pada jerawat. Jus ini mengandungi sulfur yang merawat jerawat dengan cepat. Jika anda tak suka bau bawang putih, mungkin kali ini anda terpaksa hadapinya sekejap sahaja!
Pes serbuk kunyit
Ya, serbuk kunyit yang sering digunakan untuk dilumur pada ikan dan ayam goreng tu. Ambil sesudu serbuk kunyit dan titiskan sedikit air. Sapu pada jerawat beberapa minit. Ulangi sehingga jerawat hilang.
Ubat gigi
Sebelum tidur, biasanya kita akan berus gigi dahulu kan? Kali ini, ada dua perkara yang perlu anda lakukan iaitu memberus gigi dan menyapu ubat gigi pada jerawat di wajah. biarkan semalam, dan bersihkan keesokannya hari.
Ais
Ketulan ais juga boleh membantu mengecilkan jerawat. Jika anda hendak tahu, ketulan ais juga boleh membuatkan solekan tahan lebih lama. Sebelum disolek pada hari bahagia, sapu ketulan ais di seluruh wajah. sejuk…tapi anda tentu mahu kelihatan cantik kan?
Lubuk konten untuk inspirasi bakal – bakal pengantin. Pengantin kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Sebagai seorang yang beragama islam, kita patut tahu jenis-jenis nikah yang diharamkan. Bukan semua pernikahan itu dibenarkan dalam Islam. Ada juga bentuk-bentuk pernikahan yang sebenarnya dilarang daripada kita meneruskannya, bagi melindungi diri kita. Antara-antaranya :
1. Nikah Syighar
Nikah syighar berlaku apabila berlaku satu pertukaran atau perjanjian lain, sebelum pernikahan itu boleh berlaku.
Sebagai contoh, lelaki A yang berjanji untuk menikahkan anaknya dengan lelaki B dengan syarat lelaki B perlu menikahkan anak perempuannya dengan lelaki A. Apabila berlaku perjanjian seperti itu, pernikahan tersebut adalah haram di sisi Islam.
2. Nikah Tahlil
Nikah tahlil ini adalah nikah yang selalu masyarakat kita gelarkan sebagai kahwin cina buta, di mana seorang lelaki lain berkahwin dengan seorang wanita yang sudah diceraikan talak tiga hanya atas permintaan bekas suami wanita tersebut. Pernikahan ini haram dan talak kepada wanita tersebut masih lagi berjalan.
3. Nikah Mut’ah
Nikah mut’ah amat popular di kalangan sesetengah masyarakat kita yang mengamalkannya, kerana pernikahan ini mempunyai kontrak seperti pernikahan selama 1 hari, satu minggu atau satu bulan.
4. Nikah semasa tempoh iddah wanita
Pernikahan semasa tempoh iddah adalah tidak dibenarkan kerana tempoh iddah adalah wajib dipatuhi bagi wanita yang diceraikan atau kematian suami.
5. Nikah dengan orang Kafir
Tidak dibenarkan sama sekali seorang lelaki atau wanita Muslim mengahwini seseorang individu yang bukan beragama Islam. Isu ini timbul kerana wujud beberapa negara yang membenarkan individu Islam di negara itu berkahwin dengan individu bukan Muslim. Walaupun secara undang-undang,pernikahan itu sah tetapi dari segi hukum, perkara itu bertentang dengan syariat.
6. Nikah dengan saudara ibu susu
Jika seseorang itu sudah pun disahkan berkongsi susu dengan seorang wanita, maka sebarang pernikahan di antara kedua-duanya adalah haram untuk diteruskan.
7. Nikah diantara dua individu yang mempunyai nasab
Nasab atau hubungan kekeluargaan membataskan pernikahan jika wujud. Rasanya kita sudah jelas tentang siapa nasab, namun perlu diingatkan yang yang serupa dengan info nombor 6 di atas, ibu susuan seorang lelaki adalah haram untuk dinikahinya.
8. Nikah diantara seorang individu dan gigolo/pelacur
Pernikahan di antara seorang individu dengan individu lain yang diketahui melakukan pekerjaan haram sebagai gigolo atau pelacur adalah haram kerana pernikahan itu membenarkan zina dan ditakuti tidak diketahui siapa ayah kepada anak yang lahir, jika si pelacur itu mengandung. Walaupun begitu, jika berlaku pernikahan antara seorang individu dengan bekas pelacur yang telah pun insaf dan berjanji untuk tidak melakukan perbuatan terkutuk itu lagi, pernikahan itu dibenarkan.
9. Nikah dengan lebih empat wanita
Poligami hanya membenarkan seorang lelaki Muslim mengahwini 4 orang wanita secara serentak. Jika lelaki tersebut ingin mengahwini seorang lagi isteri, dia perlu menceraikan salah satu isterinya. Ini berdasarkan kisah Ghailan bin Salamah yang mempunyai 10 isteri dan ingin kembali pada Islam dan Rasulullah memerintahkan dia memilih 4 orang isteri untuk diteruskan pernikahan mereka.
Tambahlah ilmu jika jahil, dan sampaikan ilmu andai mengetahui. Jangan sampai kita tergolong dalam golongan yang sesat.
Lubuk konten untuk inspirasi bakal – bakal pengantin. Pengantin kini di seeNI. Download seeNI sekarang!