Buat bakal-bakal mempelai yang bakal melangsungkan perkahwinan, bajet antara perkara utama yang perlu difikirkan. Maka sebab itulah merancang perbelanjaan untuk majlis perkahwinan perlu diatur dengan sebaik mungkin.
Setiap tahun purata bajet majlis perkahwinan terus meningkat. Memang logiklah ramai yang terpaksa menangguhkan hasrat berkahwin sebab nak kumpul modal terlebih dahulu. Ada juga yang terpaksa meminjam duit dan membuat pinjaman peribadi semata-mata nak melangsungkan perkahwinan dengan segera.
Satu situasi yang tidak sihat untuk kewangan sendiri, sebenarnya:
*Jadi raja sehari, tetapi hamba bank bertahun-tahun.
*Jadi, bagaimana cara nak kurangkan bajet persediaan majlis perkahwinan agar tidak terbeban dengannya?
Jom kita lihat tip yang boleh dilakukan. Sebelum itu, suka diingatkan, tip yang dikongsikan nanti bukan sesuai untuk semua orang dan semua situasi, tetapi sama-samalah jadikan panduan dan ubahsuai mengikut kesesuaian sendiri.
TETAPKAN PERBELANJAAN YANG PENTING TERLEBIH DAHULU
Cuba lihat balik gambar peratus pecahan purata bajet majlis perkahwinan yang dikongsikan di atas.
Daripada bajet purata RM 50,000 yang dinyatakan, jom kita lihat nilai bagi setiap pecahan:
• Resepsi (majlis kenduri, lokasi majlis, kek) = 42% (RM 21,000)
• Fotografi & videografi = 13% (RM 6,500)
• Pelamin, bunga & dekorasi = 10% (RM 5,000)
• Baju pengantin, aksesori, solekan = 10% (RM 5,000)
• Hiburan (DJ, lagu, PA sistem) = 6% (RM 3,000)
• Majlis akad nikah = 6% (RM 3,000)
• Jemputan (kad jemputan kahwin, setem, bunting, banner) = 3% (RM 1,500)
• Perbelanjaan-perbelanjaan lain (goodies, door gift, barang hantaran) = 10% (RM 5,000)
Kalau berkemampuan, memang tidak menjadi masalah untuk menampung semua perbelanjaan kahwin di atas. Tetapi, jika tak mampu, sebenarnya banyak perkara boleh dilakukan untuk memotong dan mengurangkan perbelanjaan-perbelanjaan di atas.
Sebagai contoh:
• Pilih lokasi majlis yang tidak memerlukan kos tinggi. Dewan serbaguna dan rumah sendiri (jika ada ruang luas) adalah pilihan lebih murah berbanding hotel dan restoran mewah.
• Hadkan bilangan menu makanan kenduri. Yang penting adalah menu utama iaitu nasi, lauk pauk dan air minuman. Menu-menu tambahan lain seperti burger, murtabak, cendol, roti john, kambing bakar; pilih jika berkemampuan sahaja.
• Pilih pakej fotografi dan videografi yang asas pun sudah memadai. Tak perlu nak pilih pakej advance yang complete 3 hari 3 malam, nanti macam nak buat filem pula.
• Pelamin juga boleh pilih pakej yang simple. Saya dulu pun pilih pakej mini pelamin bertunang untuk majlis perkahwinan, memang lebih jimat. Untuk hiasan bunga dan dekorasi pula, sewa sekali dengan pakej pelamin. Lebih jimat berbanding beli.
• Untuk baju pengantin, menyewa dengan butik pengantin adalah lebih murah berbanding menempah khas. Kalau nak tempah juga, pastikan baju pengantin tersebut boleh digunakan juga pada waktu dan majlis lain, bukan sekadar pada hari majlis perkahwinan sahaja.
• DJ dan PA sistem jika tidak ada pun tidak mengapa. Boleh sahaja pasang lagu dan muzik daripada komputer atau pun laptop. Bukan semua tetamu suka muzik yang kuat dan bingit.
• Pilih barang hantaran kahwin yang berpatutan dan praktikal. Menghadiahkan set perfume mahal kepada orang yang memang tak suka pakai perfume adalah satu pembaziran. Last-last, dibiarkan sahaja nanti sampai hilang wanginya.
Ads
• Kad jemputan kahwin, kalau boleh buat satu untuk kedua-dua belah majlis pihak lelaki dan perempuan. Lebih jimat berbanding buat berasingan sebab kuantiti lebih banyak.
Dan banyak lagi yang boleh dilakukan untuk kurangkan bajet, cuma perlu ikut kemampuan, kehendak dan kreativiti sendiri.
Jadi, sekarang sepatutnya anda SUdah senarai pendekkan perbelanjaan-perbelanjaan penting untuk majlis perkahwinan nanti. Kalau boleh, letakkan sekali anggaran kos yang mampu bagi setiap perkara tersebut, kemudian kira jumlah keseluruhan kos.
Kalau rasa mampu dengan jumlah kos tersebut, boleh teruskan. Kalau rasa tak mampu, cuba ubah lagi sehingga dalam lingkungan kemampuan.
BERBINCANG DENGAN BAKAL PASANGAN
Kalau ada ruang dan peluang, berbincanglah dengan bakal pasangan tentang bajet majlis perkahwinan. Penting untuk kedua-dua bakal pasangan faham tentang tahap kewangan sendiri dan buat perbelanjaan persiapan majlis perkahwinan mengikut kemampuan.
Perlu bersama-sama fikir dan pikul beban untuk majlis perkahwinan sendiri. Jangan diharapkan kepada sebelah pihak sahaja. Apa-apa yang boleh dikongsi kosnya, berkongsilah.
Bincangkan juga tentang jumlah wang hantaran kahwin dan juga barang-barang hantaran yang penting jangan sampai membazir dan membebankan..
Jangan demand yang bukan-bukan, kasihan nanti bakal pasangan nak sediakan semuanya.
Kata nak sehidup semati till jannah, jadi perlulah lepasi cabaran persiapan majlis perkahwinan ini terlebih dahulu. Pesan pada bakal pasangan, majlis kahwin sehari dua sahaja, tak perlu nak habiskan banyak duit. Nanti, lagi banyak duit diperlukan untuk teruskan kehidupan selepas berkahwin.
BERTERUS-TERANG DENGAN AHLI KELUARGA
Bakal pasangan dah bersepakat untuk mengadakan majlis perkahwinan secara sederhana mengikut kemampuan masing-masing, tetapi apabila dikhabarkan kepada ahli keluarga terdekat, mereka meminta lebih lagi.
Alasan biasa, takut malu dengan jiran tetangga, rakan taulan dan saudara mara lain sebab majlis ringkas dan sederhana. Inilah dilema ramai bakal pasangan pengantin sekarang.
Nak diikut kehendak sendiri, tak memenuhi kehendak keluarga.
Nak diikut kehendak keluarga, tak sepadan pula dengan kemampuan sendiri. Antara penyelesaiannya, berterus-teranglah dengan ahli keluarga tentang kemampuan kewangan sendiri. Tunjukkan jumlah duit simpanan yang mampu diperuntukkan untuk majlis kahwin.
Berbincang baik-baik dengan ahli keluarga tentang persiapan majlis perkahwinan supaya sesuai dengan kemampuan.
Di sinilah pentingnya sikap toleransi dengan kehendak ahli keluarga, dan pada masa sama tegas dengan had kemampuan sendiri. Kalau tak berjaya juga, boleh dapatkan bantuan orang berpengaruh ke atas keluarga anda, contohnya tok imam, tuan guru, pakcik, makcik atau sesiapa sahaja.
Ads
Insya Allah, ahli keluarga akan dapat memahami. Untung-untung, mereka turut sama-sama menghulurkan duit untuk menanggung kos majlis kahwin nanti.
TANYA ORANG BERPENGALAMAN
Apabila merancang persiapan majlis perkahwinan, kalau boleh jangan syok sendiri. Takut nanti banyak perancangan yang dibuat tidak menjadi atau menyebabkan pembaziran.
Dapatkan nasihat dan pandangan daripada ahli keluarga dan saudara mara, tapi jangan sampai terikut-ikut kehendak mereka sehingga membebankan diri. Ahli keluarga boleh memberi nasihat tentang jumlah tetamu yang patut dijemput, lokasi majlis, menu makanan kenduri yang sesuai dan juga jumlah barang-barang hantaran.
Tanya juga rakan-rakan yang baru melangsungkan perkahwinan, dapatkan pengalaman mereka menguruskan majlis mereka.
Tanya mereka perkara-perkara yang perlu dibuat dan dielakkan dalam persediaan majlis perkahwinan.
Dapatkan juga contoh bajet dan kos yang mereka keluarkan sebagai panduan untuk bajet anda pula. Boleh juga dapatkan maklumat daripada laman-laman web dan blog-blog yang banyak memberi panduan berkenaan persiapan majlis perkahwinan.
BUAT BAJET DAN CUBA PATUHI
Selepas puas berfikir, berbincang dan mendapatkan maklumat, sekarang boleh sediakan bajet majlis perkahwinan sendiri. Senaraikan semua perkara yang diperlukan berserta anggaran kos.
Buat column kos anggaran dan sebenar untuk memudahkan pemantauan, contohnya seperti ini: Patuhi bajet yang dibuat ini, dan pastikan kos sebenar tidak jauh beza dengan kos anggaran.
Setiap kali keluarkan duit untuk perbelanjaan perkara-perkara yang disenaraikan, catat dan lihat perbezaan dengan anggaran yang ditetapkan. Dengan cara sebegini, keseluruhan bajet majlis perkahwinan anda nanti tidak akan jauh berbeza dengan kemampuan yang ditetapkan.
RAJINKAN DIRI KE EKSPO PERKAHWINAN
Kalau ada ekspo perkahwinan yang dianjurkan berdekatan dengan tempat anda, rajin-rajinkan diri untuk hadir. Senang, ramai perancang perkahwinan, penjual dan vendor berkumpul di bawah satu bumbung, jadi mudah untuk merancang persiapan majlis perkahwinan.
Boleh survey harga, boleh survey pakej-pakej yang sesuai. Mana tahu, boleh dapat tawaran menarik pada harga berpatutan, jadi boleh jimat banyak. Cuma, apabila berurusan di ekspo, pastikan berurusan dengan penjual atau vendor yang betul-betul wujud dan ada kedai atau butik sendiri.
Ads
Kalau buat apa-apa bayaran, pastikan ada resit bayaran yang sah dan lebih baik lagi jika ada perjanjian bertulis. Bukan apa, sebab ada juga terdengar ramai bakal pengantin tertipu apabila berurusan di ekspo perkahwinan.
Tawaran yang diberikan memang menarik, tetapi rupa-rupanya penjual menipu. Jadi, hati-hati apabila berurusan di ekspo perkahwinan.
PERBANYAKKAN DIY
Kalau nak kawal dan jimat kos majlis perkahwinan, perbanyakkan Do-It-Yourself (D.I.Y.)
Contohnya, boleh gubah barang hantaran kahwin sendiri, jadi tak perlu upah orang lain untuk gubah.
*Kalau pandai menjahit, boleh jahit sendiri baju pengantin.
*Kalau pandai graphic design, boleh buat sendiri kad jemputan kahwin.
Boleh buat kek sendiri sebagai kek pengantin, atau pun buat tart atau kuih-muih untuk dijadikan goodies kepada tetamu. Boleh juga buat aiskrim Malaysia untuk diberikan kepada tetamu kanak-kanak nanti.
Gunakan kreativiti untuk buat dekorasi pada majlis perkahwinan nanti, contohnya gunakan belon, kain renda atau pun barang-barang terpakai. Ini contoh majlis perkahwinan yang banyak gunakan elemen D.I.Y., memang boleh jimat banyak.
Bagaimanapun harus diingat, jangan pula nanti nak buat semua sendiri sahaja. Nanti penat pula, dah tak berseri muka nanti pada hari perkahwinan.
Dapatkan juga bantuan daripada hali keluaga dan juga kawan-kawan yang sudi membantu.
Hari majlis anda, orang lain yang tolong, nanti apabila majlis orang lain pula, jangan lupa untuk balas budi ya.
GABUNG MAJLIS
Kalau pengantin lelaki dan perempuan tinggal berdekatan, boleh bincang dengan ahli keluarga untuk gabungkan majlis dan buat satu sahaja.
Bukan itu sahaja, kalau ada adik-beradik yang turut sama nak berkahwin dalam masa terdekat, boleh turut bergabung sekali.
Memang banyak boleh jimat, malah boleh buat lebih meriah dengan bajet lebih rendah.
SERTAI KAHWIN BERAMAI-RAMAI
Di sesetengah negeri, terdapat agensi yang menganjurkan majlis perkahwinan beramai-ramai. Jadi, tidak salah untuk turut sama menyertainya. Boleh jimat belanja kos majlis perkahwinan, malah berpeluang untuk mendapat bantuan atau hadiah daripada penganjur lagi.
Selepas sudah selesai majlis perkahwinan beramai-ramai, boleh sahaja buat majlis yang sederhana untuk meraikan mereka yang tidak dapat hadir pada majlis sebelumnya.
Kesimpulannya, buat bakal-bakal pengantin, buatlah majlis ikut kemampuan kewangan masing-masing. Fikirkan kehidupan selepas berkahwin yang sudah tentu memerlukan
bajet yang lebih banyak.
Jodoh adalah misteri yang ditentukan tuhan. Ia melibatkan adanya kesamaan antara dua insan yang punya ikatan emosi, spiritual dan fizikal untuk hidup bahagia bersama. Walaupun mungkin anda tidak dapat mengungkapkan misteri itu, namun sekurang-kurangnya anda mampu melihat tanda-tanda bahawa dia pilihan tepat untuk anda.
Oleh itu, perlu untuk anda ketahui tanda-tandanya sebelum anda memastikan dia jodoh anda. Apabila masing-masing dapat merasai kemanisan cinta dan benarlah dia insan yang ditakdirkan untuk hidup bersama anda, jangan sesekali pula anda melepaskan.
“Jangan takut untuk jatuh cinta. Percayalah, ada seseorang yang akan hadir dalam hidupmu, mengubah segalanya dan membuatmu tertawa bahagia…”
1. Terima anda seadanya
Apapun anda sebelum ini atau apa yang pernah anda lakukan dahulu, dia langsung tak ambil kisah kerana yang penting siapa anda sekarang. Dia sedar bahawa setiap manusia ada kelemahan dan keburukan masing-masing. Malah siapalah dia yang ingin menghukum anda atas kelemahan anda itu.
2. Bersahaja di depan anda
Dia tidak berpura-pura menjadi orang lain, bahkan selesa menjadi dirinya sendiri dan bersikap bersahaja di depan anda. Jika anda amati tingkah laku, cara pertuturan, caranya makan dan sebagainya yang menunjukkan sikapnya yang dibuat-buat atau pelik, sah dia berlakon di hadapan anda. Tapi jika dia tampil bersahaja maka benarlah dia calon hidup anda yang tepat.
3. Rasa senang apabila bersamanya
Bukan hanya dirinya, malah apabila berada di sampingnya anda tidak akan rasa jemu. Ini menandakan yang anda miliki kesamaan dengannya. Apabila ada daya tarikan antara anda berdua secara automatiknya akan muncul perasaan tenang, gembira dan rasa tidak tertekan apabila bersama. Malah kehadirannya dalam hidup anda menjadi pengubat ketika anda senang mahupun susah.
4. Sentiasa jujur dengan anda
Kejujuran merupakan kunci utama dalam membina sebuah hubungan. Selagi kejujuran bertakhta di hati, kebahagiaan akan menjadi milik anda berdua. Dengan adanya sikap jujur, hubungan yang terjalin antara anda berdua akan menjadi lebih ikhlas. Namun jika anda miliki pasangan yang tidak jujur maka akan wujud kecurangan dalam hubungan. Sebaiknya gabungkan sikap jujur dan kesetiaan bagi menghangatkan lagi sebuah percintaan yang sejati.
5. Memahami diri anda
Dia hendaklah sentiasa memahami diri pasangannya dan berada bersama anda dalam apa jua keadaan sama ada susah atau senang. Apabila anda hadapi kesulitan, dia berusaha untuk menghulurkan bantuan dan menjadi penawar pada kesulitan yang anda hadapi. Bukan itu sahaja, dia juga sanggup mengharungi ranjau duri yang anda berdua hadapi dalam hubungan.
6. Tidak malu tampilkan kelemahannya
Tiada manusia yang sempurna di dunia ini jadi tidak hairanlah jika kita punya kelemahan tertentu. Apabila dia ditakdirkan untuk menjadi pasangan anda, dia tidak akan pernah menutup kelemahan yang dimilikinya serta bersedia memberitahu anda mengenainya. Memang benar, bukan senang untuk memberitahu dan mengakui kelemahan di hadapan otang yang dicintai. Namun yang baiknya apabila anda berdua tahu kelemahan masing-masing, maka dari situ anda berdua boleh berusaha untuk membaiki kelemahan tersebut menjadi lebih baik.
7. Saling mempercayai antara satu sama lain
Dalam sesebuah hubungan, penting anda dan pasangan miliki sikap saling mempercayai antara satu sama lain. Ia penting bagi mengelakkan timbul rasa ragu-ragu antara anda dan pasangan. Malah apabila ada sikap percaya, hubungan yang dibina akan menjadi lebih tulus. Apabila anda berdua saling mempercayai, pastikan anda berdua akan rasa selamat memberitahu apa jua rahsia kerana anda berdua tahu rahsia itu akan tersimpan kemas dalam diri masing-masing. Bukti cinta sejati adalah melalui kepercayaan dan kejujuran.
8. Dia menginspirasikan anda menjadi lebih baik
Kehadirannya dalam hidup anda membuatkan anda sentiasa rasa bersemangat. Sokongan positif yang sentiasa didorongkan kepada anda membuatkan anda ingin menjadi insan yang lebih baik dari sebelumnya. Hubungan yang saling menyokong antara satu sama lain ini bakal menjadikan hubungan anda berdua lebih berjaya di masa akan datang.
9. Orang sekeliling menerimanya dengan tangan terbuka
Apabila keluarga terutamanya orang tua dan kawan-kawan anda boleh menerima kehadirannya, itu petanda dia jodoh anda. Sudah tentu kehadirannya disenangi oleh orang penting yang ada di sekeliling anda. Penerimaan keluarga dan kawan-kawan anda itu sebagai bukti bahawa mereka yakin dia boleh memberikan kebahagiaan kepada anda hingga akhir hayat.
10. Dapat membayangkan masa depan bersamanya
Apabila anda sudah boleh membayangkan masa depan anda untuk hidup bersama dengannya, memang dialah jodoh anda. Biasanya kalau sesebuah hubungan itu dijalin secara serius, pasangan anda tidak ragu-ragu untuk membincangkan tentang masa depan misalnya tentang tarikh untuk berjumpa orang tua anda, merisik, bertunang dan berkahwin.
11. Dengarkan kata hati
Dengarlah kata hati anda saat anda ingin membuat keputusan untuk hidup bersama seseorang. Manusia dikurniakan Allah dengan deria keenam yang dapat mengetahui dan memahami perasaan pasangan. Dengan deria ini anda akan saling mengetahui perasaan, membaca fikiran dan dapat menduga reaksi serta tindak balas pada situasi tertentu. Apabila ada keyakinan dengan pilihan anda, berdoa dan berserahlah pada ketentuan Ilahi agar jodoh yang ditakdirkan ini tepat untuk anda.
12. Lakukan solat Istikharah dan bertawakal
Jodoh dan pertemuan merupakan ketentuan Allah SWT. Jika dia pilihan anda, buatlah keputusan dengan sebaiknya. Namun jika dia bukan jodoh anda, tolaklah dia dengan sebaiknya. Setelah semuanya diusahakan, berserahlah kepada-Nya. Teruskan berdoa dan lakukan solat Istikharah agar anda diberi petunjuk untuk membuat keputusan yang sebaiknya.
Lubuk konten untuk inspirasi bakal – bakal pengantin. Pengantin kini di seeNI.
Download
sekarang!
Jodoh, ajal dan maut semuanya di tangan Allah. Hanya Allah yang tahu bila jodoh kita akan tiba. Ada sesetengah individu, terpaksa memberi laluan kepada adik mereka untuk berkahwin dahulu kerana jodoh mereka masih belum tiba. Dalam perumpamaan orang dulu-dulu, ia dipanggil ‘langkah bendul’.
‘Langkah bendul’ adalah istilah yang digunakan orang dulu-dulu yang berkaitan dengan seorang adik yang berkahwin dahulu daripada kakaknya. Ia ibarat satu perkara yang bertentangan dengan adat dan budaya masyarakat dahulu. Mungkin ia masih diamalkan lagi orang sesetengah orang pada zaman sekarang.
Bagi mereka, kakak perlu berkahwin terlebih dahulu demi menjaga hati si kakak yang lebih berumur. Jadi, jika si adik ingin berkahwin juga, dia harus menyediakan ‘hadiah’ kepada si kakak. Pada asalnya, ia bukanlah satu perkara yang menyalahi syarak.
Namun, jika ia berlebihan hingga membebankan kepada pasangan yang ingin berkahwin, maka ia menyalahi syarak Islam yang memudahkan perkahwinan. Jadi, kepada anda yang bergelar kakak, jika si adik memaklumkan yang mereka mahu berkahwin, sokonglah mereka. Ini antara perkara yang boleh anda lakukan sebagai tanda sokongan.
1. Sokong Niat Mereka
Walaupun adik bertemu jodoh dahulu sebelum anda, sokonglah niat mereka. Berkahwin lebih baik daripada keluar berdua tanpa ikatan yang halal dan sah. Sokongan keluarga amat diperlukan ketika ini.
2. Jangan Susahkan Perkahwinan Dengan Meminta Hadiah
Jika boleh, tidak perlu meminta hadiah atau sesuatu daripada adik dan bakal pasangannya sebagai ganti kerana mereka berkahwin dahulu. Ia akan menyusahkan adik dan bakal pasangannya. Jika mereka mampu, tidak mengapa. Tetapi jika mereka sendiri tidak mempunyai bajet yang banyak, bantulah dengan meringankan beban mereka.
3. Minta Doa Daripada Adik Anda
Mintalah adik dan bakal pasangannya untuk mendoakan diri anda supaya bertemu jodoh yang baik. Tidak perlu berkecil hati dengan adik anda yang bertemu jodoh terlebih dahulu. Siapa tahu keikhlasan anda serta doa daripada mereka akan memudahkan urusan jodoh anda kelak.
4. Berfikiran Positif & Mendoakan Kebahagiaan Mereka
Janganlah berfikiran negatif. Betulkan minda anda untuk sentiasa berfikiran positif. Bila anda positif, maka anda tidak akan bersedih kerana masih belum bertemu jodoh. Setiap orang ada bahagian masing-masing. Teruskan berusaha untuk mencari pasangan yang baik.
Lubuk konten untuk inspirasi bakal – bakal pengantin. Pengantin kini di seeNI.
Download
sekarang!
Kek dan majlis perkahwinan sememangnya tidak dapat dipisahkan. Tidak lengkap sesebuah majlis perkahwinan tanpa acara memotong kek. Tidak kira besar atau kecil, tradisional atau ringkas sesebuah majlis perkahwinan itu, kek perkahwinan akan menjadi penyeri dan menjadi salah satu aturcara majlis yang ditunggu-tunggu oleh para tetamu jemputan.
Tidak kira dimana, siapa dan tema, kek perkahwinan akan menjadi tumpuan majlis dan acara memotong kek merupakan acara kemuncak dan penutup acara.
Kek perkahwinan memainkan peranan penting sebagai penyeri majlis sama seperti memilih pelamin yang indah-indah. Membeli atau menempah kek perkahwinan bukan sekadar untuk cukup syarat sahaja tetapi memerlukan perancangan awal agar impian untuk memiliki kek perkahwinan impian tercapai. Ada sesetengah kek mengambil masa yang panjang untuk disiapkan terutama dari segi hiasan kerana ada yang perlu ditempah dan ada yang perlu dibuat.
Pada masa kini kebanyakan kek perkahwinan dihasilkan sebagai sebuah karya agung untuk dipersembahkan di hari bahagia pasangan mempelai. Ia juga memberikan nilai sentimental dan kemanisan kepada pasangan pengantin.
Apabila berbicara tentang pemilihan warna kek perkahwinan ia mungkin menjadi satu perkara yang remeh. Pemilihan warna kek perkahwinan yang tepat dan ideal mampu memberi satu nilai tambah yang sempurna untuk sesebuah majlis perkahwinan.
Semak beberapa tip sebelum anda dan pasangan mengambil keputusan untuk memilih warna kek yang disukai agar menjadi penyeri majlis resepsi yang bakal berlangsung.
Putih
Warna putih selalunya menggambarkan kesucian apatahalagi ia cukup sinonim dengan sebuah majlis perkahwinan. Maka tidak hairanlah jika ramai pasangan mempelai memilih kek perkahwinan dengan tema warna putih.
Merah Jambu & Coklat
Rona coklat memberi satu aura yang begitu lembut tatkala digabungkan dengan warna merah jambu. Kedua-dua warna ini apabila bersatu akan mencetuskan mood yang tersendiri. Seakan bersatu, rona coklat dan merah jambu seakan-akan menterjemahkan rasa bahagia yang terpancar pada wajah pasangan mempelai.
Monokrom
Jika anda sukakan warna-warna monokrom, tidak ada salahnya untuk anda memilih warna ini untuk warna kek perkahwinan anda. Tentu sekali ia kelihatan moden dan pastinya unik. Sesuai buat pasangan mempelai yang inginkan sesuatu yang moden dan terkini.
Emas & Putih
Aura mewah dengan biasan rona emas ini pasti memukau setiap mata yang memandang. Lengkapi hiasan dekorasi kek dengan sekuntum bunga yang mekar di tepi kek.
Kuning & Merah Jambu
Kek berwarna kuning pastel apabila diberikan terapan bunga-bungaan hiasan rona merah jambu melengkapi aura feminin. Kombinasi rona kuning dan merah jambu juga sangat sesuai untuk sebuah majlis perkahwinan yang memilih konsep ringkas tetapi moden.
Ombre
Injeks rina ombre merupakan penggunaan garapan warna berkala. Campuran warna emas pada bahagian atas kek menaikkan seri persembahan sesebuah kek perkahwinan. Kebanyakan pasangan pengantin yang memilih warna ombre untuk kek perkahwinan biasanya gemarkan sesuatu yang elegan.
Perak & Putih
Dua rona ini menampilkan sesuatu yang berbeza untuk sebuah seni hiasan dekorasi kek perkahwinan. Penggunaan rona perak bakal menaikkan aura keanggunan sesebuah kek perkahwinan.
Kuning & Coklat
Gabungan rona kuning dan coklat menyaksikan Penyatuan warna yang serasi. Berada dalam kelompok rona-rona senada, apabila diserasikan bersama bakal mencetuskan dimensi dekorasi kek yang sempurna.
Lavender & Lilac
Segar mata memandang. Kek dengan penggunaan rona lavender dan lilac ini mungkin agak jarang menjadi pilihan pasangan mempelai namun jika diaplikasikan dalam seni dekorasi hiasan kek perkahwinan ianya bakal menyaksikan sesuatu yang unik dan lain daripada yang lain.
Merah & Putih
Warna yang pastinya mencetuskan mood romantis. Mainan rona merah dan putih pastinya mampu melontarkan suasana meriah sesebuah majlis resepsi lantas menjadikan majlis tampak lebih meriah.
.
Lubuk konten untuk inspirasi bakal – bakal pengantin. Pengantin kini di seeNI.
Download
sekarang!