Buat bakal-bakal mempelai yang bakal melangsungkan perkahwinan, bajet antara perkara utama yang perlu difikirkan. Maka sebab itulah merancang perbelanjaan untuk majlis perkahwinan perlu diatur dengan sebaik mungkin.
Setiap tahun purata bajet majlis perkahwinan terus meningkat. Memang logiklah ramai yang terpaksa menangguhkan hasrat berkahwin sebab nak kumpul modal terlebih dahulu. Ada juga yang terpaksa meminjam duit dan membuat pinjaman peribadi semata-mata nak melangsungkan perkahwinan dengan segera.
Satu situasi yang tidak sihat untuk kewangan sendiri, sebenarnya:
*Jadi raja sehari, tetapi hamba bank bertahun-tahun.
*Jadi, bagaimana cara nak kurangkan bajet persediaan majlis perkahwinan agar tidak terbeban dengannya?
Jom kita lihat tip yang boleh dilakukan. Sebelum itu, suka diingatkan, tip yang dikongsikan nanti bukan sesuai untuk semua orang dan semua situasi, tetapi sama-samalah jadikan panduan dan ubahsuai mengikut kesesuaian sendiri.
TETAPKAN PERBELANJAAN YANG PENTING TERLEBIH DAHULU
Cuba lihat balik gambar peratus pecahan purata bajet majlis perkahwinan yang dikongsikan di atas.
Daripada bajet purata RM 50,000 yang dinyatakan, jom kita lihat nilai bagi setiap pecahan:
• Resepsi (majlis kenduri, lokasi majlis, kek) = 42% (RM 21,000)
• Fotografi & videografi = 13% (RM 6,500)
• Pelamin, bunga & dekorasi = 10% (RM 5,000)
• Baju pengantin, aksesori, solekan = 10% (RM 5,000)
• Hiburan (DJ, lagu, PA sistem) = 6% (RM 3,000)
• Majlis akad nikah = 6% (RM 3,000)
• Jemputan (kad jemputan kahwin, setem, bunting, banner) = 3% (RM 1,500)
• Perbelanjaan-perbelanjaan lain (goodies, door gift, barang hantaran) = 10% (RM 5,000)
Kalau berkemampuan, memang tidak menjadi masalah untuk menampung semua perbelanjaan kahwin di atas. Tetapi, jika tak mampu, sebenarnya banyak perkara boleh dilakukan untuk memotong dan mengurangkan perbelanjaan-perbelanjaan di atas.
Sebagai contoh:
• Pilih lokasi majlis yang tidak memerlukan kos tinggi. Dewan serbaguna dan rumah sendiri (jika ada ruang luas) adalah pilihan lebih murah berbanding hotel dan restoran mewah.
• Hadkan bilangan menu makanan kenduri. Yang penting adalah menu utama iaitu nasi, lauk pauk dan air minuman. Menu-menu tambahan lain seperti burger, murtabak, cendol, roti john, kambing bakar; pilih jika berkemampuan sahaja.
• Pilih pakej fotografi dan videografi yang asas pun sudah memadai. Tak perlu nak pilih pakej advance yang complete 3 hari 3 malam, nanti macam nak buat filem pula.
• Pelamin juga boleh pilih pakej yang simple. Saya dulu pun pilih pakej mini pelamin bertunang untuk majlis perkahwinan, memang lebih jimat. Untuk hiasan bunga dan dekorasi pula, sewa sekali dengan pakej pelamin. Lebih jimat berbanding beli.
• Untuk baju pengantin, menyewa dengan butik pengantin adalah lebih murah berbanding menempah khas. Kalau nak tempah juga, pastikan baju pengantin tersebut boleh digunakan juga pada waktu dan majlis lain, bukan sekadar pada hari majlis perkahwinan sahaja.
• DJ dan PA sistem jika tidak ada pun tidak mengapa. Boleh sahaja pasang lagu dan muzik daripada komputer atau pun laptop. Bukan semua tetamu suka muzik yang kuat dan bingit.
• Pilih barang hantaran kahwin yang berpatutan dan praktikal. Menghadiahkan set perfume mahal kepada orang yang memang tak suka pakai perfume adalah satu pembaziran. Last-last, dibiarkan sahaja nanti sampai hilang wanginya.
Ads
• Kad jemputan kahwin, kalau boleh buat satu untuk kedua-dua belah majlis pihak lelaki dan perempuan. Lebih jimat berbanding buat berasingan sebab kuantiti lebih banyak.
Dan banyak lagi yang boleh dilakukan untuk kurangkan bajet, cuma perlu ikut kemampuan, kehendak dan kreativiti sendiri.
Jadi, sekarang sepatutnya anda SUdah senarai pendekkan perbelanjaan-perbelanjaan penting untuk majlis perkahwinan nanti. Kalau boleh, letakkan sekali anggaran kos yang mampu bagi setiap perkara tersebut, kemudian kira jumlah keseluruhan kos.
Kalau rasa mampu dengan jumlah kos tersebut, boleh teruskan. Kalau rasa tak mampu, cuba ubah lagi sehingga dalam lingkungan kemampuan.
BERBINCANG DENGAN BAKAL PASANGAN
Kalau ada ruang dan peluang, berbincanglah dengan bakal pasangan tentang bajet majlis perkahwinan. Penting untuk kedua-dua bakal pasangan faham tentang tahap kewangan sendiri dan buat perbelanjaan persiapan majlis perkahwinan mengikut kemampuan.
Perlu bersama-sama fikir dan pikul beban untuk majlis perkahwinan sendiri. Jangan diharapkan kepada sebelah pihak sahaja. Apa-apa yang boleh dikongsi kosnya, berkongsilah.
Bincangkan juga tentang jumlah wang hantaran kahwin dan juga barang-barang hantaran yang penting jangan sampai membazir dan membebankan..
Jangan demand yang bukan-bukan, kasihan nanti bakal pasangan nak sediakan semuanya.
Kata nak sehidup semati till jannah, jadi perlulah lepasi cabaran persiapan majlis perkahwinan ini terlebih dahulu. Pesan pada bakal pasangan, majlis kahwin sehari dua sahaja, tak perlu nak habiskan banyak duit. Nanti, lagi banyak duit diperlukan untuk teruskan kehidupan selepas berkahwin.
BERTERUS-TERANG DENGAN AHLI KELUARGA
Bakal pasangan dah bersepakat untuk mengadakan majlis perkahwinan secara sederhana mengikut kemampuan masing-masing, tetapi apabila dikhabarkan kepada ahli keluarga terdekat, mereka meminta lebih lagi.
Alasan biasa, takut malu dengan jiran tetangga, rakan taulan dan saudara mara lain sebab majlis ringkas dan sederhana. Inilah dilema ramai bakal pasangan pengantin sekarang.
Nak diikut kehendak sendiri, tak memenuhi kehendak keluarga.
Nak diikut kehendak keluarga, tak sepadan pula dengan kemampuan sendiri. Antara penyelesaiannya, berterus-teranglah dengan ahli keluarga tentang kemampuan kewangan sendiri. Tunjukkan jumlah duit simpanan yang mampu diperuntukkan untuk majlis kahwin.
Berbincang baik-baik dengan ahli keluarga tentang persiapan majlis perkahwinan supaya sesuai dengan kemampuan.
Di sinilah pentingnya sikap toleransi dengan kehendak ahli keluarga, dan pada masa sama tegas dengan had kemampuan sendiri. Kalau tak berjaya juga, boleh dapatkan bantuan orang berpengaruh ke atas keluarga anda, contohnya tok imam, tuan guru, pakcik, makcik atau sesiapa sahaja.
Ads
Insya Allah, ahli keluarga akan dapat memahami. Untung-untung, mereka turut sama-sama menghulurkan duit untuk menanggung kos majlis kahwin nanti.
TANYA ORANG BERPENGALAMAN
Apabila merancang persiapan majlis perkahwinan, kalau boleh jangan syok sendiri. Takut nanti banyak perancangan yang dibuat tidak menjadi atau menyebabkan pembaziran.
Dapatkan nasihat dan pandangan daripada ahli keluarga dan saudara mara, tapi jangan sampai terikut-ikut kehendak mereka sehingga membebankan diri. Ahli keluarga boleh memberi nasihat tentang jumlah tetamu yang patut dijemput, lokasi majlis, menu makanan kenduri yang sesuai dan juga jumlah barang-barang hantaran.
Tanya juga rakan-rakan yang baru melangsungkan perkahwinan, dapatkan pengalaman mereka menguruskan majlis mereka.
Tanya mereka perkara-perkara yang perlu dibuat dan dielakkan dalam persediaan majlis perkahwinan.
Dapatkan juga contoh bajet dan kos yang mereka keluarkan sebagai panduan untuk bajet anda pula. Boleh juga dapatkan maklumat daripada laman-laman web dan blog-blog yang banyak memberi panduan berkenaan persiapan majlis perkahwinan.
BUAT BAJET DAN CUBA PATUHI
Selepas puas berfikir, berbincang dan mendapatkan maklumat, sekarang boleh sediakan bajet majlis perkahwinan sendiri. Senaraikan semua perkara yang diperlukan berserta anggaran kos.
Buat column kos anggaran dan sebenar untuk memudahkan pemantauan, contohnya seperti ini: Patuhi bajet yang dibuat ini, dan pastikan kos sebenar tidak jauh beza dengan kos anggaran.
Setiap kali keluarkan duit untuk perbelanjaan perkara-perkara yang disenaraikan, catat dan lihat perbezaan dengan anggaran yang ditetapkan. Dengan cara sebegini, keseluruhan bajet majlis perkahwinan anda nanti tidak akan jauh berbeza dengan kemampuan yang ditetapkan.
RAJINKAN DIRI KE EKSPO PERKAHWINAN
Kalau ada ekspo perkahwinan yang dianjurkan berdekatan dengan tempat anda, rajin-rajinkan diri untuk hadir. Senang, ramai perancang perkahwinan, penjual dan vendor berkumpul di bawah satu bumbung, jadi mudah untuk merancang persiapan majlis perkahwinan.
Boleh survey harga, boleh survey pakej-pakej yang sesuai. Mana tahu, boleh dapat tawaran menarik pada harga berpatutan, jadi boleh jimat banyak. Cuma, apabila berurusan di ekspo, pastikan berurusan dengan penjual atau vendor yang betul-betul wujud dan ada kedai atau butik sendiri.
Ads
Kalau buat apa-apa bayaran, pastikan ada resit bayaran yang sah dan lebih baik lagi jika ada perjanjian bertulis. Bukan apa, sebab ada juga terdengar ramai bakal pengantin tertipu apabila berurusan di ekspo perkahwinan.
Tawaran yang diberikan memang menarik, tetapi rupa-rupanya penjual menipu. Jadi, hati-hati apabila berurusan di ekspo perkahwinan.
PERBANYAKKAN DIY
Kalau nak kawal dan jimat kos majlis perkahwinan, perbanyakkan Do-It-Yourself (D.I.Y.)
Contohnya, boleh gubah barang hantaran kahwin sendiri, jadi tak perlu upah orang lain untuk gubah.
*Kalau pandai menjahit, boleh jahit sendiri baju pengantin.
*Kalau pandai graphic design, boleh buat sendiri kad jemputan kahwin.
Boleh buat kek sendiri sebagai kek pengantin, atau pun buat tart atau kuih-muih untuk dijadikan goodies kepada tetamu. Boleh juga buat aiskrim Malaysia untuk diberikan kepada tetamu kanak-kanak nanti.
Gunakan kreativiti untuk buat dekorasi pada majlis perkahwinan nanti, contohnya gunakan belon, kain renda atau pun barang-barang terpakai. Ini contoh majlis perkahwinan yang banyak gunakan elemen D.I.Y., memang boleh jimat banyak.
Bagaimanapun harus diingat, jangan pula nanti nak buat semua sendiri sahaja. Nanti penat pula, dah tak berseri muka nanti pada hari perkahwinan.
Dapatkan juga bantuan daripada hali keluaga dan juga kawan-kawan yang sudi membantu.
Hari majlis anda, orang lain yang tolong, nanti apabila majlis orang lain pula, jangan lupa untuk balas budi ya.
GABUNG MAJLIS
Kalau pengantin lelaki dan perempuan tinggal berdekatan, boleh bincang dengan ahli keluarga untuk gabungkan majlis dan buat satu sahaja.
Bukan itu sahaja, kalau ada adik-beradik yang turut sama nak berkahwin dalam masa terdekat, boleh turut bergabung sekali.
Memang banyak boleh jimat, malah boleh buat lebih meriah dengan bajet lebih rendah.
SERTAI KAHWIN BERAMAI-RAMAI
Di sesetengah negeri, terdapat agensi yang menganjurkan majlis perkahwinan beramai-ramai. Jadi, tidak salah untuk turut sama menyertainya. Boleh jimat belanja kos majlis perkahwinan, malah berpeluang untuk mendapat bantuan atau hadiah daripada penganjur lagi.
Selepas sudah selesai majlis perkahwinan beramai-ramai, boleh sahaja buat majlis yang sederhana untuk meraikan mereka yang tidak dapat hadir pada majlis sebelumnya.
Kesimpulannya, buat bakal-bakal pengantin, buatlah majlis ikut kemampuan kewangan masing-masing. Fikirkan kehidupan selepas berkahwin yang sudah tentu memerlukan
bajet yang lebih banyak.
Setiap pasangan yang bercinta mesti bercita-cita nak menamatkan zaman bujang dan hidup bersama pasangan secepat yang mungkin. Namun, bukan senang nak kahwin dengan keadaan ekonomi sekarang ni.
Buat majlis biasa pun memerlukan belanja yang banyak juga sekarang. Ini yang membuat sesetengah daripada kita takut untuk meneruskan ke peringkat seterusnya. Takut jika kita tidak mampu untuk menghadapi dugaan hidup selepas berumah tangga.
Bergembiralah wahai saudaraku…
1. “Wanita-wanita yang keji adalah untuk lelaki yang keji, dan lelaki yang keji adalah buat wanita-wanita yang keji (pula),dan wanita-wanita yang baik adalah untuk lelaki yang baik dan lelaki yang baik adalah untuk wanita-wanita yang baik (pula)”.
— An Nuur ayat 26
Bila ingin mendapatkan jodoh yang baik, maka perbaikilah diri.
Hiduplah sesuai dengan ajaran Islam dan Sunnah Nabi-Nya.
Jadilah lelaki yang soleh, jadilah wanita yang solehah.
Semoga Allah memberikan hanya yang baik buat kita. Amin.
2. “Dan kawinkanlah orang-orang yang sendirian diantara kamu dan orang-orang yang layak (berkawin) dari hamba-hamba sahayamu yang lelaki dan perempuan. Jika mereka miskin Allah akan memampukan mereka dengan kurniaNya. Dan Allah Maha Luas (Pemberian-Nya) lagi Maha Mengetahui”.
— An Nuur ayat 32
Sebahagian para pemuda ada yang merasa bingung dan bimbang untuk berkahwin.
Salah satu sebabnya adalah kerana belum mempunyai pekerjaan.
Dan yang telah mempunyai pekerjaan pun tetap ada perasaan bimbang juga. Sebahagian mereka tetap ragu nilai gajinya.
Dalam fikiran mereka, “apakah gaji ini cukup untuk berkeluarga dengan gaji sekian?”.
Ayat tersebut merupakan jawapan buat mereka yang ragu untuk melangkah ke jinjang pernikahan kerana alasan ekonomi.
Yang perlu ditekankan kepada para pemuda dalam masalah ini adalah kesanggupan untuk memberi nafkah, dan terus bekerja mencari nafkah memenuhi keperluan keluarga.
Allah akan menolong mereka yang menikah.
Allah Maha Adil, apabila tanggungjawab para pemuda bertambah-dengan kewajipan memberi nafkah kepada isteri dan anak-anaknya, maka Allah akan memberikan rezeki yang lebih.
Tidakkah kita lihat kenyataannya di masyarakat, banyak mereka yang semula miskin tidak mempunyai apa-apa ketika berkahwin, kemudian Allah memberinya rezeki yang berlimpah dan mencukupkan keperluannya?
3. “Ada tiga golongan manusia yang berhak Allah tolong mereka, iaitu seorang mujahid fi sabilillah, seorang hamba yang menebus dirinya supaya merdeka dan seorang yang menikah kerana ingin memelihara kehormatannya”.
— HR. Ahmad 2: 251, Nasaiy, Tirmidzi, Ibnu Majah hadits no. 2518, dan Hakim 2: 160
Bagi siapa sahaja yang berkahwin dengan niat menjaga kesucian dirinya, maka berhak mendapatkan pertolongan dari Allah berdasarkan penegasan Rasulullah dalam hadits ini.
Dan pertolongan Allah itu pasti datang.
4. “Dan diantara tanda-tanda kekuasaanNya ialah Dia menciptakan untukmu isteri dari jenismu sendiri, supaya kamu cenderung dan merasa tenteram kepadanya, dan dijadikan-Nya diantaramu rasa kasih dan sayang. Sesungguhnya pada yang demikian itu benar-benar terdapat tanda-tanda bagi kaum yang berfikir”.
— Ar Ruum : 21
5. “Dan Tuhanmu berfirman: ‘Berdoalah kepada-Ku, nescaya akan Kuperkenankan bagimu. Sesungguhnya orang-orang yang menyombongkan diri dari menyembah-Ku akan masuk neraka Jahannam dalam keadaan hina dina’ “.
— Al Mu’min : 60
Ini juga janji Allah ‘Azza wa Jalla, bila kita berdoa kepada Allah nescaya akan diperkenankan-Nya.
Termasuk di dalamnya ketika kita berdoa memohon diberikan pendamping hidup yang agamanya baik, cantik, taat, dan sebagainya.
Dalam berdoa, perhatikan adab dan sebab terkabulnya doa.
Diantaranya adalah ikhlas, bersungguh-sungguh, merendahkan diri, menghadap kiblat, mengangkat kedua tangan, dan lain-lain.
Perhatikan juga waktu-waktu yang mustajab dalam berdoa.
Diantaranya adalah berdoa pada waktu sepertiga malam yang terakhir dimana Allah ‘Azza wa Jalla turun ke langit dunia, dan pada waktu antara azan dan iqamah,
Perhatikan juga penghalang terkabulnya doa.
Diantaranya adalah makan dan minum dari sumber yang haram, dan berpakaian dari usaha yang haram serta melakukan apa yang diharamkan Allah,
Manfaat lain dari berdoa bererti kita meyakini keberadaan Allah, mengakui bahawa Allah itu tempat meminta, mengakui bahawa Allah Maha Kaya, dan mengakui bahawa Allah Maha Mendengar.
Sebahagian orangapabila jodohnya tidak kunjung datang maka mereka pergi ke dukun-dukun berharap agar jodohnya lancar.
Cara seperti ini jelas dilarang oleh Islam.
Perhatikan hadis-hadis berikut yang merupakan peringatan keras dari Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa sallam:
“Barang siapa yang mendatangi peramal / dukun, lalu dia menanyakan sesuatu kepadanya, maka tidak diterima solatnya selama empat puluh malam”.
— Hadis sahih riwayat Muslim (7/37) dan Ahmad
Telah bersabda Rasulullah shallallahu ‘alaihi wa sallam, “Maka janganlah kamu mendatangi dukun-dukun itu.”
— Sahih riwayat Muslim juz 7 hal. 35
Telah bersabda Nabi SAW, “Sesungguhnya jampi-jampi (mantera) dan guna-guna itu adalah (hukumnya) syirik.”
— Hadis sahih riwayat Abu Dawud (no. 3883), Ibnu Majah (no. 3530), Ahmad dan Hakim
6. “Mintalah pertolongan (kepada Allah) dengan sabar dan solat“.
— Al Baqarah: 153
Mintalah tolong kepada Allah dengan sabar dan solat.
Agar datang pertolongan Allah, maka kita juga harus bersabar sesuai dengan Sunnah Nabi dan terbebas dari bid’ah-bid’ah.
7. “Kerana sesungguhnya sesudah kesulitan itu ada kemudahan, sesungguhnya sesudah kesulitan itu ada kemudahan”.
— Alam Nasyrah : 5-6
Ini juga janji Allah.
Mungkin terasa bagi kita jodoh yang dinanti tidak kunjung datang.
Segalanya terasa sulit.
Tetapi kita harus tetap berbaik sangka kepada Allah dan yakinlah bahawa sesudah kesulitan itu ada kemudahan.
Allah sendiri yang menegaskan dua kali dalam Surat Alam Nasyrah.
8. “Hai orang-orang yang beriman jika kamu menolong (agama) Allah, nescaya Dia akan menolongmu dan meneguhkan kedudukanmu”.
— Muhammad: 7
Agar Allah menolong kita, maka kita tolong agama Allah.
Baik dengan berinfak di jalan-Nya, membantu penyebaran dakwah Islam dengan penyebaran buletin atau buku-buku Islam, membantu penyelenggaraan pengajian, dan sebagainya.
Dengan itu semoga Allah menolong kita.
9. “Sesungguhnya Allah pasti menolong orang yang menolong (agama)-Nya. Sesungguhnya Allah benar-benar Maha Kuat lagi Maha Perkasa”.
— Al Hajj : 40
10. “Ingatlah, sesungguhnya pertolongan Allah itu amat dekat”.
— Al Baqarah : 214
Itulah janji Allah.
Dan Allah tidak akan menyalahi janjinya.
Kalaupun Allah tidak / belum mengabulkan doa kita, tentu ada hikmah dan kasih sayang Allah yang lebih besar buat kita. Kita harus berbaik sangka kepada Allah.
Inilah keyakinan yang harus ada pada setiap muslim.
Jadi, kenapa ragu-ragu dengan janji Allah?
Sumber : Akuislam
Lubuk konten untuk inspirasi bakal – bakal pengantin. Pengantin kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Islam sebagai agama yang syumul bukan sahaja bertujuan mencegah kemungkaran, tetapi juga mencegah jalan-jalan yang boleh secara bertahap-tahap membawa kepada kemungkaran. Oleh itulah Allah tidak sekadar melarang zina tetapi melarang apa jua yang dapat mendekati zina.
Firman Allah: Dan janganlah kamu menghampiri zina, sesungguhnya zina itu adalah satu perbuatan yang keji dan satu jalan yang jahat (yang membawa kerosakan). [al-Isra’ 17:32]
Hendaklah diketahui bahawa rumah ialah tempat suami dan isteri berehat-rehat dan bersenang-senang selepas letih bekerja, baik pada waktu malam atau pada hari cuti. Dalam suasana seperti ini, suami dan isteri kerap dalam keadaan tidak menutup aurat. Suami khasnya, mungkin hanya selesa dengan memakai kain sarung atau seluar pendek.
Tentu saja dibolehkan bagi suami untuk tidak menutup aurat sepenuhnya jika di dalam rumah, dengan syarat tidak hadir perempuan yang bukan mahram.
Jika hadir seorang pembantu rumah perempuan, maka dia adalah mahram bagi suami sehingga suami wajib menjaga aurat dan membataskan pergaulan.
Namun, agak kerap suami tidak mengetahui pembantu rumah adalah mahramnya atau memandang hal ini sebagai remeh sehingga tidak menjaga aurat dan pergaulan.
Tidak ketinggalan, isteri juga bersikap seperti suami sehingga membiarkan suami dalam keadaan bebas dengan pembantu rumah.
Bahkan kadangkala isteri terpaksa keluar rumah kerana sesuatu urusan lalu meninggalkan suami berduaan dengan pembantu rumah. Ini sekali lagi adalah satu kesalahan. Dalam sebuah riwayat, disebutkan: Berhati-hatilah, jangan sampai kalian berkhalwat dengan wanita, demi diriku yang berada di tangan-Nya, tidaklah berduaan seorang lelaki dan wanita melainkan masuk syaitan di antara keduanya.
Bahawa sesungguhnya adalah lebih baik seorang lelaki untuk bergeseran dengan khinzir yang berlumuran dengan tanah atau lumpur daripada dia menggeserkan bahunya dengan bahu seorang wanita yang tidak halal baginya. [Riwayat al-Thabarani, al-Targhib wat Tarhib, no: 2855]
Atas sebab-sebab inilah, memiliki pembantu rumah bukanlah sesuatu yang selari dengan Islam.
Selain itu, pembantu rumah juga berkemungkinan menyebabkan suami, isteri dan anak-anak menjadi pemalas. Masing-masing tidak tahu menguruskan hal-ehwal rumah sehingga apabila pembantu rumah berhenti atau menghilangkan diri, kesemua ahli keluarga dalam keadaan yang berserabut sehingga tidak dapat ke pejabat atau ke sekolah.
Lubuk konten untuk inspirasi bakal – bakal pengantin. Pengantin kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Indonesia sememangnya terkenal sebagai salah satu destinasi percutian pilihan rakyat Malaysia atas pelbagai sebab. Selain jaraknya yang begitu dekat, negara jiran itu juga berkongsi budaya serumpun dengan Malaysia. Lebih penting lagi, negara yang sangat luas itu mempunyai banyak lokasi pelancongan yang menarik dan sesuai untuk berbulan madu.
Selain kota Jakarta, Bandung dan Bali yang sering menjadi tumpuan penduduk sekitar, Yogyakarta tidak terkecuali menjadi salah satu bandar yang sering dikunjungi pelancong antarabangsa untuk berbulan madu. Terletak di kawasan Jawa Tengah, daerah istimewa Yogyakarta sentiasa mengalu-alukan kedatangan pengunjung.
Setiap tahun di awal bulan Oktober, bandar penuh bersejarah ini menyambut ulangtahunnya, dan pada tahun 2018 ini genaplah usia Yogyakarta yang ke 262 tahun!
Seperti yang diketahui ramai, Yogyakarta yang sering disebut Jogja oleh penduduk tempatan mempunyai banyak tempat-tempat menarik untuk dilawati. Dalam dunia budaya popular pula, nama kota ini meniti di bibir para pencinta filem Indonesia ‘Ada Apa Dengan Cinta 2’ kala ia dijadikan lokasi utama untuk penggambaran filem terkenal tersebut.
Semestinya yang paling dikenali dan menjadi sebutan warga dunia adalah Candi Borobudur yang terletak di kawasan Magelang, sekitar 40km dari pusat kota Yogyakarta.
Menurut kajian, Candi Borobudur sebenarnya merupakan sebuah kuil purba penganut agama Buddha yang dibina antara tahun 750 dan 850 Masihi oleh pemerintah Jawa Dinasti Sailendra dan Sanjaya. Kini Borobudur telah diiktiraf oleh pihak UNESCO sebagai Warisan Budaya Dunia sejak 1991.
Pengunjung yang melawat Candi Borobudur buat pertama kali pasti akan terpegun dengan keindahan senibina serta ukiran yang terdapat pada keseluruhan kompleks ini. Dari bawah hinggalah ke puncaknya, terdapat ratusan ukiran di dindingnya yang menceritakan ajnas kisah serta pengajaran yang termaktub dalam agama Buddha.
Selain kuil ini, ada banyak lagi tarikan di Yogyakarta. Antara yang harus dikunjungi adalah Kampung Budaya Tembi atau Tembi Tourism Village. Ia merupakan sebuah pusat pelancongan yang memberi peluang kepada para pelawat untuk mencuba pelbagai aktiviti kesenian, seperti belajar melukis dan mencetak batik Jawa dan juga bermain gamelan.
Bagi yang ingin membeli-belah dan menikmati makanan tempatan, jangan lupa singgah ke Jalan Malioboro yang sinonim dengan jualan aneka pakaian (khasnya batik) dan pelbagai tempat yang menjual makanan. Ia merupakan satu lagi destinasi popular kota Yogyakarta yang harus dikunjungi kalau ke sana.
Jangan lupa juga untuk melawat kawasan diraja Yogyakarta atau lebih dikenali sebagai Kraton dalam bahasa Jawa. Kerabat diraja Kraton merupakan di antara keluarga diraja yang masih tinggal di Indonesia masa kini. Di perkarangan kawasan Kraton, tamu diberi peluang melihat dan mengenal lebih banyak tentang adat serta sejarah keluarga diraja (termasuk Sultan) yang masih lagi memainkan peranan penting dalam pentadbiran kota Yogyakarta.
Selesai melihat keindahan budaya peninggalan serta warisan, cubalah berkunjung pula ke Istana Air Taman Sari yang dahulunya berfungsi sebagai tempat permandian warga Kraton. Kini ia menjadi sebuah pusat pelancongan dan masih dikekalkan dengan baik. Seni bina persekitarannya masih indah dan sering menjadi tempat pilihan untuk mengabadikan ajnas gambar lewat media sosial.
Dari sisa runtuhan dan ceruk-ceruk kecil kawasan taman sari, terdapat sebuah tapak yang semakin menular di media sosial warga Indonesia khasnya. Tapak yang dikenali sebagai Sumur Gumuling atau Sumberjo Gemuling itu merupakan beberapa anak tangga yang dibina di dalam sebuah masjid bawah tanah. Masjid tersebut sudah tidak digunakan lagi, namun sewaktu ia didirikan, ia sengaja dibina di bawah tanah supaya tidak diketahui kewujudannya oleh pihak penjajah Belanda. Kini ia menjadi buruan penggemar fotografi dan mereka yang suka melukis. Malah giliran untuk mengambil gambar di tengah-tengah tapak agak lama kerana ramai yang ingin berebut mengambil gambar di situ.
Kemudian, teruskan pula ke kawasan perkuburan Mataram di kawasan kampung wisata Kotagede, sebuah lokasi terkenal dengan hiruk-pikuk jalannya yang sinonim dengan kota-kota Indonesia seperti Solo dan Yogyakarta. Di situ juga terdapatnya rumah-rumah budaya tradisional yang dipelihara, di samping Masjid Agung Mataram yang tersohor sebagai masjid tertua di Yogyakarta. Ia juga mempunyai senibina pengaruh Hindu dan Buddha gara-gara sejarah lampau kota itu.
Sekiranya berada di Yogyakarta di hujung minggu pada awal bulan Oktober pastikan ke kawasan pusat bandar iaitu Tugu Yogyakarta di mana acara sambutan ulang tahun kota tersebut disambut dengan penuh gilang-gemilang. Acara itu bukan sahaja dihadiri oleh Datuk Bandar kota Yogyakarta tetapi juga Sultan Kraton Yogyakarta sendiri (yang juga berperanan sebagai Gabenor kota itu).
Pelbagai kereta berhias dan kumpulan tarian bergiliran membuat persembahan. Dan acara malam tersebut akan diakhiri dengan alunan muzik. Ramai warga Jogja yang turut sama menari dan menyanyi. Malah Datuk Bandar juga ikut serta dan tidak ketinggalan berhibur bersama.
Dari malam yang disambut besar-besaran dengan muzik sehinggalah percikan mercun serta bunga api, jangan ketinggalan untuk menelusuri kawasan alam sekitar Yogyakarta yang indah. Luangkan masa ke Kalisuci di daerah Gunung Kidul. Di situ anda berpeluang mencuba aktiviti ‘Cave Tubing’ di mana para pengunjung dapat menjelajah ke dalam kawasan gua dengan menaiki pelampung besar yang dikitar semula dari tayar lori-lori besar lama.
Aktiviti tersebut memang menyeronokkan dan selamat. Setelah memakai peralatan keselamatan, pengunjung hanya perlu duduk mengikut arahan yang telah ditetapkan oleh para petugas dan membiarkan arus sungai membawa anda sepanjang perjalanan. Ia sama sekali tidak merbahaya dan paras air tidak dalam. Namun yang pasti, kesemua yang menyertai aktiviti ini akan basah jadi pastikan anda membawa baju tambahan.
Di situ juga tamu dihidangkan makanan tengah hari tradisional dengan beberapa jenis masakan penduduk tempatan. Seperti kebanyakan makanan Indonesia, semuanya lazat-lazat belaka!
Selesai dibasahi air sungai deras, lawatilah satu lagi tempat yang kini menjadi destinasi pelancongan, khasnya untuk mengambil gambar. Kawasan yang dikenali sebagai Tebing Breksi itu dahulunya sebuah tapak perlombongan batu kapur, namun kini ia telah dipulihara dan dijadikan kawasan wisata yang popular.
Ramai yang mengambil kesempatan untuk bergambar di atas tebing dan di depan dinding-dinding yang diukir dengan watak-watak seni wayang kulit.
Dan bercakap tentang wayang kulit, pada waktu malam pula cuba makan malam di Restoran Prambanan dengan pemandangan kuil Prambanan yang begitu menakjubkan! Lebih istimewa lagi, selesai sahaja makan malam tamu diberi peluang menonton persembahan yang dikenali sebagai Teater Ballet Ramayana. Persembahan teater tersebut merupakan secebis kisah yang diambil dari kisah Ramayana seperti yang sering dipaparkan dalam persembahan wayang kulit.
Persembahannya penuh warna-warni dan disulami dengan tarian gemulai para pelakon serta penari. Biarpun bahasa yang digunakan adalah gabungan bahasa Jawa kuno serta Sanskrit namun penonton masih bisa terhibur dengan gelagat para pemegang watak dan juga persembahan secara umum.
Seperti tarian dan para penduduknya, Yogyakarta memang berwarna-warni. Sejarah ratusan tahun yang disimpan di kota itu turut menyimpan untaian budaya penduduknya yang masih kaya dengan nila-nilai murni. Dari kelazatan makanan, kemesraan penduduk serta keindahan kota serta persekitarannya, Yogyakarta ada banyak tarikan selain Candi Borobudur dan Jalan Malioboro. Jadi andai ada masa terluang, sempatkanlah waktu untuk menyelami Yogyakarta!
Oleh:Shah Shamshiri
Terima kasih: Pejabat Pelancongan Yogyakakarta
Lubuk konten untuk inspirasi bakal – bakal pengantin. Pengantin kini di seeNI. Download seeNI sekarang!