
Wanita memang akan mengeluh tentang perut. Baik yang sudah berkahwin, sudah beranak, mahupun anak dara, perut buncit ni memang dah jadi satu masalah wajib kaum wanita.
Jangan sedih sangat, kita selongkar kaedah-kaedah yang boleh membantu menyelesaikan masalah ini. Kalau tak banyak, dapat kurangkan sikit perut buncit pun jadilah…

1. Tidur kena cukup
Tidur membantu sistem dalaman tubuh mendapatkan rehat yang cukup untuk menggantikan sel-sel badan yang telah rosak. Bila cukup tidur, sistem saraf, pengeluaran hormon, dan metabolisme kita juga akan berada pada tahap optimum dan akan menjadi lebih cergas.
2. Amalkan minum air limau
Air limau sangat bagus diminum sejurus bangun pagi dan setiap kali lepas makan. Ini membantu fungsi hati untuk mengelakkan lemak terbentuk di pinggang. Air limau boleh meningkat enzim yang membantu proses nyahtoksik hati kita supaya berfungsi dengan lebih efektif.
3. Curi hari untuk puasa
Berpuasa juga salah satu kaedah untuk ‘nyah’ toksik hati. Amalan berpuasa dikatakan antara teknik mengempiskan perut yang paling berkesan. Lagipun, ini lebih mudah daripada kita merancang diet yang mungkin tidak mampu kita ikut.
4. Minum teh halia
Kebanyakan orang tahu, halia membantu untuk membuang angin dalam badan. Amalan teh halia dapat membantu proses pencernaan secara semulajadi tanpa bantuan suplemen atau ubat-ubatan.
Bila rajin minum teh halia, ini meningkatkan suhu badan dan membantu proses pembakaran lemak terutama pada bahagian perut.

5. Elak terlebih gula dan garam
Pernah tak terasa macam kembung perut selepas makan ‘fast food’ atau makanan masin? Haaa… makanan yang tinggi natrium boleh menyebabkan pengumpulan cecair dalam badan. Ya, inilah yang menyebabkan perut kita buncit. Garam berlebihan juga menjadi punca kegagalan jantung, strok, dan kanser usus.
Makan atau minum terlalu banyak benda manis pula akan meningkatkan kadar insulin dalam badan. Ini menyebabkan pengumpulan lemak di kawasan perut kita. Ah, tak sanggup!
6. Bersenam walau terpaksa
Setiap senaman tu ada fungsinya yang tertentu. Begitu juga dengan beberapa jenis senaman yang sesuai dibuat untuk mengempiskan perut.
Wanita, jangan malas ya! Nak kempiskan perut bukan mudah, kena semangat yang tinggi dan rajin senam untuk kempiskan perut. Selamat mencuba!
Lubuk konten untuk inspirasi bakal – bakal pengantin. Pengantin kini di seeNI.
Download
sekarang!
Sila Elak, Ini 5 Perkara Buat Badan Bakal Pengantin Cepat Berisi

Biasanya apa yang kita dengar, cara pemakanan tidak sihat adalah penyebab utama mengapa kebanyakan dari individu bisa naik berat badan. Walau bagaimanapun, tahukah kamu bahawa terdapat 5 perbuatan yang dilakukan pada waktu pagi boleh meningkatkan risiko untukkamu naik berat badan tanpa sedar.
Kalau nak tahu apakah 5 perbuatan itu, baca penjelasan ini.

#1 Tidur Terlalu Lama
Tidur lebih dari 10 jam sehari mampu menambah berat badan. Ini kerana, tidur terlalu lama dapat merosak metabolisma tubuh. Bukan itu sahaja, orang yang tidur dari 10 jam sehari memiliki indeks jisim tubuh yang lebih tinggi berbanding yang hanya tidur 7 hingga 8 jam setiap malam.
#2 Tak Kemas Tempat Tidur
Menurut hasil kajian National Sleep Foundation di Amerika, kamar tidur yang rapi dan bersih akan menjadikan pengalaman tidur kamu lebih berkualiti. Tidur yang cukup pasti akan membuat peratusan seseorang untuk diserang obesiti lebih rendah.
Ini kerana, orang yang rajin biasanya akan memiliki disiplin dan gaya hidup lebih teratur. Makanya bila gaya hidup sihat, pemakanan yang diamalkan sudah tentulah berpada berlandaskan keperluan dan bukannya nafsu semata!
#3 Mengelak Matahari
Sepatutnya, sebaik bangun diri tidur, kamu perlu cergas dan lekas bersenam, seperti orang barat selalu lakukan.
Menurut kajian, orang yang terkena cahaya matahari di waktu pagi akan cenderung memiliki BMI rendah berbanding mereka yang tak suka terdedah pada matahari. Bersidai bawah matahari 20 – 30 minit sehari sudah cukup untuk menjaga kestabilan BMI kamu tau?

#4 Lupa Sarapan
Ramai di antara kita ambil mudah terhadap sarapan sedangkan pengambilan sarapan sebenarnya bantu tubuh untuk jadi kurus tau! Seperti gadis Jepun, mereka menganggap sarapan seperti makan tengahari. Jadi, makanlah sarapan sebanyak mungkin sampai kenyang dengan hidangan berat seperti telur, nasi, ikan bakar dan sebagainya.
#5 Malas Timbang Badan
Ni lah masalah orang kita. Nak diet, nak kurus, tapi jarang peka tentang perubahan diri terutamanya turun naik berat badan. Tahukah kamu, berat badan adalah pada paras original ketika waktu pagi. Jadi kalau hendak timbang badan, sebaiknya lakukan pada subuh hari kerana itulah berat kamu yang sebenar.
Ingat ya, sila elak daripada terjebak dengan lima perkara di atas ini kalau tak mahu mudah naik berat badan. Memanglah sebagai seorang manusia, kita tak boleh lari daripada peningkatan berat badan namun sesungguhnya kita semua mempunyai kemampuan untuk mengawalnya.
Lubuk konten untuk inspirasi bakal – bakal pengantin. Pengantin kini di seeNI.
Download
sekarang!
Jawapan Ikhlas Dari Bakal Ibu Mertua Bila Calon Isteri Tidak Pandai Masak

Sebaik mahu diperkenalkan kepada bakal ibu mertua, terasa sedikit berdebar, takut andai ditanya pelbagai soalan yang tidak mampu dijawab. Yang penting anda ikhlas menjawab yang benar sekiranya ada kekurangan pada diri. Keikhasan itu lebih penting , barulah diri lebih dihargai dan dihormati. Baca bicara ibu dan anak ini , semoga menjadi panduan buat bakal pengantin.
******************************
“Mak, calon isteri saya tak pandai masak.”
Di Subuh yang dingin, aku dapati ibu ku sedang sibuk memasak di dapur.
“Mak masak apa tu? Boleh saya tolong?”
“Ni mak masak ikan bawal goreng dengan sambal tomato kesukaan ayah kamu..”, sahutnya.
“Alhamdulillah..mesti best. Ermm.. mak, mak tahu tak.. calon isteri saya rasanya macam..macam..emm..tak pandai masak lah mak..”
“Dah tu apa masalahnya?” Sahut ibu.
“Takde apa-apa lah mak..saje je cerita, biar mak tak kecewa nanti, hehehe”.
“Ape kamu pikir memasak, mencuci, menyapu, mengurus rumah dan lain lain tu adalah kewajipan wanita?”
Aku menatap ibu dengan penuh rasa tak paham.. blur. Lalu dia melanjutkan, “Ketahuilah nak, itu semua adalah kewajipan lelaki. Kewajipan kamu nanti kalau sudah beristeri.” katanya sambil menarik hidungku.
“Tapi mak, bukankah mak yang setiap hari melakukannya?”. Aku masih tak paham.
“Kewajipan isteri adalah taat dan mencari redho suami.” kata Ibu.
“Kerana ayah kamu mungkin tidak boleh mengurus rumah, maka mak lah yang tolong menguruskan semuanya. Tapi BUKAN atas nama kewajipan, tetapi sebagai wujud CINTA dan juga wujud isteri yang mencari REDHO suaminya”
“Saya makin pening lah mak.”.
“Baiklah, wahai putera mak sayang. Ini ilmu untuk kamu yang mahu berkahwin.”
Ibu berpaling menatap mataku.
“Pada pendapat kamu, apakah pengertian nafkah? Bukankah itu kewajipan lelaki untuk menafkahi isteri? Baik itu pakaian, makanan, dan tempat tinggal?”, tanya Ibu.
“Ye lah mak..tentu sekali..”
“Pakaian yang bersih adalah nafkah. Sehinggakan mencuci adalah kewajipan suami. Makanan adalah nafkah. Maka jika masih berupa
beras, itu masih setengah nafkah, kerana belum boleh dimakan. Sehinggakan memasak adalah kewajipan suami. Lalu menyediakan rumah tempat tinggal yang adalah kewajiban suami. Sehingga kebersihan rumah adalah
kewajipan suami.”
Mataku terbeliak mendengar huraian bondaku yang cantik, cerdas dan
kebanggaanku ini.
“Waaaaah.. sampai macam tu sekali ye, mak..? Lalu jika itu semua kewajipan suami.., kenapa mak melakukan semua tu tanpa menuntut ayah sekalipun?”
“Kerana mak juga seorang isteri yang mencari redho dari suaminya. Mak
juga mencari pahala agar selamat di akhirat sana. Kerana mak mencintai ayahmu, mana mungkin mak tergamak menyuruh ayahmu melakukan semuanya. Jika ayahmu orang yang berada, mungkin pembantu rumah atau orang gaji boleh menjadi penyelesaiannya. Tapi jika belum ada, ini adalah ladang pahala untuk mak.”
Aku hanya diam terpesona.
“Pernah kamu dengar kisah Fatimah yang meminta pembantu kepada ayahandanya, Rasulullah, kerana tangannya lebam menumbuk tepung? Tapi Rasulullah tidak memberinya. Atau pernah tak kamu dengar kisah di mana Umar bin Khatab dileteri isterinya? Umar diam saja kerana dia tahu betul bahawa wanita kecintaannya itu sudah melakukan tugas macam-macam yang sebenarnya itu bukanlah tugas si isteri.”
“Ye mak..”
Aku mulai faham.
“Jadi, lelaki selama ini salah sangka ya mak.. sepatutnya setiap lelaki berterimakasih pada isterinya. Lebih sayang dan lebih menghormati penat jerih isteri.”
Ibuku tersenyum.
“Eh, satu soalan lagi mak, kenapa mak masih tetap mahu melakukan
semuanya padahal itu bukan kewajipan mak?”
“Menikah bukan hanya soal menuntut hak kita, nak. Isteri menuntut suami, atau sebaliknya. Tapi banyak lagi hal lain. Menurunkan ego. Menjaga keharmonian. Mesti sama sama mengalah, kerja sama, kasih sayang, cinta dan persahabatan. Pernikahan itu perlumbaan untuk
berusaha melakukan yang terbaik satu sama lain. Yang wanita sebaik
mungkin membantu suaminya. Yang lelaki sebaik mungkin
membantu isterinya. Itu lah impiannya rumah tangga sampai ke Syurga”
“MasyaAllah….erkk, ni kalau calon isteri saya tahu hal ni, mesti dia jadi malas nak buat kerja apa pun.., macamana tu, mak?”
“Wanita beragama yang baik tentu tahu bahawa dia mesti mencari
keredhoan suaminya. Sehingga tidak mungkin akan sanggup seperti tu. Manakala lelaki beragama yang baik pula tentu juga tahu bahawa isterinya telah banyak membantu. Sehingga tidak ada cara lain selain lebih
mencintainya.”
Jodoh kita adalah Hadiah dari ALLAH.
Huh, terbaekk lah mak aku. Untung ayah aku.
Sumber: https://www.facebook.com/nur.asrien
Lubuk konten untuk inspirasi bakal – bakal pengantin. Pengantin kini di seeNI.
Download
sekarang!
“Anak Akan Merubah Segala-Galanya Dalam Hidup Anda”, Konsultan Ini Kongsi 11 Pesanan Untuk Pengantin Baharu Tentang ‘Parenting’

Pastinya setiap pasangan yang berkahwin ada perancangan untuk menimang anak sebagai penyeri dalam rumah tangga. Namun sebagai pasangan baharu tentu sahaja anda tiada pengalaman dan masih mentah tentang ilmu keibubapaan.
Agar anda dan pasangan lebih bersedia menerima kehadiran ‘orang baharu’, penting untuk anda berdua ikuti 11 pesanan daripada Puan Noor Afidah Abu Bakar, Co-Founder and Principal Consultant Parent Connect Consultancy ini tentang dunia keibubapaan. Semoga perkongsian beliau ini memberi manfaat untuk semua pengantin baharu ataupun yang bakal melangkah ke alam rumah tangga.
***************************************
Ketahuilah anak akan merubah segala-galanya dalam hidup anda. Walau bagaimana ideal sekalipun kehidupan yang kita bayangkan sebelum berkahwin dan ketika awal perkahwinan bersiap sedialah dengan perubahan-perubahan ini bersama-sama.
1) Pada peringkat awal perkahwinan, amalkan sikap terbuka dan sentiasalah membawa berbincang tentang apa saja kesulitan yang dihadapi. Jika dari awal kita mengambil sikap memendam rasa kerana bimbang sebelah pihak akan terguris, lama-kelamaan kita hanya menjadi lilin membakar diri yang tidak mendatangkan apa-apa kebaikan pada rumahtangga, keluarga dan diri sendiri. Tidak bersetuju pendapat adalah normal tetapi haruslah cuba untuk mencapai kata putus yang memuaskan hati kedua-dua pihak.
2) Tahun pertama menjadi ibubapa adalah tahun yang sangat mencabar kerana masing-masing bukan hanya perlu menyesuaikan diri dengan ‘orang baru’ yang cerewet, menangis, meraung, buang air tidak kira masa dan tempat, ‘fragile’, jadikan anda ‘zombie’, perlu melekap sentiasa untuk menyusu, tidak tahu serba-serbi dan sentiasa bergantung kepada anda, malah sebagai suami isteri sendiri kita masih dalam fasa suai kenal dengan teman sebilik kita.
Jika tahun pertama ini tidak ditangani dengan baik, kita akan mudah terjebak dengan perselisihan faham dan berkecil hati. Sesetengah konflik boleh membawa kepada masalah komunikasi yang berpanjangan dalam kehidupan berumah tangga.
3) Bersedialah untuk melakukan perubahan pada rutin dan aktiviti yang biasa diamalkan ketika bujang. Libatkan juga pasangan anda dalam aktiviti anda. Jika dia tidak berminat, sekali-sekala berceritalah tentang minat masing-masing. Ini akan mengeratkan lagi hubungan antara suami isteri dan tidak mewujudkan syak wasangka di kemudian hari. Apabila ahli keluarga bertambah, wujudkan ‘family culture’ yang akan mengeratkan hubungan kekeluargaan. Lakukan aktiviti bersama-sama sebagai satu keluarga. Semua ini harus dirancangkan dan bertekad dari awal.
4) Bina ‘trust’ yang kukuh antara satu sama lain. Kedua-kedua pihak perlu didengari, diberi suara, bertolak ansur dan bersetuju dengan isu-isu yang mungkin timbul satu hari nanti baik tentang ‘parenting’ ataupun perkahwinan.
5) Jadikan perkahwinan dan rumah tangga sebagai satu prioriti. Tanamkan tekad untuk sentiasa luangkan masa bersama dan ‘berdating’ walau apabila ada anak nanti. Dating tidak semestinya di luar dengan meninggalkan anak-anak di rumah. ‘Dating’ di rumah pun boleh. Bersembanglah tentang hal-hal kerja, minat masing-masing dan juga berbincang tentang keluarga. Tanamkan niat untuk tetapkan jadual untuk berjumpa sekali sekala waktu ‘lunch’ ketika hari kerja dan kekalkan ia supaya menjadi amalan yang berterusan. Jika diamalkan dari awal, lama-kelamaan ia akan menjadi habit yang dapat mengukuhkan hubungan antara suami isteri Insya-Allah.
Apabila mempunyai anak, berterusanlah menjadikan keluarga satu prioriti. Tidak ada sesiapa yang akan peduli tentang pasangan dan anak-anak anda melainkan diri anda sendiri.
6) Masing-masing perlu bersedia untuk ‘evolve’ atau lakukan perubahan. Keadaan dan persekitaran mungkin akan bertukar, Oleh itu apa yang diperbincangkan dan dipersetujui hari ini juga perlu bertukar bersesuaian dengan keadaan. Kita tidak tahu apa yang akan berlaku di kemudian hari jadi perlulah kita bersedia untuk menghadapi segala kemungkinan bersama-sama. Janganlah ‘lautan api sanggup ku renangi’ hanyalah menjadi madah cinta ketika segalanya mewangi dan harum ketika berdua.
7) Sebaiknya sebelum bayi lahir lagi berbincanglah tentang penjagaan bayi, siapa yang akan menjaganya terutamanya jika kedua-dua suami isteri bekerja, bagaimana jadual seharian suami isteri, penyusuannya, waktu tidurnya, susun atur rumah, rutin penjagaan kesihatan dan sebagainya. Tidak salah jika melakukan perancangan jangka masa panjang juga di awal perkahwinan contohnya tentang pendidikan anak, perancangan kewangan dan sebagainya supaya kita bersiap sedia.
Bersedialah untuk dapatkan bantuan jika perlu dan jangan malu untuk belajar dan bertanya dengan orang yang lebih berpengalaman dan kita percayai.
8) Harus diingat dalam ‘parenting’ tiada kaedah yang betul dan kaedah yang salah. Kita harus terima bahawa kita dibesarkan oleh ibu bapa kita dengan cara yang berbeza-beza. Tidak salah jika kita juga merancang untuk membesarkan anak-anak dengan cara yang berbeza tetapi haruslah dipersetujui oleh kedua-dua pihak. Dengar dan baca SEMUA nasihat ‘parenting’ tetapi pilih yang sesuai dengan dinamik keluarga kita.
Apa yang baik untuk keluarga kawan kita tidak semestinya baik untuk keluarga kita. Walau bagaimanapun sentiasalah menuntut ilmu ‘parenting’ dan tidak salah untuk ubah mengikut kesesuaian. Ada kalanya kita perlu mengikut ‘instinct’ kita kerana ‘instinct’ tentang anak-anak selalunya adalah benar.
Sentiasalah mengkaji dan ‘upgrade’ diri sendiri dengan ilmu. Ambil tahu tentang apa yang penting dan releven dalam dunia di mana anak-anak kita dibesarkan. Usah disamakan zaman kecil kita dengan zaman anak-anak kita.
9) Apabila mempunyai anak, perbelanjaan semestinya akan bertambah. Rancanglah kewangan dari awal. Menyimpanlah dari awal walaupun sedikit. Sediakan akaun tabungan untuk anak yang tidak akan diusik. Ketahuilah biasiswa dan pinjaman pelajaran sudah tidak banyak sekarang. Saingan juga sengit. Kita tidak tahu bagaimana pula satu hari nanti apabila anak kita meningkat dewasa. Beringatlah dari awal untuk menyimpan untuk pendidikan anak-anak. 17 tahun hanyalah masa yang singkat. Sedar tidak sedar anak sudah masuk ke peringkat universiti yang banyak memerlukan belanja. Berbincanglah tentang kewangan keluarga dari awal. Pastikan kedua-dua pihak bersetuju dengan rela hati.
Bersiap sedia juga untuk hari-hari sakit anak dan juga diri kita sendiri yang akan memerlukan belanja.
10) Apabila kehidupan yang ‘lovey dovey’ berdua menjadi bertiga, berempat, berlima dan seterusnya, kehidupan akan semestinya berubah. Tidur anda tidak lagi senyenyak dulu, makan asalkan tidak lapar sahaja, mandi pun tidak boleh berlama-lama, lawatan ke tandas sering terkocoh-kocoh, rumah umpama tongkang pecah, diri kurang terurus dan sering menjadi emotional, stres, keliru, takut, gementar akan segala kemungkinan dan kesilapan yang mungkin anda lakukan, INGATLAH semua ini adalah normal. Semua orang melalui situasi ini.
11) Usah dijadikan media sosial sebagai kayu ukur kebahagiaan kerana yang kita lihat di media sosial hanyalah yang indah dan wangi. Jika kita sentiasa mengamalkan komunikasi yang terbuka dengan pasangan, sentiasa mendengar dan memberi suara, Insya-Allah kita akan berjumpa jalan penyelesaian bagi segala kesulitan yang dihadapi dalam rumahtangga dan keluarga.
Buatlah apa yang terbaik untuk rumah tangga anda, keluarga anda dan anak-anak anda. Jadikan Al-Quran dan Sunnah sebagai panduan kehidupan anda sekeluarga sentiasa. Semoga Allah redha dan semoga rumah tangga yang baru dibina ini sentiasa dilimpahi rahmah dan baraqah dari-Nya.
Lubuk konten untuk inspirasi bakal – bakal pengantin. Pengantin kini di seeNI.
Download
sekarang!

