Rona putih menggambarkan kesucian dan keluhuran hati bakal mempelai. Dengan gabungan hiasan manik dan juga bunga artifisial semestinya menyerlahkan gaya romantis.
Dulang hantaran juga tidak perlu aksesori atau gubahan yang terlalu sarat. Cukup hanya minimalis.
TIP: Tidak perlu diletakkan pelapik dulang, cukup unik jika memilih jenis dulang yang punya aura tersendiri dalam mempamerkan gaya ukirannya
Download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
Senarai Tetamu Antara Perkara Terpenting Dalam Keseluruhan Proses Perkahwinan
Berapa agaknya tetamu yang patut diundang untuk kenduri kahwin? Pengalaman peribadi membuktikan ini bukan kerja mudah. Malah senarai tetamu adalah antara item terpenting dalam keseluruhan proses perkahwinan.
Ada mempelai, ada pelamin. Ada nasi putih, ada nasi minyak. Ada kurma, ada ayam masak merah. Ada acar buah, ada sirap bandung. Ada bunga manggar, ada kompang. Ada pulut pahar, ada telur pengantin.
Bayangkan jika semua sudah disediakan, tetapi tetamu tidak ada. Majlis warna-warni – dengan muzik dan nyanyian artis tersohor pun – pasti menjadi muram durja jika tiada tetamu bertandang.
Tanpa para undangan, nasi minyak akan dingin tidak berjamah. Ayam golek, kurma, acar buah, semua terbiar di penanggah. Pelamin dan bunga manggar pun sayu tidak diperhatikan. Hatta, telur pengantin pun terkoteng-koteng tidak disentuh.
Demikianlah pentingnya tetamu dalam mana-mana kenduri atau resepsi perkahwinan. Sebenarnya kehebatan dan kesempurnaan majlis bukan terletak pada juadah dan perhiasan, tetapi pada ramai dan meriah sambutan tetamu.
Sebab itu bukan mudah merancang siapa yang patut diundang. Kerja ini perlu dilakukan jauh lebih awal dari perkara-perkara lain. Kalau sudah ditentukan jumlah tetamu, baru boleh dibajetkan berapa gantang nasi, berapa kilo kurma daging, berapa butir telur pengantin.
Jadi, berapa kad undangan perlu dicetak? Berapa kepala patut dijemput? 500? 1,000? 1,500? Ini kena congak betul-betul. Dan biasa terjadi, betapa pun kita telah dan semak berulang kali, pasti akan ada seorang dua yang tercicir dari senarai undangan. Almaklumlah kita selalu lupa.
Apabila teringat namanya, kad undangan sudah habis diposkan. Nasib baik zaman sekarang undangan boleh diedarkan menerusi media sosial. Boleh guna WhatsApps, Facebook, Twitter, SMS, dan lain-lain. Secara peribadi, saya lebih suka menerima undangan menerusi pos.
Adat orang kita apabila berkahwin, mana boleh jemput setakat orang sebelah rumah dan keluarga rapat. Paling tidak pun kad kahwin kena edar sekampung. Saudara mara, termasuk yang bau-bau bacang pun kena jemput juga. Pendek kata, selagi ada bau, wajib dipanggil.
Kawan sepejabat terutamanya bos, patut diberitahu. Datang atau tidak belakang kira, tetapi kad mesti dihulur, kalau tidak nanti ada yang berasa hati. Perangai orang kita, kalau tidak diundang akan menjadi bahan sindiran. Kalau diundang tidak pula datang.
Selain teman pejabat, cikgu dan pensyarah pun masuk dalam senarai undangan, termasuk guru yang paling garang. Teman-teman sekolah pun kena panggil, demikian juga alumni kolej atau universiti.
Itu tidak termasuk bekas kekasih, rakan kuliah agama, penjual ikan, India surat khabar, hatta pengawal keselamatan kawasan perumahan. Wajib juga dipanggil ialah rakan dan taulan yang pernah mengundang kita ketika mereka kahwin dahulu. Kalau tidak dijemput, dikatakan tidak tahu membalas budi pula.
Tolak, campur, tolak lagi, campur lagi, maka untuk majlis kahwin biasa-biasa yang dibuat di bawah khemah depan rumah pun, paling koman kena juga undang 500. Kalau semua datang berdua, ertinya 1,000 orang. Kalau ada yang bawa anak, bawa pembantu rumah, bertambahlah lagi bilangan kepala. Lagipun dalam kad undangan biasanya dijemput “tuan/puan seisi keluarga.” Belum pernah saya terlihat dalam kad undangan dinyatakan dengan jelas “kita jemput laki-bini sahaja, anak-pinak, cucu-cicit, pembantu rumah tak boleh bawa, harap maklum!”
Maka jika yang dijemput dan hadir hanya 500 orang, itu bererti purata 500 pinggan nasi, 500 ketul lauk, 500 gelas sirap bandung, 500 pisang pencuci mulut, dan 500 telur pengantin sebagai buah tangan. Al maklumlah, perkahwinan kita tidak sah jika tiada telur pengantin.
Pendek kata, bilangan undangan ada kaitan rapat dengan kos majlis. Itu baru kos makanan. Tetapi seperti yang semua sedia maklum, perkahwinan bukan setakat makanan.
Ada penanggah, ada kanopi, meja, kerusi, itu semua kena duit. Wajib juga ada pelamin, ada pulut pahar, itu pun kena fulus. Tidak kira status mempelai, pelamin mesti ada. Mana boleh pengantin baharu hanya bersanding di atas tangga!
Kemudian ada pasukan kompang, ada tukang selawat dan tukang baca doa. Kalau di kampung, ada acara silat menyambut pengantin. Menjadi kemestian juga ada muzik, ada karaoke, dan ada juruhebah sambilan sebagai penyeri majlis. Semua itu sekarang kena duit, tidak ada yang percuma lagi.
Paling tidak pun alasan pasukan kompang: “Kenalah hulur sikit, boleh juga kita orang beli koyok sebab tangan lenguh pukul kompang…” Si juruhebah sambilan pun menuntut upah juga sebab “nak beli ubat batuk, suara serak ketika mengendalikan majlis.”
Pendek kata, majlis sederhana di kampung dengan tetamu sekitar 500 kepala pun, paling tidak kena keluar belanja sekitar RM10,000. Itu masak sendiri secara gotong-royong.
Pernah saya dan isteri diundang ke resepsi perkahwinan anak seorang VVIP di sebuah hotel terkemuka. Saya difahamkan kos per kepala RM200, dan ada lebih 1,000 tetamu.
Perihal kahwin di hotel, jamuan sudahlah RM ratus-ratus ribu, belanja lain pun kena fulus besar juga. Sebab buat di hotel serba-serbi kena yang berkelas-kelas. Pengendali majlis tidak boleh koman, paling tidak pun yang pernah menjadi pengacara di stesen TV.
Tukang selawat dan baca doa pun tidak boleh pakai imam surau, paling tidak pun calon ‘Imam Muda’ atau ‘PU’. Hatta penyanyi undangan pun mesti artis tersohor, atau paling tidak pun mana-mana finalis ‘Gegar Veganza’. Barulah putih…
Pendek kata kahwin memang semakin mahal sekarang. Baik pihak lelaki mahupun pihak perempuan kena betul-betul mengatur bajet, supaya semua berjalan sempurna, dan yang lebih penting tidak kantoi selepas kahwin. Ada yang persiapan melampaui kemampuan, akibatnya lepas kahwin dikejar ahlong.
Anak teruna masa kini menangguhkan perkahwinan, juga atas sebab fulus. Walaupun sudah berjumpa si jantung hati, sudah bersumpah setia sehidup semati, hasrat terhalang sebab orang tua gadis meletakkan hantaran di luar kemampuan. Bajet hanya RM5,000, bakal mertua mendesak RM10,000. Kantoi!
Jadi, berapa tanda harga yang patut diletakkan di batang tubuh anak gadis kita? Kalau tanya pihak lelaki pasti mereka mahu wang hantaran serendah mungkin. Alasannya, anak teruna baharu lepas universiti, baharu dapat kerja, gaji tidak seberapa. Tetapi, kena ingat anak gadis pun baharu dapat kerja, belum sempat kumpul duit. Pihak perempuan memerlukan belanja yang lebih besar sebab adat perkahwinan kita, persiapan sebelah perempuan biasanya lebih menjadi tumpuan. Tetapi, bagi pihak perempuan pula janganlah meletakkan harga terlalu tinggi.
Sebab selain harga hantaran dalam bentuk tunai, anak teruna perlu juga menyediakan hantaran-hantaran lain seperti kasut, beg tangan, kain persalinan, cincin kahwin, sirih junjung, coklat, buah-buahan dan sebagainya. Barang-barang ini pun anak teruna kena keluar paling tidak tiga empat ribu RM.
Perkahwinan – tidak kira yang pertama, kedua, ketiga, hatta keempat! – adalah benda baik. Mudahkan, jangan susahkan!
Oleh: ABD JALIL ALI
Download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
Kaum Isteri Boleh Amalkan Perkara Ini Kalau Sedang ‘Cuti’ & Tak Boleh Puasa
Aduh, pastinya agak sedih bagi kaum wanita yang tidak boleh berpuasa pada hari pertama di bulan Ramadan kerana didatangi haid. Memang sedih tapi apa boleh buat kan?
Ingat ya wahai kaum wanita, walaupun anda sedang dalam haid, anda masih boleh melakukan amalan yang boleh menambah pahala anda. Datang bulan tidak bermakna anda perlu duduk sahaja.
Kami kongsikan antara 3 amalan yang boleh dilakukan oleh wanita dalam haid di bulan Ramadan.
1. Berdoa & Berzikir
Bagi wanita yang sedang dalam haid, anda digalakkan untuk membaca doa dan juga zikir. Dalam sebuah riwayat daripada A’isyah R.Anha beliau berkata:
يَا رَسُولَ اللَّهِ أَرَأَيْتَ إِنْ وَافَقْتُ لَيْلَةَ الْقَدْرِ مَا أَدْعُو قَالَ تَقُولِينَ اللَّهُمَّ إِنَّكَ عَفُوٌّ تُحِبُّ الْعَفْوَ فَاعْفُ عَنِّي
Maksudnya: Wahai Rasulullah, apakah pandangan kamu sekiranya aku bertemu dengan lailatul qadar apakah yang patut aku berdoa? Maka kata Nabi S.A.W: “Ucapkanlah: Ya Allah, sesungguhnya Kau maha Pengampun, dan Kau sukakan pengampunan, maka ampunkanlah aku.”
2. Banyakkan Sedekah
Amalan sedelah di dalam bulan Ramadan mempunyai ganjaran yang amat besar disisi Allah S.W.T. Dalam isu sedekah, tidak disyaratkan bagi seseorang itu berada di dalam keadaan yang suci daripada sebarang hadas. Maka, seseorang wanita yang sedang dalam haid masih boleh mendapat ganjaran pahala bersedekah ini.
3. Memberi Makan Kepada Orang Berbuka Puasa
Sekiranya anda memberi makanan kepada mereka yang berbuka puasa, maka anda akan mendapat ganjaran pahala yang besar. Ini berdasarkan sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Zaid bin Khalid al-Juhani R.A bahawa Rasulullah S.A.W bersabda:
مَنْ فَطَّرَ صَائِمًا كَانَ لَهُ مِثْلُ أَجْرِهِ غَيْرَ أَنَّهُ لاَ يَنْقُصُ مِنْ أَجْرِ الصَّائِمِ شَيْئًا
Maksudnya: Sesiapa yang memberi makan kepada orang yang berpuasa dia akan mendapat pahala yang sama dengan orang yang berpuasa dalam keadaan pahala orang tersebut tidak berkurangan sedikit pun. (Riwayat Al-Tirmizi: 807)
Bahkan kata Imam Izzuddin Al Izz bin Abd al-Salam dalam menjelaskan fadhilat memberi makan kepada orang yang berpuasa: “Sesiapa yang memberi makan kepada 36 orang yang berpuasa dalam sepanjang tahun, maka dia akan mendapat pahala berpuasa selama setahun.” Rujuk Maqasid al-Saum, Izz Abd al-Salam (Hlm. 18)
Download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
Elak Perasaan Cemas Sewaktu Majlis, Pengantin Kena Tahu Cara Ini Supaya Lebih Cool!
Setelah semua persiapan majlis perkahwinan telah dibuat, kini tibalah hari majlis perkahwinan anda. Pada hari inilah segala yang dirancang sebelumnya perlu dilaksanakan dan dipastikan berjalan dengan lancar.
Sudah semestinya anda sebagai raja sehari tidak perlu melakukan semua tugas dan kerja, sebaliknya agih-agihkan kepada petugas-petugas yang telah anda lantik sebelum ini.
Letakkan kepercayaan kepada mereka dalam mengendalikan majlis perkahwinan anda. Anda hanya perlu bertenang dan banyakkan memberi senyuman.
Sepanjang majlis perkahwinan, anda mungkin akan melalui perkara-perkara yang berikut:
Di Awal Hari Majlis Perkahwinan
Sila bangun awal pagi. Hari ini adalah hari penting buat anda. Tunaikan solat dan mandi sunat supaya badan anda segar. Wangikan badan dengan aroma yang sesuai. Ini akan membantu ‘mood’ dan perasaan anda untuk menghadapi hari istimewa ini.
Jangan abaikan sarapan pagi, bimbang nanti anda tidak selesa kerana perut memulas kelaparan. Periksa baju pengantin dan aksesori yang akan dipakai nanti, pastikan semua tersedia dan dalam keadaan yan baik. Bersolek dan tukar pakaian anda. Jika ada kesempatan, boleh bergambar secara solo atau bersama saudara-mara.
Semasa Majlis Akad Nikah
Duduk dalam keadaan tenang dan selesa. Banyakkan berdoa dalam hati agar majlis berjalan demgan lancar. Biasanya majlis akad nikah akan dimulakan dengan bacaan khutbah nikah oleh kadi. Dengar dengan teliti, jangan sampai tertidur!
Untuk pengantin lelaki, selesai akad nikah, bersalam-salaman dulu dengan kadi dan orang-orang di sekeliling anda sebelum menunaikan solat sunat syukur. Kemudian, berjumpa dengan pasangan untuk upacara membatalkan air sembahyang. Sarungkan cincin dan serahkan mas kahwin.
Pengantin lelaki mungkin akan dipaksa mencium dahi pasangan, jadi pastikan anda boleh melakukannya dengan baik. Kemudian, bersalam-salamanlah dengan semua orang sebelum berarak ke tempat majlis perkahwinan.
Semasa Majlis Perkahwinan
Pastikan anda mengikuti segala acara yang telah dirancang. Layan tetamu yang datang dengan baik. Pastikan anda dan pasangan mengekalkan wajah yang berseri-seri sepanjang majlis walaupun kepenatan.
Jangan hanya duduk di atas pelamin. Sebaliknya, turun dan beramah-mesra dengan tetamu. Ucapkan terima kasih atas kesudian menghadiri majlis perkahwinan anda. Bergaullah dengan seramai mungkin tetamu, jangan hanya menumpukan kepada rakan terdekat sahaja. Jika ada permintaan, jangan malu-malu untuk mengambil gambar bersama-sama tetamu.
Di Akhir Majlis Perkahwinan
Majlis perkahwinan anda selesai juga akhirnya. Kini, anda bersama-sama dengan pasangan anda. Tunjukkan kasih sayang anda padanya, ambil berat akan semua keperluannya. Temani suami atau isteri anda untuk bergaul dan beramah-mesra dengan ahli keluarga anda.
Pakailah pakaian yang sesuai. Gembirakan semua orang yang telah membantu untuk majlis perkahwinan anda. Apabila tiba waktu yang sesuai, ajaklah pasangan masuk ke bilik dan nikmati malam pertama anda sebaik-baiknya.
Download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI