Pastinya setiap pasangan yang berkahwin ada perancangan untuk menimang anak sebagai penyeri dalam rumah tangga. Namun sebagai pasangan baharu tentu sahaja anda tiada pengalaman dan masih mentah tentang ilmu keibubapaan.
Agar anda dan pasangan lebih bersedia menerima kehadiran ‘orang baharu’, penting untuk anda berdua ikuti 11 pesanan daripada Puan Noor Afidah Abu Bakar, Co-Founder and Principal Consultant Parent Connect Consultancy ini tentang dunia keibubapaan. Semoga perkongsian beliau ini memberi manfaat untuk semua pengantin baharu ataupun yang bakal melangkah ke alam rumah tangga.
***************************************
Ketahuilah anak akan merubah segala-galanya dalam hidup anda. Walau bagaimana ideal sekalipun kehidupan yang kita bayangkan sebelum berkahwin dan ketika awal perkahwinan bersiap sedialah dengan perubahan-perubahan ini bersama-sama.
1) Pada peringkat awal perkahwinan, amalkan sikap terbuka dan sentiasalah membawa berbincang tentang apa saja kesulitan yang dihadapi. Jika dari awal kita mengambil sikap memendam rasa kerana bimbang sebelah pihak akan terguris, lama-kelamaan kita hanya menjadi lilin membakar diri yang tidak mendatangkan apa-apa kebaikan pada rumahtangga, keluarga dan diri sendiri. Tidak bersetuju pendapat adalah normal tetapi haruslah cuba untuk mencapai kata putus yang memuaskan hati kedua-dua pihak.
2) Tahun pertama menjadi ibubapa adalah tahun yang sangat mencabar kerana masing-masing bukan hanya perlu menyesuaikan diri dengan ‘orang baru’ yang cerewet, menangis, meraung, buang air tidak kira masa dan tempat, ‘fragile’, jadikan anda ‘zombie’, perlu melekap sentiasa untuk menyusu, tidak tahu serba-serbi dan sentiasa bergantung kepada anda, malah sebagai suami isteri sendiri kita masih dalam fasa suai kenal dengan teman sebilik kita.
Ads
Jika tahun pertama ini tidak ditangani dengan baik, kita akan mudah terjebak dengan perselisihan faham dan berkecil hati. Sesetengah konflik boleh membawa kepada masalah komunikasi yang berpanjangan dalam kehidupan berumah tangga.
3) Bersedialah untuk melakukan perubahan pada rutin dan aktiviti yang biasa diamalkan ketika bujang. Libatkan juga pasangan anda dalam aktiviti anda. Jika dia tidak berminat, sekali-sekala berceritalah tentang minat masing-masing. Ini akan mengeratkan lagi hubungan antara suami isteri dan tidak mewujudkan syak wasangka di kemudian hari. Apabila ahli keluarga bertambah, wujudkan ‘family culture’ yang akan mengeratkan hubungan kekeluargaan. Lakukan aktiviti bersama-sama sebagai satu keluarga. Semua ini harus dirancangkan dan bertekad dari awal.
4) Bina ‘trust’ yang kukuh antara satu sama lain. Kedua-kedua pihak perlu didengari, diberi suara, bertolak ansur dan bersetuju dengan isu-isu yang mungkin timbul satu hari nanti baik tentang ‘parenting’ ataupun perkahwinan.
5) Jadikan perkahwinan dan rumah tangga sebagai satu prioriti. Tanamkan tekad untuk sentiasa luangkan masa bersama dan ‘berdating’ walau apabila ada anak nanti. Dating tidak semestinya di luar dengan meninggalkan anak-anak di rumah. ‘Dating’ di rumah pun boleh. Bersembanglah tentang hal-hal kerja, minat masing-masing dan juga berbincang tentang keluarga. Tanamkan niat untuk tetapkan jadual untuk berjumpa sekali sekala waktu ‘lunch’ ketika hari kerja dan kekalkan ia supaya menjadi amalan yang berterusan. Jika diamalkan dari awal, lama-kelamaan ia akan menjadi habit yang dapat mengukuhkan hubungan antara suami isteri Insya-Allah.
Ads
Apabila mempunyai anak, berterusanlah menjadikan keluarga satu prioriti. Tidak ada sesiapa yang akan peduli tentang pasangan dan anak-anak anda melainkan diri anda sendiri.
6) Masing-masing perlu bersedia untuk ‘evolve’ atau lakukan perubahan. Keadaan dan persekitaran mungkin akan bertukar, Oleh itu apa yang diperbincangkan dan dipersetujui hari ini juga perlu bertukar bersesuaian dengan keadaan. Kita tidak tahu apa yang akan berlaku di kemudian hari jadi perlulah kita bersedia untuk menghadapi segala kemungkinan bersama-sama. Janganlah ‘lautan api sanggup ku renangi’ hanyalah menjadi madah cinta ketika segalanya mewangi dan harum ketika berdua.
7) Sebaiknya sebelum bayi lahir lagi berbincanglah tentang penjagaan bayi, siapa yang akan menjaganya terutamanya jika kedua-dua suami isteri bekerja, bagaimana jadual seharian suami isteri, penyusuannya, waktu tidurnya, susun atur rumah, rutin penjagaan kesihatan dan sebagainya. Tidak salah jika melakukan perancangan jangka masa panjang juga di awal perkahwinan contohnya tentang pendidikan anak, perancangan kewangan dan sebagainya supaya kita bersiap sedia.
Bersedialah untuk dapatkan bantuan jika perlu dan jangan malu untuk belajar dan bertanya dengan orang yang lebih berpengalaman dan kita percayai.
8) Harus diingat dalam ‘parenting’ tiada kaedah yang betul dan kaedah yang salah. Kita harus terima bahawa kita dibesarkan oleh ibu bapa kita dengan cara yang berbeza-beza. Tidak salah jika kita juga merancang untuk membesarkan anak-anak dengan cara yang berbeza tetapi haruslah dipersetujui oleh kedua-dua pihak. Dengar dan baca SEMUA nasihat ‘parenting’ tetapi pilih yang sesuai dengan dinamik keluarga kita.
Ads
Apa yang baik untuk keluarga kawan kita tidak semestinya baik untuk keluarga kita. Walau bagaimanapun sentiasalah menuntut ilmu ‘parenting’ dan tidak salah untuk ubah mengikut kesesuaian. Ada kalanya kita perlu mengikut ‘instinct’ kita kerana ‘instinct’ tentang anak-anak selalunya adalah benar.
Sentiasalah mengkaji dan ‘upgrade’ diri sendiri dengan ilmu. Ambil tahu tentang apa yang penting dan releven dalam dunia di mana anak-anak kita dibesarkan. Usah disamakan zaman kecil kita dengan zaman anak-anak kita.
9) Apabila mempunyai anak, perbelanjaan semestinya akan bertambah. Rancanglah kewangan dari awal. Menyimpanlah dari awal walaupun sedikit. Sediakan akaun tabungan untuk anak yang tidak akan diusik. Ketahuilah biasiswa dan pinjaman pelajaran sudah tidak banyak sekarang. Saingan juga sengit. Kita tidak tahu bagaimana pula satu hari nanti apabila anak kita meningkat dewasa. Beringatlah dari awal untuk menyimpan untuk pendidikan anak-anak. 17 tahun hanyalah masa yang singkat. Sedar tidak sedar anak sudah masuk ke peringkat universiti yang banyak memerlukan belanja. Berbincanglah tentang kewangan keluarga dari awal. Pastikan kedua-dua pihak bersetuju dengan rela hati.
Bersiap sedia juga untuk hari-hari sakit anak dan juga diri kita sendiri yang akan memerlukan belanja.
10) Apabila kehidupan yang ‘lovey dovey’ berdua menjadi bertiga, berempat, berlima dan seterusnya, kehidupan akan semestinya berubah. Tidur anda tidak lagi senyenyak dulu, makan asalkan tidak lapar sahaja, mandi pun tidak boleh berlama-lama, lawatan ke tandas sering terkocoh-kocoh, rumah umpama tongkang pecah, diri kurang terurus dan sering menjadi emotional, stres, keliru, takut, gementar akan segala kemungkinan dan kesilapan yang mungkin anda lakukan, INGATLAH semua ini adalah normal. Semua orang melalui situasi ini.
11) Usah dijadikan media sosial sebagai kayu ukur kebahagiaan kerana yang kita lihat di media sosial hanyalah yang indah dan wangi. Jika kita sentiasa mengamalkan komunikasi yang terbuka dengan pasangan, sentiasa mendengar dan memberi suara, Insya-Allah kita akan berjumpa jalan penyelesaian bagi segala kesulitan yang dihadapi dalam rumahtangga dan keluarga.
Buatlah apa yang terbaik untuk rumah tangga anda, keluarga anda dan anak-anak anda. Jadikan Al-Quran dan Sunnah sebagai panduan kehidupan anda sekeluarga sentiasa. Semoga Allah redha dan semoga rumah tangga yang baru dibina ini sentiasa dilimpahi rahmah dan baraqah dari-Nya.
Lubuk konten untuk inspirasi bakal – bakal pengantin. Pengantin kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Manisnya wajah Ustazah Datuk Dr Norhafizah Musa. Bila bercakap pun lemah lembut saja. Setiap sesi ceramah Ustazah Norhafizah memang kita akan rasa cepat sangat masa berlalu kerana topik yang dibicarakan semuanya best. Ada amalan bangun tidur yang Ustazah kongsikan dalam satu video daripada Himpunan Nasihat Ustaz.
Rata-rata ramai yang tahu mengenai makanan sunnah antaranya kurma, habbatus sauda, minyak zaitun dan pati delima. Tapi ramai yang susah nak jadikan pemakanan sunnah ni sebagai amalan kecantikan. Kali ini Ustazah Norhafizah kongsikan petua kecantikan yang mudah. Cuma anda perlu istiqamah!
Bangun pagi dan minum air suam sebanyak satu botol air mineral (500ml) + 1/4 . Lebih kurang satu botol suku. Baca doa yang dibaca ketika minum air zamzam.
2. Kemudian ambil satu sudu minyak zaitun dan minum.
3. Selepas itu, ambil dua sudu atau lebih pati delima.
4. Ambil secawan air suam, masukkan satu sudu madu, satu sudu kecil minyak habbatus sauda, satu sudu minyak kelapa dara dan beberapa helaian safron. Kacau sebati dan minum.
5. Biarkan perut ‘berehat’ selama dua jam. Kemudian, barulah anda boleh menikmati hidangan berat.
Menurut Ustazah lagi, selepas setiap kali makan makanan berat, ambil sedikit cuka tamar unutk ‘mencuci’ perut. Jangan terlalu banyak kerana cuka bersifat asid dan pedih pada perut.
Sebelum kahwin, wanita kena berdamai dengan kemampuan kewangan bakal suami. Jangan pula awal kahwin sudah tahu suami jenis tak poket tebal, lama-lama rasa tak boleh bertahan dah akhirnya memilih untuk berpisah.
Kewangan rumah tangga itu asas yang penting dalam hubungan suami isteri. Ini untuk menjamin keselesaan hidup, malah dapat membantu mengelakkan masalah yang mungkin timbul di kemudian hari.
Untuk lebih faham isu kewangan suami isteri, jemput baca perkongsian daripada Soraya Yusof dengan hati terbuka.
Terimalah Dengan Hati Terbuka Soal Kewangan Bakal Suami
Ini sedikit nasihat kepada adik-adik yang telah ada pasangan dan merancang ingin berkahwin. Sebelum kahwin sila pastikan satu perbincangan menyeluruh telah dibuat tentang perkahwinan.
Bukan tentang nak honeymoon di mana, pelamin colour apa, baju sedondon tempah kat mana, apa doorgift nak bagi orang atau macamana nak impress tetamu yang diundang.
Bukan! Perbincangan ini meliputi:
1. Kewangan
Gaji bakal suami dan isteri. Tanggungan bulanan masing-masing. Bakal suami nanti kena tanggung apa. Bakal isteri perlu bantu apa. Ceritalah pasal duit. Mengaku sahaja apa yang ada. Jangan membohong atau cuba melindungi kemampuan kewangan.
Lelaki kena jadi jantan yang menyara keluarga. Jangan biarkan isteri menampung perbelanjaan yang sepatutnya disara oleh suami. Dan lelaki kena ada kredibiliti mengajar perempuan hidup dibawah kemampuan suami. Mesti.
Bakal isteri boleh ada gaji 3 kali ganda gaji dari suami. Tetapi suami masih perlu bayar rumah, makanan dan pakaian keluarga. Inilah yang menjadikan lelaki sebagai ketua dalam keluarga. Sebab dia berkuasa kepada tempat tinggal, makan dan pakaian keluarganya. Bila berkuasa, barulah boleh mendidik dengan yakin.
Saya biasa mendengar cerita lelaki dihalau keluar dari rumah bila bergaduh. No! Bila bergaduh atau bersengketa dalam rumah yang dibiayai lelaki, suami akan lebih lelaki dan berkemampuan untuk menyelesaikan isu dengan lebih efectif.
Namun, kuasa ini bukanlah bermaksud boleh pukul atau maki hamun isteri jauh sekali menghalau isteri jika bersengketa.
Gaji isteri yang banyak bolehlah digunakan oleh isteri untuk membeli mesin basuh canggih, mesin dryer, thermomix, renovate dapur, beli TV sebesar padang bola dan bla bla.
2. Berbincang
Sembang dari awal tentang penginapan, hala tuju pekerjaan, bilangan anak, perancangan hujung minggu, keperluan me time, pembahagian kerja rumah jika keduanya bekerja dan juga isteri tidak bekerja dan expectation kepada pasangan.
Sentuh pasal ini:
“Setiap hujung minggu abang perlu balik jumpa mak sebab mak dah tua”
“Saya ok aje abang balik rumah mak setiap hujung minggu. Abang ok ke jika 2 minggu saya ikut abang balik, seminggu saya balik sendiri ke rumah mak saya dan seminggu lagi jika keadaan mengizinkan abang ikut saya balik rumah mak?”
Perbincangan seperti ini sangat diperlukan. Bukan yang meliuk lintuk menyatakan cinta katak tu.
3.Pastikan si dia tak kaki pukul
Jika sebelum kahwin telah dipukul, mendapat tahu pasangan mengambil bahan terlarang, masih melakukan perkara maksiat seperti melangani pelacur, ketagih porno, gay, berhutang kepada ah long, rupanya pernah berkahwin tetapi menyorokkan, kaki maki hamun sama ada dalam media sosial ataupun verbal sewaktu bergaduh, bakal makbapak mertua tak suka dan sebagainya
Mohonlah tangguhkan perkahwinan atau terus batalkan. Tak payahlah rasa yang nanti kahwin semua ni akan berubah. Janganlah jadi bodoh.
4. Belajarlah tentang perkahwinan
Baca buku. Hadir kelas. Dengar ceramah agama. Kedua pihak kena jadi manusia yang ready mahu memikul tanggung jawab.
Dah kahwin nanti keputusan kena buat dengan dua pihak. Bukan panggil mak bapak masuk campur. Kalau tak ready, tak payah kahwin.
5. Tinggalkan orang yang pernah hadir
Ini termasuk bekas tunang, bekas teman lelaki, bekas teman wanita, abang angkat, adik angat dan sebagainya.
Mereka ini bakal memecahbelahkan kasih sayang suami isteri. Mereka juga bakal menimbulkan sengketa. Tinggalkan.
Bukan satu dua kes penceraian disebabkan oleh pihak ketiga yang telah berada sangat awal sebelum perkahwinan.
6. Niat untuk jadi lebih baik
Dan sangat penting kedua bakal suami dan isteri berusaha menjadi orang yang bertaqwa kepada Allah. Belajarlah AlQuran dan Hadith. Tadabur AlQuran. Fahamlah agama yang tulen.
Realitinya perkahwinan banyak sangat cabarannya di zaman ini. Dengan hanya berpegang kepada Allah dan Rasulullah SAW, insya-Allah boleh bertahan dalam perkahwinan. Semoga anda yang bakal berumah tangga berjaya memilih pasangan hidup yang tepat!
Lubuk konten untuk inspirasi bakal – bakal pengantin. Pengantin kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Sebuah perkahwinan yang bahagia ialah apabila suami dan isteri saling berkongsi rasa kasih sayang mereka dalam rumah tangga. Sama ada ia diucapkan dengan kata-kata mahupun dengan perbuatan . Ia jelas menunjukkan betapa pentingnya si dia dalam hidup anda. Inilah tujuh tanda yang menunjukkan bahawa suami anda bahagia.
1.Sering menghubungi
Bila dia keluar untuk urusan perniagaan, dia akan menelefon setiap hari untuk menyatakan kerinduannya kepada anda. Seorang suami yang bahagia dalam perkahwinannya benar-benar merasa kehilangan isterinya bila dia berjauhan. Dia ingin berada dekat dengan anda. Dia tak sabar untuk pulang dan bertemu anda lagi. Dia mengucapkan kata-kata penuh sayang di telefon dengan tulus. Dia 100 peratus setia kepada anda.
2.”Aku sayang kamu”
Setiap hari dia mengucapkan “aku sayang kamu,” begitu juga anda. Anda berdua tidak pernah bosan menyatakannya. Dia tidak seperti suami lain yang isterinya mengeluh sesudah berkahwin beberapa tahun, “ Awak tidak pernah sebut cintakan saya,” lalu si suami menjawab, “Kan sudah saya katakan semasa kita menikah, jika keadaan berubah, saya akan memberitahu awak.” Ini bukan caranya seorang suami yang bahagia. Dia menyatakan cintanya kerana ingin anda tahu hal ini setiap hari. Dia mengatakannya kerana dia merasakannya dalam lubuk hatinya. Dan dia tahu anda ingin mendengar dia mengucapkan perasaan cintanya.
3.Dia suka melihat anda pulang kerja
Dia senang melihat anda pulang ke rumah dan menyatakan itu dengan ciuman, pelukan atau sekadar percakapan yang menunjukkan perhatiannya.
4. Suka membantu
Dia ringan tulang untuk membantu kerja rumah. Dia ingin meringankan beban anda dan melakukan tugasnya, bahkan lebih dari itu jika anda kurang sihat. Dia rela buat semuanya untuk membuat rumah selesa. Dia memahami bahawa membesarkan anak bukan hanya tugas anda saja; ini tanggung jawab bersama. Dan dia tidak keberatan kerana dia mencintai anda serta anak-anak. Dengan kata lain, dia ringan tulang dalam membuat rumah menyenangkan bagi keluarganya.
5.Pujian
Dia memuji anda. Dia memandang anda dan melihat apa yang anda lakukan. Dia menaruh perhatian. Anda sering melihat dia memerhatikan anda. Dia terpesona dengan anda dan tidak pernah bosan memandang anda. Dia menganggap anda cantik, tidak peduli walaupun tubuh anda sudah berubah. Dia tidak melihat kekurangan kerana dibutakan oleh cintanya.
6.Menghibur
Dia memeluk anda bila anda menangis. Bila sakit hati dan rasa kecewa membuat air mata anda menitis, dia akan bersedia menjadi tempat curahan hati. Dia akan berusaha sebaik mungkin memahami apa yang anda alami. Dia tidak akan selalu sempurna dalam hal ini, namun dia berusaha menghibur anda pada masa yang sukar.
7.Saling terbuka
Dia akan berkongsi apa jua cerita sama ada suka dan duka bersama Anda. Bila dia bersedia membuka hatinya dan memberi tahu anda tentang perancangan serta harapan bagi kariernya, dia tahu bahawa anda peduli dan mendengarnya baik-baik. Dia tahu anda akan selalu memberinya dorongan. Dia juga tahu cintanya terhadap anda cukup dalam sehingga anda akan faham dan ingin tahu tentang kekecewaannya. Seorang lelaki yang bahagia dalam perkahwinan akan memiliki keyakinan tentang ini.
Untuk suami yang membaca artikel ini, buatlah catatan. Jika anda belum melakukan hal-hal di atas, bertindaklah segera dengan menjadikan isteri anda sebagai keutamaan. Belum terlambat untuk memupuk kebahagiaan dalam rumah tangga anda.
Buat isteri pula, nikmatilah kebaikan yang dilimpahkan oleh suami anda. Juga jadikanlah dia yang utama. Semoga kebahagiaan sentiasa bersama anda berdua.
Sumber : 7 signs your husband is happily married tulisan Gary dan Joy Lundberg.
Lubuk konten untuk inspirasi bakal – bakal pengantin. Pengantin kini di seeNI. Download seeNI sekarang!