
Dinding batu bata antara feature penting bagi dekorasi berkonsepkan industri, hipster dan kediaman yang menekankan konsep english country. Namun, bagi anda yang nak makeover kediaman, tak perlulah robohkan dinding atau buat dinding baru dari batu bata. Ada kaedah yang lebih cepat dan mudah. Kebiasaanya, wallpaper bercorak batu bata menjadi pilihan.
Gunakan Cat Untuk Hasilkan Dekorasi Dinding Batu Bata
Namun bagi yang suka tekstur batu bata, wallpaper bukanlah pilihan terbaik. Apa kata cuba idea yang dikongsikan oleh Nur Nazihah Abd razak.
1. Bancuh dulu cat mengikut arahan yang terdapat pada pek bungkusan
2. Sapukan lapisan pertama (special effect) yang telah siap dibancuh (sapuan perlu rata seperti kemasan simen pada dinding
3. Bentukkan tekstur batu bata ketika lapisan “special effect” separuh kering
4. Pastikan dinding yang telah siap di corakkan kering sepenuhnya
5. Selepas kering sepenuhnya, sapukan cat. Anda mungkin perlukan 2-3 lapisan cat untuk menghasilkan kesan batu bata yang sebenar. Pastikan cat kering sepenuhnya sebelum lapisan berikutnya di sapu
6. Gunakan cat yang sedikit gelap bagi menghasilkan tekstur batu bata sebenar
7. Buat garisan pada joint batu dengan menggunakan cat hitam atau putih. Mengikut cadangan Nazihah, soft gray nampak lebih semulajadi.
Inilah hasilnya selepas proses kering berlaku dan anda boleh pegang dinding tersebut dan merasai sendiri tekstur seakan batu bata merah. Nampak klasik kan? Yang suka dekorasi rumah tanpa mengeluarkan bajet yang tinggi inilah caranya.
Panduan Untuk Pengantin Lelaki! Ini Perkara Yang Korang Patut Buat Lepas Akad Nikah

Selepas bertungkus lumus selama berbulan-bulan merancang majlis yang paling sempurna, pasti anda ingin semuanya berjalan lancar. Jika anda bakal pengantin lelaki, jadikan empat perkara ini sebagai panduan yang perlu anda lakukan sehingga majlis akad nikah selesai.
Dalam tak sedar, ada sebahagian bakal pengantin yang kurang pendedahan tentang ilmu-ilmu perkahwinan seperti perkara yang perlu dilakukan selepas majlis akad nikah. Bezanya hari ini, jurunikah turut memberi ruang selepas majlis untuk pengantin melakukan solat sunat dan sebagainya. Begitu juga jurugambar yang turut serta dalam mengambil momen-momen indah di dalam majlis tersebut.
Untuk bakal pengantin lelaki, pastikan anda jadikan empat perkara ini sebagai panduan sebelum anda melangkah menjadi seorang suami.
1. Solat Sunat Selepas Akad Nikah
A. Lafaz niat:
“Usolli sunnata ba’dan nikahi rak’ataini lillahi Taala”
Ertinya: Sahaja aku solat sunat sesudah nikah dua rakaat kerana Allah Taala
B. Bacaan surah
Surah-surah yang sunnah dibaca selepas Al-Fatihah adalah:
Rakaat pertama: Surah Al-Kafiruun
Rakaat kedua: Surah Al-Ikhlas
C. Sujud Syukur selepas salam
Kemudian, selepas salam dilakukan pula Sujud Syukur, ataupun boleh juga selepas akad terus dilakukan Sujud Syukur terlebih dahulu tanpa mengerjakan Solat Sunat Nikah tersebut yang ditangguhkan pada sebelah malam nanti. Ia terpulang kepada kesesuaian dan keselesaan individu dan pasangan tersebut untuk melakukannya.
D. Membaca doa nikah
Baca doa nikah yang bersesuaian atau boleh dibaca contoh dalam bahasa Melayu seperti berikut:
“Ya Allah! Dikau Maha Pengasih lagi Maha Penyayang. Segala puji-pujian bagi Allah, seru sekalian alam. Ya Allah! Daku bersyukur kepada-Mu, setelah selesai pernikahan kami ini, daku memohon pada-Mu Ya Allah; Dikau berkatilah pernikahanku ini, Dikau jadikanlah daku dan isteriku orang-orang yang soleh.
Ya Allah, Ya Rahman, Ya Rahim! Kepada-Mulah kami memohon pertolongan. Dikau anugerahkanlah kepadaku isteri yang solehah, Dikau berikanlah daku dan isteriku petunjuk dan hidayah agar kami sentiasa di dalam keredhaan-Mu dan tunjukkanlah kami ke jalan yang lurus sepanjang hidup kami. Dikau berikanlah kami kekuatan untuk memimpin isteri dan mendidik bakal anak-anak kami ke jalan yang Dikau redhai.
Ya Allah, Ya Wadud! Dikau mesrakanlah kami, bahagiakanlah kami sebagaimana Nabi Muhammad SAW dan Siti Khadijah, Nabi Yusuf dengan Zulaikha, Nabi Adam dan Hawa.
Ya Allah, Ya Rahman, Ya Rahim! Dikau anugerahkanlah padaku dan isteriku anak-anak yang ramai yang soleh dan solehah. Dikau anugerahkanlah kami dan anak cucu kami kesihatan dan kesejahteraan di sepanjang hayat kami dan sepanjang hayat mereka. Dikau peliharalah kami daripada perkara-perkara yang boleh merosak kemesraan dan kebahagiaan rumah tangga kami.
Ya Allah, Ya Razaq, Ya Rashid! Dikau anugerahkanlah kepada kami akan rezeki yang bersih lagi baik, lindungilah kami dari mendapat rezeki yang keji dan haram. Dikau jadikanlah daku dan isteriku serta bakal anak-anak kami orang yang rajin mengerjakan solat dan bertakwa. Dikau berikanlah petunjuk dan jalan sekiranya daku dan isteriku serta anak-anak kami tergelincir atau menyimpang ke jalan yang tidak Dikau redhai.
Ya Allah! Dikau anugerahkanlah padaku, isteriku dan keturunan kami kekuatan dan keimanan untuk berbuat baik dan amal soleh sepanjang hayat kami. Dikau peliharalah kami suami-isteri, anak-anak dan cucu-cucu kami daripada sebarang mara bahaya, fitnah dan malapetaka yang tidak diingini sama ada yang zahir mahupun yang batin.
Ya Allah! Dikau berkatilah umur kami suami-isteri, anak-anak kami dan cucu-cicit kami sehinggalah akhir hayat kami dan mereka. Dikau peliharalah kami suami-isteri, anak-anak kami dan cucu-cicit kami agar menjadi orang yang taat kepada-Mu Ya Allah, kepada kedua ibu bapanya dan taat mengerjakan perintah-Mu dan taat dalam menjauhi larangan-Mu.
Bahagiakanlah rumah tangga kami Ya Allah! (3 kali),
Dikau berkatilah rumah tangga kami Ya Allah! (3 kali).”
2. Sujud Syukur
A. Lafaz niat:
“Sahaja aku sujud syukur kerana Allah Taala”
B. Cara solat:
a. Takbiratul ihram iaitu mengangkat tangan sebagaimana takbir dalam solat.
b. Terus sujud sekali dan membaca bacaan seperti bacaan sujud ketika solat.
c. Mengucapkan syukur di dalam hati “Aku bersyukur kerana dikurniakan suami / isteri”
d. Terus duduk dan memberi salam.
3. Suami meletakkan tapak tangan di atas ubun-ubun isteri lalu membaca doa
A. Bacaan doa seperti berikut:
“Ya Allah, aku memohon kepada-Mu dari kebaikannya dan kebaikan apa yang Engkau tetapkan kepadanya, dan aku berlindung kepada-Mu dari kejahatannya dan kejahatan yang Engkau tetapkan padanya. Ya Allah berkatilah isteriku ini atasku dan lindungi dirinya dari segala keburukan perbuatan orang-orang yang dengki dan perbuatan tukang sihir apabila dia telah melakukan sihir dan perbuatan orang-orang yang suka melakukan tipu daya.” (Riwayat Abu Daud)
4. Isteri bersalaman dengan suami sambil mencium tangan suami lalu mengucapkan 2 kalimah syahadah
Ini adalah empat perkara sunat yang sebaiknya dilakukan pengantin sejurus selepas anda berdua sah diijabkabulkan sebagai suami isteri. Namum berhati-hati, anda tidak digalakkan untuk mencium ubun-ubun isteri kerana ia adalah acara dalam agama lain. Selalunya, saudara-mara yang akan mengarahkan pengantin lelaki untuk mencium isteri dan anda haruslah menolaknya dengan cara berhemah.
Hilangkan Risau Andai Belum Jumpa Jodoh, Ini Tip Untuk Anda Yang Tak Jemu Berusaha!

Tip Mempercepatkan Jodoh Dengan Segera
1. Memperluaskan pergaulan
– Kebanyakkan orang yang lambat jodohnya hanya memiliki pergaulan dan kehidupan yang sangat terhad. Hanya bergaul dengan kawan – kawan yang terlalu sedikit. Jadi apabila kita memperluaskn pergaulan, kita akan kenal ramai orang dan mungkin kita akan kenal seseorang yang serasi dengan kita.
2. Jangan terlalu memilih yang sempurna
– Andai kita terlalu memilih yang sempurna sudah pasti kita tidak akan bertemu jodoh kita sampai bila-bila kerana manusia tiada yang sempurna. Jadi pilihlah pasangan yang serasi dengan kita. Kerana pasangan kita adalah cerminan diri kita.
3. Minta tolong pada keluarga, saudara mara atau sahabat
– Jangan malu untuk meminta pertolongan dari keluarga, saudara mara atau kenalan untuk carikan jodoh untuk kita. Nyatakan hasrat kita untuk bernikah. InsyaAllah mereka akan bantu kita.
4. Berani bertindak
– Jangan terlalu malu atau segan untuk memulakan percakapan atau ingin menegur seseorang yang ingin kita kenali dengan lebih rapat.
5. Perbetulkan diri
– Andai dulu selalu tertinggal atau lambat solatnya, maka kita boleh perbetulkan. Nak dapatkan jodoh yang baik, kita perlu berusaha jadi baik terlebih dahulu.
6. Rajin bersedekah
– Amalan sedekah secara istiqamah kadang antara punca tertariknya rezeki kepada kita, punya penyembuhan penyakit dan punca dijauhkan dari bala bencana. Selain itu, sedekah dengan ikhlas juga dapat membantu mempercepatkan jodoh.
7. Bertaubat dan berdoa
– Bersihkan diri dengan bertaubat kepada Allah dan berdoa bersungguh-sungguh dipermudahkan dan dipercepatkan jodoh. Digalakkan berdoa di waktu – waktu mustajab berdoa seperti berdoa ketika selepas solat fardhu, berdoa di tengah malam selepas bertahajud dan sebagainya.
Moga, tips-tips yang diberikan dapat membantu anda disamping dapat bertemu dengan jodoh anda dengan segera. Aamiin
Kredit foto: TANGKAP PICTURES
***JOM SERTAI CHANEL TELEGRAM PESONA PENGANTIN DAN DAPATKAN LEBIH BANYAK INFO BERSAMA KAMI. KLIK SAHAJA DI SINI.
Cara Elak Ditipu Pemaju Rumah, Aduan Kerosakan Perlu Ditulis Menggunakan Surat Rasmi

PEMAJU TAK BAIKI KEROSAKAN RUMAH ANDA DENGAN BAIK? INI PUNCANYA DAN SOLUSI TERHADAP MASALAH TERSEBUT.

Penat menunggu rumah baru siap, sekali hampa dengan struktur yang dibuat secara sambil lewa. Anda sebagai pemilik mempunyai hak untuk menuntut apa yang sepatutnya menjadi hak anda. Ikuti perkongsian Salkukhairi Abd Sukor merupakan Peguam Hartanah Rakyat, berkongsi tindakan yang wajar anda ambil apabila terjadi masalah sedemikian.
1. Saya sering menerima rungutan daripada pembeli-pembeli rumah baru yang pemaju gagal baiki kerosakan rumah mereka sebagaimana yang dikehendaki. Ada yang mendakwa pemaju macam buat acuh tak acuh dengan aduan kerosakan yang mereka buat, lambat baiki kerosakan yang diadukan, baiki sikit kemudian rosak balik dan banyak lagi lah ketidak puasan hati yang diluahkan oleh mereka kepada saya.
2. Saya agak hairan juga kenapa boleh jadi begitu. Sebab berdasarkan pengalaman saya setakat ini menguruskan aduan-aduan tuntutan kerosakan rumah client saya yang dalam tempoh liabiliti kecacatan dengan pemaju, bolehlah dikatakan, kesemua pemaju telah membaiki kerosakan yang di adukan dengan baik sekali. Dan Alhamdulillah semua klient berpuas hati.
3. Dan setakat kes yang saya kendalikan, tiada lagi aduan yang dibuat berakhir dengan tindakan pemfailan tuntutan di Tribunal Pembeli Rumah atau pemfailan tuntutan sivil di mahkamah. Jadi, dapat menjimatkan kos guaman. Saya optimis, tiada sebab mengapa pemaju sengaja tidak mahu membaiki kerosakan tersebut. Kerana ianya akan memberi kesan terhadap reputasi dan bisnes pemaju itu sendiri. Melainkan memang anda beli rumah dengan pemaju kaki scammer. Itu memang silap anda lah sebab tak siasat betul-betul latar belakang pemaju sebelum beli rumah yang dibina oleh mereka.
4. Lagipun, segala kos pembaikan telah diambil kira dalam harga rumah yang dijual. Bahkan pemaju sendiri akan memotong wang pertaruhan yang dipegang daripada kontraktor yang dilantik jika terdapat kerosakan yang gagal dibaiki oleh kontraktor tersebut. Bagi saya, kalau pemaju tak baiki tu, mesti ada sebab-sebab lain yang menjadikannya begitu.

5. Maka, setelah saya selidiki, rupa-rupanya antara sebab kenapa kerosakan tersebut tidak dibaiki oleh pemaju sebenarnya banyak disumbangkan oleh kesilapan pembeli sendiri dalam membuat tuntutan atau aduan kerosakan.
6. Di antara kesilapan yang biasa dilakukan oleh pembeli adalah aduan kerosakan yang dibuat tidak jelas dan mengelirukan serta tidak mengikut prosedur aduan yang sebenar.

7. Saya dapati kebanyakan pembeli hanya menggunakan borang aduan kerosakan yang diberikan oleh pemaju semata-mata untuk mengemukakan aduan kerosakan. Disebabkan ruangan yang disediakan dalam borang tersebut terhad, jadi kebanyakan pembeli terpaksa menulis setiap aduan kerosakan tersebut secara ringkas dan cincai sahaja. Ada yang saya dapati tulisan mereka macam cakar ayam sahaja. Dan disebabkan itulah, terdapat kekeliruan kepada kontraktor atau team teknikal pemaju untuk membaiki kerosakan tersebut.
8. Biasalah, team teknikal pemaju juga manusia biasa. Jika urusan mereka dipermudahkan, mereka pun akan rasa bersemangat untuk buat kerja dengan baik. Tetapi kalau aduan tak jelas atau main cincai sahaja, macam mana mereka nak baiki kerosakan tersebut dengan baik. Mereka mungkin faham lain, sedangkan aduan yang dibuat oleh pembeli adalah sebaliknya.
9. Jadi solusinya, gunakan format aduan kerosakan sendiri. Tak perlu pakai borang aduan yang disediakan oleh pemaju tersebut. Senaraikan satu persatu kerosakan yang ingin diadukan mengikut setiap bahagian rumah tersebut. Jangan campur adukkannya sekali.
10. Misalnya, kerosakan di bahagian porch, senaraikan dalam 1 atau 2 muka surat, kemudian disusuli dengan bahagian ruang tamu yang mana setiap kerosakan tersebut disenaraikan dalam 1 atau 2 muka surat yang lain. Begitulah seterusnya. Lebih baik lagi kalau anda boleh ambil gambar setiap kerosakan yang diadukan tersebut untuk memudahkan rujukan kontraktor atau team teknikal pemaju. Lampirkan setiap gambar tersebut dalam senarai aduan kerosakan yang dibuat.
11. Dan satu lagi, tidak semestinaya anda kena serahkan aduan kerosakan tersebut kepada pemaju pada hari yang sama anda terima kunci / terima serahan milikan kosong rumah tersebut daripada pemaju. Ingat! Anda ada masa 24 bulan untuk membuat aduan kerosakan kepada pemaju. Jadi tidak perlu tergesa-gesa. Ambil masa untuk check setiap kerosakan pada rumah tersebut secara terperinci. Bila dah siap barulah anda hantar aduan kerosakan tersebut sekali gus kepada pemaju. Elakkan daripada anda hantar aduan secara beransur-ansur atau sedikit-sedikit, melainkan kerosakan tersebut berlaku selepas beberapa lama daripada tarikh serahan milikan kosong dibuat. Ini bertujuan untuk memudahkan team teknikal pemaju untuk melakukan kerja-kerja pembaikan kerosakan pada rumah anda tersebut sekaligus.
12. Satu perkara yang anda perlu faham juga adalah, aduan kerosakan ini perlu dihantar secara bertulis menggunkan surat rasmi (cover letter) nama anda atau peguam anda (jika menggunakan khidmat peguam). Kalau boleh biarlah bertaip. Dan ianya perlu dihantar secara pos berdaftar atau serahan tangan sahaja kepada pemaju. Jangan gunakan email atau whatsapp untuk hantar aduan kerosakan kepada pemaju. Cara tersebut tidak betul mengikut peruntukan yang dinyatakan dalam perjanjian jual beli dan Akta Pemajuan Perumahan. Jadi jika pemaju tidak baiki kerosakan tersebut, janganlah salahkan mereka sebab anda sendiri pun hantar aduan kerosakan macam tak serius sahaja melalui email atau whatsapp.
13. Dan sekiranya anda tidak yakin macam mana untuk membuat dan menghantar tuntutan kerosakan yang betul terhadap pemaju, anda boleh sahaja dapatkan bantuan atau khidmat daripada pakar seperti peguam hartanah yang berpengalaman dan sebagainya. Insya Allah mereka boleh membantu anda.
Sila LIKE, SHARE dan KOMEN yang murni-murni sahaja. Moga ramai dapat manfaat daripadanya, Insya Allah
Terima kasih
SALKUKHAIR ABD SUKOR
Peguam Hartanah Rakyat