Agaknya sebab pandai berbicara, boleh berkelakar sedikit-sebanyak, dan tidak malu-malu, saya kerap dijadikan ketua atau jurucakap untuk hal-hal yang ada kaitan dengan perkahwinan. Pada hari perkahwinan, saya sering menjadi ketua rombongan – sama ada pihak lelaki atau pihak perempuan – membawa barang-barang hantaran, seperti yang telah diputuskan pada rundingan awal.
Acara ini sebenarnya hanya satu formaliti, sebab semuanya telah diketahui dan dipersetujui keluarga kedua belah pihak. Tugas saya hanya menyerahkan barang-barang untuk mengesahkan perkahwinan. Biasanya item-item penting yang mesti ditunjukkan dan dinyatakan ialah sirih junjung, wang hantaran, cincin pekahwinan, kasut, jam tangan, buah-buahan dan kek – semuanya digubah indah dan diletakkan dalam dulang hantaran.
Tugas saya hanya bercakap sepatah dua kata sebagai mengesahkan perkahwinan. Antara perkara penting yang perlu disebut ialah nama mempelai dan perincian mengenai barang-barang yang dibawa.
Acara ini bagi saya santai, tidak ada debaran, malah ada ketikanya saya boleh berkelakar dengan wakil atau ketua pihak yang satu lagi. Memang ramai tetamu, mata dan telinga tertumpu pada saya, tetapi biasanya semua okey. Secara peribadi saya lebih gementar ketika menjadi jurucakap atau ketua rombongan meminang. Almaklumlah, kita bertandang ke rumah yang tidak kita kenali penghuninya.
Memang anak teruna telah mengenali gadis yang hendak dipinang. Tetapi, saya sendiri tidak tahu siapa gadis itu, siapa keluarganya, siapa ketua atau pihak yang akan menerima rombongan kami.
Sekali peristiwa gubra melanda pada satu majlis peminangan. Ada pun yang hendak dipinang ialah seorang gadis anak yatim yang baru beberapa bulan kematian ayah. Sedih juga melihat ibu gadis yang bersimpuh bersama pada acara tersebut.
Sebagai ketua rombongan, saya memulakan bicara dengan menyatakan nama saya, dan menyebut nama anggota rombongan anak teruna. Saya mengucapkan terima kasih kepada ibu gadis dan keluarga pihak perempuan kerana sudi menerima rombongan kami.
Semua mata tertumpu pada saya, berdebar juga dibuatnya, dan saya meneruskan madah: “Ada pun hajat kami datang ke sini ialah untuk menyampaikan salam dan hasrat anak teruna, Mahat bin Abdul yang ingin melamar Mastura binti Sameon…”
Tiba-tiba saya merasa kawan sebelah buat batuk-batuk kecil sambil menyiku bahu saya. Terkedu saya, majlis senyap-sepi seketika, dan kemudian serentak semua hadirin ketawa.
Kemudian baru sedar yang saya telah tersalah sebut nama. Sebenarnya gadis yang hendak dipinang itu ialah Suryana binti Muhamad. Ada pun Mastura adalah nama ibu gadis. Memang ada ketikanya saya tersasul.
Suspen juga yang hendak dirundingkan dalam acara meminang ialah apakah syarat-syarat bertunang, apa barang-barang hantaran yang akan dipersetujui, berapa tempoh bertunang, berapa wang hantaran, cincin pertunangan, bla, bla, bla.
Dan, paling penting lagi amat mendebarkan ialah hasil peminangan tersebut: diterima atau tidak ditolak? Tetapi, sudah lebih 20 tahun menjadi jurucakap, dan sekian banyak acara merisik dan meminang, semuanya berjaya.
Hanya satu yang betul-betul kantoi, menyebabkan saya dan semua anggota rombongan meminang tersipu-sipu dalam seribu kebisuan. Ini terjadi tahun lalu, bukan di Malaysia, tetapi di luar negara.
Sebenarnya ini pertama kali saya merisik gadis di luar negara @ di Padang, Indonesia. Ini dilakukan betul-betul cara bidan terjun. Saya ke kota Minang bukan untuk meminang, tetapi mengikuti rombongan menteri untuk satu acara rasmi di sana.
Antara wartawan kanan yang turut serta dalam rombongan menteri berkenaan termasuk Pengurus Besar Bernama, Datuk Zulkefli Salleh, dan Ketua Pengarangnya, Datuk Zakaria Abdul Wahab.
Acara rasmi menteri berjalan sempurna, dan berjaya mencapai matlamat. Tetapi satu kegagalan yang amat memilukan, terjadi pada saya dan rombongan merisik, sekali gus menepati judul sebuah lagu asli Minang, ‘Ayam Den Lapeh’ @ dalam bahasa kita ‘ayam ku terlepas.’
Sebenarnya menangkap ayam tidak termasuk dalam agenda rasmi menteri dari Kuala Lumpur, dan saya langsung tidak mahu terlibat dalam acara tidak rasmi ini. Tetapi pesanan menerusi Whatsapps yang diterima seorang anggota rombongan , menimbulkan rasa simpati:
“Apa cara pun hang cari juga restoran tu sampai dapat…” Panjang lagi mesej pada skrin HP, dan penghujungnya bagaikan merayu: “Saya berkenan sungguh dengan si ayu itu. Dapatkan statusnya, sama ada masih gadis, sudah berpunya atau janda…”
Mesej itu dari seorang bekas rakan sekerja, yang sejak lebih dua tahun lalu dalam kesepian yang amat kerana kematian isteri. Alkisah, kira-kira sebulan terdahulu dia bersama rakan yang kali ini menganggoti rombongan menteri, libur ke Padang, singgah di sebuah restoran, dan terus terpikat pandang pertama pada si ayu yang bekerja di restoran berkenaan.
Tetapi kerana gubra sakan, juga kesuntukan waktu, dia tidak menyatakan hasratnya ketika itu, hatta bertanya nama si ayu itu pun dia tidak berani. Rupanya sejak pertemuan pertama itu, si duda mula merasa kesepiannya bakal berakhir. Selama sebulan mimpi dan igaunya tak lain tak bukan hanyalah si ayu itu.
“Datuk kena tolong sahabat kita ini,” kata rakan tersebut sebaik mendarat di Bandara Internasional Minang. “Ini amanah dia pada saya, kita kena sempurnakan. Lagi pun ini soal mendirikan masjid…”
Maka, kami berempat tengah hari itu singgah di restoran berkenaan. Elok saya rahsiakan nama yang terlibat, takut menimbulkan syak kepada para isteri di KL. Memang, niat baik untuk tolong mendirikan masjid. Tetapi jika silap tafsir, masjid kami pula akan berantakan!
Si ayu itu – namanya Yenni – rupanya anak pemilik restoran. Tentu sekali dia senang menyambut kami, kerana mengecam seorang dari kami yang makan di restorannya sebulan lalu. Saya memulakan bicara dengan menyampaikan puji-pujian si duda yang “amat manyukai lagi menyenangi makanan dan serba-serbi di restoran ini, termasuk Yenni.”
Santun sekali Yenni menjawab: “Terima kasih, Pak. Saya juga senang mendengar perkhabaran semacam itu.” Lega, seorang antara kami menyepak kaki saya di bawah meja, sambil berbisik: “Burung sudah dalam genggaman.”
Selepas menjamah makanan yang dihidangkan oleh Yenni dan ibunya, saya terus menyatakan hasrat sebenar ingin merisik, kalau boleh melamar terus, si ayu buat sahabat di KL.
“Aduhhh, ampun ya Pak,” kata ibunya, sekali gus membuat kami gamam. “Si Yenni ini sudah punya suami, sudah anak dua lagi. Ampun ya Pak…” kantoi.
Saya juga memohon maaf, terasa sedih sekali. Sempat kami mengambil gambar di depan restoran bersama keluarga Yenni, termasuk dua anaknya yang masih kecil. Gambar ini juga tidak disiarkan, hanya kenangan dalam HP.
Dalam perjalanan pulang ke hotel, perihal ayam yang terlepas itu terus diwassapkan kepada duda yang berhajat. Lewat senja baru dia membalas pesanan: “Makin sepi rasanya hidup ini…Apa pun terima kasih sebab hang pa semua telah berusaha yang terbaik.”
Pasti si duda kecewa bukan kepalang. Ketika di Padang kami berlagu ‘Ayam Den Lapeh’, di KL sahabat kami itu mungkin tidak tidur-tidur, dan asyik mendayukan lagu ‘Ubekkan Denai’ @ ‘ubatkan daku’.
Itulah sekali saya gagal dalam risikan dan peminangan. Saya doakan Yenni sekeluarga terus bahagia, sementara untuk kumbang duda itu saya hanya berpesan: bunga bukan sekuntum.
Oleh :ABD JALIL ALI
Download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI