
Setiap pasangan bercinta pasti pernah merasai pahit manis hubungan cinta dan kadangkala ia terputus di tengah jalan. Walaupun ia cuba dielak, namun ia tetap berantakan dan tidak menemukan jalan penyelesaian.
Cinta merupakan satu anugerah daripada Allah SWT yang tidak ternilai. Perasaan cinta merupakan fitrah seorang manusia sama ada lelaki mahupun perempuan. Walaupun kita cuba mempertahankan cinta yang sekian lama dibina, namun siapakah kita untuk menidakkan ketentuan-Nya.
Mungkin ia nampak senang, tapi hanya orang yang melaluinya saja yang dapat merasakan keperitan tersebut. Namun, di sebalik keperitan putus cinta itu, masih terdapat hikmah yang boleh diperolehi dan membuatkan anda lebih bersemangat. Oleh itu, jom kita lihat hikmah yang boleh diperoleh saat anda putus cinta!
MILIKI LEBIH MASA BERHARGA
Sedar atau tidak ketika anda mabuk dengan dunia cinta, anda sebenarnya banyak menghabiskan masa untuk si dia. Dating, mesej, whatsapp dan segalanya adalah untuk si dia. Jadi selepas si dia sudah tiada dalam hidup anda, anda boleh gunakan masa-masa tersebut untuk kerja dan perbuatan yang lebih berfaedah.
LEBIH DEKAT DENGAN ALLAH
Mungkin ada perkara yang membuat anda jauh daripada Allah apabila bersama si dia. Jadi Allah sayang kepada anda dan tunjukkan bahawa si dia mungkin bukan jodoh yang terbaik buat anda. Kembalilah kepada Allah. Banyakkan berdoa dan memohon petunjuk supaya anda bertemu dengan calon yang benar-benar baik agama dan akhlaknya.
ADA MASA UNTUK BAHAGIAKAN IBU BAPA
Kadang kala apabila tengah mabuk bercinta, anda asyik dengan si dia hingga mengabaikan ibu bapa anda. Anda asyik berkepit dengan si dia termasuk dalam telefon atau bermesej. Masa untuk ibu dan bapa anda abaikan. Mungkin inilah masa yang terbaik untuk anda bahagiakan mereka kerana ibu bapa mungkin sudah tua dan mereka ingin bersama dengan anak-anak sebelum mereka tiada di dunia ini.
TERSELAMAT DARIPADA PASANGAN YANG TIDAK BAIK
Setiap yang berlaku sudah tertulis dan ditentukan oleh Allah. Benar, anda berasa amat sedih dan kecewa dengan apa yang berlaku. Sentiasa berfikiran positif dengan perkara yang telah ditakdirkan untuk anda. Mungkin di sana ada seseorang yang lebih baik yang disediakan oleh Allah untuk anda. Siapa tahu kan ? Jodoh itu ketentuan Allah dan berdoalah pada-Nya agar berjumpa dengan pasangan yang jauh abih baik dari sebelumnya.
TIDAK LAGI MEMBAZIRKAN WANG
Apabila anda bercinta, banyak wang yang dihabiskan untuk pasangan anda samada lelaki atau perempuan. Membeli-belah bersama, lunch dan dinner bersama dan macam-macam lagi yang anda snggup beli untuk pasangan anda. Jadi setelah putus cinta, anda tidak perlulagi bazirkan wang kepada si dia. Simpan wang anda untuk perbelanjaan masa hadapan dan boleh bagi ibu bapa lagi!
Putus cinta bukanlah bermaksud segala-galanya sudah berakhir. Anda sukakan sesuatu, padahal ia bukanlah baik untuk anda dan anda mungkin benci sesuatu padahal ia baik untuk anda. Banyak perkara yang diluar pengetahuan anda sebagai manusia. Jadi, yakin kepada Allah. Allah mungkin merancangkan sesuatu yang lebih baik untuk anda.
Selepas Berkahwin, Anak Perempuan Masih Wajib Bantu Kedua Orang Tuanya

Kewajiban Anak Perempuan Pada Orang Tua
- Tetap Berbakti Terhadap Orang Tua

- Membantu Kehidupan Orang Tua
- Bersilahturahmi dan Menjalin Komunikasi

- Tidak Menyulitkan atau Menggantungkan Diri pada Orang Tua

- Melayani Orang Tua di Masa Renta
Indah Berkahwin, Jika Kita Tidak Lupa Jasa Pasangan Yang Setia Mendampingi Kita Semasa Derita

HAKIKAT SEBENAR KEHIDUPAN PASANGAN SUAMI ISTERI SEBELUM DAN SELEPAS
Ketahuilah kehidupan berumahtangga tidak semudah dan seindah yang anda impikan. Mungkin mampu menjadi kenyataan tetapi bersediakah anda sekiranya perkahwinan itu menjanjikan sebaliknya. Sebagai bakal pengantin, anda perlu sentiasa ada backup plan dan persediaan agar jiwa dan mental anda kuat tatkala melalui hari-hari perkahwinan itu kelak.
.
1. KETIKA MENCARI CALON
Janganlah mencari isteri, tapi carilah ibu bagi anak-anak kita. Janganlah mencari suami, tapi carilah ayah bagi anak-anak kita.
2. KETIKA MELAMAR
Anda bukan sedang meminta kepada orang tua/wali si gadis, tetapi meminta kepada ALLAH SWT melalui orang tua/wali si gadis.
3. KETIKA AKAD NIKAH
Anda berdua bukan menikah di hadapan penghulu, tetapi menikah di hadapan ALLAH SWT.
4. KETIKA RESEPSI PERNIKAHAN
Catat dan hitung semua tamu yang datang untuk mendoa’kan anda, kerana anda harus berfikir untuk mengundang mereka semua dan meminta maaf apabila anda berfikir untuk BERCERAI kerana menyia-nyiakan do’a mereka.
.
5. KETIKA MALAM PERTAMA
Bersyukur dan bersabarlah. Anda adalah sepasang anak manusia dan bukan sepasang malaikat.
6. SELAMA MENEMPUH HIDUP BERKELUARGA
Sedarilah bahawa jalan yang akan dilalui tidak melalui jalan bertabur bunga, tapi juga semak belukar yang penuh onak dan duri.
7. KETIKA KEADAAN RUMAH TANGGA MULA GOYANG
Jangan saling berlepas tangan, tapi sebaliknya justeru semakin erat berpegang tangan.
8. KETIKA BELUM MEMPUNYAI ANAK
Cintailah isteri atau suami anda 100%
9. KETIKA TELAH MEMPUNYAI ANAK…
Jangan bagi cinta anda kepada (suami) isteri dan anak anda, tetapi cintailah isteri atau suami anda 100% dan cintai anak-anak anda masing-masing 100%.
10.KETIKA EKONOMI KELUARGA MEROSOT…
Yakinlah bahawa pintu rezeki ALLAH SWT akan terbuka lebar berbanding lurus dengan tingkat ketaatan suami dan isteri.
11.KETIKA EKONOMI BERKEMBANG…
Jangan lupa akan jasa pasangan hidup yang setia mendampingi kita semasa menderita.
12.KETIKA ANDA ADALAH SUAMI…
Boleh bermanja-manja kepada isteri tetapi jangan lupa untuk bangkit secara bertanggung jawab apabila isteri memerlukan pertolongan Anda.
.
13.KETIKA ANDA ADALAH ISTERI
Tetaplah berjalan dengan gemalai dan lemah lembut, tetapi selalu berhasil menyelesaikan semua pekerjaan.
14.KETIKA MENDIDIK ANAK
Jangan pernah berpikir bahawa orang tua yang baik adalah orang tua yang tidak pernah marah kepada anak,kerana orang tua yang baik adalah orang tua yang jujur kepada anak ….
15.KETIKA ANAK BERMASALAH…
Yakinilah bahawa tidak ada seorang anakpun yang tidak mahu bekerjasama dengan orang tua, yang ada adalah anak yang merasa tidak didengar oleh orang tuanya.
16.KETIKA SAKIT…
Selain minum & makan ubat, perhatian suami, isteri juga sangat membantu proses kesembuhan.
17.KETIKA INGINKAN KEAMANAN DAN HARMONIS SENTIASA…
Gunakanlah formula 7 K
1.Ketaqwaan kepada ALLAH SWT. 2.Kasih sayang. 3.Kesetiaan 4.Komunikasi 5.Keterbukaan. 6.Kejujuran. 7.Kesabaran.
Jumlah Lembu Bukan Ukuran Suatu Majlis Kahwin Itu Gah! Permudahkanlah Majlis Anda!

Antara peruntuh nilai-nilai baik dalam kehidupan manusia hari ini adalah apabila dimudahkan yang haram dan disukarkan yang halal. Sedangkan Islam menyuruh kita membentuk suasana atau iklim kehidupan yang menyukarkan yang haram dan memudah yang halal. Itulah tanggungjawab pemerintah dan umat iaitu menegah yang makruf dan mencegah yang mungkar.
Menegak yang makruf itu adalah dengan cara menyuruh, memudah dan membantu ke arah tersebut. Sementara mencegah yang mungkar adalah dengan cara menghalang, melarang dan menyukarkan jalan untuk sampai kepadanya.
Namun, jika masyarakat hari ini menyusahkan yang halal dan menyenangkan yang haram, tanda kita begitu menjauhi ruh syariat Islam yang hakiki yang diturunkan oleh Allah s.w.t.
Antara perkara yang selalu disusahkan adalah urusan perkahwinan. Kesusahan membina rumahtangga itu kadang-kala bermula dari keluarga sehingga ‘ketidakfahaman’ tok kadi dan seterus pengurusan pejabat agama dan mahkamah syariah.
Kerenah yang berbagai telah memangsakan hasrat pasangan untuk mendapat ‘nikmat seks’ secara halal. Lebih menyedihkan apabila kerenah itu wujud disebabkan kepentingan-kepentingan luar yang bukan kepentingan pasangan secara langsung.
Lembu bukan rukun nikah
Umpamanya, urusan kenduri kahwin atau walimah telah dijadikan jambatan kesombongan ibu bapa atau keluarga sehingga ditangguh perkahwinan bagi memboleh kenduri besar-besaran dibuat demi menjaga taraf ‘jenama keluarga’. Sehingga ada pasangan yang terpaksa menunggu bertahun kerananya.
Apatah lagi jika keluarga membebankan semua belanja kepada bakal pengantin. Maka bakal pengantin terpaksa mengikat ‘nafsu seks’ hanya kerana hendak menjaga nafsu menunjuk-nunjuk keluarga. Walaupun kenduri kahwin itu disuruh, namun memadailah dengan kadar yang termampu.
Tidak semestinya ‘ditumbangkan’ seekor lembu, atau dipanggil orang sekampung atau sebandar, atau dijemput semua rakan taulan. Seseorang mengadakannya dengan kadar kemampuannya, seperti sabda Nabi SAW yang bermaksud:
“Buatlah walimah walaupun sekadar seekor kambing.” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)
Dalam erti kata lain, jika hanya mampu kenduri laksa, atau bihun atau mee pun tidak mengapa, asalkan diadakan walimah. Apa yang penting perkahwinan yang halal telah dilunaskan. Janganlah macam orang dulu apabila anaknya sebut ingin berkahwin, bapanya akan bertanya:
“Kau dah ada lembu ke nak buat kenduri?”. Maka bertangguhlah hasrat si anak. Padahal bukan anaknya ingin berkahwin dengan lembu, dia ingin berkahwin dengan kekasihnya.
Sepatutnya si bapa bertanya: “Kau dah ada pasangan ke?”. Itulah soalan yang betul. Lembu tidak termasuk dalam rukun nikah.
Apa yang lebih buruk apabila ada pihak yang menjadikan medan walimah sebagai pentas menunjuk-nunjuk kekayaan harta lalu hanya dijemput orang yang ‘berjenama’ dan ditinggalkan saudara-mara, kawan-rakan, jiran-tetangga yang tidak setaraf. Nabi s.a.w. bersabda:
“Seburuk makanan adalah makanan walimah yang dijemput orang kaya dan ditinggalkan orang miskin”. (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).
Maka, menderitakan bakal suami-isteri disebabkan keangkuhan keluarga.
Kerenah kursus kahwin
Saya bukan anti kursus kahwin. Amat baik kursus tersebut jika diuruskan dengan mantap dan betul. Dalam kursus tersebut boleh disampaikan maklumat hukum-hakam nikah yang disyariatkan Allah sehingga generasi muda dapat melihat betapa cantik dan indahnya Islam.
Syariat Islam yang mudah dan penuh hikmat dapat diserap dalam pemikiran bakal pasangan, kursusnya mereka yang masih muda. Agar mereka dapat menyelami kehebatan ajaran Islam ini. Maka kursus itu menjadi saluran dakwah penuh profesional, mantap, berkesan dalam jiwa dan penghayatan.
Malangnya, ada kursus kahwin hari ini seakan projek lumayan untuk mengaut yuran peserta. Bukan sedikit saya terima laporan seluruh negara penceramah kursus kahwin yang berunsur lucah, lawak bodoh serta menggambarkan Islam begitu menakutkan dan susah untuk difahami dan dihayati.
Hukum-hakam diterangkan secara berbelit-belit dan menyerabutkan peserta. Maka, kita lihat walaupun yuran kursus nampaknya makin tinggi dan peserta semuanya diwajibkan berkursus, masalah keretakan rumah tangga bagi generasi baru makin meningkat.
Tok kadi tak faham hukum
Saya juga amat tidak selesa melihat tok kadi yang selalu mendera pengantin agar mengulang-ulang lafaz terima (ijab) ketika akad nikah kononnya belum sah. Akad itu digambarkan begitu sulit dan susah sehingga seseorang menjadi terketar-ketar untuk menyebutnya. Diatur ayat lafaz akad itu dengan begitu skima sehingga pengantin kesejukan untuk menghafalnya.
Padahal akad nikah hanyalah bagi menggambar persetujuan kedua belah pihak menjadi suami isteri yang sah. Apa-apa sahaja lafaz yang membawa maksud kepada tujuan tersebut maka ia sah. Jika bapa bakal isteri menyebut, “Saya nikahkan saudara dengan anak saya Fatimah”, lalu bakal suami menjawab: “Saya terima, atau saya bersetuju” atau mungkin ditambah “Saya terima nikahnya” atau “saya bersetuju bernikah dengannya” seperti yang diminta oleh sesetengah sarjana dalam Mazhab al-Syafi’i, maka sahlah ijab dan qabul tersebut.
Tidak disyaratkan mesti satu nafas atau dua nafas atau berjabat tangan atau menyusun ayat dalam bahasa sanskrit lama atau ayat tok kadi yang digunakan sebelum merdeka.
Sehinggakan sarjana fekah semasa Dr Abd al-Karim Zaidan dalam karya al-Mufassal fi Ahkam al-Marah wa al-Bait al-Muslim menyebut:
“Jika seseorang lelaki berkata kepada lelaki yang lain: “Nikahkan saya dengan anak perempuan awak”, lalu si bapa itu menjawab: “Aku nikahkan engkau”. Atau si bapa berkata kepada bakal suami: “Bernikahlah dengan anak perempuanku”. Lalu bakal suami menjawab: “Aku nikahinya”. Kedua contoh di atas adalah sah nikah berdasarkan apa yang disebutkan dalam Sahih al-Bukhari dan Sahih Muslim: Sesungguhnya seorang Arab badawi telah meminang wanita yang telah mempelawa dirinya untuk Nabi SAW (ingin berkahwin dengan Nabi SAW), Arab badawi itu berkata:”Nikahilah dia denganku”. Jawab Nabi s.a.w.: “Aku nikahkan engkau dengannya bermaharkan al-Quran yang ada bersamamu”. (al-Mufassal, 6/87, Beirut: Muassasah al-Risalah).
Bahkan dalam Sahih al-Bukhari ada bab yang al-Imam al-Bukhari letakkan ia berbunyi:
(Bab Apabila Lelaki Yang Meminang Berkata Kepada Wali Perempuan: “Kahwinilah aku dengan wanita berkenaan”, lalu dia menjawab: “Aku nikahkan engkau dengannya bermaharkan sekian dan sekian, maka sah nikahnya walaupun tidak ditanya si suami apakah engkau setuju, atau terima”).
Juga Imam al-Bukhari (meninggal 256H) menyebut yang bermaksud:
(Apabila bakal suami berkata kepada wali (bakal isteri) kahwinkanlah aku dengannya, lalu wali berkenaan diam seketika, atau bertanya: “Apa yang awak ada (mahar)?”, atau kedua mereka diam lalu wali itu berkata: “Aku nikahkan engkau dengannya”, maka itu adalah harus (sah). Ada hadis mengenainya yang diriwayatkan oleh Sahl daripada Nabi s.a.w).
Inilah kesimpulan yang dibuat oleh al-Imam al-Bukhari berdasarkan hadis-hadis dalam bab nikah yang diteliti olehnya. Tiada cerita satu nafas atau sekali lafaz dalam akad seperti yang ditokok tambah oleh jurunikah. Apa yang penting proses ijab dan qabul amatlah mudah.
Syaratnya, ia lafaz yang difahami oleh kedua belah pihak serta dua saksi, ia menjelaskan kehendak dan persetujuan untuk berkahwin atau menjadi suami dan isteri. Apabila proses itu berlaku maka ia sah.
Khurafat akad satu nafas
Tidak pernah ada dalil yang menyatakan mestilah satu nafas, atau tidak terputus nafas seperti diada-adakan oleh sesetengah pihak. Paling tinggi yang boleh kita kata adalah tidak boleh ada ruang yang menyebabkan salah satu pihak mengelirukan atau dikelirukan dalam menyatakan persetujuan nikah.
Justeru itu Syeikhul Islam Ibn Taimiyyah r.h (meninggal 728H) menyebut: “Nikah itu terlaksana (sah) dengan apa sahaja yang dihitung oleh orang ramai sebagai nikah; dalam apa bahasa, atau lafaz atau perbuatan”. (petikan Sayyid Sabiq, Fiqh al-Sunnah, 2/355).
Apa yang ingin saya jelaskan betapa proses ijab qabul itu begitu mudah dan senang. Memadai jika bakal suami menjawab: “Aku terima nikahnya”. Tidak timbul terpaksa berulang kali seperti yang dibuat oleh sesetengah pihak membuli pengantin.
Jika jawapan yang diperlukan begitu ringkas dan jelas, dan pengantin pun telah melakukannya, mengapa pula ada tok kadi yang sengaja bertanya hadirin: “Perlu ulang ke?” Lalu mereka pun dengan sukanya menyebut beramai-ramai “Sekali lagi!, sekali lagi!” Ini adalah permainan buli yang cuba dicampur aduk dengan hukum syarak.
Kerenah ‘mahkamah’
Setelah berkahwin, rumahtangga yang dibina seperti yang diajar oleh Islam hendaklah menjadi syurga, bukan neraka. Jika perkahwinan tidak dapat membawa kebahagiaan, insan tidak disuruh memperjudikan hidup keseluruhan kerana isteri atau suaminya. Walaupun talak itu bukan perbuatan yang baik, namun ia dibenarkan jika terpaksa.
Insan mempunyai matlamat hidup, bukan sekadar untuk bertungkus lumus kerana masalah seorang lelaki atau wanita. Maka Islam mengajar cara-cara yang berbagai demi menyelamatkan rumah tangga dari talak. Jika gagal, Islam juga mengajar talak untuk mengelakkan kezaliman berlaku antara salah satu pihak; suami atau isteri.
Firman Allah yang bermaksud:
“Dan apabila kamu menceraikan isteri-isteri (kamu) kemudian mereka (hampir) habis tempoh idahnya maka bolehlah kamu pegang mereka (rujuk) dengan cara yang baik atau lepaskan mereka dengan cara yang baik, dan janganlah kamu pegang mereka (rujuk semula) dengan tujuan memberi mudarat, kerana kamu hendak melakukan kezaliman (terhadap mereka); dan sesiapa yang melakukan demikian maka sesungguhnya dia menzalimi dirinya sendiri. Dan janganlah kamu menjadikan ayat-ayat (hukum) Allah itu sebagai ejek-ejekan (dan permainan), dan kenanglah nikmat Allah yang diberikan kepada kamu, (dan kenanglah) apa yang diturunkan kepada kamu iaitu Kitab (Al-Quran) dan hikmat (sunnah), untuk memberi pengajaran kepada kamu dengannya. dan bertaqwalah kepada Allah serta ketahuilah: sesungguhnya Allah Maha mengetahui segala-galanya.” (Surah al-Baqarah ayat 231)
Jika penerusan perkahwinan hanya memberi mudarat kepada pasangan, maka talak itu disuruh oleh al-Quran. Malanglah kaum wanita yang sepatutnya telah dikeluarkan oleh al-Quran dari kezaliman atau kemudaratan si suami, tiba-tiba terjatuh dalam kezaliman batin akibat proses birokrasi sesetengah mahkamah atas nama syariah.
Maka, wanita hari ini ada yang terseksa batinnya kerana menunggu proses mahkamah yang kadang-kala memakan masa bertahun-tahun. Bagaimana mungkin isteri yang sudah tujuh lapan tahun suaminya tidak mengambil tahu soal nafkah zahir dan batin tetap disahkan oleh mahkamah bahawa dia masih suami sekalipun isteri berulang meminta dipisahkan.
Kata Dr Karim ‘Abd al-Karim Zaidan menyebut: “Jika suami gagal menunaikan nafkah untuk isteri, kadi memisah antara mereka jika isteri memilih untuk berpisah…Hal ini diriwayatkan dari sejumlah para sahabat dan tabi’in” (al-Mufassal, 7/217).
Beliau juga memetik apa yang disebut oleh al-Dardir dalam al-Syarh al-Kabir: “Bagi isteri boleh menuntut dipisahkan dari suami disebabkan mudarat yang dilakukannya; iaitu apa yang tidak diizinkan oleh syarak untuk dia buat seperti meninggalkan isteri atau memukulnya tanpa sebab yang dibenarkan syarak. Atau memaki dia atau bapanya seperti menyebut: Wahai anak anjing, atau wahai anak kafir! Atau wahai anak orang yang dilaknat”.
Dr Zaidan seterusnya memetik apa yang disebut oleh al-Imam Ibn Taimiyyah: “Maka dianggap memberi mudarat kepada isteri yang boleh dipisah (dipasakh) apabila suami meninggalkan persetubuhan dalam apa keadaan sekalipun. Samada suami sengaja atau tidak sengaja”. (ibid 8/439).
Semua perbahasan yang begitu banyak boleh didapati dalam khazanah Islam itu menggambarkan rumahtangga untuk kebahgiaan hidup insan bukan untuk kedukaan mereka. Jika rumahtangga itu mengundang kedukaan, insan diberi peluang keluar oleh syarak untuk keluar dari daerah itu dengan segera.
Malanglah, jika pintu keluar itu dihalang oleh kerenah birokrasi mahkamah. Hakim barang kali ringan lidahnya menyebut: “Kita tangguhkan perbicaraan kerana suami tidak hadir” sedangkan kesan jiwa begitu besar dan berat ditanggung oleh isteri.
Sebenarnya dalam Islam, jalan kepada halal dan kebahagian dibuka dengan begitu luas dan mudah. Dukacita, jika atas nama agama kita menyusahkan jalan yang halal dan dalam masa yang sama ada pula pihak-pihak lain yang memudahkan jalan yang haram. Perlaksanaan agama hendaklah bukan sahaja mendakwa adil, tetapi hendaklah juga kelihatan adil.
PROF MADYA DATUK DR MOHD ASRI ZAINUL ABIDIN adalah bekas mufti Perlis.
GAMBAR HIASAN : TANGKAP PICTURES