Setiap pasangan yang sedang hangat bercinta, pasti mengimpikan satu percutian yang penuh romantis untuk dikenang selamanya. Bagi anda yang baru diijabkabul dan masih tercari-cari lokasi untuk berbulan madu, apa kata anda cuba memadu asmara di Pulau Kandolhu Maldives.
Pulau yang terletak 70 kilometer dari bandar Male ini sangat sesuai untuk mereka yang dambakan percutian penuh privasi dan intimasi kerana hanya terdapat 30 buah villa di atas pulau ini.
Pemandangan Pulau Kandolhu Dari Atas Yang Kelihatan Seperti Bentuk Hati
Jika dilihat dari pandangan atas, pulau ini kelihatan seolah-olah berbentuk hati yang dikelilingi oleh terumbu karang dan air laut berwarna biru firus. Percaya atau tidak anda boleh berenang dan snorkeling mengelilingi pulau ini dan hanya mengambil masa kurang dari satu jam untuk selesai satu pusingan.
Terdapat lima jenis villa yang disediakan disini merangkumi ‘Jacuzzi Beach villas’, ‘Pool Villas’, ‘Duplex Pool Villas’, ‘Ocean Villas’, dan ‘Ocean Pool Villas’. Penulis amat bertuah kerana diberi peluang untuk merasai sendiri pengalaman menginap di dua jenis villa yang berbeza.
Suasana Pulau Yang Sangat Privasi
Disebabkan penulis sudah menginap di Pulau Kuramathi terlebih dahulu, jadi perjalanan ke Pulau Kandolhu ini hanya memakan masa selama lebih kurang 30 minit menaiki bot laju. Suasana di pulau ini agak sunyi kerana tidak ramai yang menghuni di sini. Malah saiz pulau ini juga sangat comel dan anda boleh berjalan mengelilingi pulau ini dalam masa 5-10 minit sahaja.
Kawasan Jeti Pulau Kandolhu Yang Kelihatan Begitu Indah Di Waktu Malam
Untuk hari pertama, penulis diberi peluang untuk menginap di ‘Ocean Villa’ iaitu villa atas air yang menghadap hamparan lautan yang luas terbentang. Untungnya saya kerana villa ini betul-betul menghadap ke arah matahari terbenam.
Salah satu kelebihan yang ada di Pulau Kandolhu ini yang tiada di pulau-pulau lain di Maldives ialah setiap Villa disediakan kamera Go-Pro untuk digunakan penginap sepanjang berada di pulau ini. Jadi anda tidak perlu khuatir jika terlupa membawa kamera sendiri kerana setiap detik anda pasti akan dirakam dengan adanya kemudahan yang disediakan ini.
Ads
Pulau Kandolhu Merupakan Satu-satunya Pulau Di Maldives Yang Menyediakan Perkhidmatan Kamera Go-Pro Secara Percuma
Selain itu setiap bilik di Villa ini turut menyediakan I-Pad, peralatan untuk aktiviti pantai serta internet berkelajuan tinggi. Dengan adanya I-Pad yang memuatkan segala maklumat mengenai pulau ini, amat mudah untuk anda melakukan segala aktiviti termasuklah melihat menu makanan di setiap restoran. Anda juga boleh membawa I-Pad ini kemana-mana sahaja di kawasan pulau.
Suasana Dari Dalam Bilik Ocean Villa
Menariknya di Villa ini, anda boleh terus turun dari beranda untuk menikmati pengalaman snorkeling yang menakjubkan. Sesekali jika bertuah akan ada penyu yang akan menyinggah di hadapan villa anda. Dan penulis sangat bertuah berpeluang melihat sindiri di depan mata kehadiran penyu di hadapan villa.
Jika Bernasib Baik, Anda Akan Menerima Kunjungan ‘Tetamu Istimewa’ Ini Di Bawah Beranda Bilik Anda
Peluang untuk menatap matahari terbenam dari ruangan bilik sendiri digunakan sepenuhnya. Puas rasanya dapat menikmati keindahan langit senja yang perlahan-lahan bertukar warna sehingga matahari tenggelam sepenuhnya di dasar lautan luas terbentang. Sungguh mengasyikkan!
Pemandangan Matahari Terbenam Dari Atas Yang Sungguh Menakjubkan
Malam menjelma, perut juga sudah mula berkeroncong, peluang untuk menikmati makan malam disini adalah antara yang paling dinantikan. Mana tidaknya terdapat 5 buah restoran di atas pulau kecil ini. Dan anda boleh pilih untuk menikmati dimana-mana restoran disini kerana semuanya sudah termasuk di dalam pakej penginapan di sini. Antara restoran yang terdapat di pulau ini ialah The Market, Olive, Sea Grill, Banzai dan Ata Ora.
Salah Satu Restoran Yang Terdapat Di Pulau Kandolhu Yang Diperbuat Daripada Terumbu Karang
Menariknya terdapat juga menu masakan Melayu disini seperti sate ikan, nasi goreng dan juga kari ayam. Apa lagi, peluang ini digunakan sebaiknya penulis untuk melepaskan rindu terhadap masakan Malaysia. Makanan laut disini semuanya segar-segar belaka kerana di tangkap di laut berhampiran. Di restoran Sea Grill anda boleh melihat sendiri bagaimana chef yang bertugas di sini menyediakan makanan. Hidangan-hidangan yang lazat disini dicipta oleh Chef terkemuka dari Perancis iaitu Chef Mickael Farina.
Antara Menu Yang Disediakan Oleh Chef Terkemuka Yang Bertugas Di Pulau Kandolhu
Masuk hari kedua penulis diberi peluang untuk menginap di Villa kedua iaitu di Jacuzzi Beach Villa. Villa ini terletak di bahagian pantai di mana katil bilik ini menghadap ke luar pantai. Menariknya bilik ini turut menyediakan jakuzi serta pancur terbuka bertaraf spa. Setiap villa di sini mempunyai kemudahan yang sama seperti kamera Go-Pro dan juga I-Pad.
Ads
Pemandangan Dari Jendela Villa Yang Menghadap Ke Pantai
Peluang menginap di Villa berdekatan pantai ini digunakan sepenuhnya untuk lepak santai di kerusi malas serta menelaah karya kegemaran sambil menghirup air kelapa segar. Nyaman sekali!
Bertuahnya kunjungan penulis ke sini kerana diberi peluang untuk bersnorkeling sambil ditemani petugas yang mengendalikan aktiviti ini. Lebih menyeronokan kerana beliau tahu dimana spot yang menarik untuk kami melihat hidupan akua yang unik dan cantik. Ibarat memasuki ke alam yang lain, keindahan dunia marin di sini sukar untuk digambarkan dengan kata-kata. Pelbagai jenis hidupan laut yang cantik dan unik ada disini. Malah ada sesetengahnya yang tidak terjangkau dek akal.
Antara Spesis Ikan Pari Yang Terdapat Di Pulau Kandolhu
Kehadiran Ikan Jerung Di Pantai Sering Menarik Perhatian Penginap Di Sini
Penulis turut dibawa menelusuri ke tempat istimewa penyu bermain. Penyu disini sangat jinak malah seakan menerima kunjungan kami ke sini kerana asyik berenang berdekatan kami. Sempat juga penulis merakam gambar kenangan dibawah air bersama hidupan istimewa ini. Mujur ada kamera Go-Pro.
Ads
Peluang Bergambar Bersama Penyu Di Sini Tidak Akan Dilepaskan, Mujur Ada Kamera Go-Pro
Terlampau asyik menikmati keindahan hidupan dalam air ini sehingga tidak terasa sudah hampir satu pulau telah dikelilingi. Begitulah asyiknya melakukan aktiviti snorkeling di sini. Pelbagai jenis sukan air tidak bermotor ditawarkan di Pulau Kandolhu ini antaranya luncur angin, perahu dayung berdiri, pelayaran katamaran, bot belayar dan kayak.
Selepas puas bermain air, penulis diberi keistimewaan untuk memanjakan diri di Spa Veru yang terletak di tengah-tengah pulau ini. Ibarat pucuk dicita ulam mendatang, tawaran untuk merehatkan diri ini diterima dengan hati yang terbuka dan berbunga. Mana tidaknya, badan juga sudah lenguh-lenguh kerana asyik berenang, kulit juga sudah terbakar disambar sinaran mentari. Inilah masa yang terbaik untuk merawat kembali tubuh supaya kembali bugar.
Di waktu malam, jika bosan terperap di dalam villa, anda boleh melepak di tepi pantai atau di restoran sambil berhibur dengan alunan muzik yang romantik. Atau anda boleh melepak membaca di perpustakaan mini yang dibuka selama 24 jam yang terletak di bahagian penyambut tetamu.
Perpustakaan Mini Yang Dibuka 24 Jam Sehari
Sebelum berangkat pulang, penginap disini akan diberikan ‘pendrive’ sebagai tanda penghargaan di mana ‘pendrive’ itu memuatkan segala foto dan video yang dirakam menggunakan kamera Go-Pro yang disediakan.
Penulis memilih untuk pulang menggunakan pengangkutan udara iaitu ‘Seaplane’ untuk ke lapangan terbang kerana mahu menjimatkan masa. Nyata pengalaman menginap di Pulau Kandolhu ini tidak akan dilupakan buat selamanya. Jika ada rezeki, pasti akan kembali ke sini lagi.
Penulis : Muhamad Helmi Bin Anuar
Foto : Kandolhu Island
Lubuk konten untuk inspirasi bakal – bakal pengantin. Pengantin kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Pasangan selebriti, Yusuf Bahrin dan Zizi Kirana masih dalam fasa berbulan madu apabila ke Turkiye, baru-baru ini.
Menurut Yusuf, dia ke Turkiye atas urian kerja, namun mengambil kesempatan untuk membawa isterinya sekali.
“Saya ke Istanbul untuk bekerja sambil berjalan. Saya bawa isteri sekali sebab banyak tempat cantik, jadi rugi kalau tak bawa pasangan. Mana boleh tinggal.
“Bukan tak boleh berjauhan, cuma saya rasa boleh bawa pasangan, jadi saya tanya pihak produksi dahulu dan mereka benarkan, saya bawalah,” katanya.
Zizi Kirana Rasa Selamat Ada Di Bawah Ketiak Suaminya
Malah, Zizi atau nama sebenarnya Nur Fazelah Mad Tahil, turut berkongsi dia berasa selamat apabila sentiasa berada disisi suaminya itu.
Saya sudah beritahu pada pengurus jangan ambil sebarang tawaran selama 10 hari.
“Saya rasa selamat berada di bawah ketiak suami saya,” ujar Zizi.
Kisah Rumahtangga Rakan Artis Tak Mengganggu Kehidupannya
Dalam pada itu, Yusuf memaklumkan isu rumah tangga yang melibatkan rakan-rakan selebriti tidak mengganggu kehidupannya dan isteri, malah berpegang kepada prinsip kepercayaan.
“Tidak menganggu kami sebagai suami isteri atas isu semasa yang berlaku pada rakan-rakan selebriti.
“Ujian manusia ini berbeza, jadi kita ambil iktibar daripada kisah mereka.
“Kita doakan untuk kebaikan mereka, mungkin esok lusa Allah uji kita pula, itu kita pun tak tahu, tetapi minta diajuhkan perkara tidak baik.
“Saya minta isteri memberi kepercayaan sebab rumah tangga ini berdiri atas sebab kepercayaan dan iman. Insya-Allah akan dilindungi rumah tangga kita,” ujarnya.
Memahami Dan Bersikap Profesional
Yusuf turut mengakui, isterinya itu sangat memahami dan bersikap profesional apabila melihat lakonannya bersama pasangan dalam sesebuah karya.
“Sebagai pelakon, kita kena fokus. Bila isteri tengok lakonan saya bersama rakan gandingan, saya harap dia faham dengan karier saya.
“Alhamdulillah, dia juga faham dan profesional,” tutupnya positif.
Yusuf dan Zizi sah bergelar suami isteri pada 19 September 2021 dalam sebuah majlis tertutup.
Lubuk konten untuk inspirasi bakal – bakal pengantin. Pengantin kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Bagi memenuhi permintaan bakal pengantin yang masih meninjau keperluan kahwin, baru-baru ini berlangsung Lokal Kahwin Fest 2018 di Dewan Seri Amar, Kemaman Terengganu. Kira-kira 100 vendor perkahwinan menyertai dalam acara ini. Bagi memeriahkan acara ini, turut dianjurkan Pertandingan Andaman dan Busana Pengantin. Biarpun pertandingan ini pertama kali diadakan namun sambutan yang diterima amat menggalakkan dari serata negeri.
Seramai 22 orang peserta yang menyertai pertandingan Andaman dan Busana Pengantin ini. Rata-rata dari mereka datang dari pelbagai negeri antaranya Johor Baharu, Kuala Lumpur, Pahang dan Kuala Terengganu.Pertandingan ini adalah secara berpasukan di mana satu team terdiri daripada Mua, pereka busana dan model.
Tema modern bridal look dipilih bagi sesi pertandingan ini. Setiap peserta diberi masa satu jam 30 minit untuk menyiapkan model masing-masing mengikut tema yang ditetapkan. Pertandingan ini diadili oleh juri profesional iaitu Mua selebriti Aizat Abdul Razak, pereka fesyen Raff Rafael dari raff Rafael Couture dan Ketua juri Mariam Shukor, Editor Pesona Pengantin.
Penjurian terbahagi kepada mekap 35%, busana 35% dan model 30%. ” Pemilihan pemenang mesti mengikut tema yang ditetapkan iaitu modern look wedding. Selain itu kekemasan dan kreativiti peserta paling dipentingkan. Konsep more to English Wedding…less is more,” jelas Raff
Ternyata setiap Mua tampil dengan teknik dan kepakaran masing-masing dalam menyolek wajah model mereka. Terserlah indah wajah model masing-masing selepas dirias. Sebaik menyarungkan busana pengantin, model -model ini nyata anggun dan mempersonakan.
Rambang mata melihat keindahan yang dipersembahkan oleh setiap peserta. Masing-masing mempunyai keistimewaan tersendiri. Setelah diamati dan diadili oleh barisan juri profesional sebulat suara memilih Mua Rizz Yahya, Designer Crystal by Naim dan model Yaya sebagai pemenang pertama. Mereka menerima wang tunai RM1500 beserta trofi dan hamper.
Pemenang kedua ialah Mua Syaff Aziz, Ratu Sehari Bridal dan model Sofea menerima hadiah wang tunai RM 1000 beserta trofi, sijil dan hamper. Manakala pemenang ketiga ialah Mua Omar Azmi, Teratak Bridal dan model Waa dengan wang tunai RM800, trofi dan hamper.
Tanpa penaja, majlis ini tidak akan semeriah ini. Terima kasih kepada pihak penaja utama iaitu Shasha Wedding Galleryz dan Alnnajah Exclusive. Sesungguhnya majlis anjuran AQJ EVENT, Puan Shereen Rahman ( CEO), Awie Entertainment & Events Management dan Mohd Zawawi Ahmad ini menjadi platform terbaik buat mua dan pereka busana menonjolkan kepakaran mereka dalam pertandingan seumpama ini.
Majlis perasmian Lokal Fest 2018Tetamu VIP beramah mesra ke setiap booth.
Mua sibuk merias model mereka.
Mua sedang sibuk menyolek model dengan teknik dan kepakaran masing-masing.
Mua Aizat selaku juri sedang meneliti mekap yang ditampilkan oleh mua.
Barisan juri profesional Mua Aizat, Raff Rafael dan Editor Pesona Pengantin, Mariam Shukor
Pereka busana- Raff Rafael Couture selaku juri meneliti busana dan mekap yang ditampilkan.
Tahniah buat pemenang.Mua Rizz Yahya, Designer Crystal by Naim dan model Yaya sebagai pemenang pertama. Mereka menerima wang tunai RM1500 beserta trofi dan hamper.
Sumber foto: Smart Figure Production
Lubuk konten untuk inspirasi bakal – bakal pengantin. Pengantin kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Kembali menjadi perhatian, bekas peserta program Pencetus Ummah (PU), Abu Sufyan seakan memberi bayangan perkahwinan dengan kedua-dua isteri, Ain ‘Afini dan Hana Azraa sudah berakhir.
Menerusi perkongsiannya di Instagram Stories (IG), mereka sudah berbincang untuk membawa haluan masing-masing selepas enam tahun bergelut dengan kemelut rumah tangga.
PU Abu Sudah Berbincang Kedua Isteri
Kata Abu, keputusan ini telah dipersetujui antara dirinya, Ain ‘Afini dan Hana Azraa demi kebaikan bersama.
“Setelah berbincang, kami bertiga akan bawa haluan masing-masing. Demi kebaikan semuanya. Tidak ada lagi kebaikan dan kata sepakat yang dapat dicapai.
“Insya-Allah semuanya akan melalui proses yang betul. Doakan yang baik-baik buat kami.
“Tidak ada apa-apa kepentingan, melainkan hanya ingin menyelesaikan kemelut selama enam tahun,” tulisnya lagi.
Salahkan Diri Sendiri
Abu juga mengakui gagal menjadi ketua keluarga yang boleh membawa kebahagiaan dan keharmoniaan dalam keluarga.
“Di mana silapnya? Saya silapnya. Sekiranya mereka tidak merasa bahagia, apakah perlu saya membiarkan terus sengsara? Apa pilihan yang saya ada melainkan membawa haluan masing-masing.
“Jangan risau, ini adalah keputusan bersama. Anak? Insya-Allah semuanya akan baik, anak-anak tetap anak-anak,” akuinya.
Mohon Doa Orang Ramai
Dalam pada itu, Abu turut memohon agar orang ramai mendoakan agar Ain ‘Afini dan Hana Azraa dipertemukan dengan jodoh yang setia, sentiasa ada di sisi dan mencintai sepenuh hati.
Bukan soal sering ditinggalkan atau jarang ditinggalkan sahaja tetapi banyak hal yang tak boleh diceritakan. Seperti yang saya sebut sebelum ini banyak tindakan saya yang disalah erti oleh sebahagian pihak sedangkan saya tidak ada apa-apa kepentingan pun.
Doakan jodoh yang terbaik buat mereka, yang setia, yang boleh di samping 24 jam dan paling penting yang mereka cintai setulus hati. Doakan juga yang terbaik buat saya.
Terdahulu, Abu bernikah dengan Ain ‘Afini pada tahun 2018. Hasil perkahwinan tersebut, mereka dikurniakan tiga cahaya mata iaitu Muhammad Adam Asyar, Muhammad Aryan ‘Afi dan Siti Khadijah.
Kemudian, Abu dan Hana pula berkahwin pada 2019. Abu dan Hana Azraa dikurniakan seorang cahaya mata iaitu Muhammad Uwais Al-Mateen.
Sebelum itu Hana Azraa yang merupakan ibu tunggal mempunyai seorang anak perempuan iaitu Afifah Aisyah hasil daripada perkahwinan pertamanya.